Thursday, December 1, 2022

TPM - Anwar lebih mengenali hatibudi Zahid

SUSUPAN MALAM 

Zahid dan Anwar sudah
lama bersahabat.
INSYA-ALLAH esok penantian umum untuk melihat dan seterusnya menilai kabinet pertama Anwar Ibrahim akan berakhir. Maklumat terbaru yang diterima, senarai kabinet sudah pun dimuktamadkan hanya menunggu perkenan Yang di Pertuan Agong sahaja. 

Sekiranya tidak ada pindaan, besok Perdana Menteri ke-10 itu akan umumkan barisan kabinet pertamanya. 

Siapa masuk siapa tercicir akan terjawab esok. Penjawat paling penting ialah siapakah Timbalan Perdana Menteri dari Semenanjung. TPM dari Sabah - Sarawak seperti sudah pasti akan diberikan ketua whip GPS Fadillah Yusof.

Ada dua nama disebut-sebut akan dilantik jadi TPM dari Semenanjung, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan. Mereka dibayangkan kerana posisi mereka dalam parti sebagai presiden dan timbalan prresiden. Kedudukan itu mewajar keduanya dan ia adalah amalan tradisi dalam pelantikan itu selama ini, kecuali ketika PM "kelabu", Ismail Sabri Yaakob sahaja, beliau dilantik jadi TPM dan PM atas kapasitinya sebagai Naib Presiden Umno. 

Menurut hirarkinya Zahid yang lebih wajar dan berhak menjadi TPM kerana beliau adalah presiden parti. Tetapi kerana beliau terbabit dengan pendakwaan di mahkamah ada yang pertikaikan kelayakannya untuk beliau berada di kerusi nombor dua situ. 

Timbul pecanggahan pendapat di sini apakah wajar atau tidak untuk Anwar mengambil Zahid. Ada yang tidak bersetuju dan ada yang sedia menerima Zahid dengan sebab dan hujah tertentu. Dari sudut politik dan kepentingan buat Anwar, Zahid perlu dilantik jadi TPM.  

Manakala pihak yang menolak Zahid kerana tidak mahu kabinet Anwar diwarnai dengan mereka ada sangkut paut dengan mahkamah. Mereka mahukan anggota kabinet yang bersih. Pendirian ini masih boleh dipertikaikan kerana apakah Zahid bersalah atau tidak, ia masih dalam mahkamah. Masih subjektif. Prinsip undang-undang seseorang itu tidak dikatakan bersalah selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman. Presiden Pas Abdul Hadi Awang sangat teguh dengan prinsip ini. 

Justeru, ada mengatakan Zahid tidak perlu diketepikan kerana prinsip itu. Apa yang lebih penting ialah Zahid dapat mengukuhkan kerajaan. Soal itulah patut diutamakan oleh Anwar dengan lain-lain perkara atau maksud. 

Mereka yang berasakan Zahid wajar berada dalam kabinet atau kerajaan lebih kepada untuk menjamin stabilitas Anwar sebagai perdana menteri. Umum tahun bahawa ada segelintir dalam Umno yang tidak senang dengan Zahid dan akan membuat serangan terhadapnya dalam Perhimpunan Agung Umno nanti. Mereka tidak berpuas hati dengan Zahid apabila beliau tegas menjalinkan hubungan dengan PH bukan dengan PN untuk membentuk kerajaan Perpaduan.  

Sekiranya Zahid memegang jawatan itu beliau  boleh menguatkan pengaruhnya dan menjamin kedudukannya dalam Umno tidak tergugat. Kebiasaan dalam Umno ahlinya akan menghormati dan mendokong pemimpin yang berjawatan. 

Manakala bagi Anwar beliau pula kena lihat bahawa stabilitas dalam Umno dapat bantu dan jamin menyelamatkannya. Sebagai ahli politik, Anwar sangat arif kalau tanpa Umno beliau mungkin belum mencapai jawatan PM, kerana gabungan diketuainya tidak mempunyai angka mencukupi. Dalam kata lain Anwar perdana menteri bukan sahaja hak PH tetapi ia juga hak BN dan lain-lain. Penghargaan Anwar kepada Zahid adalah tepat. 

Jasa Zahid membawa Anwar ke situ cukup besar dan signifikan. Justeru wajar kalau Anwar meletakkannya di jawatan itu. Bukan itu sahaja, Anwar tidak kekok kalau Zahid bersamanya memandangkan tali perahabatan mereka berdua bukan baru. Anwar lebih mengenali hati budi Zahid berbanding dengan lain. Selain itu Zahid juga sudah ada pengalaman sebagai timbalan perdana menteri semasa Najib Razak jadi perdana menteri. 

Mengambil Zahid sebagai timbalannya, memberi peluang kepada Zahid untuk mengkoda kesalahan dan kekhilafannya kepada Anwar sebelum ini, lari dari gelanggang reformasi. 

Jadi atas hakikat itu maka Zahid adalah terbaik untuk diangkat menjadi timbalan perdana menteri Bukan itu sahaja, Zahid dikenali sebagai "khadam" Anwar akan dapat membantu Anwar berkerja dengan baik penuh kesetiaan. Semua pihak kena terima dan hormat keputusan Anwar nanti jika Zahid sebagai TPM. Walahu'alam. [wm.kl.11:37 pm 01/12/22]  

No comments: