Monday, March 29, 2021

Kesan keputusan Umno dalam PAU semalam

ULASAN PAU

PAU 2020 yang diadakan 28 Mac 2021.
PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2020 yang tertangguh sejak setahun lalu telah diadakan dan sudah berakhir semalam. PAU semalam dilihat dari berbagai sudut dan kepentingan dengan citarasa masing-masing sesudai diwaktu pandemik. 

Ada mengatakan ia sebagai satu himpunan untuk meluluskan solusi yang sudah dibuat awal dan ada juga mengatakan sekadar rutin biasa Umno sebagai mematuhi peraturan ROS.  Kedua-dua pandangan itu boleh diterima dan ada kebenarannya. 

Apapun PAU semalam telah berjaya mengambil ketetapan atau endorsement daripada perwakilan berhubungan satu perkara yang membelenggu Umno sejak beberapa bulan lalu. PAU semalam mengambil ketetapan untuk tidak bekerjasama politik dengan PPBM parti yang dianggap sebagai ular Lidi yang hendak menjadi Naga. Muktamad. 

Seluruh perwakilan yang hadir dalam dewan PWTC bangun menyatakan tindakan itu. 

Perkara itu sudah dijangka awal-awal lantaran desakan bertalu-talu dari akar umbi Umno yang dibuat semasa mesyuarat bahagian masing-masing. Walaupun ia baik dan satu keputusan tepat kepada Umno, namun ia memberi kesan dan implikasi lain khasnya kepada pihak yang beriya yang mahukan Umno bersama dengan PPBM atas sebab-sebab sendiri dan logikal politik sang orang pemikirnya. Kerana Umno patuh kepada pendapat dan keputusan majoriti, maka idea untuk membawa Umno bersama PPBM itu tertolak total. 

Keputusan yang sedikit suspen yang diambil dalam PAU semalam, adalah apabila parti kebangsaan yang hilang kuasa itu membuat ketegasan mereka akan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN. Tarikh atau masa diberikan ialah pada Ogos. MKT amnya dan presiden Ahmad Zahid Hamidi mendapat pengihtiarafan dan diberikan mandat penuh oleh perwakilan untuk menentukan tarikh penarikan itu. 

Walaupun tarikh akhir diberikan Ogos, tetapi Zahid diberikan "pisau" dan "pistol" untuk menghabisikan kerajaan itu, melakukan pemutusan itu bila-bila masa sahaja. Kalau mengikut amarah dan perasaan perwakilan mereka mahu penarikan itu dibuat semalam juga. 

Bayangkan kalau Umno mengumumkan menarik balik sokongannya semalam, hari ini sudah tentu negara menjadi riuh randah dan sudah ada menteri atau timbalan menteri yang menulis surat meletak jawatan dan juga ada menteri dan timbalan menteri yang dilihat liat untuk tidak sedia berbuat demikian. Jangkaan saya antara menteri yang bergeliat untuk letak jawatan, Noraini Ahmad, Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan Hishammudin Hussein.  

Tetapi tarikh menarik sokongan itu ditetapkan pada Ogos. Signifikan tempoh itu sesuai dengan janji mulut dilafazkan Muhyiddin Yassin yang mengatakan proklamasi darurat akan tamat pada 1 Ogos dan sebaik tamat pilihan raya akan diadakan?

Walaupun Umno atau Zahid tidak menyebut syarat penarikan itu, dapat difahami sekiranya pada tarikh itu Parlimen tidak dibubarkan maka Umno akan mengarahkan ahli-ahli parlimennya khasnya yang memegang jawatan dalam kerajaan, menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC meletak jawatan.

Ketetapan dan keputusan itu sedikit jenaka bunyinya, kerana ia dilihat seperti ada sesuatu yang sedang dibincang dan dirundingkan antara Umno dengan PPBM atau Bersatu. Kenapa diberikan senggang masa? Kenapa tunggu Ogos untuk menarik sokongan? Kenapa tidak sekarang? Apakah beza dan kelainannya menarik sekarang dengan tunggu sampai Ogos. Apakah kalau menarik sokongan Ogos Umno akan mendapat laba besar tetapi kalau dibuat sekarang akan rugi? 

Sepekara dalam perjuangan termasuk juga politik ketepatan dan kecepatan menguruskan masa sangat penting.  

Apakah Umno menghormat kepada Yang diPertuan Agong yang memberi perkenan ke atas proklamasi darurat itu.  Rasanya ia tidak logik begitu kerana apabila Agong memberi penjelasan bahawa darurat tidak bermakna parlimen tidak boleh bersidang ertinya Agong tidak memihak dan mengawal bila masa hendak diadakan Piraum.

Atau senggang masa itu diberikan kerana Umno masih berusaha untuk mengekalkan hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Kerana hubungan itu kini renggam maka Umno memberi tempoh beberapa waktu untuk berusaha mengejapkannya kemudian baru membuat hentam kepada kerajaan PN. Apakah Umno yaking Pas akan kembali bertaut mesra dengannya. 

Natijah kepada tindakan Umno itu kita nampak ia mahu Piraum diadakan. Umno sudah ghairah untuk berpilihan raya seperti gadis sunti sudah baligh "belengah" untuk berkahwin.  Keghairahan itu disusuli dengan keyakinan akan menang hatta kalau bertanding secara bersendirian pun Umno yakin mereka boleh menang. 

Mungkin Umno ada hujahnya dan petunju dalaman tetapi kepada umum tidak ada indikator Umno boleh menang kalau bertanding bersendirian. Bukan sahaja Umno gabungan dan koalisi lain juga tipis untuk menang besar sehingga mencapai majoriti mudah.  

Justeru meletakkan syarat dan memberi peluang akan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN kepada Ogos tidak praktikal. Melainkan Umno mengira apabila mereka menarik sokongan menyebabkan Muhyiddin tidak ada pilihan lain akan bubar parlimen. Apakah Umno tidak terfikir kemungkinan-kemungkinan lain. Muhyiddin dan gengnya masih ada akal untuk melanjutkan usia kerajaannya. Mereka tidak akan berhenti daripad aberfikir mencari helah untuk melanjutkan usia pentedbirannya.

Bagaimana pula kalau Umno menarik sokongan dengan 35 orang MPnya itu, tiba-tiba ada pengalang ganti yang menjadi menyokongnya pula?

Semisalnya tiba-tiba Keadilan akan mengisi kekosongan ditinggalkan Umno itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional. Mana tahu kalau selepas ini ada pula perjanjina mulut antara Muhyiddin dengan Anwar. Dengan menerima politik itu seni serba mungkin dan aksi dan tindakan bervariasi, ia tidak boleh dikesampingkan. Walaupun sumpah dan janji orang politik tidak boleh dipercayai, tetapi mereka terus melakukan persumpahan demi persumpahan kerana itu sebagai daripada game mereka. Mereka bukan bersumpah dengan Zabul, Injin, Taurat tetapi dengan Quran juga.   

Kalau Muhyiddin merelakan dirinya ditukar kepada Anwar sebagai perdana menteri, ia tidak mustahil? Tidakkah ketika itu nanti Umno akan menangis tidak berlagu.  

Dua keputusan besar dibuat oleh Umno semalam dengan penuh berani, bertanggungjawab dan terdesak, ialah 1. Tidak akan bersama PBBM, 2. Akan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN Ogas nanti.

Daripada dua keputusan itu saya melihat ada beberapa implikasi sampingan yang lain. Maksudnya keputusan Umno semalam mempengaruhi suasana politik negara dan turut mengesankan parti-parti politik lain.

1. Umno jelas akan menghadapi pilihan raya umum nanti secara bersendirian. Umno tidak akan berkolaborasi dengan mana-mana parti atau gabungan parti politik. Umno akan kekal bersama BN yang mempunyai MCA dan MIC.

2. Umno bakal kehilangan Pas. Ini kerana Pas telah menunjukkan minat mendalam untuk bersama PPBM berbanding dengan Umno, walaupun ia bergabung lebih awal dengan Umno. Alasan diberikan Abdul Hadi Awang Pas ingin menyertai Piraum sebagai kerajaan cukup kuat untuk meletakkan Pas akan bersama PPBM. 

3. Tindakan diambil Umno itu (bertanding bersendirian) memberi peluang untuk perwujudan kerajaan gabungan selepas pilihan raya. Tindakan dan keputusan ini terbaik dalam saat Umno merasakan ia dipermain dan diperbudakan oleh PPBM dan hilang kesetiaan Pas. Umno mengambil sikap biar "sama-sama saja." 

4. Keputusan Umno itu juga memberi kesan sampingan kepada pihak lain. PH (Keadilan dan DAP), yang sebelum ini diura-ura akan mengadakan pakatan dengan Umno, mungkin tidak akan berlaku. Bagi Pas pula menjadikan parti itu terjepit di antara dua harapan dan kerinduan dan tergolek dilembah antara dua gunung maha curang. 

5. Keputusan Umno selama sekali lagi mempamerkan politik tidak berani yang tidak bijak kepada medium politik Melayu. Melayu terus berpecah dan dipecah-pecahkan kerana kepentingan politik.

6. Keputusan dan cara Umno itu juga menjadikan kedudukan parti-parti utama untuk membentuk kerajaan terbuka. Parti-parti utama ialah Umno, Pas, Keadilan dan DAP.  [wm.kl.9:14 am 29/03/2021] 

No comments: