Thursday, February 3, 2022

Ismail Sabri tidak perlu layan desakan partinya

PANDANGAN 

Ismail Sabri tidak perlu tunduk dengan
tekanan.
POLEMIK dan perdebatan tidak henti kini mengenai masa bilakah pilihan raya umum (Piraum) ke-15 akan diadakan dan perlukah Piraum diadakan dan sejauh mana kewajaran diadakan?   

Memahami MoU ditandatangani di antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang (PH) pada 13 September 2021, mengandungi tujuh subjek dengan persetujuan Piraum tidak akan diadakan sebelum Julai tahun ini. Tetapi tampaknya persetujuan tempoh itu tidak disetujui oleh semua komponen parti politik. 

Tempoh itu semacam sementara sahaja, sebagai ruang untuk masing-masing berihat bagi memikirkan helah seterusnya untuk meneruskan pertarungan. Ia merupakan masa senggang untuk masing-masing berfikir dan merancang strategi selepas itu.  

Ironisnya MoU itu tidak ditaati oleh pihak parti Ismail Sabri sendiri. Bagi Ismail Sabri beliau lega dengan MoU berkenaan, kerana memberikan masa untuknya sekurang-kurang setengah tahun bagi beliau menyusun dan mentadbir negara yang masih disimbah dan dihentam pandemik. Tempoh itu memberi peluang baik kepadanya untuk belajar menjadi PM dan menunjukkan kemampuannya.  

Pembangkang pula walaupun mereka sedar MoU itu kurang disenangi umum, tetapi terpaksa diambil demi negara. Bagi PH khususnya, MoU itu seakan taktiknya mahu berihat daripada mencari nombor yang tidak pernah mencukupi. Dengan adanya MoU itu projek mencari nombor dan SD berhenti seketika atau ada alasan untuk berhenti.

Tidak perlu saya sebut dan menghuraikan motif lain disebalik MoU itu yang bertujuan untuk mengelakkan berlaku sesuatu yang boleh lebih mengaibkan maruah mana-mana pihak. Namun kepada rakyat yang tidak ada kepentingan politik, yang sudah cemuh dengan politik celaru langkah itu menjadi sesuatu yang baik kerana boleh menenangkan situasi.

Yang mendesak agar pilihan raya diadakan segera, ialah daripada parti Ismail Sabri sendiri, Umno. Siang malam sesetengah pemimpin Umno khususnya yang tidak berada dalam kerajaan memberi isyarat kepada Ismail Sabri agar membubarkan parlimen. Alasan-alasan diberikan setengah dangkal dan tidak logik.  

Ini yang memelikkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa berlaku perpecahan dalam Umno dan Ismail Sabri sendiri tidak mendapat sokongan padu daripada partinya sendiri. Ini satu kemalangan buat perdana menteri ke - 9 itu. Menyebabkan ada yang meramalkan Ismail Sabri akan menjadi PM yang terpendek perkhidmatannya.  

Umno yang sebelum ini tewas dan hilang kerajaan dikuasai selama 62 tahun, seperti tidak berterima kasih kepada takdir yang membolehkan kerajaan Malaysia kini diketuai oleh ahlinya sendiri setelah selama lebih dua tahun dirampas oleh pembangkang sejak Piraum ke-14. 

Ismail Sabri adalah naib presiden Umno yang mana tokoh yang kalau mengikut ghalibnya akan menduduki jawatan presiden suatu hari nanti. 

Kenapa berlaku demikian?Ada beberapa faktor. Paling utama ialah kerana pemimpin Umno khasnya presiden dan bekas presiden mengejar keuntungan untuk dirinya sendiri daripada kedudukan Ismail Sabri itu. Mereka mahu menyelesaikan masalah yang membelenggu diri mereka yang sedang didakwa di mahkamah dengan puluhan tuduhan, rasuah, penyelewengan dan pengubahan wang haram. Mereka melupai rahmat disebalik pelantikan Ismail Sabri sebagai salah seorang pemimpin Umno sebagai PM mengembalikan semula maruah Umno yang sudah koyak dan robek gara-gara mereka.  

Walaupun pelantikan Ismail Sabri itu atas blessing bahkan perancangan mereka juga, tetapi setelah dirasakan kepentingan mereka tidak terlaksana, maka mereka mula mencurigai dan kecewa, lantas mencari saluran lain untuk melepaskan diri mereka. Mereka mahu menggunakan kedudukan Ismail Sabri itu untuk kepentingan peribadi mereka bukan untuk kepentingan negara. 

Baik Ahmad Zahid Hamidi maupun Mohd Najib Razak dan mereka lain yang terjerat dengan pelbagai kes mahkamah mempercayai mereka akan lucut daripada segala tuduhan apabila Umno kembali memerintah. Mereka mahu menggunakan Umno sebagai parti berkuasa untuk menyelamatkan mereka. Disebabkan yakin senario kini memberi kemenangan kepada Umno jika diadakan Piraum, maka mereka terburu-buru mendesak diadakan Piraum untuk melihat Umno kembali memerintah tanpa mempedulikan ancaman pandemik masih belum reda dan ekonomi negara masih belum kembali kukuh.  

Dengan pencapaian cemerlang di Pirane Melaka baru-baru ini dan kegagalan pembangkang di Sarawak, mereka  tambah yakin sekiranya pilihan raya diadakan sekarang, parti itu kembali memerintah. Desakan bertubi-tubi mereka itu kerana mempercayai Umno akan menang dan kemenangan Umno nanti  dapat mempercepatkan pembebasan mereka.

Ertinya di sini baik Zahid, Najib dan sekumpulan yang mahu pilihan raya segera diadakan bukan meletak dan mengira soal kepentingan negara dan rakyat daripada kemenangan UBN nanti, tetapi diri mereka. Apakah erti dan maksud perjuangan mereka selama ini untuk kepentingan peribadi bukan rakyat dan negara?

Kalau mereka yakin mereka tidak bersalah, kenapa mereka tidak tenang menghadapi pertuduhan di mahkamah? Kenapa perlu mencari helah lain untuk selamatkan diri. Dari ini jelas orang-orang yang berhadapan dengan mahkamah tidak mempercayai kepada "kebenaran" diri sendiri yang mereka dakwa. Selama ini mereka enak bercakap, mendakwa mereka kononnya dianiaya dan dizalimi tetapi pengecut untuk menghadapi pengadilan di mahkamah. Kalau mereka yakin mereka benar, mereka tidak gundah untuk memasuki kandang orang kena tuduh di mahkamah. 

Ismail Sabri kini sudah menjadi perdana menteri dan memiliki kuasa prerogatif. Beliau seharusnya menggunakan kuasa dan kedudukan itu bukan untuk membantu mana-mana individu hatta rakan sekali pun tetapi untuk negara dan rakyat. Jawatan setinggi perdana menteri adalah untuk digunakan demi kebaikan negara untuk mengembalikan integriti negara di mata dunia. Justeru beliau  tidak perlu peduli atau tertekan  dengan desakan mana-mana pihak yang digunakan untuk melepaskan diri sendiri. 

Apabila Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, 21 Ogos 2021 maksud terkandung dalam sumpah itu ialah demi negara. Kewajibannya mentadbir dan mengurus negara sebaik yang boleh. Beliau tidak seharusnya mengsia-sia kepercayaan Yang diPertuan Agong yang memberi perkenan ke atas pelantikannya. 

Semasa beliau bersumpah, rasanya tidak terbetik dalam hatinya untuk membebaskan sesiapa dengan kuasa dan kedudukan kecuali rakyat. Dalam situasi kini melepaskan negara dari pandemik Covid-19 lebih utama dan menjadi priority beliau dari menyelesaikan masalah peribadi dihadapi oleh sesiapa pun.

Lantaran itu Ismail Sabri tidak perlu tunduk kepada apa-apa desakan termasuk agar membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya atas kepercayaan Umno akan menang. Ismail Sabri juga perlu insaf dan baca kalau Umno kembali memerintah, bukan beliau lagi sebagai perdana menterinya.  Apakah semudah itu beliau melepaskan sesuatu yang amat berharga buatnya?

Jawatan PM adalah tertinggi dan menjadi idaman semua orang. Anwar Ibrahim sudah lebih 20 tahun mengejar jawatan itu. Tengku Razaleigh Hamzah juga sudah lebih 40 tahun mengimpikan jawatan itu. Dr Mahathir dan Najib Razak walaupun sudah menjadi PM masing-masing 22 tahun dan lapan tahun, tetapi masih berangan-angan dan mengimpikan jawatan itu sekali lagi. Semua mengejar jawatan itu untuk melaksanakan agenda masing-masing. 

Kita percaya Ismail Sabri juga ada agenda dan idealismenya. Ismail Sabri yang  memperolehi jawatan itu dalam keadaan bagaimana sekalipun, adalah pencapaian tertinggi baginya. Beliau kena menghormati dan bangga dengannya. Kebanggaan itu hendaklah direalisasikan dengan melaksanakan apa yang tersemat dalam jiwanya sebagai ahli politik. Apakah sebagai ahli politik, dan setelah melangkah ke dalam arena politik beliau tidak menyimpan apa-apa cita-cita dan semangat?

Sama ada beliau sedar dan tidak pernah terfikir ketidakmampunya untuk sampai ke situ, dengan segala macam kekurangan yang ada kepadanya berbanding dengan pemimpin dan pengidam jawatan itu yang lain, realitinya beliau sudah sahih menjadi jadi PM. Sejarah negara telah mencatatkan namanya sebagai perdana menteri ke-9.  

Nah, Ismail Sabri perlu menjaga kuasa dimilikinya seutuhnya dan berusaha sekerasnya melaksanakan apa yang menjadi impian dan cita-cita sebagai seorang politician. Beliau tidak perlu peduli dan dengar apa yang berlaku di luar sana. Gegak gempita di luar adalah lumrah dalam politik. Ismail Sabri kena lupakan kepada kepentingan orang lain yang disangkut harapkan kepadanya. Beliau kena fikir soal rakyat dan kehendak rakyat terlebih dahulu.

Kesimpulan Ismail Sabri tidak perlu akur dan tunduk kepada mana-mana tekanan dan asakan. Beliau tidak perlu terangsang dengan desakan partinya untuk mengadakan pilihan  raya. Ismail Sabri perlu membuktikan bahawa beliau mempunyai political will dan meninggalkan apa-apa legasi sesudah meninggalkan Putrajaya kelak. 

Dalam terdekat ini lakukan sekurang-kurang sesuatu yang boleh dilihat rakyat Ismail Sabri ada wibawa tersendiri sebagai PM. Bukti kepada wibawa itu, ialah beliau tidak perlu akur kepada desakan dan hasutan oleh orang-orang Umno yang terdiri daripada saing sobatnya sendiri agar membubarkan parlimen untuk mengadakan pilihan. Dan Sabri Ismail perlu sedar bahawa ramai di kelilingnya menyokong keberadaanya, khasnya rakyat yang sudah bosan dengan perang politik yang tidak berkesudahan itu.

Kalau pun diadakan pilihan raya belum pasti Umno akan menang seperti diandaikan. Tetapi sekiranya  Ismail Sabri kekal sebagai PM, sekurang-kurang Umno masih boleh berbangga yang menjadi PM ialah orang yang lahir dari sulbi Umno. Sebelum berhenti Ismail Sabri perlu mencetak sesuatu legasi buatnya sebagai kenangan dan bukti yang beliau pernah menjadi perdana menteri Malaysia.

Perkara penting bagi Ismail Sabri untuk menjamin kedudukannya tidak robek, beliau harus berusaha untuk merapatkan Umno dengan Pas. Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan sebelum ini hendaklah terus hidup dan tidak musnah di tengah jalan. Sekiranya Ismail Sabri dapat pertahankan MN dan menampong semula piagam yang sedikit koyak, mungkin beliau akan dapat kekal sebagai PM sehingga habis penggal ke-14 parlimen.  [wm.kl. 6:56 pm 03/02/2021]

No comments: