Wednesday, April 8, 2015

Calon PRK Permatang Pauh seloknya bukan Nurul Nuha

PANDANGAN                                                                                                         

Nurul Nuha Anwar
Akhirnya pilihan raya kecil untuk kerusi parlimen Permatang Pauh terpaksa diadakan juga. Walaupun ada usaha untuk mengelakkan pilihan raya diadakan dengan memohon pengampunan bagi Anwar Ibrahim, tetapi ia tidak berhasil apabila jemaah pengampunan telah menolak permohonan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun menetapkan 7 Mei sebagai hari mengundi manakala 25 April 2015 sebagai hari penamaan calon. Dengan berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pauh ini bermakna dua kali ia diadakan setelah wakilnya disandang Anwar hilang kelayakan apabila didapati bersalah dan dipenjara.

Apakah sekiranya untuk 10 tahun nanti ditakdirkan Anwar bertanding lagi di Permatang Pauh, proses yang sama akan berulang. Kalau terjadi begitu, cukuplah bagi Anwar, beliau tidak payah menjadi perdana menteri tetapi sejarah yang dicetak di Permatang Pauh itu sudah meletakkan dia dalam talian sejarah yang hebat.

Mustafa Kamil Ayub
Saifuddin Nasution Ismail
Persoalan kini siapakah calon yang akan diletak oleh PKR untuk dijadikan sandaran mengekalkan kerusi berkenaan. Umum tahu kawasan parlimen Permatang Pauh dianggap sebagai kubu peribadi Anwar Ibrahim. Anwar memiliki (menang) dikerusi itu sejak tahun 1982 sehinggalah kerusi itu tertanggal apabila beliau dijatuhi hukuman penjara 1999.

Semasa beliau cuti rehat dalam penjara, kerusi itu disadang oleh isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga Anwar mengambil balik apabila Azizah mengosongkan kerusi itu (tahun 2008) bagi membolehkan Anwar menjadi ahli parlimen dan bersuara di parlimen.

Ertinya kerusi itu dalam tempoh lebih 30 tahun ia bergilir antara Anwar dengan Azizah.

Kerana keadaan dan keunikan itu, ada berpendapat bahawa pilihan raya kecil di Permatang Pauh kali ini wajar diserahkan juga kepada anak beranak Anwar. Mungkin Wan Aziah sudah tidak relevan kerana pada masa ini dia adalah Adun Kajang. Lantaran itu ada pandangan untuk meletakkan anak perempuan Anwar, Nurul Nuha. Keaktifan Nurul Nuha yang turun membela ayahnya menyebabkan desas desus itu menjadi hangat.

Masalahnya kini bukan Nurul Nuha tidak layak, tetapi wajarkah kalau kerusi itu diserahkan kepadanya. Apakah kerusi Permatang Pauh hanya menjadi milik mutlak Anwar dan keluarganya?  Apakah sudah ada konsensus dan standard demikian? Kalau pun Nurul Nuha bertanding dia pasti menang. Tetapi apakah baik dalam politik (Keadilan) kalau anak, kakak, ibu dan ayah "bertokol" di dalamnya (parlimen).

Perkara yang wajar dilihat juga, kepentingan untuk memenangi kerusi Permatang Pauh bukan menjaga maruah PKR dan Pakatan Rakyat, tetapi ia adalah untuk menjadi pengganti kepada Anwar. Anwar semasa dalam parlimen adalah ketua pembangkang, seorang wakil yang mampu berdepan dengan pihak kerajaan. Justeru wakil yang seiras-iras sosok persis Anwar adalah sesuai kalau diletak bertanding di Permatang Pauh.

Rasanya PKR tidak begitu "kasik" sangat untuk memilih tokoh lain bertanding di Permatang Pauh. Ada beberapa nama yang boleh diangkat untuk menjadi pembawa suara rakyat dan juga pembela Anwar dalam parlimen. Antara tokoh yang saya lihat layak dan sesuai ialah Saifuddin Nasution Ismail.

Bekas Setiausaha Agung PKR ini berkelayakan dan berkebolehan. Selama sepenggal beliau menjadi ahli parlimen (Machang), Saifuddin sudah menunjukkan bakat dan kebolehannya. Saifuddin tidak tidur dalam parlimen, tetapi aktif berucap memberi pandangan dan mengkritik kecacatan kerajaan. Beberapa isu atau pendedahan dibuatnya menjadikan ada wakil kerajaan kepanasan. Jika dibuka hansard parlimen kita akan tahu peranan dan tanggungjawab Saifuddin.

Bertolak dari latar itu wajar kalau Saifuddin disenaraikan untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh. Selain Saifuddin, seorang lagi bekas Setiausaha Agung, Mustafa Kamil Ayub juga layak untuk diberi peluang bertanding dan memasuki parlimen. Kesetiaan dan keulikan Mustafa Kamil dalam parti sudah teruji. Walaupun beliau tidak memegang apa-apa jawatan kerana disingkir disebabkan tersalah kem, tetapi Mustafa terus berjuang dan menggerakkan parti tanpa pamrih.

Mungkin ramai orang lupa latar belakang dan sejarah politiknya. Mustafa bekas Setiausaha Politik kepada Muhyiddin Yassin seorang pemimpin yang berwajah intelek. Beliau sama-sama merasai jawatan setiausaha politik sama seperti Saifuddin yang menjadi setiausaha politik kepada Syed Hamid Albar. Apa salah kalau Mustafa diberi peluang berpandukan kepada kebolehannya itu. Tidak timbul beliau bukan anak Permatang Pauh sama sdeperti Saifuddin kerana PKR itu sendiri parti melampaui sempadan.

Zaman memilih anak temnpatan yang ramai waris, menjadi calon walaupun tidak cemerlang dalam parti mungkin sudah berakhir. PKR perlu melakukan anjakan dan mempraktikan politik yang advance. Modal atau kempen simpati kepada Anwar yang dianiyanya bukan modal politik yang sejagat.

Selain dua nama itu, ada lagi beberapa nama lain yang berkelayakan dan pantas menjadi ahli parlimen. Bekas Senator dizaman kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, Saiful Izham Ramli juga boleh dipertimbangkan. Beliau seorang peguam yang aktif dan komited dengan perjuangan PKR dan juga refomasi. Dan sekiranya PKR bersedia mengamalkan politik terbuka dan berkelas tinggi, calon untuk pilihan raya Permatang Pauh itu juga boleh diberikan kepada Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.

Dari satu segi Mat Sabu lebih layak dan sesuai untuk mengganti Anwar sebagai menandakan PKR masih berhubung kukuh dengan Pas. Penyerahan kepada Mohamd Sabu itu juga sebagai meraikan politik kekawanan yang tinggi. Mat Sabu juga mempunyai pengalaman yang luas sebagai anggota dewan kerana pernah menjadi ahli parlimen dua penggal sebelum ini.

Itulah antara empat nama yang boleh PKR pertimbangkan untuk diletak menjadi calon. Daripada Nurul Nuha yang masih mentah dalam politik, elok kalau salah seorang daripada mereka itu dibawa ke parlimen. Nurul Nuha kalau berminat politik boleh tunggu untuk setahun dua lagi dia masih mempunyai masa yang panjang.

Memilih selain daripada anak beranak atau waris warah Anwar bertanding pada PRK Permatang Pauh itu juga menyenangkan untuk PKR berkempen. Umno sudah tentu tidak akan dapat memainkan isu kronisme jika bukan Nurul Nuha atau sesiapa waris Anwar dicalonkan. Tanpa memainkan isu simpati kepada Anwar, kerusi itu diyakini dapat dikekalkan PKR sekiranya tidak ada kacau bilau sesama sendiri. [wm.kl.2:19 pm 08/04/15]

No comments: