Friday, September 13, 2024

Hussein Ahmad namanya terpahat di kanvas politik Kelantan

 BELASUNGKAWA

Ketika saya menziarahinya
dirumahnya tahun 2011.
HUSSEIN AHMAD (Tan Sri), antara tokoh politik Kelantan yang hebat dikenali sebagai "gedebe." Dalam konteks politik Kelantan namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan nama jolokan Hussein Serama, beliau gah bukan saja di Kelantan bahkan di seantero negara juga. 

Hussein dikenali sebagai seorang yang gedebe kerana keberaniannya dan Serama kerana ketampanan wajahnya.

Gedebe bahasa darat orang Pattani yang dikaitkan dengan samseng atau berani, orang yang tidak hairankan kepada orang.

Beliau dianggap gadebe kerana keberanian dan kelantangan, baik semasa berhadapan dengan Pas atau dalam menyokong dan berpihak kepada mana-mana puak atau individu dalam partinya sendiri Umno, yang menurutnya sebagai benar. Beliau seorang berprinsip dan tegas.

Lantaran keberaniannya juga menyebabkan anugerah gelaran membawa Dato' dikurniakan oleh Sultan Kelantan ditarik balik dan beliau menyembah untuk mengembalikan sendiri darjah kebesaran tersebut.

Sewaktu Tengku Razaleigh berlawan dengan Dr Mahathir Mohamad merebut jawatan presiden Umno, Hussein menyokong Mahathir walaupun beliau senegeri dengan Tengku Razaleigh.

Aura kegedebelan Hussein sewaktu wujudnya skuad Pemuda Tahan lasak Pemuda Umno, di tahun 1969. Hussein salah seorang pemuka dalam skuad ini yang menjalankan kegiatan kempen dan propaganda untuk meraih sokongan kepada Umno. 

Dalam masa sama skuad ini menjadi pasukan menggempur Pas untuk membendung pengaruh Pas. Pemuda Umno bertindak sebagai skuad penggempur dan juga menjalankan kegiatan provokasi, ugut dan serang Pas. Ketika itu beliau adalah timbalan ketua pemuda Umno Kelantan.

Nama Hussein setanding dengan nama-nama tokoh lain daripada parti lawannya di Kelantan Pas, seperti Mohd Asri Muda, Zahari Awang, Nik Abdul Rahman, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan lain-lain. 

Rona politik Hussein dilihat gasan dan gedebe tetapi dari sudut lain Hussein mempunyai wajah politik tersendiri serta seorang ahli politik disenangi kerana prihatin kepada rakyat. Beliau seorang yang cukup diplomasi dan bijak dalam mempengaruhi masyarakat dengan gayanya tersendiri. PRnya sangat baik menyebabkan beliau disenangi semua lapisan dan peringkat umur. Orang lebih muda daripadanya memanggilnya abang Sin manakala yang muda memanggilnya ayah Sin.

Sepanjang penglibatanya dalam parti Umno beliau memegang berbagai jawatan. Di peringkat bahagian sebagai Ketua Umno Rantau Panjang, di peringkat negeri sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan. Manakala di peringkat pusat sebagai ketua penerangan Umno Malaysia.

Jenazah Ayah Sin sebelum 
disembahyangkan di masjid Lemal.
Menyentuh jasa besar beliau dalam Umno ialah, membantu Dr Mahathir Mohamad untuk menghidupkan semula Umno selepas diharamkan tahun 1988. Menurut Mohd Sobre Shafii yang merupakan anak didiknya dalam politik dan pernah berkhidmat sebagai pegawai dibawah kendalian Hussein, beliaulah memberi semangat dan keyakinan kepada Mahathir agar menghidupkan semula Umno.

Dalam kerajaan pula beliau pernah menjadi Exco kerajaan Kelantan, Timbalan Menteri Besar Kelantan dan diperingkat pusat menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta pernah dilantik memegang Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), selain pernah menjadi Ketua I Persatuan Penulis Kelantan (PKK) dan juga presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). 

Sepanjang lebih 70 tahun penglibatanya dalam parti, Hussein banyak meninggalkan jasa dan bakti baik kepada parti Umno dan juga kerajaan. Beliau kembali ke Rahmatullah awal pagi ini dalam usia 90 tahun sesudah beberapa tahun ke belakangan ini keuzuran kerana parkinson. 

Sewaktu kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan baru-baru ini dalam rangka berjumpa dengan PM Thailand saya cuba usahakan agar Anwar bertemu dengan Allahyarham, tetapi malangnya tidak kesempatan.

Saya ke rumah Allahyarham dan didapati rumah itu sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Beberapa kali loceng ditekan dan salam diberi namun tanpa terjawab. Bagi mereka ingin mengetahui lebih lanjut penglibatan dan sukaduka Allahyarham dalam dunia politik, boleh ikuti catatan saya tentang beliau dalam memoir saya yang sedang dalam proses pererbitan kini. Allahyarham antara sosok yang menjadi tokoh yang dikisahkan dalam memoir itu secara mendalam dari sejak awal saya mengenalinya hingga ke saat-saat akhir.  [wm.kl. 1:18 pm 13/09/2024]

No comments: