Tuesday, April 4, 2017

PKR pemimpin politik pembangkang dan Malaysia

HUT PKR KE 18

Kerana ternanti-nanti untuk melihat bagai mana nasib RUU 355 samada akan dibentang atau tidak di sidang  parlimen sessi ini yang akan berakhir lusa, ramai pemerhati politik dan juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR - Keadilan) sendiri tidak menyedari yang parti itu kini sudah berumur 18 tahun.

Dalam usia itu Keadilan sudah melewati zaman gadis sunti dan akan melangkah ke alam dewasa beberapa tahun lagi jika usia kedewasaan itu diambil hitung 21 tahun. Sudah pasti bila ia melangkah ke takah itu PKR akan berhadapan dengan pancaroba lebih mencabar lagi sesuai dengan usianya. Gelagat dan perangai kebudak-budakan juga kian menghilang daripada Keadilan dan proses kematangan menjadi makin laju lagi.

Bagaimana pun betapa pancaroba menanti kelak,  nescaya parti itu dapat merentasinya dengan baik dan berhemah. Ini kerana kepimpinan yang mendokongi parti itu adalah mereka yang sudah masak dan matang  serta arif dengan tribulasi politik. Apa lagi kebanyakan mereka berlatar belakangkan profesional. Kombinasi kepimpinan veteran dan muda pula menjadi PKR sebuah parti yang dinamik, progresif dan berpandangan jauh ke depan dan evergreen.
Dr Wan Azizah Wan Ismail
PKR merupakan parti multi racial yang kewujudannya sangat sesuai dengan isihati dan citarasa penduduk negara ini berbilang kaum. Ia tidak membawa isme atau doktrin tertentu seperti mana sesetengah parti lain yang berteraskan bangsa dan mengambil agama sebagai dogma. Keserasian parti itu dengan citarasa warga Malaysia memperlihatkan parti ini lebih relevan dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan anutan agama. Inilah keistimewaan dan perbezaan Keadilan dengan lain-lain parti.

Sejarah Keadilan

Keadilan yang juga dikenali PKR merupakan gabungan dua parti, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bersama Parti Rakyat Malaysia pimpinan Syed Husin Ali. Penggabungannya berlaku pada 3 Ogos 2003. Hasil penggabungan inilah menyebabkan Keadilan dikenali dengan PKR - Parti Keadilan Rakyat. Bagaimana pun hakikat kewujudan atau penubuhan PKR ialah pada 4 April 1999.

PKN mulanya merupakan sebuah parti, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia. Pengambil-alihan parti ini disebabkan waktu itu timbul masalah untuk menubuhkan parti politik, kerana kekangan masa sedangkan Gerakan Reformasi memerlukan sebuah wadah yang lebih besar untuk menyertai piliihan raya. Gerakan Reformasi wujud sebaik Anwar Ibrahim dipecat dari Umno. Penubuhan Gerakan Keadilan (Adil) ketika itu tidak memungkin gerakan Reformasi boleh turut bermain dalam arus politik negara.

Adapun matlamat atau misi PKR ialah menjadikan sebuah badan siasah memperjuangkan keadilan sosial, keadilan ekonomi disamping menentang kronisme dan rasuah serta mewujudkan Malaysia Baru.

Kandati pun usia PKR ini jauh lebih muda berbanding parti-parti gergasi ulung lain, seperti Umno, MCA MIC, (semuanya berusia lebih 65 tahun) ataupun DAP dan Pas (65) PKR bolehlah digolongkan dalam parti pembangkang gergasi di negara ini. Walaupun parti itu jauh lebih muda kira-kira 45 tahun dari parti-parti gergasi utama namun pencapaiannya memberangsangkan, dimana kedudukan PKR kini setaraf dengan parti-parti berkenaan. Keterujaan berlaku apabila dalam usia muda ia sudah menyamai parti lebih lama daripadanya.

Betapa tidak walaupun usianya kini 18 tahun dan baharu menyertai Piraum -- pilihan raya umum sebanyak tiga kali, 1999, 2008 dan 2013, tetapi PKR berjaya menahktakan dirinya sama hebat dengan parti-parti pembangkang lain. Bahkan kejayaan dan kemampuan dilihat jauh ke hadapan meninggalkan Pas misalnya. Hari ini PKR berjaya meletakkan wakilnya di Dewan Undangan Negeri di semua negeri. 

Kejayaan dan rekod ini sesuatu yang membanggakan. Parti agama (Pas) sendiri walaupun sudah berusia 66 tahun tetapi belum dapat menempatkan wakilnya di DUN di beberapa negeri seperti Sabah dan Sarawak. Parti itu lebih gempa dari laung sahaja. Sementara PKR hasil Piraum ke-13 berjaya meletakkan 30 ahli Parlimen dan 49 ahli di DUN.

