Saturday, April 1, 2023

Selamat berjumpa

CATATAN PERIBADI 

Foto exercise hari ini.
HARI ini genap 40 hari saya menajalani pembedahan jantung atau bypass (Coronary Artery Bypass Graft). Bermakna
selama 40 hari saya tidak mengemaskinikan blog ini. 

Para penjenguk tentu sudah faham dan maklum sebab saya sudah beri notis tempoh hari.

Insya-Allah saya kini dalam proses pemulihan daripada pembedahan berkenaan. Sudah banyak kemajuan yang saya capai dalam tempoh tempoh tersebut berbanding dengan tiga minggu lepas. Syukur.

Semua berkatat doa dan sokongan rakan-rakan, sahabat dan keluarga yang tidak pernah putus-putus. Saya sangat berterima kasih. Saking sayangnya mereka selain doa pelbagai ubat dan penawar dicadang atau dibawa untuk saya amalkan.

Salah satu masalah  dihadapi oleh mereka menjalani pembedahan ini ialah untuk mernormalkan penafasan. Maklumlah bypass boleh dianggap sebagai penyambungan altery atau wayer baru ke jantung kita.

Bagaimana pun penafasan saya kini sudah mulai dapat dikawal, perlahan-lahan untuk kembali kepada asal. Proses penyesuaian jantung “baru” sangat mencabar. Rasa semput sudah tidak ada lagi, hanya sesekali sekala berlaku. 

Cuma ketika ingin bergerak dengan cepat nafas masih nafas jadi semput, tercungap-cungap macam lari dikejar rimau. Untuk ke bilik air masih lagi pelu dipapah isteri dan untuk mandi manda perlu dilakukan sambil duduk.

Rasa tegang di dada dan berdenyut kecil seperti dihiris “gillete” selepas kedawahan ubat bius setelah tiga hari hari sudah tidak ada lagi. Cuma sesekali lagi masih terasa tegang menjadikan bahagian dada berdenyut halus.

Denyutan itu kesan proses pencantuman tulang yang dipotong berjalan dengan baik. Tidur masih melentang 24 jam tidak boleh mengiring ke kanan atau ke kiri demi memastikan jantung stabil. Lengguh dibetis dan paha tidak usah cerita.

Sejak empat hari lepas saya sudah mula berjalan di luar rumah. Latihan tubi terus dilakukan. Saya menjadi persis si bayi yang baru hendak belajar berjalan. Keadaan ini mengingatkan saya kepada 63 tahun lampau. Mula meniarap, merangkak dan bertateh perlahan-lahan. Bangun dengan bantuan tongkat, perlu orang yang memimpin atau mengawasi dari belakang atau sisi.

Rasa rindu untuk bloging terus mendesak. Banyak isu atau peristiwa yang seharusnya dicatat dan diulas berlaku begitu sahaja. "Gedung geradang" dalam parlimen meruntun hati untuk untuk mengulas. Dalam pada itu banyak WhatsApp yang diterima dari kawan bertanya itu dan ini dan minta diulas dan beri pandangan terhadap yang berlaku. 

Saya akan cuba membuat ulasan dengan mengaitkan segala peristiwa itu sebaik kekuatan dalam diri ini kembali. Harap-harap.

Sebenarnya saya masih belum gagah dan pulih sepenuhnya. Ketika membuat catatan ini pun jari jemari khasnya di sebelah kiri masih terasa kebas akibat dibedah untuk mengambil urat bagi mengganti urat di jantungnya yang blok. 

Selain urat dari paha dan betis, seutas urat di tangan kiri diambil untuk dijadikan urat gantian. Gara-gara itu tangan sebelah kiri masih kebas begitu juga dengan paha dan betis sebelah kiri, dua utus urat disitu juga diambil. 

Diharap keadaan saya akan pulih segera dan kebas ini akan hilang sedikit masa lagi. Dan jari jemari saya akan lincah menari di keyboard seperti dahulu.

Untuk semua salam hormat dan semoga kita segera berjumpa. Pohon kemaafan kepada mereka yang membuka atau jengok blog ini tetapi kosong. Selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan. [wm.kl.5:28 pm 04/01/2023]

No comments: