Tuesday, June 2, 2020

Malaysia perlukan politik wajah baru

PANDANGAN

SEDAR atau tidak senario politik negara hari ini, cara kita membudayakan politik bukan menuju ke arah masa depan cemerlang untuk membawa kepada politik yang lebih baik dan profesional, sebaliknya semacam berundur ke belakang, apa bila kita terus mengamalkan politik lapok.

Peredaran masa dan berubah musim seolah-olah tidak ikut sama dilestarikan dalam kancah dunia politik kita.

Politik kita seperti pasif dan surut ke belakang, serta sangat kering dengan nilai-nilai moral, akhlak dan agama. Melihat apa yang berlaku ini, (saya tidak perlu menyebut kerana semua sudah memahaminya), ia cukup membimbangkan bahawa politik kita sedang menuju ke lembah busuk dan hanyir yang jauh meninggalkan falsafah politik demokrasi sebenarnya; dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat, sebaliknya politik dijadikan bahan dagangan segolongan puak.

Apakah nilai-nilai atau wajah politik yang sedang berlaku kini hendak kita wariskan kepada nusa dan bangsa di hadapan hari?

Kelaziman.
Pertentangan politik yang berlaku hari ini, bukan ia sengaja diwujudkan, atas kelaziman tradisi politik bahawa kerajaan dan pembangkang yang tidak dapat disatukan atau tidak pernah menemui titik jumpa yang tuntas. Tetapi itu sudah hukum politik yang perlu diterima.

Tetapi yang didebatkan hari ini adalah soal-soal hakikat yang berlaku. Kita kena sedar bahawa kebatilan itu tidak dapat ditegakkan, sampai ke bila-bila dan apa-apa yang baik dan mutlak itu tidak dapat dibina atas kepalsuan. Untuk sementara mungkin iya, tetapi bukan untuk selama-lamanya. Apa yang berlaku kini akan disebut sepanjang sejarah dan ia tidak akan dapat dipadamkan selagi masih ada manusia waras dan penelaah tawarikh di negara ini.

Jika keadaan dan suasana politik yang sedang berlaku kini dibiarkan berterusan dan diperpanjangkan ke hadapan untuk diwarisi anak cucu dan cicit, saya cukup bimbang kita akan dilihat sebuah negara demokrasi yang tergelecah daripada pengertian demokrasi sebenarnya oleh penganalisa demokrasi.

Dalam hidup ini apa yang didambaan mencari kesempurnaan dalam segala hal, termasuklah politik. Bahkan politik itu penting kerana mengaitkan dengan pemerintahan mengurus negara. Baik dan tidak negara terletak dalam genggaman pemerintah.

Menyedari itu saya mengira perlu sekali politik kita dibangunkan dengan wajah baru, perlu diberikan citra baru yang lebih suci, bersih dan harmonis.

Kita perlu memberi nilai-nilai baru dalam politik. Dengan pendekatan dan sikap baru yang tidak terikat dengan politik Machiavellisme yang terang-terang bertentangan dengan nilai-nilai moral dan agama kita, sayangnya kita persis telah mengambil dan menerimanya sebagai sesuatu yang penting dan benar.

Kita harus berganjak daripada stigma yang ada sekarang ini, yang merupakan acuan lama yang sebelum ini kita kira wajar, walhal ia ternyata relatif salah. Politik Barat banyak mempengaruhi dan mempesonakan kita. Sudah ada kefahaman dan menjadi falsafah hidup dan dijadikan doktrin pula bahwa politik itu perlu licik, pelu khianat dan perlu melakukan apa saja demi kuasa termasuk rasuah.

Pegangan dan fahaman itu silap kerana kita perlu terikat dengan nilai moral dan pegangan agama, sebab kita beragama dan berTuhan. Nila budaya tidak membenarkan kita melakukan lebih dari garis-garis ditetapkan yang selama ini menjadi konsep tatabudaya kita, demikian juga agama akan melarang kita melakukan apa-apa di luar batas syariat. Apa guna kita membaca al-Quran dan al Hadith tetapi ilmu dan pengajarannya kita biarkan.

Peranan perbetulkan politik.
Justeru itu saya melihat dan berasakan perlu ada golongan yang memainkan peranan memperbetulkan citra politik kita demi menjamin Malaysia sebuah negara demokrasi yang disanjung. Harapan ini tidak boleh diletakkan kepada pemimpin yang ada waktu ini, maksudnya mereka yang berusia di atas 60 tahun ke atas. Mereka ini sudah sebati dan kalih untuk melakukan perubahan atau menerima islah. Mereka sudah liat macam daging lembu tua, macam mana direbus sekalipun sukar untuk empuk lagi.

Untuk ini saya melihat peranan itu boleh dimainkan oleh kalangan anak muda, tokoh politik generasi selepas merdeka, yang berusia 40 tahun hingga 55 tahun. Mereka sebenarnya lebih berhak mencorak politik baru negara sesuai dengan kedudukan dan aspirasi mereka untuk negara. Kita tidak mahu di masa depan politik bobrak seperti hari ini diwarisi sama oleh mereka. Apa yang kita mahu variasi politik membangun negara atas kerajaan yang dipersetujui.

Ada beberapa tokoh dan individu muda dalam pemerhatian saya yang boleh disangkutkan untuk bergabung dalam satu badan menjadi pembawa wajah dan imej politik negara untuk masa depan. Saya melihat sosok-sosok ini tidak berdasarkan kepada keupayaan mereka dalam memberi ulasan politik semata-mata, atau saranan-saranan baik melalui ucapan dan penulisan mereka, tetapi kepada keupayaan mereka berhujah di parlimen, kerana kebetulan mereka setengahnya ahli parlimen.

Saya melihat mereka ini bukan sahaja kepada aura dan pengaruh mereka miliki tetapi dengan menyelami apa yang ada di sanubari (iltizam) mereka juga sebagai generasi muda. Saya percaya dan yakin kalau mereka berani melakukan anjakan kita berjaya melihat citra baru politik. Usaha itu nanti akan berjaya kerana kebetulan mereka juga ada pengaruh dan pengikut dikeistimewaan itu memudahkan untuk mereka melakukan perubahan.

Antara mereka yang sempat di sebut di sini adalah:

1. Mohd Rafizi Ramli (bekas ahli parlimen bekas pimpinan PKR).
2. Khairy Jamaluddin (ahli Parlimen dan bekas Ketua Pemuda Umno).
3. Nurul Izzah Anwar (ahli Parlimen dan bekas pimpinan PKR).
4. Liew Chin Tong (ahli Parlimen dan bekas timbalan menteri DAP)
5. Yoh Ben Lim (ahli parlimen dan bekas menteri DAP).
6. Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda Umno).
7. Akmal Nasir (ahli parlimen Ketua Pemuda PKR).
8. Fahmi Fadzil (ahli Parlimen pimpinan PKR).
9. Ahmad Samsuri Mokhtar (Adun dan MB Terengganu Pas).
10. Dr Maszlee Malik (ahli Parlimen bekas menteri Bersatu).
11. Wan Jan Wan Saiful (pimpinan Bersatu).
12. Azlan Ahmad (ahli Parlimen PKR).
13. Atirah Aminan Sabu (ahli dewan Negara Amanah).
14. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (ahli parlimen dan Ketua Armada Bersatu) dan lain-lain.

Mereka ini boleh berkolaborosi dengan anak-anak muda yang aktif dalam pelbagai bidang professional agama, aktivis gerakan sosial dan politik seperti Zaharuddin Abdul Rahman, Abe Liew (dakwah) dan lain-lain.

Beberapa orang sarjana atau pensyarahan yang berada digaris tengah yang tidak bersifat hipokrit mengejar bayangan politik demi kedudukan di jabatan-jabatan di kampus juga boleh sama dipanggil untuk menyertai menjadi penggerak atau pembidani politik baru Malaysia.

Untuk tujuan ini mereka boleh bergabung membentuk sebuah badan atau organisasi bersifat NGO untuk dijadikan landasan atau wadah bagi merumuskan politik baru negara. Mereka boleh bersama tanpa membuang idealogi politik masing-masing, sebaliknya menjadi politik baru sebagai wahana dan destinasi politik negara.

Saya percaya nama-nama yang saya sebut itu dan ramai lagi yang tidak tersebut, (maaf) mereka tidak terikat dengan cara dan spektrum politik hari ini, bahkan mual dan muak dengan stigma politik yang ada. Sebagai generasi muda terpelajar, professional dan memiliki iktisad mampan yang lahir selepas merdeka dimana tugas besar mereka mengisi kemerdekaan, tentu mereka merindui sebuah kehidupan atau politik yang lebih harmoni demi kepentingan negara bukan kepentingan kelompok, politik kronis atau pun politik elit.

Duhai anak-anak muda cubalah, kerana gambaran atau lukisan besar darjat dan martabat negara berada di tangan anda semua. [wm.kl.12:20 pm 02/06/2020]. 

No comments: