Kalau Tanya Saya, Aziz Elok Tidak Sertai Parti
EKORAN Abdul Aziz Bari, 53 sudah 'mentalaqkan' UIAM, (entah talaq berapa) ramai orang cuba merisik pensyarah itu supaya menyertai parti politik. Barangkali bagi ahli politik adalah jalan terbaik bagi Aziz Bari mendapat ruang baru setelah jodohnya tiada lagi dengan UIAM bagi beliau meneruskan perjuangannya.
Dua orang Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub dan Mahfuz Omar mengalu-alukan sekiranya Aziz berniat untuk menyertai parti politik. Sallahuddin dan Mahfuz memberi reaksi pelawaan langsung Naib Ketua Pemuda Pas Raja Ahmad al-Hiis yang mengundangkan Aziz menyertai Pas.
Sallahuddin dan Mahfuz mengira kalau Aziz menyertai Pas ia akan menjadi nilai tambah kepada Pas. Dengan populariti yang ada kepada Aziz sebagai seorang akademis yang kritis tentu ia boleh menambahkan sokongan kepada Pas khasnya dan Pakatan Rakyat amanya.
Dalam pada itu dengan memasuki gelanggang politik Aziz akan mempunyai ruang lebih luas untuk perjuangan menegakkan keadilan atau pun memberi penjelasan dan kefahaman tentang perlembagaan negara ini yang sering menjadi persoalan dan dikelirukan. Aziz adalah pakar perlembagaan yang mampu bercakap secara jujur dan praktikal.
Sebelum Mahfuz dan Sallahuddin bersuara, khabarnya ada seorang pemimpin Pas dari Kelantan yang sudah merisik lebih awal. Malahan pemimpin berkenaan telah mencadangkan agar Aziz Bari bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu. Begitu sekali nampaknya tergila-gila dan yakin pemimpin itu kepada aura Aziz sehinggakan Aziz mahu diletak di Kota Bharu. Apakah pemimpin itu sudah bertanya kepada batang tubuh penakhta kerusi Kota Bharu, Wan Rahim Wan Abdullah?
Atau pun cadangan untuk meletakkan Aziz Bari di Kota Bharu sebagai tindakan atau strategi mahu membunuh dua ekor burung dengan sebutir batu? Cadangan itu juga saya lihat sebagai berani dan menentang arus diketika orang Pas Kelantan hendak menghalau orang luar bertanding di Kelantan pemimpin berkenaan mengemukakan cadangan untuk membawa Aziz ke Kota Bharu.
Tetapi biarlah kita terima cadangan itu sebagai pembelaan terhadap Aziz Bari setelah beliau mengambil pendirian untuk bercerai dengan UIAM. Dari sisi lain tawaran itu wajar menandakan nasib Aziz dipedulikan setelah beliau dianiayakan oleh institusi menara gading itu. Kenapa saya berkata begitu kerana sudah 22 tahun Aziz bersamanya, tidak sepatutnya berlaku anti klimek kepada seorang tokoh pendidikan sehebat Aziz.
Anwar lebih dulu ajak Aziz
Mengenai risik merisik atau pelawaan untuk Aziz ini ia bukan baru dan Pas bukan parti terawal cuba meminang Aziz. PKR sendiri khasnya Anwar sudah mengorat lebih dulu. Sebelum Aziz berdepan dengan isu 'surat tunjuk sebab dan penggantungan', Anwar sudah pun merisik Aziz dan bercakap dari hati ke hati. Saya yakin kalau Aziz berminat dengan politik beliau tidak akan menyertai Pas tetapi menyertai PKR. Pemikiran Aziz juga dalam tilikan saya lebih sesuai dengan PKR berbanding dengan Pas. Begitu juga dengan perasaan simpati Aziz lebih tinggi kepada Anwar Ibrahim berbanding dengan partinya.
Semasa Anwar dan Aziz berceramah di stadium Sultan Muhammad Ke IV Kota Bharu mengenai isu hudud, Anwar dan Aziz berkereta bersama dari Kota Bharu menerusi Terengganu ke Kuala Lumpur. Mulanya Aziz bercadang untuk menaiki kereta bersama saya. Tetapi Anwar meminta Aziz menaiki bersamanya. Mereka berada dalam kereta selama lebih dari lapan jam. Dalam tempoh itu berbagai perkara dibincangkan, dan salah satu ialah mengenai tawaran Anwar supaya Aziz menyertai politik dan bertanding atas tikit PKR.
Permintaan Anwar itu tidak dijawab. Aziz tidak memberi jawaban ya atau tidak kepada Anwar. Tetapi di masa lain Aziz ada menceritakan dia masih ada dua tahun lagi perkhidmatannya dengan UIAM. Dia harus menghabiskan tempoh itu untuk memboleh dia menerima beberapa fasalitis selepas pencen. Sekiranya dia berhenti dia kena membayar apa-apa bayaran diperlukan dan dia akan kehilangan beberapa fasalitis lain. Aziz juga ada bertanya apakah jaminan mengenai masa depannya kalau dia tidak di UIAM lagi?
Tidak pula diketahui apakah Anwar sedia untuk mengarahkan partinya memberi jaminan bagi membela dan membantu Aziz. Apa hendak diceritakan di sini, bahawa sebelum Pas merisik, Anwar sudah pun 'berkhalwat' dengan Aziz.
Hari ini Aziz sudah muktamad meninggalkkan UIAM. Apakah jaminan yang beliau kehendaki itu sudah diperolehi atau tidak? Aziz mengambil keputusan untuk tidak terus berkhidmnat dengan UIAM dengan alasan setelah dia diberi tunjuk sebab sebanyak tiga kali yang dianggap sebagai perlanggaran ke atas hak asasinya menjadikan dia sudah sukar untuk bersama UIAM lagi. Ertinya kalau benar Aziz berhenti ia bukan kerana pinangan Anwar tadi atas kesedarannya sendiri.
Iya keputusan sama ada Aziz akan berhenti dan menyertai parti politik adalah hak beliau. Pelawaan Pas dan PKR itu juga sesuatu yang baik dan peluang terbuka untuk Aziz mencipta nama kalau beliau ingin mencipta nama dalam dunia siasah. Dengan populariti yang ada Aziz boleh menang kalau dia bertanding atas parti mana sekali pun.
Namun di sini saya ada sedikit pandangan buat Aziz sekiranya dia berhajat untuk menyertai parti politik. Saya tidak fikir kalau Aziz masuk politik dia bukan seperti kebanyakan pemimpin lain yang ingin memburu kerusi dan mengejar gelaran Yang Berhormat. Saya rasa tidak begitu dengan Aziz. Kerusi atau title bukan sebabnya. Kalau Aziz masuk politik dia ingin menerokai ruang baru dan menjadikan politik sebagai medium dia melepaskan suara kritis dan kebenarannya.
Terus terang kalau tanya saya, elok Aziz tidak sertai mana-mana parti politik. Aziz perlu kekal dengan posisinya hari ini menjadi juara dalam bidang akademik. Aziz sendiri tahu beza padang politik dengan padang akademik. Bezanya seperti bumi dengan langit. Dunia politik memerlukan orang cerdik, orang berani tetapi dunia politik tidak memerlukan seorang yang praktikal, berprinsip, berwibawa dan menjadi benar sepanjang masa. Dunia politik adalah dunia orang-orang bertikam lidah, menukar prinsip dan meleburkan maruah serta sanggup menjadi chameleon. Apakah Aziz sedia untuk menjadi persis Salentia?
Aziz yang sudah diajar sekian lama dengan 'prinsipalis', 'praktikalis', 'faktalis' berkata benar walaupun pahit tidak mudah untuk mengubah diri menjadi orang politik yang penuh kerencaman itu. Maka kalau Aziz menyertai politik ia menyusah dan menyakitkan diri dan jiwanya sendiri. Saya percaya orang seperti Aziz akan menderita dalam deram politik.
Contoh sudah ada yang perlu Aziz kaji dan teliti mendalam. Apa yang berlaku ke atas Chandra Muzzafar boleh dijadikan iktibar. Sejak awal penyertaaan secara aktif Chandra dalam parti Keadilan dengan menjadi Timbalan Presiden saya sudah meragui dan bertanya apakah dia betah dan dapat menuruti lenggang lengguk politik? Saya mengagak sejujur mana dunia politik Chandra tidak dapat menemui kejujuran akademik didalamnya. Nah ternyata benar apa yang saya telahkan, akhirnya Chandra bukan saja terseksa fizikal sepanjang berjuang dalam Keadilan (politik) tetapi batinnya juga luka dan cedera. Akhirnya apa jadi, Chandra terpaksa meralat dengan membaham dan mengkritik Anwar semula.
Selain dari Chandra, Aziz juga boleh lihat kepada beberapa orang akademis lain yang dipinjamkan untuk menjadi ahli politik hingga ke peringkat menteri dan timbalan menteri. Musa Mohammad, Dr Shafei Salleh, Mahadzir Khir keduanya menjadi menteri dan timbalan menteri pendidikan, tidak dapat menuruti aluran politik. Mereka tidak dapat bermunafik berpanjang akhirnya mereka mengalu kalah.
Tegasnya adalah elok kalau Aziz berdiri seperti mana hari ini, tidak menyertai mana-mana parti politik. Kekal menjadi pengkritik dan penganalisa politik dengan kepakaran yang beliau ada. Aziz boleh ambil sikap dan berperanan seperti bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang cenderong menyokong pembangkang tetapi sokong berdasarkan fakta dan figure.
Dan sekiranya PKR atau Pas ingin memanfaat tenaganya (baik Aziz maupun Asri) selepas berjaya menumbang kerajaan nanti fikirlah jalan terbaik bagaimana caranya, tetapi bukan dengan meletakkan mereka (Aziz dan orang seperti Asri) di pentas politik. Rasa hormat dan kagum kepada Aziz akan kekal seperti hari ini kalau dia tidak menyertai parti. [wm.kl. 11:55 pm 28/12/11]
No comments:
Post a Comment