Pencapaian dan prestasi ini sesuatu yang boleh dibangga dan menakjubkan. Ia menunjukkan bahawa parti ini diterima oleh seluruh masyarakat di negara ini dari Perlis hingga ke Sabah. Hal ini belum pernah berlaku kepada mana-mana parti politik hatta kepada Umno, Pas, MCA dan MIC dan parti-parti serpihan lain seperti Parti Negara, Semangat 46 dan lain-lain. Jarang, malahan tidak ada parti yang ditubuh pasca kemerdekaan selepas empat dekad berjaya mencatat kejayaan sehebat PKR.

Misalnya Pas selepas 48 tahun (1999) baharu memperolehi empat kerusi di DUN Selangor. Sebelum itu Pas gagal memperolehi sebarang kerusi kecuali sewaktu parti itu bersama BN (1974) memperolehi satu kerusi. Pencapaian bertambah menjadi lapan tahun 2008 kemudian meningkat 15 kerusi pada tahun 2013. Pencapaian dan kejayaan ini semua diraih setelah Pas berusia lebih separuh abad, 65 tahun dan setelah berkolaborasi dengan parti pembangkang lain.

Bandingkan dengan pencapaian PKR dengan Pas. Dalam tiga kali menyertai Piraum sahaja PKR berjaya nmembentuk kerajaan di Selangor dengan mengepalai kerajaan Selangor sebagai MB. Keberadaan Pas dalam kerajaan Selangor hari ini bolehlah dikatakan kerana menumpang tuah Anwar Ibrahim. Tidak dapat siapa menafikan kejayaan dan nikmat kemenangan Pas itu dicapai kerana kerjasama dengan PKR dan DAP yang disemerakkan api Reformasi menerusi gabungan dinamakan Pakatan Rakyat.

Ertinya di sini kewujudan PKR membawa perubahan besar kepada senario politik negara yang turut memberi rangsangan dan kejayaan kepada pembangkang Pas dan juga DAP. PKR adalah pembawa tuah dan Anwar menjadi penyatuan kepada oposisi. Sesuatu kejayaan yang memberi signifikan besar kepada PKR ialah apabila parti itu bersama Pas dan DAP dapat menafikan majoirti 2/3 di parlimen yang dinikmati BN sebelum ini. Sudah dua Piraum PKR dan rakan-rakan oposisi menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen. Bahkan pencapaian undi popular PKR dan oposisi pada 2013 melebihi undi popular BN sebanyak lebih 2%.

Berdasarkan realiti pencapaian dan rekod itu PKR dilihat mampu melonjak menjadi parti terbesar di negara dimasa akan datang. Tidak dinafikan dan ragu-ragu kalau kalangan pembangkang yang sepakat kini, DAP, Amanah dan PBBM meletakkan PKR sebagai tulang berlakang dalam gabungan itu untuk mengemudikan Harapan Rakyat ia adalah keputusan yang tepat dan bijak.

PKR masih dilihat parti yang stabil dan bijak mengawal diri serta menjaga pemupukan semangat Reformasi dan nekad untuk menjadi parti pengubah Malaysia. Walaupun ada pergolakan kecil dalam parti tersebut seperti perebutan jawatan, atau yang bertindak melarikan diri kerana mengajar bayangan kebendaan, namun parti itu masih utuh dan kuat. Kerjasama dan nekad yang dipamerkan kini masih padu. Serangan dan konotasi huduh dilemparkan media PB juga tidak menjejaskan semangat pendokongnya.

Dihidu Dr Mahathir

Kekuatan dan potensi yang ada kepada PKR kadang tidak terpandang oleh pemimpin dan ahlinya sendiri. Namun hakikat ini dapat dirasai atau terkesan oleh Dr Mahathir Mohamad. Kenapa Dr Mahathir sedia untuk melutut (maaf kasar sikit) kepada Anwar Ibrahim, menggabungkan diri dan partinya (PBBM) dengan pembangkang termasuk PKR, ialah kerana beliau tahu postensi dan keupayaan yang ada kepada PKR. Dr Mahathir dapat menyelami kelebihan yang ada kepada PKR di hujung era kesuramannya kini.

Dr Mahathir tidak semudah itu untuk menemui Anwar dan berbaik dengan keluarga Penasihat Umum PKR yang pernah diserang dan dianiayai itu kalau beliau tidak terhidu kehebatan dan potensi yang ada kepada PKR. Kesediaan Dr Mahathir merendah diri ini adalah pengihktirafan besar beliau kepada PKR yang perlu dialu-alukan oleh ahli dan pendokong PKR.

Demikian kejayaan Timbalan Presiden PKR sdr Mohamed Azmin Ali mengurus dan mentadbir negeri Selangor dengan baik, meletakkan Selangor sebagai negeri termaju, menjelaskan akan keupayaan PKR sekiranya parti itu diberi peluang untuk mentadbir negara ini. Kesenimbungan menguruskan Selangor dan mewujudkan kestabilan kerajaan Selangor daripada Khalid Ibrahim menjelaskan akan kemampuan pemimpin PKR memimpin negeri Selangor jauh lebih baik dari parti Umno.

Selain itu kestabilan dan persefahaman dalam PKR ini dapat dilihat dengan pengekalan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden. Sejak ia ditubuh 18 tahun lalu, kedudukan Wan Azizah tidak dipertikaikan apa lagi dicabar. Penghormatan diberikan kepada Dr Wan Azizah inilah juga menjadi "azimat" menjadikan PKR sebagai parti yang seakan di"sesempuh"kan dengan waja dan semangat juang tulen.

Jika pun ada pergolakan dan perebutan jawatan hanya diperingkat timbalan dan naib-naib serta ketau Angkatan Muda dan Wanita sahaja. Hal itu dikira biasa dan ia merupakan suatu "exercise" atau latihan untuk parti itu menguatkan jiwa dan semangat para ahlinya. Dengan barisan kepimpinan yang ada kini, pencampuran dari segi usia dan latar belakang professionalisme ia menyakinkan rakyat di luar sana.

Kombinasi dalam hirearki PKR kini cukup baik dimana semuanya dapat menjadi enjin kepada PKR. Azmin Ali sebagai timbalan adalah putera penuh berambisi, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Rafizi Ramli, Shamsul Iskandar Md Akin, Xavier Jayakumar dan lain-lain adalah anak, abang dan adik-adik yang membantu si abang untuk memperkuatkan si ibu. Saifuddin Nasution Ismail yang kini memegang jawatan Setiausaha Agung boleh bertindak menjadi pencatat kelakuan-kelakuan ganjil dan bernafsu anak beranaknya itu bagi dilaporkan kepada penasihatnya.

Justeru kestabilan PKR sebagai organisai perlu dipertahan dan dikekalkan. Pendokongnya perlu sabar dan tidak mudah termakan dengan anasir luar yang mencampakkan umpan untuk mengucarkacirkan PKR dengan berbagai tektik dan strategi. Halakan agar bergasak sesama sendiri dengan merebut jawatan atau membina empayar puak dan peribadi sesuatu tindakan yang tidak baik dan tidak pratikal perlu dihindarkan.

Sesungguhnya jika PKR mengekalkan situasi hari ini menunjukkan kematangan sesuai dengan usianya kian meningkat dewasa, berpegang kemas dan kemen dengan amanat dan pesan bapak Reformasi Anwar Ibrahim, tidak syak PKR akan menjadi parti disenangi dan diharapkan rakyat memimpin politik pembangkang dan memimpin negara ini. Selamat hari ulang tahun ke 18 kepada PKR. [wm.kl.3:28 pm 04/04/17]

5 comments:

PokAmid said...

Jika diandingkan dgn parti agama, walaupun pun muda usianya, pemimpin PKR tidak kluk-klek sapertimana mr presideng parti tu!!!

aminsihat said...

Saya jarang menonton rancangan TV, apatah lagi TV3, tetapi beberapa hari lepas semasa menjamu selera di kedai makan, saya tertonton Buliten Utama jam 8.00 yang menyiarkan ucapan-ucapan politik masa lampau Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang mencerita kronologi kejahatan pemimpin UMNO semasa beliau menjadi TPM mengumpul harta untuk anak-anak dan kroni . Saya terus memberi tumpuan untuk memberi kepastian sama ada ucapan itu tulin atau telah diedit, kerana kita semua tahu perangai TV3 sebelum ini. Saya dapati ucapan yang disiarkan adalah tulin kerana saya ada simpan koleksi ucapan politik DSAI. Rupanya TV3 mulai insaf dan baru sedar yang Dato' Seri Anwar Ibrahim berada di pihak yang benar dan kenyataannya bukannya fitnah?

Abd Rahmn said...

kekuatan PKR adalah dengan semangat bapak Refomasi Anwar Ibrahim.. bertahan lah wahai semua pendukung PKR. Moga saudara Anwar kembali kepangkuan kita semua.. in sa allah..

azhar rangkuti said...

KeADILan adalah wadah yg banyak mengajar saya erti PERJUANGAN & PENGORBANAN tanpa sebarang Imbuhan & Ganjaran

mssod said...

80 tahun nabi nuh seorang diri mengajak kpd islam. 8 orang sahaja pengundi nabi nuh.