Monday, May 30, 2022

Keadilan kembali ke landas reformasi

ANALISA PEMILIHAN PKR

WALAUPUN peringkat awal ada pihak mempertikaikan ketelusan proses pemilihan dalam PKR yang pertama kali melaksanakan dua kaedah, secara maya dan fizikal, tetapi keputusan diperolehi daripada proses itu seperti realistik dan tidak banyak menimbulkan pertikaian. 

Gambaran bahawa wujud 59,000 undi atas talian meragukan sebelum ini tidak menjadi pemusnah keyakinan ahli parti kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang diketuai Dr Zaliha Mustafa.  

Proses pemilihan sudah pun selesai dan hanya menunggu pengumuman rasmi yang akan dibuat semasa kongres nasional nanti. 

Walaupun ada beberapa bantahan mengenai kesahihah undi, tetapi ia tidak mempengaruhi keputusan yang telah dimaklum. Seperti umum sudah ketahui, untuk jawatan timbalan presiden dimenangi Rafizi Ramli yang menewaskan Saifuddin Nasution Ismail. Kemenangan diraihkan Rafizi boleh dianggap besar, apabila majoriti cecah lebih 20,000.

Secara jujurnya semasa berlangsung kempen ia dibimbangkan akan berlaku keretakan dan belah sekali lagi dalam parti itu. Alhamdulilah dengan ulasan awal diberikan Saifuddin Nasution yang menerima kekalahannya, melegakan dan menjelaskan kenyataan dan pengakuan Setiausaha Agung itu, beliau seorang pejuang sejati yang tidak kecewa dengan kekalahan dalam pertandingan. Semangat ini yang ditunjuki oleh Saifuddin itulah perlu ditaladani. Persahabatan dalam parti tidak dicarikkan dengan pertandingan. 

Secara jujur, saya sendiri bimbang kalau Rafizi yang berada dipihak Saifuddin, apa lagi beliau awal-awal sudah membuat "pertikaian" akan ketelusan proses pemilihan itu dan mempersoalkan keberkesanan cara pemilihan. Bukan itu sahaja, ia tambah membimbangkan apabila mengenangkan apa yang berlaku sebelum ini apabila bekas ahli Parlimen Pandan itu kalah dengan Azmin dan rentetan daripada itu beliau bercuti daripada parti.  

Dalam analisa dibuat Rafizi, beliau mendapat lebih 60 peratus undi, dan 80 peratus cabang Keadilan di seluruh negara berpihak kepadanya. Fakta ini disifatkan sebagai satu kemenangan belum pernah dicapai oleh mana-mana calon timbalan presiden. Perangkaan itu juga menunjukkan pemilihan dalam Keadilan kali ini dibuat secara kolektif dan berasaskan satu tujuan dan satu matlamat.

Rafizi berjaya menduduki jawatan itu selepas percubaan pertamanya berentap dengan Azmin Ali, kalah tiga tahun lepas. Ketiadaan Azmin Ali dalam Keadilan kerana tergamak mengkhianati parti dan perjuangan serta tegal meninggalkan bosnya Anwar kerana mengejar keinginan nafsu, membuka peluang untuk Rafizi menunjukan bakat kepimpinan dan idealisme politiknya. Itulah hikmah tersembunyi disebalik pengkhianatan Azmin. 

Secara umum, memerhati kepada keputusan pemilihan PKR itu, ia dibuat dengan penuh kewarasan dan rasional oleh perwakilan. Pemilihan kali ini bukan sahaja berjalan dengan lebih tertib menggambarkan ahli PKR sudah matang dan berusaha untuk memadukan parti selepas disedari keutuhan parti mulai goyah. Berdasarkan proses dan pencapaian itu dapat dirumuskan beberapa perkara berikut:

1. Pemilihan yang realisitik dimana perwakilan tidak memihak atau teruja dengan satu-satu kem sahaja, tetapi memilih calon-calon yang dipercayai dan berkelayakan tanpa mengira kem dapat memancu masa depan parti dan perjuangan rakyat. 

Maksudnya semua kem berada dalam mainstream kepimpinan. Perwakilan tidak memilih untuk berpuak tetapi memilih individu atau tokoh yang dilihat mempunyai iltizam dan ketulusan dalam parti. Pemilihan ini cara ini waras dan matang. Anggota parti menyayangi semua pemimpin mereka. 

Misalnya, walaupun calon Ketua Pemuda dan Naib Wanita, Fahmi Zainol dan Napisah Khamis jelas berpihak dan berada dalam kem Rafizi, tetapi kedua-dua mereka tewas. Sebaliknya untuk calon Timbalan Ketua Wanita Juwariyah Zulkifli yang bertanding tanpa menduduki mana-mana kem menang sebagai timbalan ketua wanita.

Adam Adli yang dilihat berpihak dalam kem Saifuddin Nasution Ismail menang untuk jawatan Ketua Angkatan Muda. Corak dan bentuk pemilihan angkatan muda ini sangat-sangat professsional dan menunjukkan kematangan mereka dalam berpolitik. Anak  muda atau generasi muda Keadilan tidak lagi terikut-ikut dengan cara abang-abang mereka AMK mejalani proses pemilihan sebelum ini. Diharap kesan kepada pemilihan itu tidak memburukkan parti. 

Adam Adli dalam memberesi reaksi kepada kemenangannya mengatakan tidak sabar untuk berkerjasama dengan semua pemuda dalam Keadilan.  

Kalaupun ia agak sedikit tegang dan bias, ialah untuk jawatan naib presiden dimana tiga daripada empat kerusi diperuntukan disapu oleh calon daripada kumpulan Rafizi, dimenangi oleh Aminuddin Harun, Chang Lih Kang, dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

 Hanya seorang sahaja dari beberapa calon yang berada sepentas dengan Saifuddin, iaitu Amiruddin Shaari yang juga MB Selangor menang. Apakah kalau beliau bukan penjawat jabatan MB dan kebetulan Selangor merupakan negeri mempunyai jumlah ahli paling ramai, Amiruddin juga akan kalah?

2. Justeru pemilihan dan ketetapan oleh ahli PKR dalam proses pemilihan pemimpin kali ini, realistik, waras dan berpandangan jauh. Boleh dikatakan perwakilan bijak membuat pilihan menggunakan akal dan mengenepikan sentimen kebendaan lain. Satu pemilihan yang baik dan professional dan tidak membuka retak yang boleh membelah duakan parti. Mereka tidak terbawa dengan lagu atau irama pemilihan sebelum ini.

Realiti ini boleh dilihat kepada pertarungan antara Fadhlina Siddek dengan Rodhiah Ismail untuk jawatan Ketua Wanita dimana ia dimenangi oleh Rodhiah dengan majoriti tipis. Rodhiah mengutip 21,962 undi manakala Fadhlina memunggut 21,502. Perangkaan undi ditunjuk kedua calon inilah menggambarkan kesamarataan sokonagn dalam PKR. Mereka mewakili kedua kem, Rodzhiah dalam kem Rafizi manakaka Fadhlina kem Saifuddin Nasution. 

3. Kemenangan Rafizi dan calon-calon relatif berusia dibawah 50 tahun menunjukkan anggota parti itu memberi petunjuk bahawa ahli mahukan perubahan dalam parti berkenaan. Mereka mahu darah baru dalam parti. Tenaga lama yang sudah lebih dua dekad berjuang untuk melakukan reformasi dan mengangkat Anwar sebagai PM, mungkin sudah tidak sesuai dan berkeupayaan lagi. Perubahan ini dikira perlu berubah segera juga kerana mengambil kira kehadiran pengundi muda 18 tahun yang mana kebanyakan mereka tidak lagi bernostalgia dan hafal dengan irama dan dendangan lagu lama dimainkan parti itu. 

4. Yang penting, apa yang tertunjuk dan digambarkan dalam pembentukan pemimpin Keadilan untuk tahun 2022 - 2025 itu adalah anggota dan ahli Keadilan mahu meletakkan parti itu di atas landasan asalnya sebagai parti marhean. Mereka mahukan api reformasi terus ditiupkan dan tidak mudah malap dan tergoda dengan tawaran dan kedudukan. Mereka tetap mahu menjadikan Keadilan sebagai parti rakyat yang insaf dan sedar akan denyut nadi rakyat.

Peluang menjadi kerajaan 22 bulan mungkin dilihat sudah melencung sedikit parti berkenaan dari landasannya, juteru mereka drastik melakukan perubahan. Inilah barang kali ada yang menyifatkan Keadilan ketika sepanjang tempoh itu tidak begitu mesra rakyat dan pemimpinannya lebih kepada berlagak dan berbulan madu dengan kemenangan. Peluang menjadi kerajaan tidak diambil mendekati rakyat tetapi lebih menunjuk lagak kepada rakyat.  

Tribulasi politik dihadapi Keadilan dalam kerajaan PH, dan sikap yang ditunjuk presiden yang terus menghitung dan mencari angka untuk jadi PM juga, menyebabkan ahli kecewa dan menuntut perubahan agar parti sedar, Kegagalan mengenapkan angka secara perundingan menyebabkan ahli naik muak. Jadi apabila ada seseorang membangkitkan hal itu dan menawarkan satu menu baru, maka menu lama itu dilupakan dan sang pembangkit itu tentulah dipuja.

Apa yang mereka istilahkan politik berunding, ia adalah bukan politik gentlemen. Perundingan sangat tidak begitu digemari oleh generasi muda yang berjiwa agresif dan memberontak. Ini hakikat yang berlaku namun tidak disedari sesetengah pemimpin menyebabkan akhirnya mereka terpaksa disanggah. Kekalahan Saifuddin dan beberapa rakan sebaya dan sefiil dengannya adalah disebabkan fenomena ini.

Seemangnya anak muda dan generasi muda berjiwa mereka memberontak mahukan politik gentleman  lawan secara bersendiri tanpa meminjam dan berlindung serta menumpang kasih kepada mana-mana pihak untuk berkuasa. Slogan atau tagline lawan tetap lawan akan dipatuhi selamanya tanpa mengira musim dalam pengertian dan tindakan yang diambilnya. 

5. Konotasi lain yang dapat dilihat daripada proses dan kesan pemilihan itu, dan ini penting, bahawa wujud sikap dalam Keadilan, mereka tidak lagi meletak dan menjadikan Anwar Ibrahim bapa reformasi itu sebagai jamur yang terus bernyala dan dinyalakan untuk mecahayakan Keadilan. Walaupun kem Saifuddin Nasution menjaja kesetiaan kepada pemimpin sebagai modal kempen, tetapi ia tidak menjadi tarikan buat generasi baru dalam Keadilan. Kerana itu mereka tetap juga mengangkat pemimpin yang digambarkan sebagai suka mengambil pendekatan perang.

Bagi generasi muda mereka mengira sudah perlu diadakan pengganti Anwar yang akan menjadi jamur dan obor baharu yang lebih bersemangat dan kompeten untuk masa setahun dua lagi. Lantaran itu dijangka sekiranya Keadilan gagal meletakkan Anwar sebagai PM selepas Piraum ke-15 nanti, ketika itu Rafizi akan diberi laluan dan mengambil alih untuk memimpin Keadilan sepenuhnya. 

Bagaimana pun, walaupun ketara semangat dan generasi baharu untuk diberikan peluang memimpin Keadilan dan roh reformasi, tokoh-tokoh lama lama yang banyak berjasa dan orang yang menyuburkan parti itu sehingga seperti hari ini, jangan dilupakan begitu sahaja. Anak muda dan generasi baru perlu ada sedikit diplomasi dan memahami seni politik. Tanggungjawab mendidik mereka ini terletak sepenuhnya ditangan Rafizi selaku timbalan presiden nanti. Orang tua atau pemimpin lama walaupun sudah lemau ideanya tetapi kudratnya masih boleh juga boleh digunakan mungkin untuk hambat ayam di lesong atau menepis lipas di celah tikar. 

Melihat kepada trend pemilihan yang berlaku kali ini dengan meletakkan Rafizi sebagai orang nombor dua, parti itu sedang mempersiapkan Rafizi sebagai pemimpin Keadilan masa depan. Rafizi pula perlu berhati-hati agar tidak terlebih syok. Memetik sepatah kata-katanya sendiri ketika mengulas kemenangannya; "Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka."

Barisan kata-kata itu hendaklah difahami sebaik-baiknya oleh Rafizi. Kalau beliau sendiri juga terlupa dengan apa yang diucapkan itu kerana terlalu seronok dengan jawatan timbalan presiden, apa lagi kalau Anwar pula memberi tugas dan tanggungjawab, sementara gagal pula merealisasikan apa diiltizamkan beliau akhirnya terpaksa menelan kata-kata yang beliau lafaskan itu. Jika beliau lalai, gagal melaksanakan apa diturutkan, beliau juga nanti akan dicabut mandat itu. [wm.kl.7:39 pm 30/05/2022]

No comments: