Thursday, April 30, 2015

Api reformasi tidak akan padam...

CATATAN MALAM                                                                       

Jasad tuan di dalam penjara, 
Jiwa tuan di hati hamba;
Api reformasi terus menyala,
Tidakkan padam sebelum berjaya.

Nashita isteri reformis yang dipenjara terima sumbangan.
Itulah serangkap pantun dedekasi saya kepada Anwar Ibrahim yang dicatatkan dalam buku besar saya berjudul Sumpah dan Air Mata Reformis Bangsa yang diterbitkan Oktober 1998 kira-kira 17 tahun lampau.

Ternyata pantun saya itu hidup dan masih relevan. Walaupun tuan reformis itu kini disimpan untuk kali ketiga dalam penjara selama lima tahun lagi, tetapi semangat perjuangannya masih merah menyala.


Pemenjaraan itu tidak melunturkan semangat para pejuang refomasi yang dibenihinya. Tindakan kejam ke atas ketua pembangkang bermotifkan politik itu disambut dengan luatan kemarahan kepada sang konspirator bejatan pemerintah. Anwar tetap menjadi idola dan ikon perjuangan mereka.

Saifu Izham menyampai pesan dari penjara.
Api reformasi yang membakar kezaliman dan menuntut kebenaran dan keadilan demi rakyat negara masih berhembus. Malahan ia berpotensi untuk merebak lebih luas membakar segala kedurjanaan terhadap bangsa bagaikan api memamah dedaun dan ilalang kering.

Shamsul Iskandar bersalaman dengan para reformis.  
Pencapaian dan kejayaan parti politik yang didokong reformasi (Pakatan Rakyat) dalam dua pilihan raya umum 2008 dan 2013 menafikan majoriti dua pertiga di parlimen yang lebih setegah abad dikuasai UBN membuktikan kekuatan refomasi.

Kuasa refomasi tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Baik PKR, DAP maupun Pas tidak boleh mendabik dada kemenangan yang dinikmati itu adalah cetusan daripada refomasi. Justeru mana-mana parti memandang remeh kepada reformis mereka akan kecundang dan kalah.

Keulitan dan keutuhan semangat reformis tidak boleh disangkalkan. Sebab itu walaupun sesetengah rakan mereka sudah kembali menghadapi Ilahi (al Fatihah) dan ada yang telah berpatah balik kerana tidak tahan dengan cabaran dan ujian, serta teringinkan "pisang lemak manis" dan "sen dan ringgit", namun tindakan itu tidak mematahkan semangat juang refomis tulen. Pengkhianat rakan-rakan tidak pernah melelahkan mereka.

Nurul Izzah baru tiba.
Mereka sedikit pun tidak merasa kecewa atau berhiba dengan kehilangan rakan, sebaliknya ia menjadi penyuntik semangat. Para refomis sebenar sangat memahami akan sunah perjuangan. Jika takut dilambung ombak mereka tidak akan berumah di tepi pantai.

Sebahagian otai reformasi yang hadir.
Demikian juga para refomis tulen tidak pernah berasa gentar dan takut kepada ugutan, paluan cota FRU, semburan water cannon ataupun jeriji besi. Gari mereka jadikan gelang emas untuk bermegah menandakan mereka adalah refomis yang berani mati. Manakala penjara suatu tempat yang tidak pernah menggeletarkan jiwa mereka.

Malam tadi bertempat di restoran Pak Amjal kira-kira 100 meter di hadapan pintu utama kampus Universiti Malaya, Lembah Pantai berlangsung himpunan perjumpaan para pejuang refomasi 1998 lalu yang dikenali dengan nama Otai Reformasi 1998. Hampir 200 orang para reformis hadir.

Perjumpaan selama lebih lima jam itu disaji dengan makan malam ringkas. Apa yang lebih bermakna mereka hadir dan berjumpa bukan untuk makan, tetapi untuk bertemu mata bertanya khabar dan memperbaharui semangat.

Pertemuan malam tadi adalah sebagai pemanas badan (warm-up) untuk bergerak ke jalan raya menolak GST esok, pada 1 Mei.

Otai-otai yang gigih dan senantiasa berada di barisan hadapan setiap kali demonstrasi diadakan di sepanjang 17 tahun lampau, hadir. Antara mereka yang sempat disapa mata saya ialah Syed Husin Ali, Saari Sungip dan isterinya, Annuar Tahir, Tian Chua, Saiful Izham Ramli, Ronne Leiu, Khalid Samad, Shamsul Iskandar Md Akin, Ng Suee Lim, Hishamuddin Rais dan lain-lain. Puteri Reformasi Nurul Izzah juga hadir walaupun lewat.

Saari menyampaikan ucapan sepatah dua.
Ronnie Liu dan Suee Lam.
Pertemuan malam tadi juga memberi erti tersendiri kepada Nashita Md Noor isteri kepada salah seorang reformis yang kini direngkukkan dalam penjara kerana berdemon membantah rampasan kerajaan Pakatan Rakyat oleh UBN tahun 2008 lampau. Sebagai menandakan solidariti punggutan derma kilat dilalukan untuk meringankan beban Mashitan yang terpaksa bekerja sendiri untuk menanggung anak sepanjang suami merikuk dalam penjara.   Sumbangan itu walaupun jauh daripada mampu mengatasi kesusahannya tetapi ia menunjukkan itu hati dan jiwa maufakat reformis rakyat.

Jelas sekali kesediaan para reformis untuk hadir malam tadi menunjukkan semangat mereka tidak pernah luntur dan tidak ada halangan yang mampu merintangi mereka. Mereka akan berjuang dan berjuang sehingga berjaya.

Kehebatan ini ialah kerana mereka ikhlas dalam perjuangan. Mereka tidak pernah mengharap apa-apa jawatan dan kedudukan. Bahkan kehadiran mereka setiap kali ada perarakan dan demonstrasi adalah atas kehendak dan biaya sendiri.

Itulah hakikat menyebabkan kenapa pihak berkuasa hairan dengan keunggulan semangat mereka. Sudah habis ikhtiar dilakukan oleh sang pemerintah untuk memadamkan api reformasi dan menyekang mereka tetapi tidak berjaya.

Pesan dan amanat Anwar reformasi perlu diteruskan. Ia  bergerak bukan sahaja setakat menubuhkan parti politik dan menang dibeberapa buah negeri, tetapi matlamat utama reformasi ialah mengubah landskap politik dan memerdekakan rakyat daripada kezaliman dan ketidakadilan.  GST adalah satu bentuk kezaliman.

Berpegang dan berpaksi kepada intipati itulah maka para refomasi khasnya Otai Reformasi tidak pernah mengendur langkahnya walaupun dalam keadaan bagaimana sekali pun.  Berjuang terus berjuang, lawan tetap lawan, lawan hingga menang. Horas. [wm.kl.8:53 am 30/04/15]


No comments: