Tuesday, December 20, 2016

Pengajaran dan pelajaran daripada "kenakalan" Mohd Faiz

SINGGUNGAN

Tengah anak muda bernama Mohd Faiz.
Sebermula saya membaca status (print skirin) yang ditulis anak muda bernama Mohd Faiz Yusof yang dikongsikan oleh beberapa rakan Facebook saya, dalam hati saya sudah berasa tidak sedap. Ada sepatah ayat yang saya kira boleh membawanya ke lubang nahas. Patah itu berbunyi "letak jawatan sebagai Agong".

Cadangan itu sangat tajam dan berbisa yang juga diangkat sebagai satu keberanian. Dari sisi lain ia satu sikap kurang sopan dan perbuatan sengaja membuka jerut untuk dimasukkan leher. Saya sendiri tatkala menangkapi perkataan itu "bersumut" dalam hati; biadap budak ni. Timbul perasaan kesal apabila gambar Mohd Faiz ditempelkan dengan lambang parti Amanah. Firasat saya juga terus mengira apa yang berlaku itu untuk menjejaskan Amanah.


Langsung dari situ saya mengira dia seorang yang "tebolah" dan tidak pandang depan sebelum meluah kata-kata. Sikap orang mudah yang agresif dan bernafsu terserlah. Saya sudah menyangka patah atau status beliau itu akan membawa penyakit kepada partinya dan akan terleset kepada Amanah.

Sudah pasti para pencinta apa lagi petaksub institusi Raja-Raja yang matanya senantiasa melihat Raja itu senantiasa suci dan bersih meskipun ada kalanya ada tompok hitam akan melakukan sesuatu tindakan. Kesetiaan dan ketaatan yang diikat dalam gelang besi budaya dan adat menyebabkan mereka tidak membaca maksud tersirat disebalik kenakalan dan kebiadapan kecil Mohd Faiz itu, melainkan terus menuduh Faiz sebagai biadap.

Manakala penguasa pula yang bertanggungjawab memelihara institusi berkenaan pasti bertepuk tangan. Elemen politik tidak dapat lari kerana kita bangsa sangat terkenal begitu banyak dan galak berpolitik. Orang terdesak akan mengambil kesempatan menjadikan kenakalan Faiz itu sebagai isu meraih sedikit keuntungan daripada apa yang terkhilaf itu.

Natijah akhir tindakan kepada kenakalan Mohd Faiz itu beliau akan di bawa ke mahkamah dan ia telah pun berlaku apabila khabarnya dia sudah digiring polis ke balai. Dalam zaman bahari dahulu orang yang menderhaka atau melakukan kejahatan dalam sesebuah negeri akan diperintah bunuh atau dibuang negeri adakalanya tanpa usul periksa dan kesalahan yang menunasabah.

Sejarah atau mitos Hang Tuah dan Hang Jebat menjelaskan duduk perkara ini, ketinggian darjat Raja atau Sultan diguna seweng-wenengnya bila mana, bagaimana Hang Tuah Laksamana Melaka diperintah Sultan dibunuh kerana dianggap mengkhianati Sultan dan telah melakukan penderhakaan. Tetapi mujurlah kerana ada Bendahara yang bijaksana tidak mematuhi perintah Sultan. Hang Tuah tidak dibunuh sebaliknya hanya di buang di Hulu Melaka sahaja.

Saat Sultan dalam keadaan gawat dan memerlukan seorang seperti Hang Tuah, Hang Tuah dipanggil balik dan terus memperhambakan diri kepada Sultan dengan seadanya penuh kehormatan dan ketaatan tanpa sedikit terkilan kepada perintah Sultan sebelum itu. Bayangkan apa jadi kepada Sultan sekiranya Bendahara telah mentaati perintah buta sultan itu?

Aneh dan pelik hikayat itu? Yang memusykilkan saya sampai kini, orang yang jelas ingkar kepada perintah Sultan, yak itu Bendahara tidak dikenakan apa-apa tindakan. Bukankah Bendahara telah ingkar apabila tidak menuruti perintah Sultan membunuh Hang Tuah. Ingkar itu satu pendehakaan. Dalam mitos ini yang perlu dibunuh Bendahara bukannya Hang Jebat. Ada sikap double standard di lakukan sultan disini.

Kisah atau mitos itu sebagai ibrah kepada manusia kemudiannya. Ia dicipta dan diilhamkan demikian rupa oleh pencipta riwayat dan sejarahwan. Ia mahu menunjukkan akan kuasa Raja dan kekuasaanya boleh melakukan apa sahaja tanpa usul periksa sekalipun atau walaupun tindakannya tidak beradab dan kejam. Mitos itu menggambarkan "kekambalan" sultan dan tindakan yang berlandaskan nafsu dan bersumberkan fitnah.

Demikian apa yang berlaku terhadap Mohd Faiz itu, sebenarnya ia tidak sampai ke peringkat yang boleh dihukum, bahkan untuk ditangkap dan dilokapkan pun belum. Jika orang membaca statusnya bersifat seperti Bendahara bijaksana itu akan memahami ertinya, ia tidak pun dapat dianggap menghina, jauh sekali layak digiring ke dalam lokap. Dalam membuat siasatan kepada Mohd Faiz semoleknya Yang di-Pertuan Agong menurunkan mata dan telinganya sama tanpa diserahkan bulat-bulat kepada penguasa yang ada kepentingan.

Catatan beliau dan maksud yang dilakukan tidak pun sampai seperti mana difahami secara rawak terhadap apa dituliskan. Yang dimaksudkan beliau ingin memberi pesan bahawa tugas dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong yang di"dhoman"kan kepada institusi tertinggi, haruslah menghayati tanggunjawab dan kedudukan itu lebih jauh daripada apa yang digambarkan. Maksud peringatan yang dibuat dengan sinis itu bukan sahaja tertakluk kepada Agong, tetapi pemegang jawatan-jawatan dan pemikul amanah lain juga, termasuk perdana menteti dan sebagainya.

Apa yang beliau ingin nyatakan akan peranan dan tanggungjawab seorang Yang di-Pertuan Agong yang berada di puncak paling tinggi dalam "kekuasaan" negara ini. Beliau tidak mahu manis tingkah laku Yang di-Pertuan Agong dalam konteks amal agama sahaja tetapi dalam amal rakyat (sosial) juga. Mohd Faiz terlalu idealis dalam menerjah perkara ini. Dia tidak faham atau nampak bahawa amalan agama Yang di-Pertua Agong itu juga sebenarnya amalan sosial yang meliputi "harizonal" dan "vertikal".

Sebagai payung rakyat, Mohd Faiz melemparkan harapan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja dan juga pemerintah lebih tinggi daripada itu. Ia tidak mahu segala peluang dan kehebatan yang ada itu sebagai suatu retorik sahaja. Itu hasrat dan keinginannya. Bukankah keinginan dan hasrat itu menjadi cita-cita setiap rakyat.

Matan pengucapan Mohd Faiz harus difahami.

Itu maksud tersiratnya dan bagi saya sama sekali beliau tidak bermaksud menghina Sultan Mohamed Ke-V, jauh sekali mendesak agar baginda melepaskan jawatan itu. Saya rasa Mohd Faiz juga waras bahawa adalah tolol amat baginya untuk melihat ketrampilan dan keprihatinan baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa hanya tidak sampai seminggu. Hanya orang gila sahaja yang mengharap telor ayam menetes dalam masa seminggu, sedang fitrah matangnya selama 21 hari. Bawalah saintis sehebat mana sekalipun telor ayam tidak akan menetas dengan melanggari fitrah tempohnya.

Tuhan membuat Adam a.s. pun mengambil masa jutaan tahun. Kelamaan itu mahu menggambarkan akan kesyumulan Adam (manusia). Sebagai seorang bakal Doktor yang mendapat pengajian di Mesir, bumi yang dianggap mulia dan mempunyai menara gading tertua di dunia, Mohd Faiz memahami akan situasi itu. Apakah dia tidak pernah terjumpa dengan kisah dan ceritera itu. Memahami itu maka bagi saya beliau tidak berniat menghina Yang di-Pertuan agong, seperti dianggapkan itu. 

Pun begitu, kerana mengikut kanun, tradisi dan adat Melayu yang kita amalkan bahawa apa-apa perkataan dan perbuatan yang menyinggung baginda sultan boleh disabitkan kesalahan, maka patah-patah perkataan dilafazkan Faiz itu ada "primafacie" untuk beliau diambil tindakan, apa lagi oleh penguasa dan penjaga instusi raja yang berdendam dan ketakutan.

Apa yang diharapkan tindakan dikenakan bukan satu tindakan sampai menyusahkan beliau jauh sekali sampai menyeksa atau merosakan reputasi dan prospek beliau sebagai anak muda masa depan negara. Tindakan cukup berpadan patut. Dan adalah lebih baik dan mulia lagi kalau Yang di-Pertuan Agong sendiri bertitah dan meminta Mohd Faiz menghadap bersua muka bagi menyelami maksud si anak muda itu.

Dalam pada itu saya yakin bagi Sultan Mohamad ke V baginda tidak pun terkesan dengan pengucapan Faiz dalam Facebook itu. Mungkin baginda menerima sebagai satu peringatan baik serta menjadi mesej mujarab buatnya untuk selama lima tahun memegang jawatan itu. Adapun yang riuh randah yang bersikap lebih sudu daripada kuah ialah mereka yang mahu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku dengan mengharap seuncang laba berhias tuba. 

Bagaimanapun apa yang berlaku tentu ada hikmah dan rahmatnya, ia perlu dipelajari sama oleh orang lain dan mengambil peringatan untuk tidak terulang dilain masa. Peribahasa berbunyi kerana rosak santan kerana pulut, rosa badan kerana mulut, hendaklah diingati dan dihayati. Raja bukan tidak boleh ditegur, tetapi caranya kena berhemah. Nama lagi raja mereka berdarjat dan untuk berbicara dengan mereka juga ada bahasa tersendiri. Kita (rakyat) yang mengangkat sembah kepadanya maka kita jugalah yang mendaulat dan mengkeramtkannya.

Orang di zaman bahari berbicara atau kalau ingin menegur sultan dan raja ada cara dan bahasa tersendiri. Syair, pantun, gunridam, seloka dan madah adalah instrumentnya. Di sinilah keindahan adat budaya Melayu. Selagi kita bernama Melayu maka jangan tinggal adat resam itu. InsyaAllah kalau kita mengekalkan adat resam, kesopanan kita, kita akan selamat sultan juga akan membawa berkat.

Dalam satu-satu segi kedudukan Melayu itu lebih tinggi daripada agama, hakikat ini kena diakui. Kemungkaran berbolot dalam kemuliaan. Walhau'alam. [wm.kl. 7: 25 am 20/12/16]

No comments: