ULASAN MEMOIR KU LI
Menerima hadiah MKU205 daripada Khir Nagdiron. |
Pembacaan silih berganti dengan menulis, menulis satu bab, baca memoir ini satu bab. Selalu saya kalau sedang menulis saya tidak akan campur dengan pembacaan bahan lain, sebab ia boleh menganggu kemunculan idea.
Hanya baru semalam dapat memberi tumpuan, menghayati dengan tenang dan serius. Terima kasih kepada sdr Mohd Khir Nagdiron yang menghadiahkan buku ini. Nasib baik terjumpa dengan Khir dihari peluncuran buku Wagyu Bukan Sekadar Lembu karya Husam Musa, (28 Mei 2024) dapat buku ini.
Memang pun saya berhajat untuk mendapatkan buku ini, saya sudah pun sedikit penasaran apabila tidak hadir dihari peluncuran tempoh hari yang dilakukan oleh Musa Hitam, kerana tiada maklumat mengenai majlis itu. Tiba-tiba sdr Khir menghadiahkan memoir ini, ia sangat membahagiakan saya, bagaikan orang mengatuk disorong bantal saya menerimanya.
Terima kasih dan tahniah juga kepada penulisnya Zainatulniza Abdul Kadir dan seluruh karyawan penerbitan buku yang sangat berharga ini. Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM Alumni) bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Tengku untuk mengusahakan penerbitan memoir ini.
Ia satu penghargaan tinggi kepada penulis dan seluruh karyawannya, kerana bukan senang untuk Tengku memberi kepercayaan dan peluang menulis memoirnya. Tengku seorang yang sangat merendah diri dan tidak suka pencapaian dan kehebatannya ditonjolkan, kerana itu beliau menolak permintaan beberapa penulis sebelum ini yang ingin menulis memoirnya. Seingat saya hanya ada sebuah bukan tentang Tengku berjudul Razaleigh: Cita Cita dan Perjuangan oleh Ranjit Gill. Buku itu sajalah menjadi kamus kecil mengenai Tengku.
Dengan terbitnya memoir ini sedikit sebanyak segala rahsia, kehebatan dan pencapainnya dapat diketahui umum. Merka yang sebelum ini terintai-intai citera politik Tengku di sebalik tabir akan dapat melihat secara nyata dengan ada memoir ini. Memoir ini memberi suatu maklumat baru, atau mengesahkan seribu cerita tentang Tengku yang diketahui secara lisan sebelum ini. Kalau pun tidak kesemua sekali, tetapi sebahagian bab penting terkandung dalam memoir ini. Tidak mungkin dalam sebuah memoir dapat merangkul semua peritiwa dan ingatan, sebab itu selepas ini harus ada lagi memoir kedua atau ketiga Tengku.
Sesebuah memoir itu adalah pernyatan jujur tidak melindungi kebenaran dan sedia mendedah kepahitan. Tiada tokok tambah dalam memoir kecuali kekhilafan fakta. Memoir adalah sebuah cermin besar yang telus dan bening. Justeru sekiranya dalam memoir ini ada menyentuh mana-mana individu dan pihak, maka ia dianggap sebuah maklumat baru yang kemudian perlu dijawab jelaskan. Keindahan dan kehebatan sesebuah memoir itu apabila ia disanggah dan diperbetulan oleh mereka disebut dalam memoir itu, menjadi polemik yang akan menyempurnakan lagi ingatan.
Ada beberapa sudut atau segmen dalam memoir ini terkena dan terkait langsung kepada seseorang, biar saya sebut langsung, Mahathir Mohahamd dan Musa Hitam. Kedua mereka mereka adalah rakan, sahabat dan pesaing Tengku dalam politik UMNO. Kebetulan kedua mereka masih ada dan sihat.
Dalam memoir ini Tengku mendedahkan hubungan beliau dengan Mahathir sebagai kawan dan politician yang dikagumi dan dihormatinya kerana Mahathir lebih tua daripadanta. Dia punya hubungan baik dan sangat menghormat Mahathir. Namun apa dilakukan itu ia seperti tidak dihargai Mahathir, apabila Mahathir seperti mempermainkannya. Inilah yang menyebablkan perasaan kita terhimbau dan berbaur sedih, marah dan geram sepanjang membaca ingatan ini.
Ada hal-hal disebut Tengku perkara personal yang boleh menghitamkan kanvas hidup Mahathir sebagai negarawan terutama dalam hal perebutan jawatan dalam UMNO, macam mana Mahathir mempermainkannya. Dalam kata bahasa kesat telah menipunya beberapa kali secara politik. Antaranya menurut Tengku, Mahathir berjanji untuk melantiknya sebagai timbalan perdana menteri sekiranya dia jadi PM. Sebelum itu Mahathir menyatakan dia tidak berpihak dalam menyokong mana-mana calon yang bertanding merebut jawatan timbalan presiden UMNO di antara dia dengan Musa Hitam, hakikatnya Mahathir berpihak kepada Musa.
Memoir ini juga menyebut bahawa Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn tidak senang dengan Mahathir Mohamad. Ingatan disebut Tengku ini mencalar kesucian Mahathir yang menuntut penjelasan daripada bekas PM itu. Ini saya katakan, sesebuah memoir itu mendedahkan sesuatu yang kita ingat, tetapi dilupai oleh mereka yang lain dimana menjadi haknya untuk mempenyempurnakan ingatan itu. Sebuah memoir yang baik bukan menceritakan segala kebaikan kita tetapi kebaikan orang lain juga.
Mengenai tanggapan dan dakwaan Tengku kepada Mahathir itu kita berharap ia akan dijawab oleh Mahathir di masa akan datang. Inilah saya katakan keindahan sesebuah memoir.
Apakah benar begitu atau sebaliknya terhadap apa-apa yang dinukikan itu. Dalam memoir Mahathir sebelum ini beliau tidak pernah menceritakan secara rinci perihal perebuatan jawatan dalam UMNO khasnya di antara Musa dengan Tengku Razaleigih serta peranan yang dimainkan beliau. Mahathir seakan mengabaikan pergelutan dalam UMNO. Nah, kali ini apabila Tengku mengungkit kisah silam yang hitam itu memberi peluang untuk dijawab oleh Mahathir.
Tidak puas membaca.
Bab memoir dengan Tengku Razaleigh dalam proses editing. |
penulisan juga menarik kerana ia diselang seli dengan neratif dan petikan kata Tengku. Kesemua bab dibentangkan menarik penuh dengan fakta, ratusan bahan rujukan, ia menceritakan permulaan penglibatan Tengku dalam politik sejak belum merdeka tahun tahun 1957 hingga 1982, kira-kira 25 tahun. Tempo atau periode itu tidak mencukupi kerana Tengku membabitkan diri lebih lama dan panjang daripada itu kira-kira lebih 60 tahun. Tengku tidak "koma" selepas tewas dengan Musa tetapi bersambung lebih hebat selepas itu apabila beliau menentang Mahathir.
Kalau boleh dinamakan kekurangan, "sedikit" kekurangan memoir ini ialah penyajian gambar-gambar dalam bentuk hitam putih itu kurang berkualiti dan memuaskan kerana siaznya (mungkin) sengaja dikecilkan.
Tengku seakan menghentikan pengisahannya sejak kalah dalam merebut jawatan Timbalan Presiden dengan Musa Hitam tahun 1981. Beliau kalah sebanyak 205 undi. Kenapa buku ini ini dinamakan Memoir 205 ialah kerana Tengku kalah 205 undi dengan Musa Hitam untuk jawatan timbalan presiden angka itu sangat singnifikan baginya, mengagalkan beliau menjadi timbalan perdana menteri yang memungkinkan akan menjadi PM.
Memoir ini selain daripada dapat mengetahui perjalanan runcing Tengku dalam UMNO, ia memberi pengajaran kepada umum khusunya mereka mahu berkecimpung dalam politik serta mahu mengenali dan mempelajar ilmu politik. Dengan membaca memoir Tengku ini, kita boleh belajar bagaimana rencamnya dunia politik itu, busuk dan kotornya aksi orang politik serta mengetahui peri kejujuran seseorang dan juga nilai persahabatan dalam politik.
Kejujuran dan ketulusan dalam politik kadangkala menjadi musuh menyebabkan seseorang itu akan kecewa tidak mendapat apa yang dikehendaknya. Bahawa politik itu perlu ada pengkhianatan, menikam belakang dan tidak jujur kepada diri sendiri, baru ia berjaya. Prinsip matlamat menghalalkan cara (Machiavellisme) harus ada dalam politik jika mahu berjaya. Walaupun cara itu salah, bertentangan dengan moral dan agama, tetapi itulah poliotik yang dilakukan oleh rakan dan sahabat Tengku, (Musa dan Mahathir) yang kemudian membawa kejayaan mereka mengatasi Tengku.
Intipati memoir 205 ini mendedahkan bagaimana licit dan licinnya dua sahabatan Tengku, Musa Hitam dan Mahathir, disamping mendedahkan moral politik dan tangungjawab negarawan seperti Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn. Mereka itu tulus dan ikhlas dengan Tengku, malahan makrifat dengan alam politik sampai mereka mengenali siapa yan jujur dan tidak. Misalnya Hussein Onn lebih mempercayai Tengku daripada Mahathir, malah sudah pun menawarkan jawatan PM kepada Tengku namun kerana nilai budinya tinggi ditolak.
Secara ringkas intipati dan masej memoir ini saya dapat menyimpulkan begini untuk dijadikan pengajaran politik;
a) Jangan terlalu merendah diri dan khlas dalam politik kerana ia tidak akan dikenang dan dihargai. Jiwa hamba yang tulus dalam dunia politik sangat sedikit.
b) Apabila ada peluang dalam politik, terus sambar jangan berfikir banyak kali apa lagi memikirkan nasib orng lain. Utamakan diri sendiri terlebih dahulu baru memikir nasib orang lain. Sebab dalam politik tiada tawaran kedua kali, ertinya tidak ada pemenang loteri ditempat pertama dua kali. Dalam politik perlu selfish bukan saja selfie.
c) Jangan sama sekali percaya kepada seseorang hatta dia adalah kawan baik kita sendiri, kerana dalam politik, sumpah dan janji bukan untuk ditepati, tetapi untuk dimungkiri. Janga merasaka mustahil dengan tindakan orang politik.
Tengku adalah seorang yang sangat ikhlas, tidak mementingkan diri dalam perjuangannya (UMNO). Beliau terlalu baik dan mempercayai orang. Beliau menjadi mangsa kebaikan dan kejujurannya sendiri. Sikap atau pendekatan sebegini menyebabkan beliau berada dipihak kalah dan merugikan. Namun dengan sikap, pembawaan dan keikhlasan serta keperyaan pada prinsipnya itulah menjadikan Tengku seorang yang mempunyai WISDOIM yang tinggi. Tengku adalah cermin besar untuk dilihat dan dicontohi oleh anak bangsa.
Atas jasa, kebaikan dan wibawa itu adalah elok kalau kerajaan Madani dibawah pimpin Anwar Ibrahim hari ini menganugerahkan gelaran darjah tertinggi negara yang membawa gelaran TUN sebagai tanda menghagai insan kamil ini kalau pun tidak mahu menjemput Tengku ikut berperanan dalam kerajaan sesuai dengan pengalaman dan kepakarannya yang ada. [wm.kl. 8:53 am 03/06/2024]
No comments:
Post a Comment