ULASAN MALAM
AHLI Parlimen Gua Musang yang juga selalu Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyeru para menteri kabinet daripada Umno yang menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) berundur sebagai anggota menteri secepat mungkin.
Tengku Razaleigh memberi pandangan itu setelah melihat perkembangan terbaru dan perubahan dalam parti Bersatu kini yang mana ia bukan lagi sebuah parti Melayu tulen seperti di awal penubuhannya dahulu.
Kesediaan parti Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai anggotanya kata Razaleigh dengan sendiri menyebabkan ia tidak layak menjadi anggota Pakatan Melayu Islam yang didokong oleh Muafakat Nasional.
"Kita tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara," kata Razaleigh.
Tegasnya dengan berlakunya perubahan seperti diumumkan Bersatu, wajar ahli Umno yang menganggotai kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang.
"Ia patut dilakukan secepat mungkin supaya kita tidak membuang masa dan dapat menumpukan kepada masalah lebih besar," tekannya lagi.
Tengku Razaleigh membuat pandangan dan gesaan itu dalam satu kenyataan rengkas dikeluarkan hari ini.
Sembilan menteri.
Terdapat sembilan ahli parlimen Umno dilantik menjadi menteri antaranya ialah Annuar Musa, Ismail Sabri Yaakob, Noraini Ahmad, Khairy Jamaluddin, Shamsul Anuar Nasarah, Reezal Naina Marican, Hishammuddin Hussein dan Adham Baba dan Halimah Sadique.
Manakala lima ahli parlimen Umno yang dilantik menjadi menteri pula; Mastura Yazid, Ismail Mohamad Said, Zahidi Zainul Abidin, Ahmad Hamzah dan Abdul Rahman Mohamad.
Sekiranya ahli parlimen Umno berprinsip dan meletakkan kepentingan parti dihadapan gesaan Razaleigh itu perlu diberi perhatian wajar.
Apakah menteri Umno sedia berbuat demikian kerana kedudukan mereka itu adalah kemuncak bagi seorang wakil rakyat yang mengejar jawatan. Bukankah menjadi wakil rakyat itu destinasi pencapaiannya menjadi menteri membawa kepada perdana menteri?
Justeru cadangan dan pandangan Ku Li itu tidak mudah dituruti dan hanya akan berlaku kepada mereka berprinsip dan tidak pernah pelahap untuk menjadi menteri atau timbalan menteri sahaja. Mereka yang pelahap dan lapar akan tetap mengepah jawatan itu walaupun ianya hampas.
Ahli parlimen seperti Annuar Musa yang nampaknya sangat berusaha agar Umno bergabung dengan Bersatu yang dengan menggunakan berbagai alasan, konon untuk perpaduan Melayu dan Islam, tidak mungkin akur dengan gesaan bekas Menteri Kewangan itu.
Gesaan Razaleigh itu akan jadi bagaikan angin lalu dan daun-daun kering keguguran sahaja.[wm.kl. 7:57 pm 28/08/2020]
No comments:
Post a Comment