Wednesday, December 22, 2021

Husam dan kemanusiaan sedunia

CATATAN PERJALANAN

Husam menghulurkan bantukan 
kepada Siti Nur Azizah salah seorang mangsa.
SORE semalam Husam Musa telefon bertanya apakah saya sudah menjenguk dan turun kawasan banjir. Beliau lantas memberi tahu akan ke Hulu Langat, Selangor untuk melihat keadaan mangsa banjir di sana. 

Hulu Langat antara beberapa daerah yang mengalami bencana banjir paling teruk di Selangor sejak lebih 40 tahun lepas. Bagaimana pun dipercayai banjir yang berlaku dua hari lepas sangat parah dan mengesankan jiwa. Sehingga ini sekurang-kurang 10 mangsa maut. 
Tetapi kerana hari ini (semalam) saya masih sibuk menguruskan buku baharu yang baharu siap dicetak, saya menangguhkan untuk segera ke sana bersama Husam. 

Husam selaku pengerusi Yayasan Darul Hijrah (DH) sudah pun menggerakkan yayasan kemanusiaan yang ditubuhnya itu untuk membantu mangsa banjir dengan menyediakan kemudahan asas dan keperluan terdesak seperti pakaian, peralatan tidur dan makanan. Team DH yang diketuai Hafiz sudah bertumas di sana. Husam sendiri yang berada di Kelantan "gelacar" mari ke Kuala Lumpur.  

Justeru saya berjanji untuk ke sana, hari ini (semalam), sebaik urusan menerima buku-buku dari percetakan selesai. 

Salah seorang mangsa megatakan 
sesuatu kepada Husam
Untuk membolehkan turun ke Hulu Langat, sebelah malamnya tidak sempat tidur seperti biasa kerana menguruskan pembungkusan buku-buku untuk diposkan keesokannya. Saya seorang yang tidak suka menangguh-nangguh atau melenggah-lenggahkan masa, kerana tidak mahu membiarkan mereka yang sudah membuat tempahan
pra-cetak awal-awal menunggu lama. 

Bersama isteri.
Malamnya saya berdua bersama isteri menguruskan pembukungusan. Isteri yang kurang sihat juga ikut dikerah sama untuk menyiapkan, sampai kata nak muntah, kemudian pagi-pagi selepas Subuh sudah bergerak pula ke kantor pos laju yang terletak tidak berapa jauh dari rumah. Mahu pastikan saya menjadi pelanggan pertama. Alhamdulilah pintu pos laju menerima kami sebagai pelanggan pertama. 

Semasa di pejabat Pos Laju, pegawai (Pro) Husam, Habin Faisal Mohamed menelefon bertanya apakah saya sudah siap atau tidak, untuk ke Hulu Langat. Katanya Husam sudah bersedia untuk bergerak, dan dia diminta Habin menjemput saya. Saya beri tempoh, untuk bergerak jam 10:00 pagi setelah urusan pengeposan selesai. Jam 10:30 Habin sampai dan kami terus bergerak ke Hulu Langat. 

Kemanusiaan seorang Husam.

Tidak terlampau kalau saya katakan Husam seorang yang sangat prihati dan naluri kemanusiaannya untuk menangani masalah orang ramai yang berhadapan dengan sebarang masalah, seperti bencana alam sangat tinggi dan boleh diangkat jempol.  

Beliau bukan sahaja cakna kepada masyarakat atau rakyat dalam kawasannya semasa menjadi wakil rakyat dahulu, tetapi ditempat dan kawasan lain juga. Apa lagi dengan masalah musibah banjir sebab beliau sendiri ada pengalaman cukup mahal dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah mangsa berdepan dengan banjir apabila Kelantan ditimpa banjir selut tahun 2014. Banjir menimpa Kelantan pada tahun itu adalah paling dahsyat dalam sejarah. 

Husam diberi taklimat ringkas oleh petugas di
Pusat Pemindahan Banjir (PPB) Sg. Serai.
Husam seorang yang tidak boleh mendengar dan melihat dari jauh bagaimana rakyat bergelut dengan masalah. Sifatnya sebagai anak Tok Guru (Haji Musa) mengalir ke dalam tubuhnya. Semasa menjadi wakil rakyat dan diberikan sedikit kuasa dalam kerajaan Kelantan dahulu, apa yang beliau tidak lakukan? Pelbagai skim kebajikan untuk membantu rakyat miskin dan tidak mampu diperkenalkan. 

Radar ketulusannya dan keprihatinan juga sangat jauh. Beliau akan berusaha jua sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan. Bukan sahaja mereka berhadapan dengan masalah hidup dalam negeri tetapi di luar negara juga. 

Menyampaikan sumbangan.
Walaupun beliau seorang ahli politik, kehadirannya lebih kepada atas rasa insan dan kemanusiaan daripada mencari populariti. Bukan setengah persis politis yang turun ke kawasan banjir mengenakan kasut kulit berkilat, pakai kemeja lengan panjang dan segan untuk cecah kaki ke dalam selut dan lumpur.  

Kepedulian Husam dalam hal ini meluas. Semasa negeri Johor dilanda banjir pada suatu tahun, beliau turun mewakili Tokguruku Nik Aziz dan rakyat Kelantan menyampaikan bantuan banjir kepada mangsa banjir di negeri itu. Kebetulan saya ikut bersama, kami sempat turun ke beberapa daerah yang dilanda banjir. Tanpa melihat warna politik beliau menghulurkan kepada setiap pos-pos pengumpulan banjir yang ditemui. Sampai ada mangsa yang menerima bantuan terhairan dan tidak percaya kalau yang datang itu Husam bin Musa.

Bantuan atau empati kepada mangsa banjir Johor kepada saya itu sedikit aneh memandangkan Johor negeri Umno, manakala Umno sebagai kerajaan Persekutuan pula cukup tidak bertimbang rasa dan selalu bersikap pilih kasih kepada kerajaan Kelantan yang dikuasai Pas. 

Perbezaan dan perkara itu tidak timbul bagi Husam. Apabila saya membangkitkan perkara berkenaan beliau berkata; "Dalam membantu dan menolong orang susah ketepikan sentimen politik. Dan kita bantu dengan apa yang ada, tidak banyak sedikit pun cukup, semua kerana Allah dan kemanusiaan" ujarnya.

Seperti disebut tadi jangkauan radar kemanusiaan beliau sangat luas dan jauh. Ia bukan sahaja dalam negeri tetapi ke luar negara juga. Semasa negeri Serambi Makkah Aceh dibedal tsunami 2014, Husam juga turut menghulurkan bantuan kemanusian di sana. Atas inisiatifnya beliau memohon dan mencadangkan  kepada Tok Guru sebagai MB agar menghulurkan bantuan kepada Aceh secara tidak langsung usaha itu terbentuk hubungan diplomatik antara Kelantan dengan Aceh. 

Menyediakan alat pencuci untuk 
kerja-kerja membersih rumah.
Beliau sendiri dengan seribu daya dan ikhtiar terbang ke Aceh untuk menyampaikan bantuan. Dibawanya segala keperluan makan minum, peralatan dapur dan pakaian dengan menaiki Hercules TNI terbang dari Jakarta ke Banda Aceh.

Alhasilnya atas kemurahan itu dikenang oleh kerajaan Aceh. Semasa gabenor Aceh Irwandi Yusuf hendak mengangkat sumpah memegang jawatan kerajaan Aceh menjemput Tok Guru dan Husam ke majlis berkenaan.

Bukan setakat Aceh sahaja bantuan dari kerajaan Kelantan yang diusahakan Husam turut sampai ke Phuket dan lain-lain negara. 

Kerja kebajikan dan kemanusiaan Husam bukan sahaja ketika beliau menjadi wakil rakyat dan ada jawatan. Tetapi ia berterusan sampai ke hari ini, meskipun sesudah tidak mempunyai apa-apa jawatan lagi 

Satu misi lagi yang perlu disebut ialah ke Turki dan Syria untuk membantu anak-anak yatim piatu yang mangsa perang Syria yang kesejukan dan kelaparan pada musim sejuk. Walaupun keadaan di sempadan Turki dan Syria tegang dan tidak dibenarkan kemasukan bantuan asing, tetapi dengan usaha dan doanya Husam sampai juga ke lembah peperangan itu. Nasib malang, anak-anak yatim kesejukan kerana tidak selimut tebal menjadikan beliau lebih kreatif untuk sampai ke sana. 

Husam adalah seorang yang kreatif dan tidak mati akal. Jawatan rasmi tidak menjadi penting. Tanpa jawatan rasmi beliau menggerakan Yayasan Darul Hijrah (DH) sebagai mekanisme untuk membantu orang menghadapi bencana. DH inilah menjadi vehicle untuknya meneruskan misi kemanusiaan yang dibuat hanya mengharap keredhaan. 

Dalam membantu mangasa banjir di Selangor kini DH sudah pun bergerak dan memiliki Pusat Pengumpulan Barang di Hulu Langkat selain di Puchong dan Shah Alam. Dalam kesempatan tinjauan semalam, Husam telah meminta DH agar mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membaiki sebuah rumah mangsa, Hasnita Jaafar di kampung Sungai Serai yang separuh rumahnya di bahagian dapur musnah sama sekali.

Dalam pada itu Husam juga turut merayu kepada orang ramai agar sama-sama membantu mangsa banjir kali ini. Kepada orang Kelantan khasnya, beliau berharap agar lebih sensitif dan lebih peka untuk membantu mangsa banjir kerana ketika Kelantan dilanda banjir 2014, ramai rakyat daripada luar termasuk dari Selangor datang membantu. "Jadi kali ini giliran kita pula untuk membalas budi mereka," seru Husam. Untuk rekod seramai 3,000 yang menjadi mangsa atau terkesan dengan banjir tempoh hari.

Dan bagi sesiapa yang ingin sama menyertai usaha murni DH khasnya dalam membantu mangsa banjir, boleh berhubung atau melayari link berikut

Dalam pada itu saya juga telah melancarkan jualan buku baharu saya dengan potongan 10% untuk diinfakkan ke tabung bantuan banjir. Anda budiman boleh dirujuk kepada iklan yang disertakan. [pos laju. wm. kl. 12:45 pm 22/12/2021] 

No comments: