Friday, February 16, 2024

Pendakwaan yang menyenakkan jiwa

ULASAN

Abdul Zaik, foto Malaysiakini.
SEMALAM kita disentap dengan laporan yang sungguh menyebak dan menyenakan hati, apabila tiga lelaki didakwa atas tuduhan pecah amanah, menipu dan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM39.5 juta, (bukan RM395). 

Jumlah itu bukan main-main ia seakan-akan cucu cicit kepada skandal 1MDB. 

Apa menyedih dan memilukan kita, wang itu dikaitkan dengan rakyat Palestin. Wang atau dana yang diuar-uarkan kepada masyarakat umum sebagai bantuan untuk rakyat Palestin. Wang diselingkuh itu adalah wang untuk membantu rakyat Palestin. Nasib rakyat Palestin sifatnya seperti anak-anak yatim. 
Rupa-rupa penderitaan rakyat Palestin telah disonglap oleh mereka untuk kepentingan diri.  

Tiga lelaki yang didakwa atas kesalahan itu, semalam adalah, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin (Amanah Palestin) Abdul Zaik Abdul Rahman, 58 dan Awang Suffian Awang Piut, 52.

Seorang lagi ialah Kahiruddin Mohd Ali, 49 selaku pengarah Aman Palestin.

Bagi kesalahan pecah amanah, Abdul Zaik dan Awang Suffian masing-masing didakwa atas 52 pertuduhan sebagai Pengarah Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) yang diamanahkan dengan harta milik Aman Palestin iaitu wang RM20,946,498.80.

Selain itu mereka juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan lain iaitu dengan curangnya memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang RM39,150,000 kepada syarikat sama.

Wang itu bagi pembelian emas sedangkan harga pembeliannya lebih rendah iaitu RM33,399,970 yang mana Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdayakan sedemikian oleh kedua-dua tertuduh. Hasil jual beli emas itu sebanyak RM5.75 juta dimasukan ke dalam akaun syarikat Samudra Champa Sdn. Bhd yang mana mereka adalah pengarahnya.

Kedua-dua lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pejabat Aman Palestin di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, antara 24 September 2021 hingga 14 Julai 2023, mengikut Seksyen 420 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebat dan denda.

Selain itu Abdul Zaik dan Awang Suffian juga masing-masing berdepan 19 pertuduhan lagi sebagai pengarah syarikat terbabit menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM12,833,772.16.

Sedih dan mengucap panjang.

Mendengar berita itu ramai yang mengucap panjang. Sedih, sebak dan entah apa lagi perasaan bergulung dalam jiwa, kerana wang dan dana yang dikutip untuk tujuan kemanusiaan Palestin dikhianati dan dirompak dalam senyum dan taburan wangian minyak attar. 

Walaupun pertuduhan itu belum berakhir dan masih diperingkat perbicaraan, tetapi ia memilukan. Tidak sepatutnya kejadian seperti itu berlaku. Dan tidak sepatutnya ada pertuduhan dimahkamah dengan tuduhan sejelek itu. Apa yang berlaku itu ia mengejutkan seluruh umat Islam di negara ini dan menghancurkan hati para penderma membantu rakyat Palestin menerusi Aman Palestin. Menerima kejadian ini saya terhimbau kepada mereka yang memasang bendera Palestin di tengah sawah dan di tengah laut.  

Kita tahu apa jadi dengan nasib rakyat Palestin. Sebagai wadah pengutip wang untuk bantu penderitaan rakyat Palestin sudah tentu akan diberi perhatian dan simpati. Orang ramai berjiwa pemurah tidak akan memikir panjang untuk menghulur seberapa termampu demi kemanusiaan. Mereka sanggup pecah tabung buluh atau gadai loket dan gelang kerana kemanusiaan. Tampaknya keadaan itu diambil kesempatan oleh mereka tidak bertanggungjawab dan tergamak melakukannya. 

Tidak dipasti bila Aman Palestin ini wujud dan ia berdaftar atas kategori apa. Menurut maklumat ia sudah wujud 18 tahun lepas, dengan memfokaskan bantuan untuk rakyat Palestin. Umum tahu organisasi itu wujud sebagai wadah untuk membantu rakyat Palestin dan Gaza. 

Dan apa yang saya ketahui mengenai seorang dari tiga individu berkenaan, beliau adalah pemimpin pertubuhan bernama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Pertubuhan ini pernah mengambil alih parti politik Berjasa untuk menyertai pilihan raya. ISMA ketika itu lebih dekat dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan para pemimpinnya pernah menemui Najib Razak. 

Alasan digunakan ISMA mengambil Berjasa untuk menyertai pilihan raya bagi memberi peluang kepada mana-mana pengundi Melayu, dan mengelakkan mereka berdosa daripada mengundi calon bukan Islam. Penyertaan Berjasa kononnya hendak menyelamatkan umat Islam negara ini. Berjasa meletakkan beberapa calon dalam kawasan majoriti bukan Melayu. Sayangnya dalam pilihan raya itu semua calon ISMA, kalah dan "mampus pozek" (deposit).

Selepas pilihan itu, (tidak salah 2014) Berjasa yang dihayati Isma itu tidak lagi menyertai pilihan raya. Jadi niat dan tujuan mereka untuk menyelamatkan pengundi Melayu dari berdosa sudah tidak timbul lagi. Hangat-hangat tahi ayam. Dan selepas itu katanya Abdul Zaik telah pamit kepada Isma dan menggerakkan Aman Palestin. 

Saya masih ingat dalam satu forum anjuran ISMA di Bangi saya memberi nasihat kepada Isma agar tidak terburu-buru untuk "membeli" mengambil alih Berjasa bagi tujuan pilihan raya. Saya menasihat demikian kerann saya faham sangat dengan parti satu ini. Namun nasihat itu tidak didengar malahan pandangan saya diketepikan. Rupa-rupanya Berjasa dan Isma ada agenda dan maksud lain. 

Arakian, dengan apa yang berlaku itu. Kita berdoa agar Aman Palestin dan mana-mana wadah untuk membantu kemanusiaan Palestin baik-baik saja. Begitu orang ramai harus berhati-hati untuk menyalurkan apa-apa bantuan. Jangan mudah tersihir dengan nama Islam atau penderitaan rakyat Palestin kerana ada sebahagiannya yang tidak jujur dan ikhlas, tegar menggunakan penderitaan rakyat Palestin untuk mengaut  keuntungan. 

Jika perbuatan tanpa berhati perut zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang mengebom Gaza kita kesali dan marah begitu juga dengan mereka yang memperdaya dan menggunakan penderitaan rakyat Palestin untuk kepentingan mereka sama dengan zionis Israel.

Badan-badan pengutip zakat, derma dan simpatis ini bijak mengelabui mata umum disebalik nama Islam. Nasib agama kita akhir-akhir ini kian mewah dipergunakan orang untuk kepentingan diri sendiri. Islam telah dilacurkan oleh mereka tidak bertanggungjawab. Mereka sebenarnya jahil yang mengakui alim. 

Jika ingin menyumbang, sumbanglah menerusi wadah atau tabung yang dikelolakan oleh kerajaan secara sah. Atau jika berani hadir sendiri ke Pelastin. 

Apapun kita harap selepas selesai bicara ke atas tiga lelaki berkenaan, ia tidak memberi putusan sekejam kanun mereka didakwa itu. Kita tidak sanggup mendengarnya kerana sebagai rakyat dan orang Islam kita kecewa dengan apa dilakukan tiga lelaki berkenaan, kerana mereka beragama Islam dan bergerak atas prihatin kemanusian. Apa yang mereka lakukan itu sedikit sebanyak kalau kita tidak terkena getah, tetapi baunya tersinggah juga ke hidung kita. [wm.kl. 11:50 am 16/02/2024]


No comments: