Friday, February 23, 2024

Hikayat di sebelah sana, Pas - Bersatu retak menanti belah

MENJOLOK MENTARI 

Lain digenggam lain di kepala.
MENARIK juga cerita terbaru di seberang sana, riwayat Pas dengan Bersatu, khasnya riwayat Abdul Hadi Awang dengan Mahiaddin Yassin. 

Khabarnya, dua sahabat setebuk atap ini dalam hubungan dingin sekarang ini, dimana mereka tidak semesra dahulu dan seghairah dahulu lagi untuk membentuk kerajaan. Kedua-duanya hilang keyakinan dengan apa yang diyakini.

Kisah bermula apabila Hadi dikatakan tidak seronok dengan keyakinan "malam" diberikan Mahiaddin yang PN akan membentuk kerajaan selepas beberapa bulan Anwar jadi PM. Kononya jumlah sudah mencukupi untuk PN tubuh kerajaan.

Sebab itulah Abdul Hadi tidak segan silu melaungkan "cukup jemeloh..cukup jemeloh" beberapa kali dari tingkat keretanya. Laungan itu bersumberkan Mahiaddin. Alih-alih laungan itu hanya menyeburkan air liur sahaja, habuk pun tidak ada. Hadi tertipu....dan malu. Biasanya tok lebai susah untuk mengaku kesalahan kerana malu kepada kefakihannya.

Apa lebih menyenakkan lagi Hadi, apabila beberapa usaha selepas itu juga kononnya ada 10 hingga 15 ahli parlimen yang menyokong Anwar termasuk dari Keadilan juga lebung. Pelbagai "langkah" dianjurkan gagal total. Untuk kesekian kalinya Hadi terpedaya dan terkulai di kaki politik Mahiaddin.

Sejak itu Hadi serik dan mulai sangsi dengan Mahiaddin. Mulai meragui kebijaksanaan bekas PM itu. Menjadikan dia sudah kehilangan binatang untuk dianologikan. Mahiaddin dapat menghidu perasaan dukacita Hadi itu dengan membuat sandiwara Cina, mengumumkan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bakal perdana menteri semasa berlangsung pirake Kemaman.  

Pengumuman itu sebagai penawar dukacita Hadi dan untuk memancing hati penyokong Pas dan juga melurut sukma Hadi yang hancur luluh disebabkannya. Bayangkan sekiranya Hadi ikut kata-kata Yang diPertuan Agong dan tidak pedulikan Mahhiddin hari ini Pas sudah jadi sebahagian kerajaan. Martabat dan harakat Pas sebagai parti agama kian memuncak bersama kerajaan Madani. Pas melepaskan peluang yang terbaik.

Ternyata pengumuman itu setakat pengumuman sahaja tanpa tindakan berkesan. Turutan itu Mahiaddin seakan mahu menyakinkan Hadi dengan mengatakan dia akan berundur dari Bersatu dan cara itu harap dimengertikan Hadi dan Pas sebagai memberi laluan kepada Samsuri untuk didendangkan sebagai PM. Hadi menerima pengumuman Mahiaddin itu sebagai pengiktirafan anak didiknya Samsuri sebagai satu-satunya calon PM.

Ramailah "gumbira" dan menarik rodak dengan pengumuman Mahiaddin itu sehingga Hadi dan Pas merasakan bahawa Samsuri satu-satu calon PM. Samsuri sendiri mula berpakaian seperti bakal PM. Namun lagi sekali pengumuman Mahiaddin itu hanya sandiwara dan tektik politik yang langka. Tidak semena-mena beliau menarik balik untuk berundur dari menjadi presiden Bersatu sebaliknya bertekad untuk terus memimpin parti berkenaan. Alasan diberikan Mahiaddin untuk tidak jadi berundur kerana dinasihati isterinya.

Sandiwara dan pewayangan Mahiaddin itulah menjadikan Abdul Hadi tawar hati dengan presiden Bersatu itu dan seakan sudah hilang keyakinan, PN akan dapat melakukan tebuk atap dan mendiami rumah bernama Malaysia.

Kerenggangan hubungan itu sangat nyata dan jelas sekali. Pemerhati dan penyerap politik dapat mengesaninya, cuma ia diselindungi dengan masalah kesihatan Hadi sebagai alasan, untuk mereka tidak kerap berjumpa. Yang sebenarnya ada masalah, bukan kerana kesihatan. Bagi orang politik mereka tetap kuat walaupun keuzuran.

Hadi dikatakan sudah lama tidak berkonsultasi politik dengan Mahiaddin lagi. Tambahnya dalam situasi itu beliau katanya ditekan beberapa oleh pimimpin kanan Pas yang menyarankan agar Pas mengubah haluan politik dari menyokong Mahiaddin kepada menyokong kerajaan Madani pimpinan Anwar. Hadi sedang dipujuk ke arah itu. Sokongan itu perlu untuk menguatkan kedudukan Pas dan juga memberi isyarat kepada Mahiaddin yang dia sudah tidak diyakini Pas lagi. Golongan yang memujuk Hadi berpendapat Pas tidak perlu membuang masa dengan cara Mahiaddin berpolitik.

Nasihat saya Pas boleh terus berkolaborasi dengan Mahiaddin sekurang-kurang untuk melihat prestasinya dalam pilihan raya ke 16 nanti. Pas tidak perlu jadi pandir sangat dengan Mahiaddin sebaliknya perlu bergantung kepada kekuatan sendiri. Pas kena sedar kelebihan yang ada kepadanya ketimbang apa yang ada kepada Bersatu. Dalam pada itu Pas kena kaji dan menilai untung labanya bersama Mahiaddin. Mungkin kalau ia membawa kesan buruk Pas perlu tinggal Bersatu untuk bersendirian.

Jika Pas ingin hidupkan Perikatan Nasional, sejujurnya Pas kena memimpin PN, bukannya Bersatu. Untuk merealisasi ini Pas tidak perlu minta, tetapi terus menguji Bersatu dan Mahiaddin apakah Bersatu tahu hakikat itu dan pandai membaca naluri Pas tersebut. Solusi untuk mengeratkan hubungan Bersatu dengan Pas memulihkan kerenggangan Mahiaddin dan Hadi ialah dengan melantikan Samsuri Mokhtar sebagai ketua pembangkang di Parlimen. Apakah Mahiaddin bersedia dan sudi berbuat demikian?

Itu sahaja ubat untuk menenangkan Hadi dan juga mengurangkan kerisauan Mahiaddin kepada kesetiaan Pas yang bila-bila masa sahaja boleh memutuskan hubungan. Pas tidak perlu gusar kerana ia sebuah parti yang kuat, lengkap dan makin dipercayai orang-orang Melayu. Sudah sampai masanya Pas memimpin bukan dipimpin sesuai dengan kefahaman agama dianutinya Islam memimpin bukan dipimpin dan ditipu hidup-hidup. [wm.kl. 9:36 am 23/02/2024]

No comments: