SOROTAN PAGI
SEMALAM diumumkan barisan kepimpinan sebuah lagi parti baru, Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dikaitkan dengan bekas ahli Keadilan. Sebelum ini Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin disebut-sebut sebagai bakal memimpin parti ini. Tetapi tampaknya tidak jadi apabila ahli Parlimen Julau Larry Soon@Sug diumumkan sebagai presiden. Larry Sug ini juga adalah bekas ahli Keadilan dan pernah menjadi pengerusi Keadilan Sarawak.Manakala timbalan presiden I, Haliza Mohd Talha. Hampir 90% barisan kepimpinan diisi oleh bekas ahli Keadilan. Apa yang jelas parti yang dijenamakan semula daripada parti Pekerja Sarawak itu menjadi wadah mengumpul bekas-bekas ahli Keadilan yang meninggalkan perjuangan reformasi.
Walaupun nama Zuraida dan Azmin Ali tidak disenaraikan dimana-mana jawatan dalam parti itu, tetapi hakikat mereka berdualah pemilik parti itu. Yang menjadi roh dan jasadnya.
Parti itu ditubuh atas kehendak naluri Azmin bukan sesiapa. Ia bertujuan untuk dijadikan alat atau wadah bagi memancu apa yang menjadi cita-cita agung Azmin dalam hidupnya selama ini untuk menjadi perdana menteri. Mungkin buat sementara mereka menyembunyikan diri dan meniup api menyalakan bara parti itu dari dalam, tetapi bila sampai ketika ia akan menjelma secara zahir juga.
Keadaan itu sementara sahaja atau sebagai satu taktik untuk melihat reaksi seseorang terhadapnya. Sebab itu sejak awal-awal lagi sudah sudah membuat tebakan disebalik apa yang berlaku itu. Saya tidak mengira ia adalah kehendak Zuraida melainkan ia dijadikan alat atau abdi suruhan Azmin sahaja untuk kepentingannya. Kesetiaan Zuraida kepada Azmin mengatasi kesetiaan kepada presiden parti lamanya, Keadilan.
Mungkin ramai orang tidak faham kenapa perlu ada PBM. Atau kenapa Azmin Ali perlu menubuhkan sebuah parti lain sedangkan beliau kini sudah menjadi ahli Bersatu. Apa yang boleh difahami berlakunya situasi itu kerana tentu ada sesuatu yang tidak menyenangkan sedang berlaku. Yang sudah pastinya Azmin dan kumpulan "muhajir" itu tidak selesa dengan apa yang berlaku, ia tidak memberi suasana kondusif buatnya untuk menapak ke kemuncak politiknya.
Perlu difahami cita-cita Azmin adalah untuk menjadi perdana menteri, sama dengan apa dicita-citakan oleh bosnya sebelum ini Anwar Ibrahim. Apa yang dapat ditafsirkan dengan pewujudan parti itu menunjukkan Azmin sudah dapat mengira harapan dan kebergantungan angan-angan kepada Mahiaddin melalui Bersatu sudah pudar, sudah tidak ada harapan lagi. Serentak itu dengan tindakan Azmin itu, Bersatu kini sedang dalam keadaan retak yang menunggu belah sahaja. Nafas Bersatu tampaknya tidak berapa panjang?
Kepada para becak politik, apa perlu difahami dengan kewujudan PBM ialah perlu ditafsirkan maknawi politiknya tidak boleh dilihat selayar (lapis). Hal ini saya sudah tebak awal-awal lagi. Ia adalah merupakan agenda untuk mencapai cita-cita agung Azmin Ali. Cita-cita Azmin yang satu ini tidak dapat disembunyikan, bahawa beliau ingin menjadi perdana menteri. Sementara untuk mencapai itu langkah pertamanya haruslah menjadi timbalan perdana menteri.
Azmin sudah kesekian lama mengidam jawatan itu. Ia bermula dan menjadi ghairah apabila PH memenangi pilihan raya umum ke-14. Pelantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM diera Mahathir Mohamad sangat melukakan dan mengecewakannya. Sejak itu beliau tidak pernah diam berusaha untuk meraih jawatan itu.
Malangnya angan-angan itu masih belum dicapai waktu ini. Mungkin ada yang menolak pandangan ini? Namun realiti ini tidak boleh ditolak dengan memahami kenapa beliau sanggup khianat Anwar dan tinggal parti Keadilan. Sebabnya kerana kegagalan beliau untuk mendapat jawatan itu semasa dalam Keadilan. Itu sahaja puncanya.
Beliau sudah membaca kedudukannya dalam Keadilan menyukarkan apabila Anwar kembali aktif dan memimpin parti. Maka beliau harus mencari jalan keluar. Jalan keluar ialah dengan bersekongkol dengan Mahiaddin. Tindakan itu tidak salah sebagai seorang politis yang perlu mempunyai cita-cita besar. Cita-cita besar bagi orang politik adalah minyak yang menghidupkan engen politiknya.
Orang politik seperti seorang pemburu. Jika dalam hutan itu sudah dipastikan tidak ada haiwan diburu, maka si pemburu perlu berpindah ke belukar atau belantara lain demi mencapai apa diidam-idamkan. Nah, begitu juga dengan Azmin dalam memburu jawatan timbalan perdana menteri itu. Bila dia sudah membaca di situ menyukarkannya maka beliau perlu keluar. Apa kena ingat Azmin seorang yang setakat ini jarang gagal.
Bersatu adalah belantara untuk Azmin memburu apa diidamkannya. Kesanggupan Azmin menukar parti ini sesuatu yang menarik dan sangat signifikan. Ia tentu sudah ada perjanjian awal dengan Mahiaddin untuk keuntungan. Kalau tidak ada perjanjian itu, tidak semudah itu untuk Azmin menukar belantara pemburuan. Azmin boleh diibarat sebagai ceti dalam politik yang memberi pinjaman wang tetapi kena membayarnya dengan bunga berlipat ganda.
Apabila beliau membuat kolaborasi dengan Mahiaddin tentu ada persefahaman dan janji intim. Janji itu pastinya untuk jawatan timbalan perdana menteri. Namun malang, jawatan itu tidak dapat dipenuhi oleh Mahiaddin kerana faktor dan senario yang tidak memudahkan Mahiaddin memenuhi kehendak Azmin itu. Dan untuk sementara waktu Azmin boleh bersabar dengan hanya dilantik sebagai menteri kanan, yang menunjukkan Azmin adalah candidate TPM oleh Mahiaddin.
Bagaimana pun, hati Azmin terkedu dan luka dengan perkembangan seterusnya. Apabila Mahiaddin meletak jawatan dan jawatan PM diisi oleh Ismail Sabri Yaakob, jawatan yang diidam-idamkkan itu juga tidak sampai kepadanya apabila Ismail Sabri tidak melantik jawatan TPM. Maka sekali lagi Azmin kempunan usahkan gagal menajdi PM, untuk memegang jawatan TPM pun belum tercapai.
Keadaan inilah menyebabkan Azmin yang akal politiknya panjang mula berfikir sesuatu untuk memastikan beliau tidak akan terus terapong-apong dengan cita-citanya itu. Beliau perlu memastikan jawatan itu menjadi haknya jua. Caranya bagaimana, cara ialah dengan mendesak Mahiaddin agar mengusahakan jawatan itu untuk dirinya. Azmin akan menjadikan Mahiaddin sebagai borak untuk terbang ke kerusi TPM.
Penubuhkan PBM itu adalah strategi Azmin untuk capai cita-citanya. Azmin akan gunakan PBM untuk mendesak dan menjadikan Mahiaddin tidak senang duduk selagi jawatan TPM tidak diserahkan kepada Azmin. Azmin mahu menyusahkan Mahiaddin agar mendesak Ismail Sabri meklantiknya sebagai TPM. Itu yang dikehendaki dan itulah tujuannya penubuhan PBM. Azmin kini sedang menuntut janji dengan Mahiaddin.
Dan dalam hal ini Mahiaddin perlu menurut atau pun memberi perhatian terhadap apa dikehendaki Azmin itu. Bagi Mahiaddin ini kerja berat untuknya. Dalam kata lain perwujudan PBM itu sebagai satu kata dua untuknya dan menentukan hubungan dan kerjasama dengan Azmin. Sekiranya dia gagal meletakkan Azmin di kerusi TPM ia akan mengancam kedudukan dan masa depan Bersatu itu sendiri. Kekuatan dan tali hayat Bersatu ditangan Azmin. Mahiaddin harus melunasi janji dengan Azmin dengan adanya PBM itu.
Kesimpulannya penubuhan PBM bukan apa-apa melainkan sebagai alat bagi memastikan Azmin dilantik sebagai TPM. PBM meletakkan Mahiaddin dalam tugas berat sekarang ini. Dengan mengira itulah tujuan PBM ditubuhkan menjadi pendesak untuk kepentingan peribadi Azmin ia tidak mempunyai masa depan dan matlamat yang jelas. Ia akan mengsia-siakan hidup orang politik yang menjadi ahli parti itu. [wm.kl.7:58 am 09/01/2022]
No comments:
Post a Comment