ULASAN MALAM
Mereka sedang memberi kenyataan akhbar berhubung banjir kepala air di Kedah? |
Apabila kolam itu sarat dengan air menyebabkan takungan pecah dan menghemburkan banjir yang dinamakan banjir kepala air.
Banjir kepala air ini lebih dahsyat daripada bah konvensional yang hanya dipenuhi dengan air kemudian ia akan surut dengan sendirinya dalam tempoh beberapa jam atau hari sahaja.
Bah atau banjir konvensional tidak bahaya kerana kedatangannya terlebih dahulu disertakan dengan amaran dan isyarat. Kehadirannya juga lebih bersopan santun. Berbeza dengan banjir kepala air yang datang dengan tiba-tiba bagaikan ribut.
Kejadian banjir kepala air merupakan fenomena alam yang berlaku bermula dari atas puncak gunung yang tidak ternampak. Lantaran itu kejadiannya tidak terduga, apabila berlaku ia banyak menelan korban dan kerosakan harta benda.
Nah, begitulah apa yang berlaku dalam parti Amanah Negara Kedah yang mulai meletus semalam dan mengejutkan orang ramai. Ia seperti banjir kepala air datang mendentum dan mengaum. Sebelum ini parti itu di negeri tersebut dilihat kukuh, kuat dan stabil. Berbanding dengan negeri-negeri lain, Amanah negeri Kedah paling stabil. Ia laksana keteguhan gunung Jerai yang dibanggai itu.
Saya sering menjadikan Amanah Kedah sebagai perbandingan dan contoh dengan Amanah negeri-negeri lain kerana kekuatannya. Bilangan keahliannya juga lebih ramai berbanding dengan negeri lain. Gerak kerjanya mantap dan kompak. Situasi ini berlaku mungkin kerana inspirasi mewujudkan parti alternatif kepada Pas bermula di Kedah. Begitu juga para pemimpinnya hebat dan berpengalaman.
Walaupun Amanah negeri Kedah ini ada kelemahan, tetapi ia umpama resmi gading sahaja, gading mana yang tidak retak, tanduk mana yang tidak belut. Itu perkara biasa. Tetapi Amanah Kedah tetap menjadikan Amanah terbaik.
Dalam keadaan tidak terduga itu tiba-tiba sahaja meledak kejadian mengejutkan persada politik negara, Amanah Kedah seperti dibom dan bergolak. Apa yang berlaku hari ini benar-benar memeranjatkan. Ia tidak ubah seperti fenomena banjir kepala air tadi yang tiba-tiba meletup dan menghemburkan banjir yang membalut dan menghanyutkan lumpur kotor dan hamis lalu meneggelamkan mangsanya.
Kesannya menyebabkan samudera politik Malaysia berombak kencang. Untuk seketika mata permerhati politik terhala ke utara. Para paramedik dan bantuan keselamatan awam tertumpu ke Kedah mencerapi apa yang berlaku dengan penuh minat dan cemas.
Sesungguh apa yang berlaku dalam Amanah hari ini mengkaget dan mengecewakan banyak orang. Paling terkesima apabila ia berlaklu pada saat masa pilihan raya hendak diadakan. Pada saat rakyat sedang mengemaskan ikatan bekong dan menyinsingkan lengan baju dan kaki seluar untuk bergulit dengan UBN bagi memastikan menguasai negara.
Apa yang berlaku itu ia boleh mengganggu mood dan semangat rakyat untuk melihat pilihan raya ke-15, menjadi pilihan raya menobatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, mengembalikan semula Mohamad Sabu menjadi menteri pertahanan bagi meneruskan dinas yang belum selesai.
Jika diteliti kes pergolakan yang berlaku itu puncanya sangat kecil sahaja. Kalau ada kebijaksanaan dari para pemainnya ia tidak akan sampai melarat ke seluruh negara. Jika diumpamakan kepada sebuah rumah tangga perbalahan laki bini itu hanya disebabkan tersalah menu. Suami hendak makan ikan singgang tetapi si isteri buat masak lemak. Itu sahaja kesalahan dan puncanya. Gara-gara itu melayang periuk belangga dan laki bini itu berantakan kejar mengejar keliling kampung. Aksi mereka sampai mengharu biru dan mendedahkan kebodohan diri.
Jika ada persefahaman dan sifat tawakuf serta tolak ansur antara laki bini itu, kekecohan rumah tangga yang sampai menganggu ketenteraman umum tidak berlaku. Tetapi sayang, kerana kurang cermat kurang dewasa dan naif mengenai rukun-rukun rumah tangga maka berlakulah kejadian itu. Kerana emosi dan melayani sahwat politik berlebih, maka terjadikan banjir kepala air itu.
Diharap semoga tindakan membendung dan mengatasi banjir kepala air berkenaan dilakukan segera secara muafakat. Sisa-sisa dan kesan banjir serpihan kayu, taburan batu dan tebing yang runtuh hendaklah diperbaiki cepat. Semua pihak kena mengatasi bencana itu secara gotong royong dan bermusyawarah. Jangan ada perasaan dengki dan hasad antara satu sama lain dan hendaklah bersifat tasamuh dengan apa yang sudah berlaku itu.
Apa yang penting juga jangan tayangkan wayang bodoh dan bongok kepada musuh. Musuh kini sedang mentertawan pergolokan itu sambil kedua-dua belah tangan bergedik-gedik.
Kejadian banjir kepala air itu masih berlaku dan belum ada tanda-tanda ia dipulihkan. Ada harapan untuk memastikan ia tidak merebak dan meluas. Lelehan air yang sedang mengalir, batu batan yang masih bergolekan hendaklah dihenti dan dibersikan. Perlu ada bentengan dan tambatan besar dibina bagi memastikan ia tidak "memborak".
Pakar kaji bumi, perairan dan saluran serta pakar kaji cuaca hendaklah mengambil bahagian sama memastikan fenomena itu tidak berterusan dan merebak dan segera berhenti. Para jururawat dan doktor serta pasukan bantuan AM juga perlu ditambah ke tempat kejadian sebagai persediaan menghadapi kemungkinan lebih buruk. Dibimbangi jika bencana itu tidak diatasi segera dan langkah-langkah perlu dibuat ia boleh merebak dan membesar. Paling parah lagi kalau tiba-tiba turun pula hujan lebat ia akan mendahsyatkan keadaan.
Untuk mengatasi kejadian itu tidak berulang kembali tidak boleh diharapkan kepada bomoh dan tukang tilek semat-mata ia perlu kepada penanagan profesional.
Kesan banjir kepala air itu sangat bahaya. Di sana nanti akan ada kuman yang boleh mengundang berbagai penyakit. Binatang liar dan buas juga yang merayau ke kawasan banjir itu untuk mencari bangkai sebagai makanan boleh jadi agen menularkan wabak. Kejadian curi mencuri dan jenayah sosial juga boleh berlaku di tempat bencana itu. Maka ia perlu diatasi dengan pantas, sebelum nasi menjadi bubur, bubur menjadi "ko'leh" dan sebelum "ko'leh" menjadi basi. [wm.kl.8:41 am 31/10/2022]
No comments:
Post a Comment