Monday, November 23, 2009

Bah Politik Meragut Nyawa

Apabila Keris Menikam Diri, Pilihlah Jalan Kiri!

SATU berita tidak sedih dan tidak mengejutkan dari Kota Bharu yang baru diterima, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menasihati menantunya Abdul Ariffahmi Abd Rahman, supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK. Arahan Nik Aziz itu dilihat sesuatu yang berat dan bercanggah dengan kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini terhadap menantunya itu.

Arahan itu bagaimana pun tidak ganjil kepada pandangan umum kerana sikap Nik Aziz meletakkan menantunya di situ dilihat janggal kerana ia menimbulkan berbagai tanggapan negatif. Saya sendiri pernah menulis dalam blog mempertikaikan kewajaran beliau melantik Ariffahmi dan menganggap ia adalah satu keputusan yang akan menyusahkan dirinya sendiri dan bukan tindakan yang bijak.

Bagaimana pun Mursyidul Am Pas itu ada hujjah sendiri apabila beliau inginkan kepada sesuatu. Dia akan mempertahankan keinginan itu dengan hujah-hujah politik dan agama yang selamba hatta menyalahi adat. Dia seorang yang mempunyai keyakinan diri yang kuat.
Mengenai Ariffahmi apabila dipersoalkan tindakan itu berbau kronisme, Nik Aziz bertahan dengan mengatakan menantunya itu layak dan berkelulusan (Ir).

Kalau tidak silap, dua kali dia memperakui akan kebijaksanaan dan kehebatan menantunya itu. Kadang-kadang cara dia mempertahan dan memuji menantunya itu berlebih-lebihan sehingga boleh menghakis wibawa beliau sebagai seorang ulama.

Hari ini apabila beliau dikatakan telah mengarahkan menantunya melepaskan jawatan itu ekoran timbul kemelut di PMBK sejak minggu lalu, ia dilihat kontras dengan pendiriannya sebelum ini. Apakah arahan Nik Aziz itu menandakan dia sudah lupa kepada apa yang diucapkan sebelum ini ataupun bertindak bijak apabila menantunya dilihat bermasalah? Apakah beliau sudah tidak dapat bertahan disebabkan daya tahan atau anti bodi politiknya sudah mulai lemah?

Sekiranya tindakan itu demi mementingkan jemaah, semua harus memuji keputusan demikian. Bukan saja Nik Aziz tetapi sesiapa saja yang berada dalam jemaah harus mendahului jemaah daripada kepentingan diri dan kroni. Segunung pujian patut diberikan kepada Nik Aziz. Bagaimana pun sekiranya arahan Nik Aziz ke atas menantunya itu kerana desakan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan ia melambangkan akan kelemahan prinsip Nik Aziz dalam soal yang beliau sendiri mempertahankan sebelumnya.

Dalam pada itu terdengar juga sebelum ini bahawa ada orang yang memberi kata dua kepada Nik Aziz sama ada memilih orang tertentu atau pun Ariffahmi (menantunya). Sudah pasti kata-kata ini menyempitkan keadaan dirinya menyebabkan beliau tidak mempunyai pilihan lain.

Sekali lagi ditegaskan jika keadaan benar, maka apa yang pernah dilakukan oleh Nik Aziz kira-kira hampir 30 tahun dulu terhadap Datuk Mohd Asri Muda kini berlaku kepada dirinya sendiri. Sekitar tahun 1982, Nik Aziz pernah memberi kata-kata dua kepada ahli dan pemimpin Pas Kelantan sama ada pilih dia ataupun Asri Muda. Kata-kata yang bersifat egois itu yang tidak sepatutnya dilafazkan Nik Aziz tetapi telah termaktub sebagai satu sejarah.

Sejarah kejam ini nampak berulang, dan kini ia menimpa ke atas batang tubuh Nik Aziz. Apakah ini hukum karma Allah? Walhualam!

Secara logiknya memang wajar kalau Ariffahmi dinasihati berhenti apabila beliau menimbulkan masalah dan memberi damage kepada parti dan kerajaan Pas. Dalam konteks ini kepentingan jemaah harus diutamakan. Bukan sahaja setakat pegawai penjawat awam seperti Ariffahmi tetapi penjawat jawatan politik juga kalau sudah menimbulkan masalah kepada parti harus diminta melepaskan jawatan. Ia tidak terkecuali juga untuk Nik Aziz sendiri.

Dalam kes Ariffahmi ini ada sedikit kekeliruan. SPRM baru dikatakan membuka fail siasatan ke atasnya, namun Nik Aziz dipercayai atas nasihat kepimpin Pas telah mengambil keputusan agar meminta Ariffahmi berhenti. Apakah keputusan ini sesuatu yang bijak? Memang sebagai penjawat awam Ariffahmi berada di bawah bidang kuasa orang politik dan Kerajaan. Apa saja yang diarah Ariffahmi harus akur. Tetapi persoalannya apakah nasihat itu dibuat tanpa mengira langsung kedudukan Ariffahmi dengan Nik Aziz?
Apapun satu babak awal dalam cerita yang boleh dinamakan "Perang PMBK Bah Merah Politik Pas Kelantan" hari ini sudah pun berakhir. Orang yang didesak agar berundur telah berbuat demikian. Masih banyak lagi babak-bakak yang bersambungan dengan perang ini yang masih belum selesai. Kickdefella kini sudah boleh mengilai terbahak-bahak kerana perjuangannya sudah berjaya.

Apakah selepas ini ia memerlukan Nik Aziz sendiri melepaskan jawatan sebagai MB? Kemudian diikuti dua atau tiga orang Exco yang tidak disenangi juga berbuat demikian? Sekiranya Nik Aziz bermaruah dan berprinsip beliau perlu mengambil tanggungjawab untuk melepaskan jawatan kerana dialah yang membawa masuk Ariffahmi ke dalam PMBK yang kemudian memberi masalah kepada Pas. Kemaafan oleh Pas atas kekhilafannya itu disebabkan kerana dia seorang Mursyidul Am Pas tidak boleh diterima. Status itu tidak dapat menyucikan segala-galanya.
Beliau sering bermadah kalau waktu Zohor orang suruh dia berhenti, waktu Asar dia akan berhenti. Tidakkah apabila beliau menyuruh menantunya berhenti atas arahan pucuk pimpinan Pas itu ianya sebagai signal untuknya juga?

Pada saya masanya juga sudah sampai dan sesuai untuk Tokguruku Nik Aziz ikut sama berhenti bagi mengiringi kesenduan menantunya. Tok guru sudah terlalu letih sangat dah. Sebagai seorang mertua yang baik seharusnya mengiringi perjalanan menantu yang baik. Iya untuk senang Tok Guruku sedia dan relalah pilih jalan kiri walaupun pedih. Kekeramatan dan kehebatan Tokguru nampaknya sudah makin menulah! [wm.kl. 4:30 pm 23/11/09]

18 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah...TGNA sudah buat satu keputusan yang tepat. Saya setuju dengan cadangan tuan yang TGNA perlu beri peluang kepada penggantinya yang lebih muda menerajui Kelantan. Mungkin TGNA boleh bertindak sebagai penasihat di sebalik tabir. Ramai wakil rakyat Pas yang berkelayakan.

Unknown said...

Asm
Salam sejahtera buat MSO

Saya tetap menyatakan ini adalah secuit dari perjuangan. Perjuangan untuk mendaulatkan Islam bukan dibuat atas andaian semata2. Ianya ada fakta dan perlu juga pertimbangan hati. Andaikata yang pimpin hati itu ikhlas kerna Allah. Insaallah Tuhan akan tunjuk jalan kepada hambaNya yang selalu tawajuh padaNya.TGNA bukan Nabi. Kita jemaah yang cintakan Islam SEPATUTNYA membantu dan menegurnya.

Apakah satu kewajipan TGNA untuk mematuhi semua saranan MSO.Apa guna kita melantik TGNA sebagai pemimpin.Dan apa pula peranan kita sebagai orang yang dipimpin?

Dalam ayat Quran mana atau Hadis mana yang mengharamkan perlantikan menantu jadi pemimpin dalam pentadbiran?

Apakah satu kesilapan besar apabila tindakan TGNA melantik menantunya dulu? Apakah jelas TGNA bangga dan bercakap besar mengenai kelayakkan menantunya menjawat CEO tersebut. Yang jelas kita yang buat andaian tersebut beralaskan ucapan TGNA.

Silap ke saya jika membaca sehingga habis tulisan tuan dapat mengandaikan bahawa tuan juga ujub dengan kebenaran kononnya TGNA silap melantik menantunya.

Tuan sendiri tahu apa yang berlaku dalam PMBK sebelum menantu TGNA dilantik. Apakah tidak mustahil TGNA bercadang untuk mengetahui kepincangan PMBK dari orang yang dia percayai.

Bagi saya ayahanda TGNA tetap relevan menjadi MB. Saya bangga mempunyai pemimpin yang sedar dengan kewarasan politik masa kini.Lihat jea kononnya baru beberapa ribu diselewengkan ..TGNA dah sanggup menerima teguran dan keputusan jamaah.Namun dikeliling negara ada anak...adik...menantu yang PELAHAP MENTEDARAH HARTA RAKYAT DAN NEGARA.

AsyMok_ambo said...

Hanya JAUHARI yang KENAL... Manikam.

Anak Kuala said...

kepada hijau

Dalam ayat Quran mana atau Hadis mana yang mengharamkan perlantikan anak... adik...menantu jadi pemimpin dalam pentadbiran?

Ku ingat Taqwa said...

mana ada? Rasulullah sendiri melantik Ali menantu baginda sebagai wasi iaitu pengganti nabi tetapi dirampas dengan kejam oleh.......

ANAFAKIR said...

Saya tidak faham sikap MSO sendiri.Apakah MSO ada agenda sendiri?Dalam waktu tertentu, melangit memuji TGNA, tetapi dalam waktu yang sama juga seperti sokong membawa rebah.TGNA bersikap 'dare to fail' berani gagal.Baguslah macam tu...berani menghadapi risiko.Matlamat awal mungkin banyak kebaikan yang dicari hasil dari pelantikan menantunya menajdi CEO PMBK tetapi kalau apa yang dirancang tidak menjadi disebabkan menantunya diumpamakan seperti gunting dalam lipatan, maka TGNA perlu juga bertindak tegas walaupun kepada menantunya sendiri.Dalam agama, demi kebenaran tidak mengenal siapa...Rasulullah pun begitu,.sanggup potong tangan anaknya jika anaknya mencuri, Khalifah Umar juga begitu, bersedia menerima teguran jika dia memlakukan kesalahan dalam memerintah.

Desakan TGNA meletak jawatan itu satu sikap yang tidak betul.Kesilapan melantik menantu dalam PMBK bukan satu alasan kukuh untuk mendesak TGNA meletak jawatan.Berapa ramai pemimpim UMNO yang gagal dalam tugas [ rasuah, kronisme, penyelewengan projek, "kaki segala kaki" ] tiada siapa pun mendesaknya meletak jawatan.TGNA tidak lah sampai ke peringkat itu.Tua kalau memberi "bekas" kepada para jemaah elok dikekalkan.

Dalam menegakkan perjuangan, kata dua perkara biasa...jika yang memberi kata dua itu lebih baik, apa salahnya mengikut apa yang diminta?.TGNA lebih kenal dirinya, dia lebih sedar kepentingan jemaah lebih afdal daripada kepentingan menantunya sebagai CEO kat PMBK.Oleh itu, dia bertindak.Bukan kerana desakan, bukan kerana ugutan tetapi kerana menyedari apa yang diinginkan melalui menantunya semasa menjaga PMBK tidak tercapai,menantunya telah merosakkan niat baik TGNA sewaktu melantiknya dahulu. Apakah TGNA ni seorang yang takut dengan ugutan?.Dia bukan mudah diugut.Kalau dia nak buat sesuatu dia akan buat demi kebaikan semua.Kesalahan dalam 'membaca' rentak manusia disekelilingnya itu dah perkara biasa.Terlalu ramai pemimpin yang tewas dek kerana orang yang disekelilingnnya.

Tun Mahathir juga seorang pemimpin yang tidak makan diugut.Dia akan buat apa yang dia fikir betul dan baik.Jika pemimpin bertindak dengan telunjuk pengikutnya, maka di sini siapa yang pimpin siapa?.Pemimpin memang begitu...dia yang perlu tentukan hala tuju kepimpinannya.
Justeru, 'kesilapan' TGNA melantik menantunya itu bukan isyarat dia juga perlu berundur.Sedangkan selama ini dia banyak membantu dengan 'pengaruhnya' untuk PAS menambah kuasa di negeri-negeri lain..kenapa itu tidak disebut?.Kenapa perlu diulang-ulang sedikit kesilapan yang dia lakukan?.

Kita ni kalau ingin menegur biar berhemah. Kalau nak memuji pun biar berpada.Jangan berpura-pura dan jangan juga ingin menunjuk diri kita ini 'arif'...

Sekian, mohon mencadang

Mussolini said...

bila nak halalkan tindakan nik aziz lantik menantu mulalah cerita pasal nabi lantik saidina ali

bila pak lah naikkan si KJ bukan main lagi pemimpin,penyokong pas kutuk,hentam orang tua tu

double standard?

ANAFAKIR said...

Salam Tuan MSO.
Apalah sangat ulasan saya maka diangkat menjadi KOMEN PILIHAN.Saya sekadar meluahkan rasa hati saya yang lahir dari seorang insan yang bergelar fakir -fakir ilmu, fakir 'rasa, fakir politik.MSO lebih 'garam' dan lebih 'gula' dari saya.Apapun jika komen saya itu ada ' sesuatu' yang ingin MSO 'terjemahkan' kepada penjengok blog tuan MSO ini, saya juga sependapat dengan tuan."Hanya kita yang memahami diri kita",saya faham dan mengerti dengan slogan yang MSO pegang selama ini.

mohd sayuti omar said...

Sdr Anafakir, saya meletakkan komen sdr ditempat itu menandakan saya menghormati pandangan sdr. Ia juga untuk menjelaskan saya sedia dikritik dan diberi pandangan betul selagi ianya tidak menggunakan bahasa kesat, melampau dan boleh dimanfaatkan oleh semua penjenguk ini. Tidak ada-apa prejudis selain dari niat itu - hanya kita memahami diri kita - penjenguk lebih bijaksana dari pencatat. Salam MSO.

RBF Online said...

saya tabik sikap keterbukaan tuan mso berhubung komen anafakir.

tahniah mso ! tahniah ana fakir !

inilah baru dikatakan percambahan pendapat dlm suasana yg harmoni.

abu muaz said...

20 tahun suatu tempoh masa yg agak lama memerintah.Maka banyaklah masalah yang akan timbul. 50 tahun lagi lama tempoh pemerintahan maka lagi banyak nasalah yang timbul. Yang nampak kesalahan hanyalah pada orang yg mentadbir selama 20 tahun ini kerana sifir moden hari ini ialah mentadbir 50tahun tiada masalah berbanding mentadbir selama 20 tahun yang penuh masalah dan kecelaruan.

firdaus said...

apa yang sudah terjadi biarlah ia terjadi..

walau kita cedera seteruk manapun kalau rasa boleh bergerak lagi bergeraklah, capailah tujuan dan maksudmu..

tok guru cuma letih dan elok sajalah baginya berehat, sudah satu kemestian TGNA diperlukan sehinggalah Malaysia berjaya menukar pemerintahannya suatu hari nanti..

semua orang yang menyokong begitu mengaharapkan keberkataan beliau dalam segala hal, itulah istimewanya tok guru..

100 kali silap kita sebenarnya mampu memaafkan beliau lagi..

sketsa politik ni biarlah berjalan dengan caranya yang tersendiri, ibarat kata Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy bahawa manusia adalah pelakon sejarah..

semoga nyala semangat dan tanpa jemu takkan padam, kami tetap sokong PAS dan PR hingga ke akhir...

john said...

Salam pak mso..

kenapa komen saya tak terpilih?..panas sangat ke..emosi sangat?

mohd sayuti omar said...

Sdr John sebagai penjenguk yg bijaksana sdr boleh tanya diri sendiri berhubung komen itu? Dan hak menyiarkan terletak pada saya secara mutlak. Terima kasih.

ANAFAKIR said...

Sdr John...masalah komen tuan tidak disiarkan tu perkara biasa.Komen-komen saya kat blog MSO ni pun dah banyak yang MSO tidak siarkan untuk dikongsi...saya tidak merungut pun sebab blog ni MSO punya.Terpulang pada tuan punya blog.Kalau disiarkan mungkin mencetuskan banyak masalah, elok tidak disiarkan.Saya pun kadang-kadang kecewa juga bila komen kita tidak lepas tapisan tetapi bila memikirkan kebaikan umum, ada baiknya juga MSO tidak siarkan.Mungkin pada kita apa yang kita komen itu biasa-biasa tetapi pada pandangan MSO pulak mungkin banyak masalah lain akan timbul...begitulah rencam dunia.Kita mesti ada pandangan berbeza dan melihat dari sudut berbeza.Akhirnya pemiliklah yang lebih berhak..

jet said...

ingatlah bercakap selagi boleh bercakap,blh bagi idea, padangan,telahan,agakan,andaian,kritikan,komen dsb tapi kalau tak tepat,salah,keliru, aibkan manusia segalanya akan disoal ditanya dihitung dikira wlpun sebesar zarah

Unknown said...

Alhamdulillah komen perbincagan yang amat menarik dan ada kematangan dalam memberi hujah. Tahniah anafakir dan juga mso atas perkongsian ini...I really appreciate it..

Pr0fiL t3M4n5 said...

Salam,
manusia berbeza pengalaman, latarbelakang, ilmu, psikologi dan personaliti. Justeru, pandangan dan pendapat kita akan turut berbeza. Dalam isu yang dikemukakan oleh MSO pada kali ini untuk mencadangkan supaya TGNA berundur dari menjawat jawatan MB bukan bermakna peranan beliau sebagai Mursyidul Am turut terlucut. Malah beliau mungkin boleh memberi fokus yang lebih baik kepada pembinaan idea baru dan kreatif dalam era politik yang semakin mencabar serta membimbing dan memantau perlaksanaan idea tersebut. Jawatan MB memerlukan pemikiran tertumpu kepada hal pentadbiran negeri. Kekdg jawatan tersebut 'meletihkan' minda TGNA menjana sesuatu idea yang lebih bagus dan kreatif untuk dilaksanakan oleh tenaga muda yang lebih kuat dalam PAS.