Wednesday, January 27, 2010

Kupasan Sebelum Tidur

Musuh Khianat Kerana Kelemahan Kita

SETIAP kali tercetus kejadian yang tidak diingini seperti perbuatan mencemarkan rumah ibadat, masjid, gereja dan kuil atau lain-lain maka kita ramai-ramai akan bangkit memperkatakannya. Masing-masing melahirkan rasa kesal, kecewa dan sedih atas apa yang berlaku. Kita juga mula menunding jari mencari siapa yang terlibat. Timbulah berbagai teori gelap yang mana lebih memburukkan lagi keadaan.

Kita juga akan buru-buru mula membelek sejarah lama untuk dipadankan dengan apa yang berlaku.

Begitu juga dengan kejadian jahat meletakkan kepala babi hutan di dua buah masjid di Jalan Klang lama awal pagi tadi. Ia satu kejadian yang malang bagi negara ini. Hati umat Islam akan terguris dan pedih dengan perbuatan itu. Bukan saja orang muslimin di sini tetapi di tempat lain juga.

Kejadian itu bukan pertama kali berlaku. Sebelum ini sudah dilaporkan masjid di UM diletakkan kepala babi. Siap dibungkus dalam bendera Pas. Dan lama sebelum ini masjid juga pernah dilontarkan dengan perut babi.

Apakah erti dan tujuan semua perbuatan ini? Sepatutnya isu ini sudah selesai. Semua kita yang cintakan Malaysia dan bernaungan di bumi tercinta ini mencari punca apakah sebab musababnya berlaku demkkian. Bukan saja di pihak Islam, di pihak Hindu dan Kristian yang juga jujur dan berjiwa keagamaan juga turut sama sakit dan pedih dengan perbuatan demikian. Apa lagi rumah ibadat mereka juga turut dihina dan dilakukan perbuatan jahat.

Melihat kejadian itu yang melibatkan semua rumah ibadat ia semacam ada dendam antara satu sama lain. Apakah kita boleh beranggapan begitu? Kalau kita beranggapan begitu ini bermakna sampai ke bila pun masalah itu tidak akan selesai. Tuduh menuduh dan tunding menunding akan berlaku. Misalnya kalau orang Islam beranggapan yang meletak kepala babi itu orang Budha atau Hindu atau Kristian maka maka balas dendam ke atas permis dan rumah ibadat Budha, Hidu dan Gereja akan dilakukan.

Begitu juga sebaliknya.

Rasanya sudah sampai sekarang ini semua pihak mengambil pendekatan lunak, bijak dan terbuka untuk mengatasi masalah ini. Pertama, ialah perasaan syak wasangka yang tidak berdalil hendaklah dibuang. Orang Islam jangan muda menuduh orang Hindu atau Kristian melakukannya. Begitu juga kalau ia terjadi ke atas agama lain, penganutnya jangan mudah prejudis orang Islam yang melakukannya. Sebaliknya semua pihak penganut sama-sama menjaga kepentingan bersama.

Dalam konteks ini orang Hindu boleh kawal - tolong tenguk Masjid. Begitu juga dengan Kristian boleh tolong pantau Kuil Hindu. Juga roang Islam boleh tolong jenguk dan silau terhadap Gereja dan Kuil. Kalau semangat bekerjasama berlandaskan patrotik ini dapat diamalkan saya rasa masalah yang menjadi duri dalam daging ini dapat diatasi.

Dalam konteks lain pula, kejadian menceroboh dan menghina masjid dan surau ini patut dijadikan iktibar oleh orang Islam. Orang Islam khasnya Melayu jangan melihat ia perbuatan khianat semata-mata. Sebaiknya kita semua kena melihat ke dalam diri sendiri. Mahasabah kelemahan dan kekruangan yang ada dalam diri kita dan masyarakat Melayu.

Mungkin kejadian itu berlaku disebabkan perpaduan orang Melayu saat ini tidak padu. Pergaduhan kerana ingin merebut kuasa, harta dan kedudukan menyebabkan Melayu... bergaduh, bersengketa sesama sendiri. Kerenggangan kehidupan ini memudahkan musuh menyusup masuk bagi memecah belahkan perpaduan dan ukhwan orang bangsa Melayu.

Berpandukan kepada iktibar itu adalah elok kalau semua orang Melayu dan Islam insaf mengeratkan semula ikatan ukhwah sesama sendiri. Kurangkan politiking keduniaan dan mantapkan hubungan kemanusiaan. Sudah pasti kalau orang Islam dan Melayu berpadu, musuh dan mereka yang anti kepada Melayu dan Islam akan sukar untuk menyusukkan jarum kebencian dan kejelekkan mereka. [wm.kl. 8:30 pm 27/01/10]

2 comments:

ANAFAKIR said...

Langkah tegas perlu diambil.Saya bimbang yang melakukannya itu adalah pihak yang sengaja ingin melaga-lagakan kaum.Mereka sengaja sabotaj dengan perbuatan itu untuk mencetuskan kekeruhan antara kaum.Pihak berwajib perlu segera bertindak dan menangkap dan menghukum mereka yang berkenaan dengan hukuman yang berat kerana perbuatan itu boleh memudaratkan negara.Perbuatan itu amat jijik.Kesanya boleh membawa rusuhan antara kaum.Kesannya boleh merosakkan keharmonian yang terjaga puluhan tahun yang lalu.Jika tidak bertindak tegas, selepas ini akan ada lagi tindakan baling batu sembunyi tangan seperti demikian.Sekejap gereja terbakar, sekejap surau terbakar, sekejap kepala babi pulak...manusia berhati syaitan akan mengambil peluang untuk melaga-lagakan kaum di Malaysia dalam keadaan ini untuk menimbulkan syak dan curiga antara kaum..Pihak berwajib perlu ajar mereka yang sedemikian perangai cukup-cukup.Jangan berlembut...jangan lagi bercakap berlapik-lapik lagi.Tidak kira siapa pun mereka, kalau bersikap untuk mencetuskan huru hara perlu diajar.Biar mereka reti dan faham.

Saya cukup geram dan sakit hati dengan perbuatan yang boleh membawa kemusnahan yang berpanjangan akibat sikap mereka yang tidak berhati perut dan cuba bermain api perkauman ini.Kepala babi, kepala lembut dan seumpamanya itu adalah memberi kesan yang teruk kepada pihak tertentu.Boleh menimbulkan rasa syak dan was-was antara kaum.Mencegah lebih baik dari cuba mengubatinya.

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum Tuan. Salah satu tanda akhir zaman, masjid akan banyak dibina tetapi umatnya tidak mengisi masjid sebagaimana Rasulullah S.A,W dan para sahabat mengisinya. Masjid-masjid tersergam indah dengan binaan yang bersenikan ukiran yang mengkagumkan dan dihiasi pula dengan bahan binaan yang hebat dan menarik. Tak kurang pula masjid yang dilengkapi ddengan alat penghawa dingin dan pelbagai kemudahan elektronik yang terkini. Semua ini membuatkan masjid memang kelihatan gah dan hebat tapi sejauh mana gah dan hebatnya masjid ini benar-benar memperlihatkan gah dan hebatnya umat Islam di karyah masjid tersebut.

Sebenarnya, kita hanya mampu melihat zahir masjid ini sahaja yang gah dan hebat tetapi semakin hebat sesuatu masjid semakin sukar pula untuk kita beramal di dalamnya. Pelbagai ciri keselamatan dipasang lengkap dengan pasukan pengawal keselamatannya seolah-olah masjid bukan lagi tempat yang selamat dan menyelamatkan. Pelbagai kejadian yang menjolok mata dan tidak beradab dan menghina masjid banyak berlaku. Kehilangan kasut dan selipar di masjid juga tabung dan wang masjid yang dalam rantai dan peti besi jangan dikira lagi. Ia sudah menjadi lumrah dan tidak memeranjatkan bagi satu-satu karyah itu. Malah, khaluat dan perzinaan juga pernah berlaku di dalam masjid. Ini semua jelas menggambarkan kegagalan kita meletakkan masjid di tempat yang sewajarnya.

Masjid kini kilihatan tempat kita orang Islam (melayu) bertarung kekuatan kuasa. Pertarungan merabut kuasa di masjid kadang-kadang seumpama pertarungan dalam pemilihan parti politik. Lobimelobi, fitnah memfitnah, buruk memburuk dan apa sahaja tektik diguna untuk mendapat kuasa di masjid sehinggakan tak sedikit masjid yang dikuasai oleh orang-orang yang tidak hadir untuk memnimarah masjid seperti solat berjemaah.

Ekoran dari semua ini, apa yang berlaku hari ini dan beberapa peristiwa sebelumnya memang mengajar kita tentang betapa mahal sebuah masjid yang didirikan atas dasar taqwa. Ia mungkin didikan terus dari Allah agar kita mula balajar erti masjid dan meletakkan masjid ditempatnya kembali. Kalau Rasulullah dan para sahabatnya mampu memuliakan masjid yang dibina hanya dengan pelepah tamar maka sunah itu juga yang kita harus ambil untuk kita membangunkan semula dan mengimarahkan masjid. Kehebatan fisikal masjid yang sama ada dibina dari besi atau kaca dengan peruntukan yang jutaan ringgit mungkin adalah nilai kehinaan di sisi Allah kerana kegagalan kita memartabatkan masjid itu sendiri. Oleh yang demikian, letakkan masjid sebagai sebahagian dari diri kita kerana salah satu golongan yang akan mendapat perlindungan arasy di amahsyar kelak adalah mereka yang hatinya sentiasa berada pada masjid