Berbaris untuk menerima sumbangan duit raya. |
Boleh dikatakan ia tidak ada dalam perancangan. Walaupun sudah ada hasrat untuk berbuat demikian selepas buat pertama kali saya menjejaki ke perkampungan ini awal Julai lalu, tetapi tidak menduga ianya termakabul pada Ramadhan ini juga. Semua adalah kehendak Allah s.w.t. dan berkat doa orang-orang di sana telah menarik kami untuk berRamadhan di kawasan mereka.
Semuanya bermula apabila SAM RP, sebuah grup sosial (Facebook) terdiri dari anak-anak Rantau Panjang telah menguar-uarkan di dalam FB akan tujuan mereka. Kebetulan saya juga belum memilih mana-mana destinasi untuk dijadikan lokasi ziarah tahun ini, terpanggil untuk bersama SAM RP yang dipimpin oleh sdr Rushdan Mustafa seorang aktivis sosial tidak asing lagi di Rantau Panjang khasnya.
Menanti saat berbuka. |
Tebung bungkus, akok kueh yang kami bawa. |
Penuh sesak. |
Berdoa selepas solat Maghrib. |
Kanak-kanak di mana juga mereka ada dunia sendiri. |
Apabila diberikan sebungkus seorang buat tamar kepada setiap yang hadir, ada yang memeluk erat sambil bersunggut "ini makanan orang berada". Maksudnya buah tamar segar yang diberikan itu bagi mereka sesuatu yang baru dan dianggap bernilai mahal.
'Jong dapur' yang cekap dan sepakat. |
Satu keluarga yang hadir. |
Pemandangan sebahagian dari yang hadir. |
Hadiah telekong sembahyang. |
Apa juga yang membuatkan saya terharu apabila dikhabarkan beberapa warga emas yang tidak sabar-sabar menanti kedatangan rombongan kami. Katanya sejak Zohor lagi sudah ada yang menanti kami dan bertanya sesama sendiri jam berapa kami akan sampai. Kami sudah memaklumkan akan tiba jam 6:00 petang tetapi sejak selepas Zohor lagi sudah tidak sabar menunggu kami. Pak Hatta salah seorangnya yan tidak dapat menyembunyikan kerinduan, sebaik saya sampai terus diterpa dan dipeluknya saya dengan linangan air mata.
Semua itu memberi gambaran betapa mereka merindui orang luar, merindu sanak saudara mereka. Kerana rata-rata mereka masih mempunyai saudara mara atau 'warith warah' yang kesekian lama tidak bersua muka sejak mereka melangkah ke dalam hutan, memilih jalan kiri berduri. Jadi kedatangan kami ditelempiaskan untuk menumpahkan kerinduan mereka yang sudah berladum itu.
Tentatif atau perjalanan program ziarah itu rengkas saja dan berlangsung dalam tertib yang tinggi sesuai mereka adalah bekas anggota sebuah pasukan pejuang yang cukup terlatih dan berdisiplin. Sebelum berbuka diserahkan sumbangan kepada beberapa orang; penghulu, imam dan wakil kaum wanita sebagai simbolik untuk dibahagi-bahagikan. Antara barangan peralatan sembahyang yang disampikan ialah sebutir kopiah dan sehelai kain palikat untuk lelaki dan telekung sembahyang untuk perempuan. Manakala bagi golongan wanita muda diberikan kain tudung.
Selepas berbuka, kami menunaikan solat Maghrib kemudian baru menjamu selera. Saat menjamu selera inilah hati dan perasaan tersentuh apabila sesetengah yang tidak mengenal kueh akok dan tepung bukus bertanya sesama sendiri. Terdengar yang berkata; kawan sudah tak merasa kueh ini sudah hampir 80 tahun...sedap ni...
Selesai makan sama-sama mendirikan solat Isyak dan berterawih. Menjelang tengah malam diadakan Qiamulail serta perkisahan perjuangan pasukan Rejimen Ke-10 selama 42 tahun berada di dalam hutan secara santai. Cerita-cerita sukaduka semasa dalam tempoh perjuangan inilah menjadi pengalaman atau ole-ole paling mahal buat kami serombongan. Paling penting dan berharga ialah mengetahui sendiri kenapa dan mengapakah mereka memilih jalan penuh berduri untuk memperjuangkan sebuah kemerdekaan dan bukan jalan lurus dan licin seperti bangsawan lain?
Misi ziarah Ramadhan kali ini bukan saja menghidupkan syiar Ramadhan tetapi lebih bererti dari itu, menghidupkan tali siltarurahim di antara mereka dengan dunia luar yang terputus sejak lama. Sesungguhnya antara penduduk kampung itu dengan dunia luar saling rindu merindui, kenang mengenani kalau masing-masing memahami apa itu hidup dan apa itu perjuangan kasih sayang sesama bangsa dan agama akan bertaut padu.
Saya merakam terima kasih banyak kepada para penyumbang dalam menjayakan misi ini. Walaupun tidak ramai tetapi cukup untuk menggerakkan misi ini. Kepada yang ada menghantarkan SMS kononya hendak menyumbang tetapi tidak sempat melaksanakan hajat, mungkin dilain kali. Begitu juga kepada yang berjanji kosong, usahlah berjanji kerana setiap janji itu akan dinanti-nanti, tidak baik memberi harapan tetapi tidak bercadang untuk menunaikannya. Pinggirkan tektik politik dalam urusan berkebajikan seperti ini.
Kepada penjengok blog Merah Tinta dan juga rakan Facebook saya terima kasih daun keladi. Tidak lupa rakaman khas saya tujukan kepada anggota rombongan, sdr Rushdan Mustafa, Dr Wan Suhaimi Wan Daud, Zulkefli suami isteri, sdr Wan Hamdan Wan Ahmad dan sdri Siti Suria. Tidak ketinggalan dua adik al hafiz yang dibawa khas untuk menjadi iman terawih Tengku dan Abang Long.
Juga terima kasih banyak kepada seluruh warga juang Ban Chulabhoran Pattana 12 yang sudi menerima kami, merai kami dan berkongsi cerita dan pengalaman hidup dan perjuangan. Bukan sekadar itu dibekalkan dengan buah tangan berupa hasil tanaman mereka, salak, pisang dan petai. Didoakan semoga kita semua dirahmati Allah sepanjang hidup. Yang tahu menghayati perjuangan tulen saja dapat membaca erti merahnya darah. [wm.kl.10:59 am 28/07/13]
2 comments:
Salam ramadhan tuan,
Mungkin ada penyumbang yg terus bank in sumbangan setelah mengetahui no akaun bank tanpa memberitahu tuan...semoga usaha tuan diteruskan di tahun2 hadapan dan diberi ganjaran sewajarnya di sisi Allah swt...
No akaun saya tak bagi kecuali diminta. Mungkin ada yang masuki ke akaun lain?
Post a Comment