Tuesday, September 29, 2020

Cerita seorang Zahid Hamidi dan saya

SEBUAH CERITA


SENARIO politik tahun 1998 kini merungkupi diri Zahid Hamidi kembali. Tempoh 22 tahun lalu beliau adalah Ketua Pemuda Umno yang dilihat sebagai penyokong kuat Anwar Ibrahim yang pada masa itu Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Apabila Anwar dipecat daripada Umno dan jawatan kerajaan, Zahid awalnya bersama Anwar.

Budi dan jasa Zahid selaku memimpin Pemuda kira besar juga buat Anwar. Beliaulah yang menggerakkan untuk menyingkirkan Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai diktator dan mahu menaikkan Anwar sebagai PM. 
Manakala jasa Anwar kepada Zahid juga besar, Anwarlah yang melowongkan ruang kepada Zahid untuk berada di kerusi ketua pemuda Umno menjatuhkan Rahim Tamby Chik untuk merebut jawatan itu. 

Isu kronisme dan nepotisme dimainkan oleh Zahid Hamidi dalam usaha memburukkan Mahathir. Isu itu berkesudahan dengan kerajaan Mahathir mendedahkan senarai projek untuk dinilai apakah benar berlaku kronisme dan nepotisme seperti dituduhkan terhadapnya seperti mana dilantunkan oleh Zahid dalam ucapan dasarnya sebagai ketua pemuda Umno. Dan bagi menutup isu berkenaan dan gerakan menjatuhkannya, Mahathir pecat Anwar dan buang daripada jawatan kerajaan. 

Apabila Anwar dipecat Zahid bersama Anwar. Pada malam Anwar dilucutkan jawatan dan malam seterus-seterusnya, Zahid hadir ke rumah Anwar bersama sebahagian pimpinan pemuda Umno dan orang ramai. Beliau turut memimpin rakyat buat demontrasi dan solidariti untuk Anwar. 

Antara pemuda Umno bersama Zahid adalah ketua pemuda Umno Kelantan Zaiyadi Awg Nuh, beliau antara ketua pemuda yang awal dipecat, diikuti oleh Halim Saad (Kedah) Roslan Kassim (Negeri Sembilan), Rahim Ghaus (Pulau Pinang) dan lain-lain termasuk Exco pemuda, Saifuddin Nasution Ismail, Lokman Adam, Hamdan Taha dan lain-lain.  

Mereka ini bergerak dan berpadu dengan dua orang setiausaha Anwar, Ezam Mohamad Noor dan Azmin Ali.

Kehadiran Zahid melakukan solidariti untuk Anwar dilihat sebagai satu keberanian Ketua Pemuda Umno yang merupakan sayap kanan kepada Umno itu. Orang melihat tindakan Zahid itu sebagai tindakan berani dan bertanggungjawab. Tanggungjawab sebagai pemimpin sayap parti dan setiakawan kepada seorang sahabat atau abang.

Zahid waktu itu (walaupun beliau menafikannya) beliau dianggap khadam kepada Anwar Ibrahim, budak suruhan Anwar. Kedudukan khadam adalah orang yang tahu luar dan dalam mengenai diri tuannya, (Anwar), orang yang dikira setia dan tanggungjawab rela dan sanggup berkorban nyawa dengan tuannya.

Pedua Anwar.

Para reformias atau puak yang menyokong Anwar mengira Zahid adalah orang kanan dan bakal memegang panji reformasi apabila Anwar ditangkap atau terjadi sesuatu yang tidak diingini kelak. Zahid adalah pendua Anwar. Harapan reformasi kepada Zahid amat tinggi, sebab itu apabila ia tidak menjadi kenyataan Zahid dikecam sehebat-hebatnya, dianggap pengkhianat dan sebagainya. Sampai ke hari ini ada yang tidak boleh menerima Zahid sebagai pemimpin hatta kebencian itu berterusan walaupun beliau berada di kerusi Timbalan Perdana Menteri. 

Apa yang diramal dan diharapkan itu tidak menjadi. Zahid hanya seketika sahaja bersama gerakan Reformasi, kemudian beliau lari lintang pukang dengan menggunakan seribu alasan dangkal. Kredibiliti dan diri Zahid sebagai seorang mujahid terjawab pada masa itu.

Pemecatan Anwar menjawab dan mengenalkan orang siapa dia Zahid. Bahwa Zahid bukan seorang yang boleh diharap, bukan seorang kawan yang sedia rebah di kiri atau terlentang di kanan saat kawan dianiaya dan diseksa. Beliau menyelamatkan dirinya terlebih dahulu atau pun rupa-rupanya beliau seorang yang sangat lemah dan naif. Peristiwa itu juga mendedahkan rahsia Zahid mempunyai dua boss, Anwar dan Najib Razak.

Saya bernasib baik walaupun tidak berada dalam parti Umno, tetapi sebagai wartawan yang berkawan baik dengan Zahid membolehkan saya mengenali hati budi dan naluri siasah anak Bagan Datuk keturunan Ponorogol, Jawa Timur ini. Kesempatan ini cukup baik buat saya bagi memahami diri dan dilema dihadapi oleh bekas TPM itu.

Sama seperti orang lain, keterujaan saya kepada beliau ialah imej Islam yang menempel pada diri beliau. Dari juring mata saya, melihat Zahid berbeza dengan sosok-sosok lain dalam Umno ketika itu, seperti Annuar Musa, Rahim Tamby Chik ataupun Isa Samad dan lain-lain. Zahid dilihat boleh diharapkan dan mempunyai idealisme Islam yang jelas. Kejernihana air mukanya kerana disirami air wuduk menyakinkan saya dan orang lain juga.

Pertemuan dengannya beberapa kali di Makkah pada bulan puasa saat melakukan umrah menjadikan saya intim dan mendekatinya. Tanah Haram Makkah mengeratkan persaudaraan antara kami berdua dan diam-diam menyimpan rahsia sama untuk menegakkan Islam. Di Makkah saya pernah duduk semeja dengan beliau dan Hassan Ali. Berbincang...? 

Tragedi menimpa Anwar.

Sebagai khadam Anwar, tidak boleh elak, tragedi yang berlaku kepada Anwar turut sama mengheretnya menghadapi kesusahan dan pancaroba dunia politik. Ini menjadi beliau delima apakah untuk terus mempertahankan Anwar atau pun mengambil sikap tawaqquf  mengenai nasib dan masa depan politiknya. Kita faham kenapa kalau Zahid serba salah sebab beliau berada di antara dua kawan dan bos yang perlu ditaati, Anwar dan Najib Razak.

Beberapa hari selepas Anwar dipecat jelas sekali beliau dalam keresahan dan tidak tahu apa hendak dilakukan. Beliau seakan hilang pedoman dan suria hayatnya menjadi kelam dengan tiba-tiba. Orang paling berdukacita atas apa yang menimpa Anwar antara ialah Zahid.  Saya tidak nampak air mata pemimpin dan kawan Anwar yang lain menangis dengan tragedi itu melainkan isteri Zahid, Hamidah Khamis. 

Dalam delima dan menghadap keadaan tidak tentu hala apa yang berlaku kepada Anwar itu, beliau mengajak saya untuk ke rumah orang tuanya di Bagan Datuk, Perak. Tujuannya tentu untuk berbicara dan bertukar-tukar pandangan dan mencari jalan penyelesaian. Dalam sepanjalan sejauh kira-kira 600 km itu banyak perkara dibincang dan satu hal yang tidak dapat saya lupakan, dan ini mengejutkan apabila beliau bertanyakan soal dirinya.

"Ustaz macam mana dengan diri saya kini," katanya. Zahid memanggil saya sebagai "ustaz" panggilan menghormati saya walhal ilmu agama dan amalan agamanya lebih tinggi daripada saya.

"Apa yang harus saya buat?" tanya beliau. Pertanyaan itu tentulah mengejutkan saya, kerana masakan saya harus ditanya dan dibincangkan perkara sepenting itu. Mungkin kerana beliau melihat saya sebagai seorang penulis ada pandangan berbeza dengan rakan-rakan politiknya yang lain. Dari situasi itu juga saya melihat beliau ketika itu sangat resah dan berada dalam delima.

"Datuk, orang sudah tahu yang Datuk adalah budak kepada Pak Sheikh (Anwar). Datuk adalah khadam kepadanya. Dalam suasana hari ini, bagi saya terbaik Datuk lakukan, Datuk perlu tenggelam timbul bersama Pak Sheikh. Datuk tidak boleh melarikan diri.

"Kalau Datuk lari meninggalkannya, Datuk akan dilihat pengecut dan seorang yang mementingkan diri. Sebaliknya kalau Datuk setia dan pertahankan Pak Sheikh, Datuk akan dilihat sebagai seorang pejuang dan sahabat yang setia, yang sanggup melakukan apa saja demi seorang sahabat, Datuk akan dihormati sepanjang masa," kata saya.

Malam itu saya bermalam buat pertama kali di rumah orang tuanya di Bagan Datuk. Pagi selepas bersarapan kami kembali ke Kuala Lumpur semula beliau menghantar saya hingga ke rumah di Flat di Wangsa Maju. Saya masih ingat begitu melihat keadaan tempat tinggal saya (Flat), Zahid bertanya; Ustaz belum ada rumah ke” Pertanyaan itu cukup bagi saya sebagai keprihatinan seorang rakan.

Selepas perjumpaan itu beliau masih lagi bersama Anwar. Menggerakan reformasi, membuat arahan-arahan dan mengadakan pertemuan-pertemuan sulit di tempat-tempat tertentu yang turut dihadiri sama oleh saya dan juga pemuka reformasi dari rahang pemuda.

Satu hal yang tidak dapat saya lupakan apabila melihat tekadnya untuk mempertahankan Anwar sampai beliau kata, Reformasi ini adalah fisabilillah. "Ini fisabilillah, Ustaz..." ujar dan ucapnya tegas. Bergegar jantung dan hati saya, darah menyelinap mendidih ke seluruh pembuluh darah. Tiba-tiba sara merasakan seperti berada di medan perang. 

Mengharap panas sampai ke petang rupanya tidak, hujan turun di tengah hari.

Zahid tidak betah dalam reformasi, akhirnya dia terpaksa mengalah kepada dirinya sendiri. Beliau tidak tahan dengan ujian dan cabaran. Segala masalah peribadi yang dihadapinya menjadikan beliau resah gelisah dan tidak sedamai orang lain memperjuangkan Anwar dan menggerakkan reformasi.

Situasi itu sudah dijangka awal-awal, Mahathir akan menggunakan segala senjata yang ada untuk menekan Zahid Hamidi dan sesiapa sahaja yang bersekongkol untuk mempertahankan Anwar dan melawannya. Zahid juga tidak terkecuali.

Menyedari itu saya secara peribadi menasihatinya agar melepaskan jawatan Pemuda Umno. Saya bayangkan kepadanya kalau beliau kekal bersama Anwar beliau akan ditekan dan diugut. Jadi sebelum ditekan kata saya kepadanya elok dia mengambil tindakan awal melepaskan jawatan agar nampak gentlemen. Tetapi cadangan saya itu tidak dipedulikan.

Akhirnya Zahid ditahan di Kota Kinabalu. Petang beliau ditahan itu menggemparkan khasnya para reformasi. Walaupun beliau sudah cula dengan gerakan reformasi, tetapi penahan itu tetap mendapat simpati para reformis. Apa yang mengejutkan saya dengan penahanan itu apabila isterinya, Hamidah menelefon saya menyampaikan pesan oleh Zahid. Kata Hamidah, Zahid meminta saya menyiapkan kenyataan untuk melepaskan jawatan ketua pemuda.

“Datuk pesan ustaz buat kenyataan lepas jawatan Ketua Pemuda, kata Datuk ayat dan bahasa ustaz cantik dan lembut sikit,” demikian kata Hamidah. Terkulai saya mendengar itu. Sekali lagi darah saya menyelinap ke seluruh pembuluh, kali ini bukan mendidik tetapi "menyuam." Kenapa baru sekarang setelah ditangkap, baru hendak melepaskan jawatan. Kenapa tidak sebelumnya?

Cerita saya dan Zahid ini sengaja saya hentikan di sini dan jadikan ia tergantung. Apa yang yang hendak saya khulasahkan di sini mengenai diri seorang Zahid yang ada sesuatu diharapkan daripadanya waktu ini. Dengan mentafsir dan menilai cerita dan kisah ini semoga mereka yang berharap akan ada magik dan tindakan drastik daripada Zahid boleh bersabar sekejap.

Delima dan masalah dihadapi Zahid 22 tahun lalu kini datang kembali dalam bentuk berbeza. Saya buat catatan ini kerana mendapat tahu Zahid sekali lagi berpeluang untuk memperjuangkan sesuatu yang diharapkan oleh rakyat. Hari ini beliau adalah presiden Umno. Walaupun Umno sudah tidak ada kerajaan tetapi ia masih ada sia-sisa kuasa untuk berbuat sesuatu. Bak kata orang kampung saya, kalau ada golok tumpul boleh dibuat membelah kelapa.   

Harapnya Zahid tidak akan mengulang apa yang berlaku sebelum ini. Beliau diharap bijak, berani dan sedia melakukan sesuatu yang terakhir sebagai peninggalan dan legasi perjuangan hidup mati seorang Zahid. Semoga peluang yang ada tidak akan disia-siakan. Percayalah keadaan Zahid kini umpama berada di antara dua bahana besar, di hadapan duri di belakang bara. Beliau pula tidak bersayap hendak tak hendak terpaksa memilih salah satu keadaan itu. [wm.kl.7:55 pm 29/09/2020]  * Kalau rajin saya sambung.

No comments: