Tuesday, March 19, 2019

Terima kecacatan disuarakan wakil Tangga Batu

ULASA PARLIMEN

KISAH yang diceritakan oleh wakil Tangga Baru (Dr Rusnah Aluai) (foto) berkaitan sistem pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan kini agak kelam kabut, tidak tersusun dan penuh kecacatan, adalah tepat sekali.

Dr Rusnah menceritakan bagaimana kedudukan beliau sebagai wakil rakyat dipinggirkan, apabila tidak dijemput menghadiri program menteri PH dari Parti Amanah Negara (Amanah) di sebuah kem di Melaka. Beliau mendedahkan demikian sewaktu berucap membahas titah ucapan di Raja di sidang parlimen hari ini.
Menurutnya juga, pejabat Ketua Menteri Melaka (yang mana Ketua Menterinya daripada Amanah), tidak memaklum dan menjemputnya. Kejadian ini baginya sesuatu yang mendukacitakan, dan tidak wajar kerana beliau seorang wakil rakyat. Kecacatan ini menyebabkan keadaan ini menampakkan ketidak sepakatan komponen PH dalam mentadbir dan mengurus parti.

Sebenarnya apa yang berlaku dan menimpa wakil Tangga Batu itu, bukan sahaja terhad kepadanya sahaja, ia juga berlaku kepada wakil-wakil lain dan juga dialami oleh pemimpin komponen PH hampir dikesemua negeri.

Saya hendak menarik perhatian disini apa yang berlaku di Kelantan seperti mana saya dimaklumkan. Mungkin kejadian di Kelantan tidak dibawa ke parlimen kerana tiada seorang pun wakil dari Kelantan dalam parlimen waktu ini yang tertimpa dengan kejadian itu.

Al maklumlah seorang pun calon PH Kelantan, kalah dan banyak yang hangus deposit. Walaupun Mustapa Mohamed (Jeli) kini sudah berada bersama PH, namun beliau tidak berani dan tergamak untuk menyentuh isu itu atas alasan beliau orang baru.

Di Kelantan begitulah juga yang berlaku, jemputan dan sebaran maklumat tidak merata. Kalau yang datang ke Kelantan itu menteri dari Bersatu, maka yang akan mengerumuni menteri itu "bagaikan semut urung gula", adalah dikalangan orang Bersatu. Kalau ia dari Amanah pula maka orang Amanahlah sahaja yang makan nasi kerabu dengan menteri itu dan hantar tukang urut kepadanya waktu malam.

Begitu juga kalau menteri dari Keadilan yang datang, maka orang-orang parti itu sahaja yang berjujutan dan berduyun-duyun ke lapangan terbang angkat sepanduk menyambut menteri berkenaan. Itu pun tidak sepenuhnya kerana ada satu kumpulan lain (Keadilan) tidak dijemput. Apa lagi menteri itu digembur gemburkan oleh sang pari-pari akan jadi Perdana Menteri, lagilah digilainya. Cis berdebah.

Menyedari keadaan ini, kenapa ia berlaku saya lihat kerana PH tidak ada dasar atau pun polisi dalam meseragamkan pentadbiran dan menguruskan lawatan menteri, aktiviti dan sebagainya.

Tidak ada kod etika yang dijadikan panduan oleh pakatan itu mengenai hal ini. Justeru adalah elok kalau Majlis Presiden menyediakan satu polisi atau pun kod etika khas kepada menteri dan pemimpin PH untuk dipatuhi, khasnya dalam menguruskan hal lawatan dan kunjungan ini. Apakah perkara ini dibincang semasa permukiman Majlis Presiden baru-baru ini?

Misalnya berhubung dengan apa-apa majlis yang hendak diadakan oleh mana-mana menteri, ia hendaklah dimaklumkan kepada semua parti komponen dan bukan di kalangan puak-puak dan geng sendiri sahaja. Majlis Presiden harus membuat edaran rasmi mengenai hal ini. Sekretariat yang dibentuk diperingkat negeri boleh memainkan peranan mereka.

Sedarlah dalam pilihan raya, anda menang kerana undi semua, bukan undi bertompok, jadi semasa anda ingin ditemui dan hendak rai, hendaklah bertemu dengan semua pihak bukan secara bertompok-tompok dan secara "suk sik suk sik" senyap.

Setahu saya PH ada Sekretariat yang diketuai oleh Saifuddin Abdullah. Sepatutnya Sekretariat inilah harus berperanan menyusun dan menyelaraskan semua aktiviti PH termasuk juga lawatan kerja para menteri.

Kalau Ketua Sekretariat yang kini sudah jadi Menelu, - Menteri Luar sibuk dan tidak mampu terbuat, elok berhenti dan lantik mereka yang bebas dan belum ada kerja. Atau kalau Sekretariat itu sudah tidak berfungsi selepas PH menang, nah kalau begitu bubarkan sahaja.

Hal yang dibangkit dan dirasai oleh wakil Tangga Batu itu, bukan perkara kecil tetapi ia menyentuh sampai ke hati. Sesuatu yang menyentuh ke hati ia boleh memudharatkan dan ia membahayakan kerajaan kalau tidak ditangani dengan baik. * Perkongsian dar Fb. [wm.kl.1:26 pm 19/3/19]

No comments: