Wednesday, December 23, 2020

Jadilah sesumringah Anwar dalam menanti harapan

 NOTA PERJUMPAAN

Saya menghadiahkan buku terbaru
saya kepada Anwar.
 
KELMARIN saya mengunjungi Anwar Ibrahim di pejabatnya di Petaling Jaya. Kunjungan itu disertakan sama oleh Adun Tebing Tinggi Perak, Dr Abd Aziz Bari yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak. 

Sebenarnya saya jarang membuat kunjungan terhadapnya. Kunjungan kelmarin itu bolehlah dianggap sebagai rasmi, kerana kami tidak bercakap sambil berdiri atau sekadar berpapasan di jalanan cuma atau santai di warkop. 

Saya diberikan kerusi dan perbualan dalam bilik agak eksklusif. Sedikit serius tetapi tetap ada kesantaiannya.

Dalam perjumpaan berdurasi 53:45 saat itu ada beberapa perkara sempat disinggung untuk mendapat perhatiannya. Saya lebih banyak bercakap sebagai penulis kecil yang bebas berkenaan keadaan politik semasa, sementara Dr Abd Aziz Bari pula bercakap soal politik akademiknya.

Maklumat dan pemakluman.

Menarik dan keterujaan itu dapat saya simpulkan tentang sesuatu diperkatakan oleh Anwar. Suatu maklumat dan pemakluman? Sesuatu yang menyenangkan saya dan juga Dr Abd Aziz dan juga orang lain tentunya. Sepanjang pertemuan itu beliau ceria dan sumringah sekali dan tidak nampak tertekan. Keadaan itu tentulah menyakinkan orang lain juga sehingga boleh membuat apa-apa prediksi sendiri.

Dalam hubungan saya dengan Anwar, saya bersimpati kepada nasibnya yang masih menunggu untuk dinobatkan selaku perdana menteri, tetapi masih belum menjadi kenyataan. Ia berlalu agak lama tetapi dalam kamus orang politik tidak ada apa disebut sebagai lama. Semuanya seakan baru bermula semalam. Anwar merasai dan sedang menghayati itu sebab itu dia tenang.

Untuk dirinya sendiri walaupun beliau sudah berada diambang koridor kuasa sebagai PM, tetapi beliau ditangkis dan terbuang. Pertama tahun 1998 apabila kedudukan sebagai orang nombor dua dilucutkan. Dan terbaru harapannya terkulai apabila hancurnya kerajaan PH yang sudah pun mengkonsensuskan beliau akan jadi PM selepas Dr Mahathir Mohamad (OT95). 

Beliau dilihat jauh tergolek dari kerusi PM tetapi .. baginya tangkisan dan apa yang berlaku itu sebagai baru permulaan semula buatnya. Itu keampuhan sikap seorang pejuang, patah keris beralaskan hulu, tujuh kali jatuh tersembam gagah bangkit berdiri melawan. Lawan tetap lawan. 

Seperti mana saya tulis dalam buku-buku saya bahawa beliau didambakan oleh rakyat untuk menjadi perdana menteri setelah rakyat membaca dan menghadami keuletan beliau sebagai pemimpin. Harapan rakyat saya kira lebih berkobar-kobar daripada impiannya sendiri setelah mengenali betapa sukar untuk beliau melompat ke kerusi itu kerana pelbagai tribulasi dan mehnah dihadapinya, dari dipermainkan, diolok-olok dan dikhianati.

Bagi rakyat pula yang mengenali pasti dan menyadari akan kesempurnaan beliau untuk menjadi PM terbaik buat Malaysia sangat mengharap beliau suatu hari akan diangkat menjadi perdana menteri. Tegasnya politik Malaysia tidak akan lengkap dan sempurna kalau Anwar tidak menjadi perdana menteri. 

Kita ada pandangan dan sikap tersendiri dalam hal ini. Kita juga ada idola masing-masing. Bagi mereka yang menolak dan menghalangnya ada alasan sendiri kenapa mereka bertindak begitu. Nah, begitu juga yang mendambakan beliau jadi pemimpin nombor satu negara ada alasan tersendiri.

Tidak ada masalah kalau kita bertengkar untuk mempertahankan idola dan tokoh masing-masing asalkan saja kita rasional, berwibawa dan bermoral. 

Dalam pertemuan itu saya tidak tanya kepadanya apa usaha dilakukan sekarang ini untuk memenuhi harapan itu, jadi PM. Cuma apa yang dapat diselami Anwar seorang yang optimis dan tidak pernah berputus asa. Semangat yang dipegang itulah harus menjadi pegangan semua orang yang menyokongnya.

Kehebatan diri beliau menghadapi pancaroba itulah juga menyebabkan orang-orang mendukungnya di bawah menjadi semakin utuh dan penasaran berharap beliau segera menjadi perdana menteri.

Mengakhir pertemuan itu ada sepatah perkataan diluahkan sang Bapak Reformis itu yang tidak boleh saya kongsikan di sini. Nantinya bila sampai masanya saya akan buka dan sebut juga sepatah kata-katanya itu yang saya sifatkan sebagai semangkuk emas sedulang intan. Dr Abd Aziz juga mungkin bersetuju atau pun beliau kurang perasan apa disebut Anwar itu.  

Makanya kepada mereka mengharapkan Anwar jadi perdana menteri teruslah ikhlas dan jaga diri semua biar sihat, yakin dan jadilah seperti sesumrigahnya Anwar dalam menanti detik itu. [wm.kl.10:56 am 23/12/2020]

Glossori:

Warko = warung kopi, kedai kopi, mengopi.

Sumringah = jelingah, ceria berseri-seri, gembira dan bahagian.

No comments: