Wednesday, December 11, 2013

Temboro kampung yang perlu dimalui (Bhg 1)

CATATAN MUSAFIR                                                                             

Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang Adi Soemarmo di Solo ke kampung destinasi Temboro mukim Magaten Jawa Timur saya cuba membayangkan keadaan kampung berkenaan. Biasalah apabila kita hendak memasuki ke sesebuah kawasan atau lokasi baru, kita akan membayang dan membanding-banding dengan kampung lain yang pernah dilalui dan dimasuki. Kata orang menyuluh dengan mata hati sebelum melihat dengan mata zahir.

Apa lagi nama Temboro itulah pertama kali baru didengari, dan baru mengejap diminda saya apabila diberitahu oleh Drs Zainuddin Awg Hamat mantan Adun Limbongan Pasir Puteh. Pada mula beliau menyatakan hasrat dan mengajak saya menziarahi kampung itu, saya tidak peduli dan mengambil tahu mengenainya.

Apa yang saya fikir ia adalah perkampungan pasentren yang sama dengan tempat-tempat lain. Sudah banyak juga pasentren yang saya lawati di serata Indonesia dimana suasana dan keadaan tradisi dan budaya sama saja.


Jikalau pun ada perbezaan ialah kaedah beramal atau bacaan-bacaan zikir dan doanya. Perbezaan ini kerana berbeza jalan atau tariqat yang diambil. Bagaimana pun ada juga pasenteran yang tidak mengajar atau mengenakan muridnya dengan apa-apa tariqat.

Sebelum menjejaki ke mobil Ustaz Ariff yang menjadi 'mutawif' kami, kemudian menjadi rakan baru, naluri saya sudah menjangka yang kampung Temboro nun berada jauh di pedalaman. Saya mengira perjalanan akan memakan masa sekitar enam jam lebih. Tetapi Alhamdulilah perjalanan tidak sepanjang itu, hanya sekitar empat atau lima jam saja.

Sebelum ini saya sudah memasuki ke beberapa pedalaman di Jawa, termausk di barat dan di timur. Pada tahun 80-an saya pernah mengembara dan berkelana bersendirian ke hampir seluruh pelusuk pulau Jawa. Bermula dari Jakarta, menerusi Bogor, Sukabumi, Tasik Malaya, Yogjakarta, Klaten, Surakarta (Solo) Surabaya. Dari Surabaya kemudian berpatah balik menerusi Tuban, Pakalongan, Malang, Brebes, Cerebon, Bandung, Pubakarta dan sampai Jakarta.

Perjalanan ribuan kilometer itu memberi banyak pengalaman dan buah fikir buat saya.
Ia sesuatu menyeronokan. Dengan menggalas sebuah beg pakaian sehelai dua dan sebuah kamera SLR, saya naik dan turun bas atau kereta api menuju ke destinasi. Ada juga terpaksa menumpang kenderaan untuk sampai ke sesuatu destinais tanpa berbanyar.

Masa tidur banyak di atas bas, manakala penginapan ialah di rumah Allah. Di situ menumpang tidur, mandi dan makan juga. Rasanya kenangan dan pengalaman itu tidak boleh dibayar dengan berapa wang sekali pun. Dalam perjalanan bertemu dengan berbagai kerenah dan peristiwa ganjil yang hanya mungkin hadir dalam mimpi di kala tidur.

Demikian juga semasa berlaku gempa bumi di Yogjakarta tahun 2006 saya memasuki ke beberapa daerah pedalaman yang terlibat dengan bencana alam itu terutamanya di daerah Bantul dan Klanten dua kawasan yang parah ditimpa gempa. Dalam kunjungan itu sempat juga menjenguk kaki gunung Merapih yang dikala itu sedang hangat mendidih untuk memuntahkan larva.

Betapa kampung-kamnpung di Bantul dan Klanten rosak bahkan ada yang hancur. Alhamdulilah hari ini kampung itu sudah pulih kembali. Kawasan dulu yang rumah atau bangunannya hancur kini sudah bangun rumah baru yang lebih gagah. Itu dikatakan orang Jawa tidak pernah gerun dan mengaku kalah dengan takdir. Gempa, banjir dan segala macam pencoroba adalah mainan hidup mereka.

Dengan pengalaman itu sedikit sebanyak saya sudah dapat merasakan akan suasana dan persekitaran kampung di Jawa. Ia pasti tidak banyak berubah sebab pulau Jawa adalah antara bumi tertua di sebelah Asia ini yang masih utuh menjadi khazanah alam yang mengkagumkan.

Justeru mengenai jalannya yang berliku-liku, menuruti lenggang lengguk sungai dan lereng gunung adalah perkara biasa. Saya sudah hafal dan merasai akan cemas dan 'rohok' melalui aspal gunungan binaan penjajah Belanda itu.

Mungkin kerana alah bisa kerana biasa. Walaupun kebanyakan jalan utama menghubungkan kota di Jawa Timur dan sebahagian Jawa Barat masih jalan biasa, tetapi kecelakaan yang berlaku agak kurang. Ada sefahaman dan kemahiran di antara penggunaan jalan raya di sana. Kenderaan besar akan menghormati kenderaan lebih kecil dan seterusnya. Satu yang berubah saya lihat ialah sikap suka membunyikan hon yang menjadi-jadi di tahun 70-an dan 80-an dahulu sudah tiada lagi. Jalan raya di Indonesia tidak riuh dengan segala macam bunyi hon yang anih-anih lagi.

Sebaik keluar dari daerah Surakarta (Solo) perjalanan kami mulai berbelit-belit dan kenderaan beringuk-ingguk. Van Daihatsu warna putih yang berkuasa 1.6 kuasa kuda bagaikan kuda berinjen. Setiap kali melengakri menurui curam terasa juga hulu hati macam berembang. Tetapi kecekapan Ustaz Ariff mengenderainya, menyebabkan saya konfiden perjalanan kami sore itu akan sampai ke destinasi dengan selamat.

"Jangan lupa kalau ada rumah makan, (restoran) berhenti... saya mahu makan. Saya masih berdendam dengan Indonesia," saya memberi isyarat dan mula mengarah. Ariff yang baru mengenali saya mulanya kurang faham, kemudian beberapa jam dia dapat mengadaptasikan budayanya dengan budaya saya, suka bergurau. Pertautan perasaan ini menjadikan kami akrab dalam masa pendek saja.

Berdendam dengan Indonesia, kenapa. Tentu ada yang tidak mengerti. Saya akan cerita pada kesempatan lain kenapa saya berdendam dengan Indonesia ini.

"Jangan lupa Utsaz, Pak MSO tidak boleh perut kosong," tukang Drs Zainuddin berada di hadapan bersama Arif menyetujui cadangan saya. Soalnya nasi lemak atas pesawat tadi tidak memantapkan perut, tidak berbaloi dengan harganya RM12 sebungkus tanpa air mineral. Cucu saudara Zainuddin Khuzamian yang ikut sama, hanya diam membisu dan mungkin masih terperagah dengan bumi dan hutan Indonesia.

"Jangan di sini, kita makan di puncak saja," kata Arif tanpa memberi perhatian untuk melihat mana-mana rumah makan yang ada di kiri dan kanan jalan. "Di sini bahaya..," tukasnya lagi. Saya tertanya-tanya kenapa. "Kan kawasan ini ada berbagai anutan dan fahaman agama, ada ahli sunah wal jemaah dan ada juga salafi...," cerita Arif tanpa saya memahami maksudnya.

"Apa kena mengena dengan fahaman itu, kita mahu makan..." kata saya buat bodoh.
"Jangan Inchek.. di sini ada haram dan halal," katanya. Saya tetap buat tidak faham. Setahu saya di Solo terkenal dengan kambing masak toseng. Iya toseng yang menjadi buruan bila setiap kali saya menjejak kaki ke Solo.

Arif tifak menjelaskan persoalan saya. Dia terus sahaja memandu dengan mencandangkan agar kami makan di atas puncak. "Di sana enak dan udaranya dingin", jaminya. Lantas saya membayangkan apa yang ada di puncak antara Bogor ke Bandung. Di sana ada sebuah restoran yang cukup istimewa, masakan, rasa dan juga lokasinya. Ia terletak di pinggir jalan. Dari atasnya dapat melihat panorama alimi, sungai yang melengkar bagaikan ular besar. Seni binaan restoran itu juga sudah cukup menjadikan kita rasa puas.

Saya pernah singgah bersama isteri dan anak-anak semasa mengujungi Jakarta dan Bandung awal tahun ini. Kesedapan masakan restoran warisan asli Jawa-Sudal masih terlekat dilidah hingga ke hari ini. Dan saya fikir restoran semacam itulah yang ada di puncak di pertengahan jalan menuju ke Temboro yang disebut Arif itu. Bersambung. [wm.kl.7:36 am 11/12/13]

2 comments:

Unknown said...

Aslm. Satu pengkisahan yg baik, seronok dan cukup dgn suspen. Seharusnya, pengelaman perjalanan ini dibukukan dan dijadikan butiran bermaksa dlm membina sahsiah dan jatidiri kita. Tidak salah rasanya kalau diambil butiran yg boleh dijadikan teladan demi kebaiakan

Unknown said...

Assalamualaikum bapa sayuti..saya ternanti nanti sambungan pengembaraan tn ke pasantren Tumboro..sebabnya saya sudah sampai di sana pada bula mac 2012..manusianya di sana hebat hebat pak..Anugerah Allah d atas keinginan kuat kepada usaha agama..perlunya jemaah Tabligh Malaysia mengambil kelangsungan kerja buat jemaah tabligh d tumboro ini..sepekara lagi sahabat saya yg ingin berkahwin dgn perawan d tumboro di minta bermuqim dulu ..lamanya lebih kurang 3 tahun lebih..aduhhh..susunan gerak kerja tarbiyyahnya hebat pak..dari anak kecil hingga ke peria peria..rasanya pusat tahfiznya lebih indah dari Guntor..ya pak..bagi saya yg hebatnya semua ahli jemaahnya di bekali ilmu dunia dan akhirat yg lengkap..Salam pak MSO..Dari ana pak malau kg selamat