Monday, July 13, 2020

Speaker parlimen Malaysia di era normal baru

ULASAN

Mohamad Ariff Mohd Yusuff speaker cemerlang.
MENGULAS apa yang berlaku di hari pertama sidang parlimen hari ini, khususnya mengenai usul dikemukakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (Pagoh) untuk mengosongkan kerusi speaker yang disandang oleh Mohammad Ariff Mohd Yusuff, mencatat beberapa perkara baru yang boleh disebut sebagai sejarah hanyir dalam demokrasi Malaysia.


Apa yang berlaku tadi juga bukan sahaja hanyir tetapi membantutkan usaha untuk melakukan perubahan dan pembaharuan parlimen yang diusahakan oleh kerajaan PH sebelum ini yang sudah lama dituntut rakyat.

Ada aspek yang boleh dipertikaikan baik dari segi peraturan mesyuarat, amalan sebelum ini dan juga dari sisi perlembagaan. Selain itu ia terserlah betapa huduh dan dangkalnya perangai dan pemikiran anggota Dewan Rakyat di bawah kerajaan PN.

Apa yang menimpa Mohamad Ariff adalah pertama kali berlaku dalam sejarah lebih 60 tahun demokrasi berparlimen di Malaysia. Beliau diminta melepaskan jawatan itu kerana pihak kerajaan ingin mahu mengisinya dengan orang lain sesuai dengan peralihan kerajaan yang berlaku dengan kudeta.

Tindakan itu tidak pernah berlaku sebelum ini dimana pertukaran speaker boleh berlaku apabila bermulanya sesuatu penggal baru parlimen, atau speaker telah meletak jawatan atau pun mati. Adapun proses perletakan jawatan dengan usul mengosongnya jawatan itu belum pernah berlaku dan inilah pertama kali terjadi di era Malaysia melalui normal baru Covid.

Tampaknya kejadian songsang kalak, itu berlaku ketika kerajaan PN dibawah pimpinan perdana menteri Muhyiddin Yassin yang pelantikannya menimbulkan kontroversi kerana masalah nombor sokongan terhadapnya.

Seperti kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson), pemecatan Mohamad Ariff tidak munasabah apa lagi beliau seorang speaker yang berwibawa dan cemerlang. Anwar membantah keras usul untuk memecat Mohamad Ariff.

Anwar: Ariff seorang speaker cemerlang.
Beberapa kali Anwar yang bangkit mempertikaikan usul berkenaan dan minta penjelasan daripada kerajaan, kenapa usul itu harus dikemukakan. Bagaimanapun ia tidak dilayan seperti sepatutnya secara professional sesuai dengan martabat Dewan dan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang yang mempunyai perioriti. Masa yang diperuntukan juga semput seolah-olah ia sengaja diperlakukan begitu.

Cara Timbalan Speaker Rashid Hasnon mengendali mesyuarat pembentangan usul tersebut tidak ada kelas dan standard langsung sebagai seorang pengerusi mesyuarat yang adil dan bijak dimana kalau kerajaan bercadang hendak menggugurkan speaker seharusnya gugurkan Rashid terlebih dahulu.

Keengganan Timbalan Speaker Rashid atau wakil kerajaan menjelaskan perkara itu dengan berselindung di sebalik peraturan, menunjukkan bahawa usul dikemukakan itu tidak mempunyai alasan yang konkrit melainkan kerana motif politik. Sikap Timbalan Speaker itu mengecewakan Anwar dan juga pemerhati politik.

Mohamad Ariff adalah Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik memegang jawatan itu sebaik kerajaan PH dibentuk, dalam kenyataan medianya menyifatkan apa yang berlaku ke atas dirinya satu kejadian yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 800 tahun di mana-mana negara seorang speaker berhenti (dipecat) kerana tanpa ada kesalahan, atau sehingga tamat tempoh perkhidmatannya.

Menurutnya apa yang berlaku itu di luar pada biasa dan beliau tidak tahu sama ada terdapat di negeri-negeri lain melainkan di Trinidad dan Tobago yang melakukan tindakan memecat speaker parlimen mereka. Menurutnya Trinidad katanya mengusir Speaker pada tahun 1990 kerana speaker itu melakukan kesalahan rasuah.

"Apa yang berlaku sekarang di luar pada biasa dan saya tak tahu sama ada terdapat negeri-negeri lain melainkan Trinidad dan Tobago yang melakukan perkara sebegini.

"Trinidad usir speaker pada 1990-an sebab speaker itu lakukan kesalahan rasuah.

"Tapi tidak ada apa-apa contoh lain selama 800 tahun tak pernah seorang speaker diusir sebelum tamat tempoh satu-satunya parlimen," katanya dalam sidang media di parlimen dipetik.

Bekas speaker itu lantas menyinis apakah Malaysia sudah mahu jadi dan meniru Trinidad dan Tobago?

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) yang bangun mencelah juga tidak bersetuju dengan pemecatan Mohamad Ariff, bersependapat dengan Anwar bahawa pemecatan itu sebagai tidak munasabah dan bermotif politik.

Daripada apa yang dijelaskan oleh Ketua Pembangkang, wakil Langkawi, wakil-wakil lain turut mencelah serta ulasan Mohamad Ariff itu sendiri, jelas apa yang berlaku hari ini sesuatu yang luar biasa dan menggambarkan tindakan kerajaan memecat speaker kerana terdesak dan takut dengan kedudukan Muhyiddin yang tidak mendapat sokongan memuaskan semasa membentuk kerajaan tempoh hari.

Apa yang berlaku itu juga menggambarkan tidak menghormati peruntukan atau amalan biasa dan sekaligus mencacatkan proses persidangan parlimen. Tampaknya pihak yang berkuasa parlimen tidak lagi mementingkan soal peraturan, semangat bermusyawarah, menjaga wibawa dan juga maruah parlimen sebagai dewan legislatif yang mulia. 

Ekoran pertikaian di atas tindakan tidak munasabah dan bermotif politik itu menyebabkan dewan yang mulia itu sudah jadi macam bangsal durian yang boleh diperkotakatikan tanpa ada rasa malu dan tanggungjawab.

Penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan, (Kota Bharu) kononnya tindakan diambil itu tidak salah dan ia bukan proses pemecatan sebaliknya pengosongan jawatan speaker sangat lucu dan bersifat kebudak-budakan. Beliau secara simplastik cuba berlindung tindakan itu dengan kedudukannya sebagai seorang pengamal undang-undang sebagai ianya betul.

Semua orang tahu termasuk Mamat Gila di Kuala Semantan faham apabila usul mengosongkan jawatan speaker itu adalah sebagai memecat atau menyingkir Mohamad Ariff. Nampaknya Takiyuddin benar-benar mengamalkan ilmu khilas dan lipat siku dalam parlimen seperti mana yang ditarbiyahkan kepadanya selama ini. (Cis menatang).

Kenapa ia dipertikaikan kerana usul pemecatan Mohamad Ariff itu sebagai songsang dan dibuat kerana tidak mengikut peraturan yang seharusnya. Perdana Menteri telah mengemukakan usul melantik Azhar Harun sebagai speaker sebelum Mohamad Ariff mengosongkan jawatan itu sedang pencalonan untuk lantikan speaker difahami boleh dibuat apabila jawatan itu kosong atas sebab-sebab tertentu.

Hal ini diungkit oleh Gobind Singh Deo (Puchong) yang menyoal macam mana usul pelantikan dibuat sedang jawatan itu masih belum kosong sedangkan katanya menurut kebiasaan pengisian itu boleh dilakukan apabila ia kosong. Gobind ungkit kerana pemilihan Azhar itu juga tidak dibuat menerusi undian.

Perbezaan dalam memahami prosuder pelantikan speaker iniah menjadi berlaku perdebatan sehingga dewan jadi macam kandang kerbau. Apa dibangkit oleh Gobind Singh itu langsung tidak dijawab, sebaliknya diputar belitkan oleh oleh Takiyuddin dengan berselindung disebalik istilah undang-undang.

Keengganan dan kegagalan pihak kerajaan bersikap professional menyebabkan beberapa ahli parlimen pembangkang bangkit seorang demi seorang menyatakan kekesalan mereka dan ada yang memperolok-olokkan Azhar yang baru dilantik itu. Salah seorangnya Khalid Samad (Shah Alam) yang lantang mengkritik tindakan speaker yang tidak memberi laluan atau melayanya.

Kemuncak Khalid diminta keluar dewan dan tindakan ke atas Khalid itu menjadi sejarah tersendiri buat Azhar Harun yang menjadi speaker tidak sampai 20 minit telah menggunakan kuasa yang ada kepadanya untuk menghalau keluar seorang anggota dewan. Tindakan Azhar itu boleh ditafsirkan bahawa selepas ini beliau mungkin boleh bertindak lebih kejam daripada itu.

Tindakan Azhar itu akan dicatat dalam lembaran sejarah tindakan di minit pertama oleh seorang speaker yang tidak pernah terjadi sebelum ini oleh mana-mana speaker baik speaker Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. [wm.kl.8:09 pm 13/07/2020]

No comments: