ULASAN
PEMENJARAAN bekas presiden Umno dan bekas perdana menteri Mohd Najib Razak, 69 kerana bersalah menyalahgunakan dana SRC Internationl RM42 juta memberi kesan dan implikasi politik yang besar.
Najib Razak |
Jadi tidak hairan, kalau ada pemimpin Umno termasuk dari kalangan pemimpinnya menjadi "gila" dan "naik angin" dengan
tindakan Mahkamah Persekutuan itu, sehinggakan terbit prejudis kononnya keadilan tidak diberikan kepada Najib Razak.
Mereka meletakkan masalah yang terpaksa ditanggung Najib atas dosa-dosanya itu kepada proses keadilan negara ini. Mereka menafikan secara membuta tuli terhadap proses keadilan yang telah diberi dan dilalui Najib sama seperti narapidana lain. Malang lagi, mereka yang membela Najib dengan melihat bekas PM itu lebih suci daripada kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan yang kita junjung tinggi selama ini.
Bukan sahaja mahkamah menjadi mangsa golongan "isin" ini, tetapi perdana menteri Ismail Sabri Yaakob juga terheret sama dengan amarah orang-orang Umno yang simpati secara dangkal dan merasakan Umno terkesan dengan tindakan ke atas Najib itu, sampai ada yang menganggap pemenjaraan Najib itu atas restu Ismail Sabri, Perdana Menteri itu tidak membantu lantas mendesak PM itu meletak jawatan. Alasan itu benar-benar gila.
Seorang laskar maya (cybertrooper) Umno yang juga orang kuat Najib, misalnya tanpa menjaga mulut mendesak Ismail Sabri diambil tindakan disiplin serta dipecat daripada Umno. Bagi penyokong Najib itu, Ismail Sabri bukan lagi pemimpin (rakan) dalam Umno, tetapi musuh dalaman Umno.
Siang malam penyokong kuat Najib itu menggunakan air liur basi sebagai peluru membela Najib dengan membedal Ismail Sabri dan para pemimpin Umno yang bersikap tawakuf dengan apa dialami Najib bersama Ismail Sabri.
Lagak pendokong nombor wahid Najib itu menunjukkan saking marahnya beliau yang juga bekas pegawai Najib di PMO itu. Situasi dan keadaan terdesak inilah menunjukkan Umno sedang dilanda masalah.
Walaupun langkah dan lagak laskar maya itu lebih bersifat peribadi yang berasaskan kadar upah, tetapi itulah gambaran dan hakikat dalam kubang Umno waktu ini. Pemenjaraan Najib membuat mereka hilang akal, terdesak dan berpecah belah.
Orang Umno seperti itu dapat merasakan Umno berhadapan dengan kesulitan apabila langkah Najib sudah diikat dan badannya ditambat di sebalik tirani. Kerana Najib selepas ini tidak lagi boleh berjoget dan menari ronggeng seperti biasa lagi.
Sebelum ini, walaupun sudah tersangkut dengan hukuman atas kesalahan salah guna kuada, rasuah dan pemindahan wang haram kepadanya, Najib masih bebas bergerak ke sana ke sini dan kebebasan itu memberi keuntungan kepada Umno. Najib telah dijatuhi hukuman bersalah sejak tahun 2018 lagi.
Dalam dua Pirane (pilihan raya negeri), Melaka dan Johor, Najib berkempen dan popularitinya sebagai bekas PM menyebabkan beliau mendapat sambutan. Sambutan itu ditafsirkan bahawa Najib masih menjadi daya tarikan kepada orang ramai sekaligus menunjukkan beliau seakan tidak bersalah.
Disebabkan Najib dikira aset itulah apabila Najib kini disendur (ditambat) maka ia tidak menjadi aset menyebabkan ada orang Umno jadi gila meroyan dengan memperhitungkan ia merugikan Umno.
Keadaan kian menjadi lagi tegang apabila pilihan raya umum hampir tiba. Kerana mempercayai batang tubuh Najib dapat menjadi aset dan modal ampuh kepada Umno, menjadikan mereka beriya-iya berkokok siang malam meminta pilihan raya diadakan segera.
Siang malam, pagi dan petang beberapa kerat tukang bual Umno yang memihak kepada Najib dan Zahid atau tepatnya kluster mahkamah mendesak Ismail Sabri agar menghadapi Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan segera parlimen.
Mengenai isu Najib disimpan dalam penjara ini, paling merujakan apabila setengah daripada pendokong Najib belum sampai seminggu bekas PM itu menikmati hukuman itu, sudah mengadakan demonstrasi menyerahkan memorandum mohon Najib diberikan pengampauan.
Tindakan itu sebagai "kebudak budakan" dan tidak beretika serta menggambarkan betapa mereka melihat Najib sebagai dewa dari kalangan bangsawan. Mereka seumpama ini tidak siuman dan rasional serta itu tidak tahu menghargai nilai dan martabat diri sendiri.
Tidak dapat tidak proses mahkamah itu dihadapi oleh parti kebangsaan itu seadanya mengikut perlembagaan dan konvensyen. Mereka kena terima hakikat kerana bukan pertama kali pemimpin besar daripada parti itu terpidana demikian.
Sebelum ini sudah ada tokoh Umno, seperti bekas MB Selangor Harun Idris, bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Mokhtar Hashim, maupun Anwar Ibrahim sendiri yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan daripada parti itu telah dipenjara.
Kesimpulannya tindakan terhadap Najib dan bahana dihadapinya menerbitkan beberapa kesan dan implikasi politik bukan sahaja kepada Umno tetapi senario politik negaara juga.
Ada dua faktor utama.
1. Umno berpecah menjadi dua kumpulan. Satu yang bersimpati dan menganggap Najib sebagai aset dan satu kumpulan lagi yang menerima proses undang-undang dengan sedar dan sambiri itu mereka mendapat untung dengan apa yang berlaku ke atas Najib kerana Najib tidak lagi menjadi rival (saingan) lagi kepada mereka.
Pemenjaraan Najib dikira dapat membersihkan Umno daripada dikotori pemimpin yang korup seperti Najib dan mereka yang sedang dihadap ke mahkamah kini.
2. Kesan kedua ialah kepada pembangkang. Pembangkang juga mendapat dampak tersendiri daripada apa yang berlaku itu. Pertamanya ia boleh menguntungkan dan kedua boleh merugikan. Ia bergantung sejauh mana pembangkang pandai mengambil kesempatan atas apa yang berlaku. Untung kerana mereka sudah tidak perlu melayani kerenah Najib, dan rugi kerana lawan mereka UBN sudah tercabut daripada kebusukan dibawa oleh Najib.
Kesimpulan atas apa yang diterima Najib itu, ialah Ismail Sabri Yaakob dianggap sebagai perdana menteri yang tidak mencampuri urusan mahkamah. Beliau benar-benar berdiri atas prinsip sebagai perdana menteri yang cuba membawa perubahan daripada sistem lama yang diamalkan oleh kerajaan UBN dan juga PH sebelum ini yang bersikap berat sebelah atau membuat pendakwaan terpilih.
Setidak-tidaknya apa yang berlaku dan dialami Najib itu menjadikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang tegas, berprinsip dan tidak mudah tunduk dengan tekanan politik orang berkepentingan dan tidak memilih bulu. [wm.kl.11:00 am 05/09/2022]
No comments:
Post a Comment