Tuesday, March 22, 2022

Ismal Sabri tidak perlu akur kehendak golongan bernafsu

ULASAN LAMBAT

Ismail Sabri tidak perlu tunduk.
DUA isu politik yang tidak segera saya beri ulasan. Pertama, berhubung senario dalam perhimpunan agung Umno (PAU), dan kedua patah balik Rafizi Ramli untuk aktif dalam parti dan menawarkan diri untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan presiden. 

Kedua-dua isu itu tidak berkaitan di antara satu sama lain, tetapi ia menjadi isu diberi fokus dalam sehari dua ini. Isu menarik dan panas serta sudah ada yang penasaran mengenainya. 

Untuk catatan ini, saya akan cuba kupas sedikit riuh randah dalam PAU yang sudah pun berlalu itu,  namun ia masih diperkatakan dan belum tuntas sepenuhnya. Hasilnya dinanti dan ditunggu.  Mengenai hasrat Rafizi untuk bertanding jawatan timbalan presiden Keadilan, saya akan kemudiankan.

PAU yang sudah berlalu itu dikira penting, menjadi medium untuk mendesak Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri menghadap Yang diPertuan Agung agar membubarkan parlimen bagi membolehkan piraum diadakan segera. Itulah tujuan utamanya. Umno jadi terkesima untuk berpilihan raya segera kerana yakin menang berpandukan kepada pencapaian cemerlang mereka di pirane Melaka dan Johor. Seandaianya pencapaian mereka tidak menyerlah di Melaka dan Johor mungkin isu pembubaran parlimen tidak hangat.

Dalam konteks ini Umno, terutamanya mereka berada di luar kerajaan mahu mengambil kesempatan daripada fill good factor yang ada.  

Mereka mahu mengambil fill good factor dengan dua kemenangan itu untuk mengembalikan kekuasaan Umno ke atas politik negara. Serentak itu juga memulihkan kedudukan mereka sekaligus menyelamatkan diri yang dalam keadaan bahaya. Mereka ini berharap apabila Umno berkuasa kembali ia boleh membatalkan apa-apa tindakan undang-undang yang menimpa diri mereka. Orang Umno sangat tahu dan licit menggunakan kuasa yang ada.  

PAU lalu menjadi medan pertempuran di antara dua kumpulan dalam Umno. Satu kumpulan boleh dinamakan pihak yang tidak mahu pilihan raya disegerakan, sebaliknya mahu pemilihan dalam Umno dijalankan terlebih dahulu. Kumpulan ini juga menyokong Ismail Sabri sebagai PM dan merupakan Naib Presiden Umno. 

Manakala kumpulan kedua yang diketuai presiden, timbalan presiden dan mereka yang tidak berjawatan dalam kerajaan mahu segera parlimen dibubarkan. Kumpulan ini boleh dianggap sebagai pengasak Ismail Sabri. Motif mereka agar parlimen dibubarkan kerana yakin Umno akan dapat menguasai semula Malaysia. 

Hal ini jelas. Timbalan Presiden Mohamad Hassan memberi isyarat nyata semasa merasmi persidangan wanita, pemuda dan puteri Umno. Beliau sebut dan tegaskan sekali lagi semasa penggulungan di akhir PAU, pemilihan parti perlu diadakan selepas enam bulan pilihan raya diadakan. Dalam erti kata lain Umno perlu menempuh pilihan raya dengan keadaan organisasi dan carta posisi penjawatan yang ada kini. 

Cadangan Mohamad itu bernada ugutan dan paksa, bermakna pemilihan perlu diurungkan selerpas pilihan raya. Walaupun Umno sudah terdesak untuk mengadakan pemilihan menurut peraturan ROS, selepas beberapa kali ditangguh, namun ia diusahakan agar diberikan ruang. Semasa menggulung Mohamad Hasan tidak segan dan malu-malu meminta Ismail Sabri agar memastikan ROS akan memberi kelonggaran atas maksudnya itu.

Pilihan raya perlu diadakan terlebih dahulu, kenapa? Bagi Mohamad Hasan ia ada muslihat dengan cadangan itu. Apabila pilihan raya diadakan sebelum pemilihan parti bermakna presiden Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa untuk memberi watikah calon kepada semua calon-calon Umno. Kesempatan ini memungkinkan ada yang terlepas menjadi calon kerana mereka sudah berperang peribadi dengan Zahid. 

Beberapa orang dikenal pasti mungkin tidak akan diberikan watikah, adalah mereka yang terang-terang mempertahan dan menyokong Ismail Sabri dan tidak hormat kepada keputusan MK Umno. Antaranya; Annuar Musa, Tajuddin Abdul Rahman, Mohamed Nazri Aziz, Shahidan Kassim, Khairy Jamaluddin dan lain-lain.

Kemungkinan itulah menyebabkan mereka ini yang berasa tidak akan dicalonkan mendesak supaya pemilihan parti diadakan. Tujuannya untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka berharap jika berlaku pemilihan parti struktur atau carta organisasi parti akan berubah dan apa diharap presiden Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi dipilih menjadi presiden. Kalau diadakan pemilihan sudah pasti Zahid akan dicabar dan sosok yang akan dicalonkan untuk menentang Zahid adalah boleh jadi Ismail Sabri.

Ada logik dan keupayaan kalau Ismail Sabri dicalonkan sebagai presiden. Kedudukannya sebagai perdana menteri dan merupakan naik presiden terkanan adalah aset buatnya. Selain itu kesedarhanaannya dalam berpolitik, tidak kontroversi dan paling penting bersih adalah modal utama. Selain itu Ismail Sabri juga dilihat tokoh yang boleh mempersatukan parti dari berbagai ideologi. 

Sementara potensi untuk Zahid kecundang juga ada, memandangkan beliau kini bersalut dengan puluhn tuduhan di mahkamah. Ramai ahli dan penyokong Umno yang ada integriti dan waras tidak senang dengan apa yang berlaku pada diri Zahid. Dan Umno jadi kotor dan jijik hari ini adalah ulah yang terpamer kerana noda diproduksi Zahid dan Najib. 

Kita tidak mahu campur lebih jauh apa yang bakal berlaku dalam Umno. Tetapi apa yang hendak disoalkan, apakah Umno berhak menentukan pembubaran parlimen. Ini satu perkara yang perlu dinilai dan dikaji dari semua aspek. Mereka yang bersetuju agar parlimen dibubarkan mereka yang terlupa akan diri Umno waktu ini disamping konvensyen dicapai kabinet sebelum ini sebelum sesuatu penggal parlimen dibubarkan. 

Membubarkan parlimen bukan hak mutlak Umno. Walaupun Ismail Sabri salah seorang naib presiden Umno yang perlu patuh dengan kehendak presiden MT Umno. Tetapi bukan sewenang-wenangnya beliau boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong. Kerja membubar parlimen bukan hak peribadi perdana menteri walaupun dalam perlembagaan menyebut PM sahaja yang boleh menghadap Agong. 

Tentunya Ismail Sabri akan merujuk kepada kabinetnya juga. Kabinat yang dibentuk Ismail Sabri kini bukan kabinet mutlak Umno. Kena sedar dan mengerti hakikat ini. Ia adalah kombinasi dengan beberapa buah parti lain khasnya Bersatu dan Pas. Hendak tidak hendak Ismail Sabri perlu bertanya atau mengemukakan kepada kabinet. Beliau tidak boleh brtindak bersendirian bagi mengelak timbul kemarahan Bersatu dan Pas kepadanya. 

Ismail Sabri cukup insaf walaupun perlantikannya sebagai PM atas persetujuan parti, tetapi kalau tidak didokong Bersatu, Pas dan lain-lain beliau tidak berada di situ.

Kesimpulan konsensus dicapai dalam PAU yang mendesak Ismail Sabri membubar parlimen adalah tidak lebih daripada desakan penuh emotif dan ia bukan perintah yang mudah pula untuk diakur oleh Ismail Sabri. Suka atau tidak, berkesan atau sebaliknya, Ismail Sabri kini adalah perdana menteri yang sah disisi perlembagaan, beliau boleh bertindak mengikut budi bicaranya tanpa bergantung kepada nasihat yang "berserampang" dua mata atau pun tunduk dengan terkanan mereka berkepentingan dan gelabah. 

Ismail Sabri perlu ingat jawatan disandangnya kini bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan ia adalah kemuncak kepada perjuangan politiknya. Beliau perlu menggunakan kuasa dan kesempatan yang ada untuk memayungi prinsip dan maruah dirinya selama ini. [wm.kl.10:00 am 22/03/20212]. 

No comments: