JALA SIMPATI
Sudah hampir 35 jam kehilangan dari radar pesawat B777-200 yang membawa 239 penumpang masih belum terjawab. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengesan dan mencari pesawat MH 370 berkenaan sedang bertungkus lumus untuk mendapat cerita di sebaliknya. Sudah pasti juga kepala para pemerintah diserabuti dengan pelbagai persoalan sebaik saja ia dimaklumkan secara rasmi. Mereka juga sudah pasti tidak nyenyak tidur kerana tragedi itu terpikul di atas pundak mereka.
Semua orang yang waras melahirkan rasa terkejut, simpati dengan kejadian. Ada yang menjadi 'angau' sendiri membuat berbagai spekulasi dan mengemukakan berbagai teori, mengira apa sebenarnya yang berlaku. Apakah kerana kerosakan teknikal atau pun ada elemen keganasan.
Pokoknya tragedi kedua yang menimpa pesawat syarikat penerbangan nasional negara (MAS) itu membingungkan. Kejadian seperti itu boleh dikatakan jarang sekali berlaku. Sesuatu kejadian (aircrash) tidak lama untuk diketahui lokasi dan tempat kejadiannya.
Kali pertama MAS menghadapi tragedi pesawatnya terhempas ialah pada 4 Disember 1977 di Tanjung Kupang Johor yang menyebabkan 100 orang penumpang terbunuh. Ia termasuk seorang menteri, Menteri Pertanian Ali Haji Ahmad.
Dalam kita menanti penuh debaran kepada pengakhiran apa sebenar terjadi dengan pesawat ini, kita hendaklah bersabar dan bertakwa kepada Allah. Serahkan sepenuhnya keyakinan kepada pihak berkuasa untuk membuat penyiasatan. Sama-sama kita tunggu pengumuman dan perkembangannya yang dibuat dari masa ke sama.
Media sosial mungkin membantu memberi maklumat segera kepada kita. Tetapi jangan mudah percaya kerana di sebalik kesegeraan dan kepantasan maklumat itu banyak keciciran fakta dan tidak benarnya. Apa lagi kalau 'hantu-hantu gila' menjadi lebih aktif tangannya menaik di keyboard membuat lawak-lawak dan menyusupkan berita tidak benar. Kita sedia maklum keterujaan orang kita dengan media sosial ini yang membolehkan mereka jadi iseng dan tergamak memasukan apa sahaja termasuk kemaluan diri sendiri.
Titik komanya, semua kena reda dan pasrah dengan kejadian itu. Itulah kata-kata dan saranan terbaik pada masa ini. Reda atas kejadian itu dan kena terima tragedi itu adalah atas kehendak Allah s.w.t. yang ada hikmahnya. Hikmah boleh disunting dari berbagai sudut atau 'jerun'.
Kejadian itu adalah tragedi malang ke atas negara yang perlu ditanggung oleh semua orang. Ia sangat memerlukan simpati dan sokongan semua orang. Kita rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa harus menabur simpati selebat mungkin. Jangan mengira siapa dia terlibat, bangsa apa, negara mana atau orang negeri mana, tetapi terimalah mereka sebagai insan yang malang yang harusi diiktibari. Terima juga tragedi adalah bala yang diturunkan Allah untuk dijadikan iktibar sepanjang masa.
"Tidak bergerak sesuatu itu kalau bukan atas kehendak Allah."
Justeru kita perlu bersikap tasamuh, prihatin dan penuh diplomasi. Jangan emosi dengan apa yang berlaku jauh sekali mempersenda-sendakan mana-mana pihak. Kita semua kena bertanggungjawab. Dan cubalah meletakkan diri kita bersama di dalam pesawat yang malang itu?
Saya merasa sedih dan geram dengan individu tertentu yang tidak ada peri kemanusiaan dengan menulis yang bukan-bukan dalam facebook, memperolok-olokkan kejadian itu. Mereka seolah tidak mempunyai hati yang tersudut rasa simpati dan sedih. Misalnya salah seorang pemegang akaun facebook, cuba mengambil kesempatan atas kejadian itu untuk memburukkan seseorang dan menghina negeri kelahirannya. Sekuat mana dia mempunyai semangat kenegerian tetapi tidak akan sampai gila untuk membunuh diri sendiri. Bagi saya mereka yang tergamak menghina begitu adalah mereka yang dalam proses untuk berjumpa dengan psikiatri.
Masa kelukaan dan kesebakan ini, marilah berkabung, dan bergabung serta mengongsikan kesediaan. Jangan ada elemen-elemen politik dalam setiap status atau pun perbicaraan kita mengenai kemalangan itu. Rahmat disebalik sesuatu kecelakaan dan kesedihan adalah celah dan ruang terbaik untuk kita menenangkan keadaan dan menjernih sengketa jiwa. Masa susahlah untuk kita bersatu dan menyedari mahalnya sebuah perasaan simpati dan doa.
Janganlah kita menjadi bahlul dan tolol dengan keadaan yang ada. Kita cubalah mengislahkan diri dan perwatakan kita yang selama ini senantiasa curiga kepada pihak-pihak tertentu. Terimalah kejadian menimpa MH370 itu sebagai masalah kita dan musbiah bersama, sebagai bala yang ditujukan Allah kepada kita, dengan meletakan rasa ia adalah bagi menginsafkan kita.
Bukan sahaja kita sebagai rakyat dan sengketa kerana fahaman dan idelogi politik, sebaliknya mereka yang diberi tanggungjawab menguruskan syarikat penerbangan nasional itu. Apa-apa pun ternyata tragedi yang menimpa MAS itu yang mungkin merangkut 239 penumpang adalah lebih besar dan tertekan daripada kerugian yang dialami oleh syarikat itu sejak ke belakangan ini, buat waktu ini.
[wm.kl.10:10 am 09/03/14]
No comments:
Post a Comment