Hasrat untuk melawat penempatan bekas-bekas anggota Rejimen Ke-10 sebenarnya teridam sejak ia mula-mula diwujudkan 24 tahun lagi. Tetapi kerana masalah keselamatan dan implikasi lain maka ia tertangguh. Lima tahun lepas sewaktu dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam melewati Sado untuk ke Banar Star (Yala) saya sudah melalui penempatan itu.
Anak panah berwarna merah menujukan ke Kg Chulabhorn. |
Saya masih ingat lagi tutur kawan itu; "di sini para komunis Islam ditempatkan," sambil membuka cermin kereta dan memaklumkan kepada saya. Saya hanya terngedap-ngedap menerusi cermin belakang dalam kegelapan malam penuh tanda tanya dan rasa ingin tahu.
Kedudukan perkampungan itu dari jalan itu ialah kira-kira 2.5 km sahaja. Saya ketika itu mendesak rakan itu agar singgah sekejap tetapi beliau yang merupakan anak tempatan (Yala) kurang berani dan bimbang ada risiko. "Lain kali, waktu malam tidak berapa molek," dalihnya. Saya faham.
Lokasi kawasan penempatan itu yang juga dikenali dengan Perkampungan Perdamaian, memang tersorot ke dalam pedalaman. Ia terpisah dan terasing. Persis sebuah perkampungan rakyat Islam di Palestin yang dikurung oleh rejim Israel. Lokasi ini juga saya mengira adalah strategi pihak pemerintah khasnya Thailand; yang sengaja mahu mengasingkan mereka dari masyarakat luar. Dalam erti kata lain penempatan di lokasi terasing itu menunjukkan pihak kerajaan Thailand juga ada kebimbangan. Justeru mereka harus 'dipenjara' secara terbuka.
Hatta (duduk) penghuni pertama yang menyapa kami. |
Jadi setelah dicari dan tiada kawasan atau tanah kerajaan yang strategik (dari kehidupan) maka, kawasan yang ada kini dipilih. Pemilihan kawasan itu dari segi geografinya saya lihat ia berkaitan dengan dan emosi dan sentimental value anggota Rejimen itu sendiri kerana berdekatan dengan kem mereka yang diduduki selama lima atau enam tahun sebelum perdamaian. (Cerita lawatan ke kem dalam catatan lain).
Meskipun jauh terperosok di pedalaman tetapi perjalanan ke perkampungan Chulabhron Pattana 12 tidaklah sesulit mana. Mungkin peringkat awal agak sulit dan menyusahkan kerana perhubungan (jalan daratnya) yang teruk. Peredaran masa mengubahkan sama keadaan di persekitarannya. Saya masih ingat sewaktu melalui daerah itu lima tahun lepas jalan masih berlubang-lubang dan aspal yang tidak begitu elok. Sesetengah jalan, tentunya jalan masuk ke perkampungan perdamaian bertanah merah tanpa diturap tar meskipun 'tamada'.
Kini jalan masuk sudah elok. Walaupun agak sempit dan tar yang tidak bermutu tetapi ia sudah cukup lumayan bagi laluan di luar untuk ke pekan dan bandar di Narathiwat. Perjalanan saya berempat hari itu dengan Marcedes dari Pekan Golok menerusi Weang. Dari Weang membeluk ke arah pekan Shukhrin. Jalan dari Golok ke Weang, lebih cantik dari jalan di kawasan-kawasan Felda di Malaysia atau jalan hendak masuk ke kampung saya di Rantau Panjang.
Untuk memasuki ke Weang kemudian menunju ke Shukhrin boleh juga dari laluan masuk di sempadan Jeli - Bukit Tar. Atau pun dari laluan Pengkalan Hulu atau Baling - Betong di sempadan Perak Kedah. Boleh juga dari Bukit Kayu Hitam - Sado. Tetapi perjalanan ke Shukhrin lebih mudah dari Golok kerana chek point itu berdekatan dengan kampung saya di Gual Nibong, Rantau Panjang. Mengepenlah sikit...
Meskipun jalan cantik tetapi bagi mereka yang mudah kemabukan darat, menghadapi masalah. Kerana jalan menuju ke Chulabhorn Pattana 12 berlekok-lekok, kena 'merukah' dan menuruni bukit. Sepanjang jalan sunyi sepi kerana tiada perkampungan lain. Hanya sesekali akan berselisih dengan kereta (kabat) atau motosikal penoreh getah. Mereka yang meminati pemandangan alam semula jadi akan dapat menyaksikan hutan di kiri dan kanan jalan dan akan merasa seronok untuk pertama kali melaluinya.
Mizium Rejemin Ke-10. |
Dalam pada itu apa juga perlu diketahui di sepaanjang jalan atau di mana-mana jalan saja di daerah Narathiwat dan amnya di Pattani diadakan sekatan jalan raya. Selang dua atau tiga kilometer terdapat sekatan jalan raya. Setengahnya ada polis yang mengawal, setengahnya kosong. Kewujudan banyak sekatan ini mengencatkan sedikit perjalanan. Adalah disarankan semua mereka yang ingin mengadakan perjalanan (ekspidisi) perlu dilengkapkan dengan dokumen baik diri atau pun kenderaan. Walaupun lebih 25 sekatan yang kami tempohi tetapi satu pun tidak diperiksa.
Pertama kali untuk sampai ke Chulabhron Pattana 12 agak sulit kepada mereka yang tidak tahu membaca tulisan Siam akan tersasar. Semua papa tanda dan petunjuk ditulis dengan tulisan Siam yang berlekar-lekar macam cancing kepanasan itu. Kami juga tersasar beberapa kali gara-gara buta huruf tentang tulis Siam. Apa yang dapat dicamkan ialah satu petunjuk berbentuk anak panah berwarna merah di pasang di simpang jalan besar untuk masuk ke perkampungan perdamaian itu. Petunjuk warna merah ini khas untuk mengarah kita ke kampung itu.
Sebaik memasuki ke perkampungan ia tidak banyak mengusik perasaan saya. Tidak begitu anih tetapi pemandangan sebagai sebuah perkampungan asing jelas. Begitu melihat Chulabhorn Pattana 12 saya teringat hari pertama saya memasuki ke Sungai Penchala, Selangor di perkampungan Darul Arqam ketika mahu membuat tinjauan di situ untuk akhbar Mingguan Islam sekitar tahun 1986.
Bersendirian dan terpisah. Teratur dan sunyi. Kedudukan rumah yang berbaris dengan jalan selebar 15 kaki membela kedudukan rumah ia menunjukkan sebuah perkampungan yang dirancang atau ada pelan. Terdapat 140 buah rumah di dalam kawasan seluas (anggaran saya) kira-kira 500 ekar yang dibahagikan kepada dua kedudukan, di lembah dan sebahagian atas bukit. Kedudukan lembah di keliling bukau bukau. Di sebelah Utara terdapat sungai yang memisahkan dengan sebahagian lagi bukit bukau.
Sungai ini adalah sumber air utama untuk mandi manda dan membasuh pakaian. Manakala sumber air bersih untuk memasak dan minum ditakung dari air bukit yang kaya dengan mineral. Sebuah tangki besar disediakan untuk tadahan air yang dipasang paip jari ke rumah. Airnya jernih dan sejuk.
Di lembah antara bukit itulah dijadikan kawasan penempatan. Ia agak strategik untuk perumahan. Di tengahnya terdapat lima bangunan komuniti; masjid, sebuah dewan dan sebuah rumah rehat atau rumah transit. Sebuah bangunan lagi ialah terletak di sebelah kiri jalan besar, iaini muzium. Di muzium ini dimuatkan peninggalan bahan-bahan sejarah dan peralatan perang dan teknologi ciptaan Rejemin Ke-10 yang digunakan lebih 40 tahun dulu.
Di tengah-tengah ditinggal kosong seluas separuh padang bola untuk taman permainan. Bersebelahan masjid terdapat sebuah bangunan kayu sangat sedarhana dijadikan sekolah.
Populasi perkampungan itu hari ini sekitar 500 jiwa besar kecil, tua dan muda. Melihat kepada rumah kediaman itu yang sesetengahnya tidak berperabut atau bilik, menjelaskan akan warna kehidupan mereka sebenarnya. Ia adalah sangat naif jika dibanding dengan kawasan kediaman kita. Namun jika dibandingkan dengan cara atau penempatan mereka sebelum ini yang 'bernegarakan' hutan rimba ia dikira sudah cukup lumayan. Realitinya susana kehidupan mereka kini jauh lebih mewah dan merdeka semasa berkelana di dalam hutan rimba sewaktu berjuang menghalau penjajah.
Bersambung... [wm.kl.12:13 pm 09/07/13]
1 comment:
'..........berkelana di dalam hutan rimba sewaktu berjuang menghalau penjajah'.
Saya suka dengan ayat penutup ini. Ianya memberi seribu satu makna yang membawa seribu satu bicara.
-sejarah selalunya ditulis oleh pihak yang menang. kan?-
Post a Comment