Tuesday, May 3, 2022

Keinginan rakyat Kelantan untuk tukar kerajaan disia-siakan

PENDAPAT

MP dan Senator dari Kelantan 
yang dilantik jadi menteri.
DESAKAN dan keinginan agar kerajaan Pas Kelantan ditukar dengan kerajaan baru mendekam dalam
setiap hati rakyat Kelantan, khususnya bagi mereka yang tidak menjadi penyokong tegar dan ahli parti agama yang memerintah negeri itu. Mereka yang mahu melihat Kelantan berubah dan setanding dengan negeri-negeri lain jadi penasaran mengenangkan kerajaan Pas. 

Begitu juga bagi rakyat Kelantan yang berfikiran terbuka dan sihat, yang melihat realiti politik sebagai mekanisme untuk mentadbir dan menguruskan negeri, sangat merasakan kerajaan Pas kini perlu diganti dengan kerajaan baru. Tanpa diganti Kelantan tidak akan mengalami peredaran dan perubahan sama dengan negeri-negeri lain. Masa yang dilalui akan sia-sia begitu sahaja. 

Kelemahan dalam urusan pentadbiran, penyelewengan dan ketidak-mampuan pimpinan kerajaan yang ada hari ini mengurus negeri menjadikan rakyat Kelantan sudah tidak sabar dengan keinginan mahu kerajaan Kelantan ditukar. Ini kerana mereka berasakan seperti dipedayakan dengan ikrar kerajaan Pas selama ini. Masa selama lebih 30 tahun diberikan, tidak dimanfaat sepenuhnya oleh Pas untuk membawa sesuatu lebih signifikan buat mereka. Lantaran itu ada yang benar-benar kecewa dan mual dengan politik. Mereka sudah bosan hidup dalam retorika politik Pas dengan mengambil sikap menjauh gelanggang politik. 

Rakyat Kelantan bukan tidak ada peluang untuk menukar Pas, tetapi mereka lebih memberi peluang kepada kerajaan Pas itu yang dibawah pimpinan ulama di era Allahyarham Nik Aziz Nik Mat. Rakyat mempercayai Pas boleh melakukan perubahan seperti diimpikan. Kerana kepercayaan itulah rakyat Kelantan boleh menerima pendekatan Nik Aziz dan walaupun beliau gagal membawa pembangunan fizikal di Kelantan sejajar dengan negeri-negeri lain kerana lebih teruja dengan saksiahnya sebagai agamwan.  

Keperibadian, perangai rendah diri, jujur dan sikap humble arwah menjadikan rakyat negeri Kelantan maaf atas kelemahan dan apa yang berlaku. Keperibadian Nik Aziz itu dicagarkan semata-mata untuk Pas mentadbir Kelantan dengan baik. Rakyat Kelantan rela menelannya, kelemahan meskipun pahit atas sikap bersangka baik dan yakin dengan apa dijanjikan, syurga. 

Tetapi selepas Nik Aziz tidak ada, saksiah yang dibanggakan itu juga sudah tidak ada, menyebabkan rakyat mengharap ia diganti dengan kejayaan kerajaan Pas dalam pentadbiran. Biarlah keperibadian itu diganti dengan kemajuan. Era menerima apa yang diadakan dan menelan manis segala janji sudah berlalu. Setelah hampir lapan (8) tahun keperibadian Nik Aziz tiada maka wajar ia ditukar. Malangnya ia tidak berlaku demikian, dan mereka yang diberi peluang mengambil alih mensia-siakan peluang yang ada.

Beberapa kelemahan dalam pengurusan tadbir negeri dan penyelewengan berlaku didedahkan tidak sepantas berlaku dengan Islamisasi yang laungkan Pas menjadikan rakyat Kelantan kini sawan untuk menukar kerajaan. Di mana-mana mereka bercakap fasal kegagagalan Pas dan kekecewan kepada kerajaannya itu. Antara yang kegagalan kerajaan Pas Kelantan didedahkan dan jadi buah mulut, ialah masalah air bersih, pencerobohan alam sekitar dan pemberian hutan simpan kekal kepada orang asing atas nama pembangunan.

Rakyat Kelantan juga dukacita, walaupun Pas kini berada dalam kerajaan Persekutuan, satu kedudukan yang dinanti-nantikan selama ini dikira dapat mengubahkan keadaan Kelantan, namun kerana kelemahan dan ketumpulan idea kerajaan tidak ada apa-apa perancangan khusus untuk Kelantan. Peluang itu seaka-akan disia-siakan sahaja dan tidak reti memanfaatkannya. Pihak kerajaan jadi macam beruk yang tidak tahu pulas nyiur. 

Dari Kelantan empat orang ahli Parlimen berada dalam jemaah kabinet kerajaan Keluarga Malaysia waktu ini, tetapi mereka tidak menunjukkan komitmen untuk membawa perubahan dan pembaharuan di Kelantan. Tidak ada apa yang mereka utarakan untuk Kelantan. Mereka adalah ahli parlimen Jeli, Mustapa Mohamed, ahli Parlimen Kota Bharu, Taikyuddin Hassan, ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man, ahli parlimen Ketereh Annuar Musa dan Senator Radzi Jidin.

Kehadiran mereka tidak memberi dampak besar dan apa-apa nilai tambah untuk Kelantan melainkan perubahan dan kemajuan untuk hidup dan kerjaya politik mereka anak beranak semata-mata. Rakyat Kelantan pula boleh berbangga dengan mereka, namun tidak ada apa-apa untung dan manfaat diperolehi. Kewujudan mereka seperti fotamargana sahaja. Setelah beberapa bulan mereka jadi menteri, bahkan sudah ada lebih 15 tahun berada dalam kabinet, tiada apa-apa idea ditetaskan atau gagasan khusus untuk Kelantan difikirkan. Apa yang berlaku masing-masing berusaha untuk mengekalkan kedudukan sebagai ahli parlimen. Itu sahaja.   

Keperluan untuk menukar kerajaan memang dirasa banyak orang, dari semua lapisan rakyat Kelantan. Bukan sahaja rakyat Kelantan bermastautin di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, tetapi yang berada di luar juga sudah merasakan sangat keperluan itu. Mood dan sikap anak-anak Kelantan di luar sudah ada tanda-tanda mereka akan mengambil sikap rasional dan melupai sentimen parti dan politik bebal serta sudah mulai berada di garis kesedaran untuk bertindak. Ini satu kesesaran positif demi Kelantan. 

Golongan profesional dan teknokrat asal Kelantan yang selama ini menjadi pemerhati dari jauh juga sudah mula merunggut dan menunjukkan rasa tidak puas hati dan simpati mereka kepada rakyat Kelantan. Mereka mula bersuara dan bertukar-tukar maklumat dan pandangan dalam pelbagai grup WhatsApp yang dibentuk. 

Tetapi yang menjadi persoalannya siapa atau kumpulan manakah diharap untuk mengambil alih kerajaan Kelantan daripada Pas. Parti politik manakah yang boleh diharapkan. Setakat ini tidak nampak mana-mana parti politik pembangkang di Kelantan menujukkan nekad dan upaya untuk mengambil alih. Seperti juga menteri daripada Kelantan tidak ada gagasan untuk Kelantan, parti oposisi Kelantan juga mengambil sikap sama.

Jika diukur kepada kekuatan dan pengaruh parti, Umnolah yang patut memimpin usaha untuk mengambil alih kerajaan Kelantan. Umnolah yang wajar mengepalai usaha menumbangkan kerajaan Pas. Tetapi parti itu sendiri tidak mempunyai keyakinan untuk berhadapan dengan Pas. Umno hilang kepercayaan diri sendiri malahan sesetengah pemimpin parti itu seperti tersihir dengan silat mata politik Pas. Mereka seperti baru menemui pintu syurga yang ditunjuki Pas yang selama ini mengkafirkan mereka. 

Ia boleh ditengok dan nilai sikap dan pendekatan yang ada kepada tokoh-tokoh Umno Kelantan yang sebelum ini pernah memimpin Umno, tetapi sikap dan iltizam mereka hari ini berubah dan mencair. Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa pernah jadi Pengerusi Umno Kelantan lebih mirip untuk bekerjasama dengan Pas. Maksudnya apa, beliau menjaga kepentingan dirinya di Ketereh. Tiada serangan dan kritikan beliau kepada kerajaan Pas seperti mana sebelum ini.   

Begitu juga dengan ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed yang sebelum ini menjadi kapten Umno Kelantan, telah meninggalkan parti datuk neneknya itu kerana memburu jawatan menteri dengan menyertai Bersatu. Keadaan Musatapa lebih teruk daripada Annuar Musa, yang tidak mengecam Pas, sebaliknya memuji Pas. 

Demikian juga dengan ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, politiknya "paling poting" entah ke mana hilangnya arah. Suatu waktu beliau mufarakah daripada Umno dengan menubuh Parti Semangat 46, kemudian masuk kembali, kini memilih jalan asing sedia berkawan dengan budak-budak politik jalanan merancang untuk jatuhkan kerajaan Pas. Niat Tengku Razaleigh baik untuk maslahat rakyat Kelantan, tetapi ia tidak logik. 

Sementara pemimpin Umno Kelantan yang ada sekarang ini, ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakob seakan tidak ada political will langsung untuk Kelantan. Pengerusi Umno Kelantan itu lebih memikirkan nasib "boosnya" Najib Razak daripada memikirkan nasib dan masa depan rakyat Kelantan. Begitu juga dengan ketua Pemuda Umno Malaysia asal Kelantan Asyraf Wajdi Dusuki, tidak mempunyai keyakinan dan semangat langsung untuk membela rakyat Kelantan dan tidak ada keyakinan kepada Umno untuk berhadapan dengan Pas. 

Pendeknya dari Umno tidak ada siapa yang bergerak untuk memenuhi kehendak dan kemahuan rakyat Kelantan untuk tumbangkan Pas. Tidak ada mana-mana individu dan pimpinan daripada Umno sedia berkorban dan berjuang untuk mengubah kerajaan Kelantan. Sayang Umno mempunyai ramai penyokong akar umbi, tetapi parti itu tidak ada pahlawan dan pejuang yang sanggup menjadi kepala  untuk memimpin ahli dan penyokong bawahan merampas Kelantan. 

Jadi kumpulan dan parti mana yang sedia berhadapan dengan Pas bagi memenuhi inspirasi rakyat Kelantan untuk melihat Pas tumbang? Hari ini ada beberapa kumpulan menjadi identiti untuk membela nasib rakyat dan negeri Kelantan. Ada Ngo baru ditubuh bernama SaveKelantan yang dipimpin oleh bekas Exco Kelantan Husam Musa. Dan ada sebuah parti tahi cicak mengajak Tengku Razaleigh menjadi ketua kepada gabungan yang hendak dibentuk. Dua entiti ini dilihat tidak sehaluan dan saling "ba'di" (berlumba) sesama sendiri. 

Mereka atau entiti ini tidak ubah seperti burung pipit di tengah sawah luas sahaja, walaupun hakikatnya mereka menjadi musuh padi, pemakan padi, tetapi padi tidak akan luak kerana sawah terlalu luas, sedang mereka tidak sekata. Usaha mereka tidak akan ke mana-mana pun. Kumpulan ini hanya boleh meriuhkan keadaan, membingkitkan telinga, tetapi impaknya nol. Kenapa entiti ini tidak bergabung untuk jadi gerombolan ciak dalam kumpulan besar untuk memakan padi? 

Kesimpulan awal boleh dibuat harapan dan angan-angan untuk menumbangkan Pas di Kelantan mungkin hanya jadi igauan di hujung siang sahaja. Sekiranya pada saat akhir tidak ada juga pengertian sesama sendiri dari kalangan puak-puak yang dapat merasai apa yang terdekam di hati rakyat Kelantan itu, ia sia-sia sahaja. Ia hanya jadi sunggutan tetapi jauh daripada menjelma jadi realiti. 

Sekali lagi Pas akan terus memerintah dan meratah Kelantan sekehendaknya. Selama itulah rakyat Kelantan akan terus kempunan untuk melihat berlaku perubahan kerajaan lantaran politik "enau dalam belukar." [wm.kl. 5:30 pm 03/05/2022].

No comments: