Tuesday, October 20, 2020

Malaysia perlukan arkitek Kintsugi

ULASAN

Anwar, Husam bersama Allahyarham
Haji Abdullah Lubuk Tapah.
MALAM tadi telah berlangsung satu dialog atau wawancara bertema Malaysia Baru yang dihostkan oleh Senator Husam Musa. Kerana ada urusan lain saya tidak sempat mengikutinya. Cuma baru sekejap tadi saya membaca rumusan ataupun intipati wawancara berkenaan yang dicatat oleh Dr Hafidzah Mustakim.
 
Dalam catatan itu Dr Hafidzah membahagi kandungan atau segmen wawancara Husam itu kepada tiga bahagian besar, Cabaran Malaysia, Malaysia Baru, dan Langkah Ke Hadapan

Seperti mana catat Dr Hafidzah, bagi Husam cabaran besar dihadapi Malaysia kini ialah kekosongan kepimpinan baik dalam negara maupun parti selepas berlakunya krisis dalam PH sehingga runtuhnya kerajaan berkenaan. 

Risiko atau bahana itu mengundang cabaran untuk membina semula Malaysia. Sehubungan itu Husam mengemukakan pandangan agar Malaysia ini diserahkan kepada kepimpinan baru yang lebih terarah kepada khususnya dari kalangan generasi muda yang lebih berintegriti dan bersemangat. 

Beliau menyebut kepimpinan sebelum ini dibawah Dr Mahathir Mohamad tidak lagi menjamin kesuksesan membina Malaysia baru kerana stail autokrasinya yang sudah gagal. Bahkan kehancuran kerajaan PH disebabkan oleh stail kepimpinan lama beliau itu yang bersifat diktator demokrasi. Dr Mahathir menyimpan dua wajah dalam satu batang tubuhnya, diktator di malam hari dan demokrasi di siang hari. Huhss...

Bagi Husam kepimpinan gaya Mahathir adalah tidak menyumbangkan kepada perdamaian dan kemajuan negara bila mana bekas PM dua kali itu lebih suka bergaduh daripada mencari perdamaian dan keharmonian. Husam menyebut bagaimana Dr Mahathir tidak pernah berhenti daripada bergaduh sejak dulu hingga sekarang.

Justeru Malaysia Baru akan dibina oleh generasi baru, kepimpinan bentuk baru dengan mengetengahkan corak kepimpinan perdamaian yang menjadi kontra dengan gaya Dr Mahathir Mohamad itu. Kepimpinan perdamaian ini menurut Husam ia boleh dipanggungi oleh Anwar Ibrahim berdasarkan karektornya yang mana lebih terbuka, sedia memaafi sesiapa sahaja. 

Beza kepimpinan Mahathir dan Anwar.
Husam menyebut dan membandingkan sikap kepimpinan Mahathir dan Anwar yang sangat berbeza. Mahathir suka cari gaduh berbeza dengan Anwar yang boleh memaafkan sesiapa sahaja. Sebagai bukti walaupun Anwar teraniaya, terseksa sampai di penjara di era Mahathir tetapi beliau (Anwar) boleh memaafkan Mahathir demi rakyat apabila sanggup untuk menerima Mahathir untuk bersama PH dan kemudian dipersetujui diangkat pula menjadi perdana menteri.

Dalam era melangkah ke Malaysia baru ini, menurut Husam ia juga memerlukan kepada konsolidasi politik. Konsolidasi ini penting ia merupakan kerjasama bukan sahaja di kalangan individu politik tetapi mencakupi parti-parti politik juga. Dalam hambatan dengan berbagai cabaran ini bagi Husam konsolidasi ini sangat bermakna. Sebab itu beliau bukan sahaja menjadi perundingan kepada "perdamaian" antara Anwar dengan Mahathir tetapi juga mencadangkan perdamaian dengan Pas, dimana Pas perlu memikir sama kepentingan konsolidasi ini demi pengukuhan politik Melayu dan Islam. 

Bagaimana pun beliau menyebut rupa konsolidasi itu bukan seperti mana yang hendak atau dianjurkan oleh ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang kini "dijualjaja murah" akan jadi perdana menteri interim. Konsolidasi Tengku Razaleigh itu lebih untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan.

Tengku Razaleigh menurut Husam sanggup dan sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir dan meninggalkan Anwar Ibrahim dan cara itu tidak tepat. Sebaik-baik konsolidasi kata Husam yang terarah kepada kekuatan atau membina ekonomi negara daripada kepentingan kuasa. Tengku Razaleigh perlu membawa Malaysia keluar daripada kemelut ekonomi sekarang ini menggunakan kepakaran yang ada.

Prinsip Kintsugi.

Dalam banyak mauduk dibawa Husam dalam wawancara itu paling menarik gesaannya agar rakyat negara ini khasnya orang politik melihat kepada prinsip Kintsugi yang menjadi amalan orang-orang Jepun. Menerusi prinsip ini macam mana orang Jepun berjaya memperbaiki sesuatu (barangan tembikar) yang sudah retak dan pecah dicantumkan semula sehingga menjadikan ia bernilai tinggi.

Cerita Husam orang Jepun tidak membuang barang-barang tembikar terpakai atau yang sudah pecah begitu sahaja, sebaliknya mereka akan ambil dan cantum semula. Cantuman itu penuh kreativiti dibuat begitu indah dengan menggunakan emas sebagai bahan pencantum. Setelah ia siap bekas cantuman itu akan terserlah benang emas yang indah, menyebabkan barang itu bernilai lebih mahal daripada yang sedia.

Husam sewaktu diwawancara. 
Nah, kata Husam negara ini sedang mengalami perpecahan dalam segala hal; kemasyarakatan,
kepimpinan, politik, agama dan sebagainya yang mana kerana perpecahan ini menjadikan Malaysia parah. Perpecahan ini juga dikeranakan oleh kegilaan manusia politik kepada kuasa. 

Beliau memberi contoh apa yang berlaku di Sabah, kerana orang politik khasnya perdana menteri Muhyiddin Yassin mahukan kepada kuasa, menjamin kekuatannya, kerajaan Warisan di Sabah diganggu sehingga menyebabkan terpaksa diadakan Pirane - pilihan raya negeri. Natijah daripada itu apa yang berlaku kini, Sabah dibaham Covid yang parah mencatat jumlah kes tertinggi dalam beberapa hari ini. 

Dari pemikiran dan prinsip Kintsugi tadi Husam yakin perpecahan dan keretakan yang berlaku dalam serba aspek kini dapat dibaikpulihkan dan ia akan kembali meletakkan Malaysia di panggung kecemerlangan seperti dahulu.

Apa yang menjadi persoalan kini, siapakah sedia mengamalkan prinsip Kintsugi itu? Siapakah arkiteknya? Atau siapakah yang memiliki seni kemahiran dan kreatif Kinsugi yang hebat itu? Pemimpin-pemimpin sebelum ini (yang jadi PM), tidak seperti kurang memiliki seni kemahiran berkenaan kerana itu negara di bawah mereka berpecah dan bercemperaian.  

Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad dan kini Muhyiddin Yassin seperti tidak memiliki bahkan tahupun mengenai prinsip canggih dan indahnya seni Jepun itu. Kalau Muhyiddin mengetahuinya pasti beliau tidak akan memecahkan kerajaan PN sebelum ini. Begitu juga dengan Najib jadi pemecah sampai kerajaannya berusia 61 hancur lebur. Dr Mahathir kerajaannya berusia 22 bulan tumbang dan kini kerajaannnya PN sedang menanti hari untuk binasa?

Sekali lagi, ditanya siapakah kini mempunyai prinsip seni Kintsugi itu? Saya tidak nampak ada sesiapa yang boleh mewarisi dan menghayati prinsip Kintsugi itu buat masa ini melainkan dua orang sahaja, Anwar Ibrahim dan Husam Musa sendiri. Ciri-ciri ini terserlah kepada iltizam dan nawaitu mereka, mencintai bangsa, benci perpecahan dan berusaha mendamai dan menyatukan ada kepada Anwar. 

Begitu juga dengan Husam apabila beliau tahu dan arif bercakap mengenai prinsip Kintsugi itu, bercakap mengenai ruginya politik perpecahan dan merindui politik penyatuan, maka sudah tentu beliau ada keazaman dan iltizam tinggi untuk mempraktikannya. Husam mempunyai imbauan yang tinggi untuk kebaikan negara sehingga melupai sempadan sengketa. 

Makanya, apa salahnya kalau kita memberi harapan dan meletakan impian ini mereka berdua. Biarlah mereka berdua mengutip, mengumpul serpihan perpecahan yang berlaku kini kemudian mereka disatukan menerusi prinsip Kintsugi itu, dengan itu Malaysia nanti akan kelihatan indah dan nilainya lebih mahal daripada sebelum ini. [wm.kl. 4:45 pm 20/10/2020]

No comments: