Thursday, December 12, 2019

3 tahun mendatang tempoh mencabar bagi Amanah

ULASAN

Mat Sabu dan Salahuddin terus diberi kepercayaan
untuk memimpin Amanah.
TIADA perubahan besar berlaku dalam barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah). Hampir 90% mereka yang sebelum ini berada dalam saf kepimpinan parti itu kekal atau terus diberi tanggungjawab untuk menguruskan dan menjana parti untuk tiga tahun mendatang.

Bermula dari dua jawatan tertinggi, presiden dan timbalan presiden kekal kepada Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub, ia diikuti dengan pengisian beberapa jawatan eksekutif parti yang dibentuk malam tadi terdiri daripada muka tula (sama).

Dalam pemilihan pada Sabtu lalu, kedudukan Dr Mujahid Yusof dan Hasanuddin Mohd Yunus membuntuti sebagai naib presiden. Begitu juga dengan Mahfuz Omar naib presiden yang paling lewat dilantik terpilih sebagai AJK yang mendapat undi kedua terbanyak dan beliau dikekalkan sebagai naib presiden.

Cuma di kalangan naik presiden lama Hassan Baharum dan Husam Musa terkeluar daripada kedudukan itu. Hassan tidak mendapat untuk membolehkan beliau berada dalam 27 Ajk manakala Husam langsung tidak ikut bertanding untuk dipilih antara 27 Ajk.

Hassan yang kalah tidak dilantik, sebaliknya untuk memenuhi kuota dua lantikan naib presiden, bekas Ketua Awan Dr Mariah Mahmud dinaikkan pangkat sebagai naib presiden, sementara seorang lagi Husam Musa.

Pelantikan pegawai eksekutif parti ada pertukaran penjawat tetapi ia sekadar bertukar ganti jawatan sahaja yang mana ia masih dipenuhi dengan individu yang sama. Ertinya tidak ada perubahan memberangsangkan.

Jawatan Setiausaha Agung (SUA) yang sebelum ini disandang Mohd Annuar Tahir diganti dengan Dr Mohd Hatta Ramli yang sebelum ini diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya. Tempat ditinggalkan Dr Hatta diisi oleh Asmuni Awi yang memegang jawatan Bendahari sebelum ini.

Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari yang turut tersenarai dalam 27 Ajk yang dipilih dalam konvensyen lalu diberi tanggungjawab memikul Bendahari mengambil alih tempat Asmuni.

Pengarah Komunikasi masih kekal dipegang oleh Abdul Khalid Samad, begitu juga dengan Pengarah Strategis oleh Dr Dzulkefly Ahmad. Mereka dikekalkan mungkin parti melihat dan menilai kerja dan pencapaian mereka memuaskan.

Dalam penyusunan baru itu tidak ada portfolio baru diwujudkan mungkin ia akan difikirkan selepas ini. Pembangunan Sumber Manusia dipegang oleh Suhaizan Kayat yang sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha Organisasi, manakala Pengarah Hal Ehwal Syariah kekal kepada Zolkharnain Abidin. Tempat Suhaizan kini disandang oleh Abang Kerdee Abang Masagus.

Dua kerusi Naib Presiden lantikan pula diisi oleh Dr Mariah Mahmud dan Husam Musa. Pelantikan Dr Mariah menjadi Amanah sebagai parti pertama memiliki dan memberi kepecayaan kepada kaum Hawa untuk berada di saf ketiga tertinggi parti. Jika boleh disebut perubahan dominan hanyalah pelantikan Dr Mariah saja.

Sementara pelantikan Husam yang tidak ikut menerima pencalonan untuk dipilih dalam 27 Ajk sekali lagi menunjukkan Penasihat Amanah Kelantan itu masih diberi kesempatan dan ruang oleh parti untuk berada dalam barisan kepimpinan.

Pelantikan Husam itu menunjukkan Amanah masih memerlukan dan memberi kepercayaan kepadanya disamping semangat setiakawan tinggi dalam parti berlambang huruf "A" itu. Pengalaman atau keistimewaan beliau sebagai ahli politik masih diperlukan. Diharap Husam menerima pelantikan itu sedia memberi khidmat kepada Amanah dengan berkesan lagi.

Dalam penyusunan semalam juga, dilantik dua orang Penolong Setiausaha Agong seorang wanita, Norhayati Bidin mengambil tempat Aiman Athirah yang kini ketua Awan, dan Faizul Salleh. Pelantikan Norhayati dilihat mengiringi Dr Mariah berada dalam barisan kepimpinan dilihat satu penghormatan kepada kaum Hawa disamping Ketua Awan Aiman Athirah dan ketua Warda Nurthaqaffah Nordin dan Mariam Abdul Rashid.

Selain itu seramai lima orang AJK tambahan dilantik; Hassan Baharum, Dr Ismail Salleh, Hu Pang Chaw, Puspa dan Haris Alimuddin. Pelantikan Pang Chaw dan Puspa dilihat untuk memberi ruang dan penghormatan kepada kaum bukan Melayu yang menyertai Amanah.

Sudah tentu apa diharapkan pelantikan mereka itu bukan sekadar untuk memanaskan kerusi tetapi perlu membawa perubahan pertambahan bukan Melayu dalam Amanah. Penyertaan atau penglibatan bukan Melayu dalam Amanah relatif belum memuaskan.

Keputusan penuh barisan kepimpinan Amanah untuk tempoh 2019 - 2022 diumum secara rasmi oleh Pengarah Komunikasi Khalid Samad, semalam. Ia seperti berikut:

1. Presiden – Mohammad Sabu
2. Timbalan Presiden – Salahuddin Ayub
3. Naib Presiden – Mahfuz Omar
4. Naib Presiden – Dr Mujahid Yusof
5. Naib Presiden – Hasanuddin Mohd Yunos
6. Naib Presiden – Siti Mariah Mahmud
7. Naib Presiden – Husam Musa
8. Ketua Angkatan Aiman Athirah
9. Ketua Pemuda – Hasnul Zulkarnain Munaim
10. Ketua Wanita Muda – Nurthaqaffah Nordin
11. Setiausaha Agung – Dr Mohd Hatta Md Ramli
12. Bendahari –Adli Zahari
13. Pengarah Komunikasi – Khalid Abd Samad
14. Pengarah Strategi – Dr Dzulkefli Ahmad
15. Setiausaha Organisasi – Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus
16. Timbalan Setiausaha Agung – Norhayati Bidin
17. Penolong Setiausaha Agung – Faizul Salleh
18. Pengarah Pembangunan Sumber Manusia – Suhaizan Kaiat
19. Pengarah Hal Ehwal Syariah – Zolkharnain Abidin
20. Pengarah Pilihanraya – Asmuni Awi.
21. Raja Kamarul Bahrain Raja Ahmad.
22. Faiz Fadzil
23. Ir Mohd Nizar Jamaluddin
24. Mazlan Aliman
25. Nik Omar Nik Abd Aziz
26. Ridzwan Abu Bakar
27. Wan Abd Rahim Wan Abdullah
28. Hanipa Maidin
29. Datuk Phahrolrazi Zawawi.
30. Sany Hamzan 
31. Mariam Abd Rashid
32. Dr Ahmad Termizi Ramli
33. Dr Muhaimin Sulam

Ahli Jawatankuasa Lantikan

34. Dr Hassan Baharom
35. Dr Dzulqarnain Lokman
36. Dr. Ismail Salleh
37. Hu Pang Chau
38. Haris Alimuddin
39. Puan Pushpa

Pengerusi Negeri

40. Wan Kharizal Wan Khazim – Perlis
41. Dr Roslan Ahmad – Pulau Pinang
42. Ir Izham Hashim- Selangor
43. Ibrahim Ab Rahman- Negeri Sembilan
44. Aminolhuda Hassan – Johor
45. Zulkifli Mohammad – Pahang
46. Muhammad Husin- Kelantan
47. Abang Halil Abang Naili – Sarawak
48. Lahirul Latigu – Sabah

Setelah parti selesai melengkapkan saf kepimpinan dan mengemaskan struktur organisasinya, parti itu sudah boleh bergerak ke depan dengan optimis memberi fokus memperkasakan parti. Amanah perlu melihat tiga tahun mendatang adalah masa untuk benar-benar merealisasikan Amanah sebagai parti masa depan. Dua tahun yang sangat mencabar dan tidak salah kalau dikatakan tempoh menentukan hidup mati Amanah.

Ia tidak ada alasan dan sebab lagi untuk Amanah mengelak dan memberi alasan menghalalkan apa-apa kelemahan dan kecacatannya. Usia muda parti bukan dalih memandangkan mereka yang berada dalam Amanah adalah mereka yang sudah lasak dan berpengalaman semasa berada dalam Pas dahulu.

Aspek penting.
Ada beberapa aspek yang perlu ditekankan Amanah, antaranya ialah memasarkan Amanah ke tengah masyarakat sebagai sebuah parti memiliki potensi dan masa depan. Amanah tidak lagi boleh menjadi parti penyendal kepada PH atau menganggap kewujudannya hasil dari keterlanjuran moral induknya Pam, sebaliknya perlu menunjukkan kewujudannya sebahagian rangka reformasi yang global.

Amanah perlu tegak berdiri dan merendah sama dengan Bersatu, PKR maupun DAP. Perasaan inferiority complex tidak perlu wujud dalam diri setiap orang Amanah. Bahkan mereka perlu berbangga kerana perjuangan dan matlamat jihadinya lebih syumul daripada parti rakannya dalam PH itu. Bukankah Amanah yang mengagaskan seruan Rahmatan lil alamin?

Perkara perlu diambil tindakan segera ialah mengemaskan organisasi parti itu. Jabatan Setiausaha yang kini diketuai Dr Mohd Hatta Ramli dikira mempunyai tugas paling berat dan mencabar. Kepincangan dalam pengurusan yang berlaku apabila masih ada cawangan dan kawasan bermasalah dengan pejabat pendaftaran ia hendaklah diatasi segera. Keahlian Amanah yang tulen hendaklah diperbanyakkan. Ini tugasan utama dan penting. Bereskan.

Kelemahan menjadi sebutan sehingga jadi bahan ejekan terhadap Amanah sebelum ini adalah bila berlaku ketidak-kemasan dalam organisasinya. Pembatalan beberapa mesyuarat cawangan dan kawasan yang berlaku sebelum ini, ada yang bermesyuarat dua tiga kali hendaklah diperbetulkan.  Kelemahan itu juga melemah longlaikan ahli Amanah yang mahu melihat parti itu berbeza dengan parti-parti lain.

Kenal pastikan apakah punca kelemahan, apakah kerana teknikal disebabkan kurang pengalaman pengurusan atau soal integriti di pejabat parti?

Dan sudah tentu dalam tempoh itu juga pihak kepimpinan perlu memastikan semua cadangan dilontarkan oleh perwakilan dalam konvensyen dilaksanakan. Apa-apa teguran perwakilan hendaklah diambil kira, dan jangan ianya dijadikan cadangan-cadangan yang terperap dalam fail di pejabat semata-mata kemudian akan diulang bangkit lagi pada konvensyen akan datang.

Fungsi jabatan setiausaha juga perlu sedia mendengar dan bertindak ke atas kritikan konstruktif daripada luar. Pejabat Amanah harus adakan "peti cadangan" yang mudah dilihat untuk menerima kritikan dan notis-notis teguran.

Satu perkara yang boleh disegera bagi memastikan kecekapan dan kelancaran tugasan di jabatan setiausaha adakan kursus pengurusan dan pentadbiran secacar insentif dan berjadwa. Ia perlulah melibatkan seluruh jabatan setiausaha di peringkat negeri. Kalau boleh penceramahnya jangan sahaja dari kalangan orang parti tetapi undanglah individu professional dalam bidang berkaitan. Jika Amanah pandai membuat engagement ramai sukarelawan professional sedia membantu.

Manakala untuk memberi kesan kepada mereka diberikan tanggungjawab memikul tugas parti itu, elok setiap mereka, khasnya naib-naib presiden diberi tugas khas atau spesifik untuk membangun dan mempertingkat martabat parti. Setiap mereka kena diletakkan tanggungjawab khusus. Biro atau lajnah-lajnah (aik sebut lajnah teringat ke Pas ke tur), baru perlu diwujudkan. Antara biro yang penting ialah biro anak muda dan juga antarabangsa.

Anak muda dan warga negara khasnya pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara perlu didekati dan diberi kefahaman mengenai Amanah. Setakat ini hanya dua buah parti sahaja yang mempunyai hubungi luar negara yang intim dengan masyarakat di luar negara, Umno dan Pam. Bagi merealisasikan biro luar negara ini mungkin Amanah boleh menggunakan tenaga atau anggota ahlinya yang aktif dalam Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang sudah lama memainkan peranan kebajikan di luar negara.

Untuk itu satu blue print atau pelan pembangunan dan memperkasakan parti hendaklah dibentuk dan disitu nanti setiap mereka diberikan peranan. Rangka satu KPI untuk dicapai bersama secara wajib. Dari situ nanti, dapat diketahui sejauh mana kemampuan, kesanggupan dan komitmen mereka bekerja dan berkhidmat untuk parti. Mereka jangan hanya dibiarkan bersenandung dengan jawatan itu semata-mata atau menjadikan jawatan itu sebagai sandaran untuk mendapat jawatan dalam kerajaan.

Kewangan.
Dalam untuk menjamin kelangsungan dan kesemarakan parti faktor kewangan sangat pnting. Amanah memerlukan kewangan bukan sahaja untuk menjamin kelancaran pengurusan parti tetapi persediaan untuk menghadapi pilihan raya.

Di sini tugas Bendahari sangat besar untuk menjana kewangan parti. Apabila parti sudah jadi sebahagian kerajaan, soal kewangan, mengharapkan dari ehsan ahli dan para dermawa agak sulit dan tidak semudah dahulu lagi. Kalau sebelum ini ahli dan para dermawan sanggup mendermakan untuk menggerak parti, tetapi bila sudah bergelar kerajaan, semangat dan pengorbanan itu sudah berbeza.

Maka, Bendahari perlu berusaha menjana kewangan parti khasnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Masalah kewangan hendaklah diletak sama penting dengan projek pengimenjan parti di mata umum.

Adalah sia-sia peluang kemenangan hari ini dengan beberapa ahli menjadi pemimpin kerajaan tidak mencuri kesempatan dari peluang itu untuk menjana pendapatan parti. Untuk merealisasi ini Amanah tidak boleh begitu berhati-hati kononnya untuk mempertahankan prinsip dan integriti sampai pandir untuk mengambil kesempatan.

Pastinya tanggungjawab ini tidak boleh dipikul secara solo oleh Bendahari. Untuk ini mungkin Bendahari boleh menubuhkan "institusi bank Amanah" yang mempunyai ahli lembaganya sendiri. Ia tidak boleh diharap kepada Bendahari secara personal. Maksudnya penjanaan kewangan harus melibat semua pihak yang berkemampuan dan memiliki ruang menjana kewangan.

Jika perlu dan munasabah Bendahari perlu merangka atau memikirkan apa-apa bentuk perniagaan atau pelaburan diwujudkan atas nama atau proksi parti.

Akhirnya barangkali perlu disebut ulang juga di sini, apabila parti sudah selesai mengada konvensyen dan membentuk saf kepimpinan semua pihak dalam Amanah perlu memberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Jangan ada mana-mana pihak kerana mereka tidak termasuk dalam barisan kepimpinan baik diperingkat cawangan, kawasan, negeri atau pusat atau pemuda dan wanita maka mereka mengambil sikap melihat dan memerhati sahaja tidak mahu komit sepenuhnya. Cara itu salah, ia bukan menyubur parti tetapi membunuh.

Cara begitu bukan cara orang berjuang secara ikhlas dan jujur. Cara begitu menjadikan anda juga sebagai oportunis yang mahu mendapat sesuatu daripada perjuangan. Selagi sikap ini memasaki diri kita apapun perjuangan itu tidak akan berjaya. Kejayaan sesebuah perjuangan dan kehebatan parti politik seprerti Amanah terletak atas tanggungjawab semua pihak yang ikhlas dan jujur dalam perjuangan. [wm.kl.12/12/19] 

No comments: