Monday, January 24, 2022

Anwar perlu berani dan tegas kembalikan kekuatan

PANDANGAN


MERUJUK kepada kenyataan Anwar Ibrahim bahawa PH akan bergabung dengan semua pembangkang untuk menghadapi Pirane Johor, ingin saya mengemukakan satu pandangan yang mungkin tidak disenangi oleh pihak tertentu.
 
Cadangan Anwar selaku pengerusi PH untuk menggabungkan semua pembangkang dan komuniti sivil menghadapi pilihan raya itu bagi menjamin kemenangan PH dan memulihkan semula PH yang kelihatan lendur kini, ia satu tindakan baik.
 
Tetapi ada sesuatu yang mungkin perlu diambil hirau sama oleh Anwar untuk menambahkan kekuatan pembangkang menghadapi pilihan raya itu.
 
Selain melihat kepada keperluan pembangkang bergabung dan berpadu dengan satu matlamat, beliau seharusnya melihat ke dalam partin sendiri juga. Kena diakui bahawa keadaan dalam PKR (Keadilan) dan kekuatannya kini tidak semapan dahulu. 

Perpecahan disebabkan khianat Azmin Ali, Jaafar Kamaruddin dan suku sakatnya tidak terhad disitu sahaja, tetapi Keadilan mempunyai kepincangan-kepincangan lain yang boleh diperbaiki. Kepuakan dalam Keadilan, kronisme dalam parti itu masih berlaku seperti parti itu masih seutuh zaman dulu.

Perpecahan, pemecilan individu tertentu termasuk yang mempunyai jawatan masih berlaku, dan keadaan ini menyebabkan Keadilan tidak sekuat dahulu. Begitu juga pemecatan keahlian tanpa merit jelas, penggantungan kerana ia menjadi saingan kepada seseorang bukan pun kepada parti tidak perlu diterus dan dibiarkan. Ada bukti menunjukkan ada kejadian itu, termasuk di Johor. (Perlukah saya sebut disini?)

Anwar kena usaha pulihkan parti, mempersatukan semua pemimpin yang ada, mengutip mana-mana individu yang tersisih dan terbuang, membebaskan mana-mana ahli digantung tanpa tali dan sebab, agar berada dalam satu saf. 

Mana-mana bekas ahli yang sebelum ini melaut dan sudah kembali ke pantai semula, hendaklah diberi peluang kedua dan dipergunakan seoptimunya tenaga mereka, jangan tunggu lama takut yang ditunggu hilang pula.

Saya sebut beberapa contoh individu atau pemimpin yang "terbuang" tetapi mereka ada aura dan kelebihan tersendiri dan pengalaman yang boleh menguat parti, perlu dikumpul semula dan disatukan. Ditanam semangat baharu dengan azam dan iltizam baru.

Antara merek; Rafizi Ramli, Ezam Muhammad Noor, Mustafa Kamil Ayub, Tian Chua dan lain-lain, hendaklah diambil kira dan letakkan mereka dalam gelanggang parti dengan tanggungjawab masing-masing mengikut kepakaran mereka. Lupalah segala titik bengik yang merugikan parti dan perjuangan reformasi.
 
Sebagai presiden Anwar harus berani dan tegas dalam soal ini. Tidak perlu pertimbang dan dengar nasihat yang kacau. Soal ada yang menyakit hatinya, yang khianat kepadanya, yang kurang ajar kepadanya, yang mengecewakannya, perlu diketepikan kerana tindakan sebegitu bukan suatu yang perlu dibiarkan selamanya dalam politik yang mana hakikatnya undi seseorang yang menyakiti hati sama nilainya dengan undi yang taksub dan sujud tidak bertepi kepada kita.
 
Dalam Keadilan bermasalah, miskin pemimpin, kurang penggerak dan aktivis, sokongan kian menipis, Anwar dan semua orang Keadilan harus menyihat pemikiran politik. Kalau sudah ada nekad dan semangat untuk menyatukan pembangkang, maka perlu juga ada nekad dan azam untuk berbuat hal sama kepada mana-mana individu dalam parti sendiri (Keadilan), terhadap bekas ahli dan sebagainya khasnya yang kini menghulur tangan untuk disambut. Trims. [wm.kl. 9:39 pm 24/01/2021]

No comments: