Friday, June 3, 2022

Sudah sampai masa pemimpin lama berihat

PANDANGAN

Saja-Saja Jumaat
PANDANGAN TULUS DAN TERBUKA

SELEPAS negara diancam pandemik dan kini memasuki era endemik, keadaan negara amat terkesan dalam semua aspek khasnya ekonomi. Bukan sahaja negara kita, bahkan negara-negara lain diseluruh dunia juga menghadapi kepenatan untuk memulih dan menstabilkan semula organ pemerintah masing-masing gara-gara ancaman itu.
 
Semua ada pelan dan strategi serta nekad untuk pemulihan. Tidak terkecuali negara kita juga. Namun keadaan dan nasib negara kita agar malang berbanding dengan negara-negara lain. Ambil negara jiran sebagai perbandingan; Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Brunei dan lain-lain. Vietnam juga boleh dijadikan "adutanding".
Keadaan negara-negara jiran lebih baik, dan kedepan dalam usaha untuk memulihkan diri berbanding daripada kita. Kenapa, sebabnya satu sahaja kerana mereka ada kestabilan politik. Politik mereka tidak bergelombang ketika Covid tiba persis negara kita. Kestabilan politik penting untuk pembangunan sesebuah negara apa lagi membangun semula setelah ditimpa musibah. Dengan ada stabilitas politik dan memulihkan integriti government menjadikan negara kita dihormati dan diyakini pelabur asing untuk datang melabur.
 
Negara kita tidak ada itu, kestabilan politik dan integriti kerajaan rosak. Kerukunan demokrasi yang dibina selama ini seperti sudah runtuh. Struktur negara dalam semua aspek tercalar dan rosak. Ia bermula dengan runtuhnya kerajaan BN Mei 2018, kemudian diikuti runtuh pula kerajaan PH Februari 2020 akibat pengkhianatan berlandaskan nafsu sarakah. 

Tercatat dalam sejarah pada penggal parlimen ke-14, negara mempunyai tiga orang perdana menteri, tanpa berlaku kematian. Kejadian ini tidak pernah berlaku sejak 60 tahun lampau.

Peristiwa itulah menyebabkan kita hilang kestabilan politik, dan integriti sebagai sebuah negara demokrasi juga tercalar. Kerukunan demokrasi musanah. Kerosakan ini menyebabkan politik kita diterima acuh tidak acuh oleh generasi baru. Mereka tidak percaya dan keliru dengan politik yang terpampang di hadapan mereka. Pengertian politik yang mereka pelajari di sekolah berbeza dengan apa yang mereka lihat dan rasai.

Ia ditambah dengan sikap dan budaya baru orang politik lebih menjaga perut daripada menjaga rakyat dan menjunjung prinsip perjuangan. Rela melupai janji dan berpolitik tanpa idealisme lagi, sanggup menggadai maruah kerana mengajar kedudukan dan material. Sanggup mengkhianati kawan dan mungkiri janji. Sanggup meletak al Quran di atas kepala dan sebagainya. Politik kita tidak ada moral.
 
Perlu juga disebut kemusnahan integriti negara apabila banyak berlaku korupsi, sistem keadilan dan perundangan serta badan pemantau (SPRM) yang yang pincang. Apabila berlaku persalinan kerajaan para korupor yang diheret ke mahkamah. Ironisnya bila berlaku persalinan kerajaan, mereka itu dibebaskan. 

Parlimen juga iras-iras serkas atau zoo. Skandal 1MDB menjadi raja perosak kepada kerukunan dan intergiti negara yang menyebabkan ia disangsi oleh dunia. Jangan lupa skandal 1MDB adalah skandal kewangan terbesar dunia.
 
Dalam catatan "Saja-saja Jumaat" ini apa yang hendak saya timbulkan ialah masa depan negara. Piraum ke-15 nanti adalah detik terpenting untuk kita membaiki semula negara dengan rukun demokrasi sejati. Piraum itu adalah permulaan terbaik. Tanpa kerukunan demokrasi, kestabilan politik tidak akan tergapai, dan negara akan jauh ketinggalan ke belakangkan.
 
Untuk ini saya ada satu pandangan. Pandangan ini mungkin tidak disetujui atau dianggap tidak praktikal atau sedikit kasar. Tetapi ia boleh dicuba dan difikirkan secara saksama bukan demi lain melainkan demi negara. 

Maksudnya sempurna Piraum ke-15 nanti, apa kata kalau kita serahkan negera ini kepada anak muda, generasi baru yang lahir pasca merdeka sepenuhnya. Semua parti hendaklah mengemukakan tokoh generasi baru masing-masing untuk mengurus parti kemudian bertanding dalam pilihan raya kemudian bersaing untuk menjadi pemimpin nombor satu. Selepas itu mereka pilih dan runding untuk mengangkat dari kalangan mereka mungkin berdasarkan pencapaian parti.

Tegasnya dalam Piraum akan datang semua parti politik hendaklah memanggungkan seorang tokoh muda masing-masing untuk menguruskan negara. Dalam pilihan raya nanti tokoh muda itu dijadikan postal boy oleh parti masing-masing. Tokoh-tokoh lama yang sudah berlumut dan penuh dengan fungus, kontang idea dan streotaip dan klise dalam politik, hendaklah berundur dan sedia menjadi pemerhati di bangsal atau barung undi sahaja.

Kalau boleh saya sebut, tokoh-tokoh seperti Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang, Najib Razak, Zahid Hamidi, Mahiaddian Yassin, Shafei Apdal, Lim Guan Eng, Mustapa Mohamaed, Tengku Razaleigh Hamzah, Annuar Musa, Mohamad Sabu, dan mereka sewaktu dengannya, hendaklah tidak lagi diletakkan dihadapan dan menjadi pemancu utama. Kalau boleh jangan calon lagi mereka untuk pilihan raya akan datang.
 
Mereka ini semua perlu berihat dan sedar diri bahawa masa telah jauh meninggalkan mereka.
Cukuplah masa dan peluang diberikan untuk mereka. Sejak negara ini merdeka 65 tahun, merekalah yang memimpinnya yang diwarisi daripada pemimpin senior mereka. Kesemua mereka mengamalkan approach dan falsafah politik yang sama. Politik sebelum merdeka. Mereka perlu sedar yang Malaysia sudah lebih setengah abad merdeka yang memerlukan potongan dan wajah politik lebih dinamik. Dekad sekarang dekad bukan lagi untuk mencapai kemerdekaan, tetapi mengisi kemerdekaan. Beza tara waktu ini juga memerlukan pendekatan dan santunan berlainan. 
 
Perjuangan mereka berteras kepada sentimen bangsa dan agama sudah tidak relevan di zaman ini. Itulah idealisme mereka selama ini yang mana dengan idealisme itulah menyebabkan kita gagal membentuk bangsa Malaysia yang kita harapkan.

Saya yakin dan percaya pemimpin generasi muda akan membawa tema dan naratif politik moden senjajar dengan putaran dan trend dunia kini. Kalau kita tidak keluar daripada kepopong idealisme dan falsafah politik lama itu, kita tidak akan ke mana. Kita hanya syok dan membanggakan diri sendiri, sedangkan dunia lain, termasuk jiran-jiran kita sudah jauh ke depan dan mereka tidak pun merasa apa-apa kehebatan kita. Kita tetap berpolitik saling salah menyalah antara satu sama lain bukan saling mencari titik persamaan secara rasional dan bertanggungjawab. Sedar atau tidak cara kita berpolitik kita masih belum tamadun.

Saya tidak perlu membilang satu persatu tokoh atau generasi muda yang saya maksudkan itu. Semua parti saya kira ada tokoh atau generasi muda yang boleh diberikan peluang untuk muncul sebagai pemimpin, baik lelaki maupun wanita. Mereka juga nanti saya kira sedia untuk berkolaborasi sesama mereka atas nama Malaysia. Dan ini boleh berlaku apabila idealisme dan nuasa politik lama itu tidak lagi menjadi amalan mereka. Mereka akan mengamalkan politik terbuka, understandig, patriotik yang sejajar dengan peredaran masa.Bagi saya generasi muda bukan penganut politik, tetapi pengamal politik. Trims. [wm.kl.5:18 pm 03/06/2022]

No comments: