ULASAN ISU
Boleh juga dianggap keputusan Speaker membenarkan usul persendirian dibawa Abdul Hadi Awang untuk memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, (Akta 335) seterusnya bagi membolehkan Hudud dilaksanakan di negara ini merupakan satu sejarah.
Menurut peraturan mesyuarat Parlimen, usul berkenaan berkedudukan ditangga ke-15, paling akhir, tetapi dilompatkan ke atas. Sebelum ini sudah lebih dua kali usul berkenaan dibawa tetapi berakhir dengan ianya tidak sempat dibentangkan kerana kesuntukan masa. Lama sebelum itu juga Pas sudah dua kali cuba membawanya, tetapi tidak dilayan.
Jadi kali ini bila didilompatkan, menyebabkan timbul keanihan dan pertanyaan kenapa terjadi demikian? Selalunya tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada. Biar apa pun, tetapi bagi Pas yang sudah lama berjuang untuk melaksanakan Hudud, bergembira dengan apa yang berlaku hari ini. Orang Pas perlu bersujud syukur hari ini.
Ralat sedikit walau ia diterima untuk dibahas, tetapi pembawa usul mencadangkan agar ia ditangguh dan dibahas pada sidang akan datang. Kenapa? Mungkin usul berkenaan tidak mustahak atau perlu disegerakan? Alasan pembawa usul kerana kengkangan masa. Kita tunggu pada sesi akan datang.
Secara peribadi saya dan begitu juga umat Islam bersyukur atas apa yang berlaku. Didoakan semoga usul itu dibahas dengan penuh tertib dan takzim dan sehingga mencapai matlamat akhirnya Hudud dilaksanakan suatu hari nanti. Orang bukan Islam atas apa juga alasan dan fakta, janganlah persoalkan. Hudud dan tanggungjawabnya adalah hak mutlak (wajib) bagi umat Islam.
Bagaimana pun saya masih curiga dengan tindakan Speaker yang membenarkan usul itu dibahas dan penangguhan untuk membahaskan yang dicadangkan itu. Kenapa? Sepatutnya dibahas hari ini juga dan tidak ditunda ke sidang lain, kerana perkara itu bagi Pas penting, lagi pun sudah lama ditangguhkan atau gagal dibawa sebanyak empat kali. Inilah dikatakan semacam ada persepakatan antara Pas dengan kerajaan (baca Umno)?
Apabila Speaker tiba-tiba jadi baik dan concern dengan usul berkenaan menyebabkan timbul pertanyaan dan persepsi lain. Apakah penerimaan usul itu sebagai modal politik menjelang dua pilihan raya kercil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar?
Pihak kerajaan yang menguasai Parlimen, menerima usul itu bagi membuktikan mereka (Umno) tidak menolak Hudud. Apa yang mahu ditonjolkan kepada orang Melayu khususnya dalam dua kawasan pilihan raya itu mereka juga mahukan Hudud dan penerimaan usul itu untuk dibahas adalah buktinya. Mungkinkan begitu?
Dalam pada itu juga, apabila parlimen membenarkan usul dibawa presiden Pas itu diterima, ia tidak menampakkan pihak kerajaan menolak Hudud lagi. Dalam masa Pas juga tidak dapat menjadikan Hudud sebagai isu dalam kempen-kempennya kerana usul itu sudah diterima. Pas terpaksa mencari isu lain untuk modal kempen. Situasi ini menyerlahkan akan Pas diperangkap.
Tampak disini pihak kerajaan mendapat dua keuntungan sekaligus dengan membenarkan usul RUU Hadi itu dibahaskan; Umno tidak tentang Hudud dan parti itu berjaya mengunci mulut Pas daripada bercakap fasal Hudud dengan memperli Umno kononnya parti nasionalis itu tolak hukum Allah itu.
Apa yang diulas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar ada kebenaran dan perlu difaham sebaik mungkin sifir politik Umno. Katanya, "walaupun usul itu diterima untuk dibahas, tetapi tidak secara automatik Hudud dilaksanakan kerana ia bergantung kepada budi bicara negeri masing-masing kerana hal ehwal agama terletak ditangan mereka." Penerimaan RUU itu seakan Umno sudah berjaya membuang jerat Hudud yang tersangkut di lehernya selama ini. [wm.kl.8:47 am 26/05/16]
No comments:
Post a Comment