Friday, June 5, 2020

Projek balas dendam dan Piraum ke 15: Siapa untung siapa rugi? (Pertama)

RENCANA

Berhentilah meramal nombor.

Dua Pertemuan: Agen nombor ramalan sedang
memberi ramalan mereka. 
USAHA untuk mengambil alih kerajaan PH yang hilang kerana dicuri tampaknya samar dan harapan untuk berjaya semakin berbalam-balam dan kelihatan seperti fotamorgana. Walaupun ada usaha ke arah itu sedang dijalankan dengan nawaitu mengembalikan hak dan sekaligus “membalas dendam”, tetapi ia tidak menyakinkan. Ada dua hambatan terhadap usaha berkenaan.

Pertama, bilangan sokongan untuk berbuat demikian masih diragui. Majoriti mudah yang diperlukan (112) masih belum sahih walaupun ia didakwa sudah genap bahkan mencapai 129 kerusi? Wow... 

Pihak PH masih sedang menghitung nombor dan mencari-cari nombor diperlukan. Pintu demi pintu rumah ahli parlimen diketuk untuk mendapat pengesahan. Broker pengetuk pintu nampak seperti sudah gila dan penasaran untuk melihat berlaku perubahan kerajaan. Mereka yang sebelum ini baru merasai keempukan kerusi menteri ikut menjadi broker?

Perbuatan mencari nombor dilakukan broker PH kini sama seperti kegilaan para kaki judi, pemain nombor ekor, yang mencari dan membuat susunan nombor untuk tikam ekor, seperti Toto atau Loteri, 4 Nombor dan sebagainya mengharapkan akan menang dengan hadiah First Price.

Mereka tidak sedar bahawa senario yang berlaku dalam dunia perjudian itu sedang dipraktikan dalam politik. Kalau dalam main nombor ada dukun, peramal nombor, atau agen nombor ramalan, maka dalam politik juga begitu. Dalam dunia perjudian yang menang bukan pemainnya, tetapi adalah taukeh judi. Sebab itu pengasas Kumpulan (kelab judi) Genting Lim Goh Tong berkata, dia tidak percaya kepada perjudian tetapi percaya kepada kedai judi. 

Broker politik yang memburu nombor adalah taukeh perjudian itu. Merekalah akan mengutip untung dan laba kalau usaha mereka itu berjaya. 

Seorang nujum nombor atau agen nombor menipu mereka yang gila judi, membeli nombor dengan bayaran tinggi dan jaminan nonbor atau tikit dibeli itu akan memenang hadiah pertama. Tetapi apa berlaku kemudiannya nombor tidak pun mengena dan mereka paksa membeli lagi dengan dibambui harapan kali ini akan berjaya. Lama kelamaan duit membeli nombor habis begitu sahaja lebih banyak daripada hadiah saguhati diperolehinya.

Itulah hakikat yang berlaku dalam PH kini. Nombor disusun dan dihitung untuk dibawa SD berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

Naik turun. Beberapa siri pertemuan dan perbincangan untuk mendapat nombor telah dilakukan. Beberapa pemimpin PH naik turun ke pejabat membincangkan perihal nombor. Sudah lebuk (lunyai) jalan dan tangga Yayasan Perdana dan juga Bukit Gasing.

Namun sampai kini belum berhasil. Nombor-nombor yang dibeli dan disusun tidak mengena dan belum menjadi.

Yang anehnya nombor yang diberikan itu oleh para agen ramalan itu tidak logik dan munasabah langsung. Ada nombor terbalik, senget bengek, bertukar antara nombor 6 dengan nombor 9. Bahkan kadang-kadang ada nombor tidak cukup bentuknya, nak kata 7 macam 1, nak kata 1 seperti 7.

Paling teruknya sambil mencari nombor sudah ada yang berangan-angan untuk berpoya-poya atau makan angin kalau nombor ditikam berjaya kelak. Ada yang bernazar untuk pergi makan angin di Eropah dan ada juga yang nak pergi kerjakan Umrah? Hiss... Dan juga sudah ada pengsan dalam berangan-angan.

Sebenanrya pemburuan nombor itu bukan mudah lagi apabila Muhyiddin Yassin sudah mengikat ahli parlimen yang dilihat sebagai mirit kepada pembangkang dengan jawatan dan habuan. Dalam minda ahli politik yang meletakkan kebendaan di hadapan, sementara prinsip perjuangan di sisi, sukar untuk dipancing. Walaupun semalam seorang timbalan menteri meletak jawatan tetapi ia tidak memberi kesan diharapkan.

Hambatan lain.

Selain tidak cukup nombor, PH juga berhadapan dengan masalah siapa yang akan jadi PM sekiranya berjaya mendapat nombor dan diterima menghadap oleh Agong. Kononnya masa dan ketika untuk menghadap Agong akan ditentukan sebaik persoalan siapa PM sudah dicapai. Oh rupanya masih belum pasti siapa yang hendak dinobat sebagai PM. Aneh dan melucukan, kalau burung belum ada tetapi sarang sudah disiapkan itu kerja sikit gila. 

Katanya masih jadi pertikaian mengenai calon PM itu. Ada yang mahu dan mengusahakan Dr Mahathir dilantik jadi PM sekali lagi. Ada yang mahukan Anwar Ibrahim. Pendapat yang berbeza itu juga menjadi masalah kepada PH keadaan ini melengahkan untuk mengambil alih kerajaan.

Sampai kini persefahaman itu tidak ditemui. Namun soal siapa PM ini dilihat lebih mudah daripada mencari nombor tadi.

Perselisihan soal siapa untuk diangkat jadi PM tidak begitu sepenting untuk mendapat nombor. Kalau nombor benar-benar sudah cukup, Mohamad Sabu pun boleh diangkat jadi perdana menteri. Yang penting dapat merampas balik kerajaan dan dendam terbalas. Hati puas.

Padahal yang logiknya kalau PH sudah cukup nombor, Anwar Ibrahim lah patut diangkat jadi perdana menteri tanpa dakwa dakwi lagi. Tidak munasabah kalau tiba-tiba Dr Mahathir masih mengigau lagi untuk dijadikan perdana menteri selepas beliau bergurau biawak (merajuk kepada yang tidak sayang) meletakkan jawatan pada 25 Februari. Mereka yang mahukan Dr Mahathir masih jadi PM mungkin sudah bingung kerana tidak ada perasaan terhadap kekhilafan dilakukan bekas PM itu sehingga hilang sebuah kerajaan.

Sepatutnya nama Mahathir sudah tidak perlu disenaraikan lagi sebagai PM. Penjelasan Yang diPertuan Agong Al Sultan Abdullah semasa pembukaan sidang "parlimen skirt" tempoh hari sudah cukup. Baginda telah memujuk Mahathir agar tidak melepaskan jawatan, tetapi Dr Mahathir tetap dengan keputusannya, mahu melepaskan jawatan. Jelas di sini bahawa Dr Mahathir penanggungjawab dan melakukan kesilapan.

Apakah orang yang telah meletak jawatan layak untuk kembali ke jawatan itu lagi? Dan apakah logiknya. Dan bagi para penyokong Anwar dan Anwar sendiri tentu sukar untuk beliau menerima Dr Mahathir sebagai PM, hatta beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekali pun. Tampak sangat politik begitu gilakan kuasa dan kering dengan prinsip.

Justeru saya rasa Mahathir sendiri menyedari ini. Dalam kepalanya kini bukan soal dia jadi PM atau siapa, tetapi soal paling penting ialah soal nombor yang tidak cukup. Dr Mahathir tentu tidak tersihir dengan permainan nombor ramalan yang dilakukan oleh sang nujum kini kerana beliau seorang yang praktikal.

Dan adalah "ngor" kata orang Kelantan kalau tiba-tiba beliau masih terus mengidam jawatan itu. Atau pun memang Dr Mahathir seorang politis yang ngor?

Tidak perlu rampas kuasa. 
Lantaran itu usaha untuk merampas kerajaan PN itu tidak diperlukan dan bukan agenda terdesak pun ketika ini. Bukan kerana ia sukar dan amat mustahil, tetapi perbuatan itu juga tidak memberi sumbangan moral dan nilai politik kepada bangsa.  

Bagi mereka yang ada prinsip dan moral politik akan kekal dan marah dengan perbuatan golongan yang melakukan kudeta tempoh hari, apakah mereka (PH) juga mahu melakukan perkara sama yang tidak bermoral itu? Kalau begitu, sudah tidak ada beza dari segi moral politik di antara PH dengan PN.

Bukan itu sahaja, sekiranya nombor yang dicari itu mencukupi dan berlaku rampasan kuasa ia boleh menghuruharakan negara. Keadaan tidak kondusif dan kestabilan politik juga tidak akan hadir. Tidak elok kalau kita meneruskan suasana tidak baik untuk negara kerana kita juga sebenarnya termasuk dalam kebilah pengkhianat. 

Apa lagi kalau nombor yang diperolehi itu setakat menang "starter", atau hadiah sagu hati, maksudnya dengan kelebihan dua atau tiga kerusi sahaja, keadaan jadi huyung hayang, renyuk petuk juga. Dengan kelebihan atau bentuk kerajaan dengan majoriti ramping ia meletakkan kerajaan PH nanti seperti telur di hujung tanduk seperti kerajaan PN hari ini. Situasi dan kondisi itu sangat tidak kondusif bagi sebuah kerajaan.

Kalau kita mengatakan pelabur luar tidak akan masuk kerana kerajaan PN tidak stabil apakah dengan angka kecil kerajaan PH negara stabil dan pelabur akan masuk?

Keadaan seperti itu tidak memberi kebaikan kepada negara. Selagi adanya permainan politik bobrok dan bajingan, ia merugikan. Rakyat akan jadi mual kerana mereka dihadap dengan keadaan politik harubiru dan tidak stabil. Begitu juga para pegawai kerajaan yang menjadi jentera kerajaan tidak bersemangat untuk bekerja. Kesannya kelak adalah hasil produktiviti negara lemah dan menurun. 

Terbaik dalam tempoh menanti Piraum PH memperkemaskan organisasi dan mengenali muka-muka baru untuk menjadi pengganti kepada mana-mana wakil rakyat yang curang dan lari itu. 

Menghadapi pilihan raya.
Cara terbaik adalah menghadapi pilihan raya. PH tunggu sampai habis tempoh kerajaan PN memerintah dua tahun setengah nanti. Ada yang bimbang kalau dibiarkan Muhyiddin akan mengukuhkan kedudukan kerajaan yang mana ia menyukarkan. Dan ada juga bimbang kalau Muhyiddin akan melepaskan para pemimpin Umno yang sudah didakwa demi survivenya.

Sebenarnya ilusi dan bayangan itu tidak perlu ditakuti. Membuat perhitungan kerajaan PN akan kuat sesuatu yang tidak tepat dan ia seperti kita mencipta hantu untuk mengusik diri sendiri. Tidak mungkin dalam rangka kerajaan itu yang terstruktur dengan tidak baik, tanpa mandat rakyat ia jadi mampat dan kuat. 

Semua perlu faham kondisi kerajaan PN yang ada hari ini. Ia dibangunkan bukan atas aspirasi dan mandat rakyat, sebaliknya dengan suatu pengkhianatan. Rakyat yang bermoral mengimpikan sebuah kerajaan bersih, sama sekali tidak akan mendokong kerajaan itu. Dan rakyat sedang mengasah parang, golok dan pisau untuk mengajar pengkhianatan. [wm.kl.11:11 am 05/06/2020]

Perhatian: Bahagian kedua nanti dipaparkan analisa awal peluang PH dan PN dalam Piraum ke-15 kelak. 

Glosori:
Ngor (Kn) = tolol, bodoh, dugu, babuk. 

No comments: