Salahuddin tolak cadangan Azmin. |
Sebelum ini Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga dilaporkan mengambil sikap sama.
Penolakan itu tepat, jauh sekali menunjukkan Amanah sombong atau pun angkuh. Keperluan dihasratkan Azmin itu ada kulihanya tetapi bukan waktu ini. Ia juga dianggap anti klimeks disaat Amanah baharu selesai mengadakan konvensyen dan berjaya menunjukkan kekuatannya kepada khalayak.
Kata Sallahuddin dalam satu kenyataan, penggabungan kedua-dua parti itu tidak berbangkit buat masa ini. Laras bahasa Salahuddin lunak ia menggambarkan begitulah juga lemah lembut dan berhemah siasahnya.
Menurut Salahuddin penubuhan Amanah adalah untuk mengisi posisi serta melanjutkan perjuangan Islam yang mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk bersama mensejahtrakan rakyat dan negara.
Dalam hubungan itu pewujudan Amanah pastilah sebagai parti ganti (alternatif) kepada Pas yang sudah tergelicah dari landasan politik kontemporari dan kontra dengan trand politik terkini dengan kembali menjadi jumud semula, maka kewujudan Amanah adalah ketumbukan baharu rakyat berhadapan dengan kebejatan UBN.
Ini ditegaskan Salahuddin; "Parti Amanah bersama Keadilan dan DAP menububuhkan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini dengan kehadiran PPBM, bersama PH telah menjadikan peranan Amanah dan semua parti-parti PH dan Bersatu semakin penting dalam usaha menumbangkan BN."
Peranan Amanah bersama rakan-rakan lain sangat jelas yang tidak sepatutnya dikelabukan oleh timbalan presiden PKR itu.
Sepatutnya Azmin dan sesiapa yang mahu penggabungan itu memahami matlamat dan tujuan penubuhan Amanah. Kalau Amanah diminta bergabung dengan PKR, untuk apa para pemimpinnya bertungkus lumus sehinggakan dicerca oleh bekas rakan mereka kerana menubuh Amanah. Sepatutnya mereka batalkan sahaja niat itu langsung menjadi ahli PKR.
Bagi saya, saya tidak percaya kalau Azmin tidak memahami matlamat itu, melainkan beliau mahu menjadi populis di sebalik cadangan itu terutamanya dari kalangan Pas serta ada perkara lain yang hendak ditanguk.
Cadangan berkenaan mulanya disuarakan oleh pemimpin kecil PKR yang mana orang sudah mendapat wahyu siapa yang mencadangkan kolaborasi itu apabila menyelidiki DNA politik pemimpin kecil berkenaan dengan timbalan presiden.
Dan apabila Azmin sendiri menyuarakannya maka ia semakin jelas apakah maksud dan rahsia tersirat di sebalik cadangan berkenaan. Apakah game Azmin. Dari satu sisi, cadangan itu bukan sahaja negatif tetapi menghina Amanah kerana ia boleh menunjukkan Amanah parti lemah dan tiada potensi.
Apabila Azmin mencadangkan demikian ia membawa maksud beliau dan PKR seluruhnya tidak mempercayai keupayaan Amanah yang dipimpin oleh golongan profesional yang minggat daripada Pas. Ia juga seolah-olah menolak keberadaan Amanah dengan visi dan misinya dalam persada politik hari ini. Sudah tentu apabila Amanah dimasukkan ke dalam perut PKR, maka hilang wajah dan wibawa parti berkenaan seperti mana terkamilnya PRM dalam perut PKR.
Dari segi moralnya cadangan itu yang bagi Azmin merupakan pendekatan dan reform siasah tetapi dari terjemah lain ia menghina Amanah dan wajar kalau ada pemimpin dan penyokongnya rasa tersinggung dan kurang senang dengan idea Azmin itu.
Cadangan Azmin itu bukan sahaja tidak relevan buat masa ini tetapi ia boleh menggelisahkan orang bawahan dalam parti itu. Mereka yang menggembur atau obses untuk menjadikan Amanah sebagai pengganti Pas, - Islam progresif gelisah dan kecewa dengan cadangan berkenaan.
Cadangan Azmin itu juga tidak membantu kepada kekuatan pakatan pembangkang (PH), sebaliknya menambahkan lagi kesangsian ramai kepada tindak tanduknya dalam menerima kehadiran Amanah. Sikap Azmin yang berbelah bahagi atau pun dalam keadaan "karang cinta" dengan Pas menjadikan setengah orang meragui kepada komitmen beliau dalam Pakatan Harapan itu sendiri.
Dalam saat menjelang Piraum ke-14 MB Selangor itu diharap merapatkan saf sesama Pakatan Harapan, menguatkannya dan dalam masa sama menjinak dan membancuhkan Pas agar bersama PH bukannya cuba merelaikan Amanah secara tektikal agar bersama PKR.
Sehingga ini orang ramai tidak nampak apakah usaha Azmin ke arah menguat dan mendokong PH khususnya di Selangor? Di bawah masih ada yang mempertikaikan peranan dan cara politik selamat (play safe) dimainkan Azmin.
Logiknya beliau tidak patut mencadangkan Amanah bergabung dengan PKR, tetapi sewajarnya mencadangkan Pas supaya membuang politik lapok dan melakukan reform seperti dikehendakinya agar bersama PH. Azmin harus menjilahkan pemikiran sesetengah pemimpin dan pendokong Pas yang tidak faham-faham berpolitik serta sedia menjadi penyelamat UBN.
Azmin mungkin ada motif lain disebalik cadangan itu kerana ia boleh menyelamatkan situasi dirinya yang kritikal dan kurang selesa waktu ini. Umum tahu penerimaan beliau dalam PKR tidak menyeluruh dan ada beberapa fraksi atau individu yang kecewa dengannya. Dengan mengemukakan cadangan itu dan jika menjadi realiti ia boleh mententeramkan keserabutan politik dialaminya.
Apa diharapkan Azmin jika Amanah bersama PKR, sudah tentu beliau dapat meredakan ketengangan antara pemimpin Amanah dengan pemimpin Pas. Jauh dari itu beliau mahu membina kekukuhan dalam PKR sendiri bagi membina empayarnya. Bagi saya cadangan Azmin itu sebahagian proses mendamaikan politik pembangkang khasnya pertentangan Amanah dengan Pas yang baginya boleh merugikan pembangkang. Niat itu benar.
Cuma apa yang tidak kena cadangan itu anti klimeks dan kontras dengan semangat ditunjukkan oleh parti-parti lain khasnya DAP yang membimbing dan memberi semangat kepada Amanah untuk mengambil alih atau memenuhi kekosongan ditinggalkan Pas. Sepatutnya PKR bertindak seiring dengan DAP dalam memadukan Amanah dan juga PPBM. [wm.kl.4:32 pm 20/12/16]
No comments:
Post a Comment