Monday, May 6, 2019

Molek Dr Mahathir berhenti layan budak yang disifatkan "bodoh".

SUSUPAN PETANG

SAYA rasa bukan sahaja saya yang serabut perut atau mual dengan perbalahan, kata mengatakan di antara Dr Mahathir Mohamad dengan seorang anak raja di bahagian Selatan sana. Orang lain juga mual dengan apa yang berlaku. Pertelingkahan dan kata mengatakan itu tidak memberi manfaat pun kepada pembangunan bangsa dan negara ini.

Si anak raja itu cuba hendak menunjukkan kekuasaan institusi diwarisinya serta mempamirkan kononnya raja juga berjasa kepada negara. Manakala Perdana Menteri pula cuba mempertahankan hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi daripada diganggui oleh kekuasaan seorang raja. Itu sahaja yang menjadi motif disebalik perbalahan mereka berdua itu.


Perkara itu pun, soal batas dan kuasa di antara PM dengan raja-raja sebenarnya sudah ada dalam kitab kehidupan negara. Kenapa dipersoalkan lagi? Kalau kedua pihak menghadami perlembagaan dan adat tradisi tidak sepatut berlaku perbalahan itu.

Tetapi ego manusia tidak mudah untuk mencapai kata penyelesaian. Ego inilah yang mencelakakan keadaan dan boleh merosakkan orang lain dan negara juga.

Dalam hal ini saya kira ia tidak akan berhenti, kalau tidak ada salah satu pihak bersikap tawakus atau pun mendiamkan diri - menjadi lebih cerdik daripada salah seorangnya. Dr Mahathirlah bagi saya wajar untuk mendiam diri dan tidak melayan anak raja itu. Beliau juga sudah tahu akan fiil perangai anak raja seorang ini. Jadi untuk apa beliau terus melayannnya.

Atau pun Mahathir ada maksud lain maka beliau terus mengusik-usik anak raja itu? Apakah ia seperti mengusik anak kucing yang kemudian mengheretnya ke dalam parti kebencian?

Rakyat tidak senang dengan apa yang berlaku. Sepatutnya Perdana Menteri tidak berhadapan dengan kerenah seperti itu. Ia sedikit sebanyak memberi gambaran yang kerajaan pimpinan Mahathir kini semacam bermasalah. Anak raja itu juga seharus sedar diri dan tahu menilai keadaan.

Mungkin Dr Mahathir seronok kerana ada "spring partner" untuk terus melakukan exercise mentalnya agar terus kuat dan dapat menjalankan tugasnya untuk membaiki negara yang dijahanamkan oleh Najib Razak.

Mungkin begitu. Dr Mahathir pernah mengakui beliau akan jadi lebih kuat, berani kalau berhadapan dengan cabaran dan ancaman. Jadi dalam hal ini saya melihat anak raja itu adalah cabaran buatnya.

Kalau ya pun untuk melakukan latihan bagi menguatkan minda demi negara, carilah pesaing lain, yang lebih cerdik. Ini kerana Dr Mahathir menyifatkan anak raja itu sebagai "budak bodoh", yang tidak tahu apa yang dia cakap. Kalau sudah tahu dia bodoh kenapa dilayan? Jangan-jangan penyakit bodoh itu sudah berjangkit kepada Mahathir?  [wm.kl.4:30 pm 06/05/19]

No comments: