Saturday, May 18, 2019

Sambutan ulang tahun kerajaan PH peringkat Kelantan cacat

ULASAN 

Barisan kepimpinan utama PH Kelantan yang hadir. 
SEMASA di Kota Bharu semalam saya sempat ke kompleks Kebudayaan dan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKn) di Tanjung Chat. Pertama kali menjejak kaki ke kompleks itu dan pertama kali juga menyedari kewujudannya.
Kompleks itu boleh dikatakan serba serbi lengkap memenuhi keperluan untuk apa-apa aktiviti dibawah jabatan itu.

Terdapat dewan canggih untuk sebarang pementasan seperti drama, konsert dan sebagainya berkapasiti cecah hampir 1000.

Kompleks itu dibina atas tanah seluas 5 ekar sejak empat tahun lepas semasa kerajaan BN. Sayangnya disebabkan ia tidak dimanfaat sepenuhnya berapa kemudahan atau kelengkapan kompleks itu rosak dan perlu diperbaiki.

Kompleks itu seakan terbiar, dan menjadi gajah putih. Tidak diketahui pula kenapa berlaku demikian apakah kerana kesukaran jabatan untuk menggerakkan acara kebudayaan kerana ada beberapa budaya yang dihalang oleh kerajaan Kelantan seperti Mak Yong dan Wayang Kulit.

Abd Aziz, dan Supardi diapit oleh Sobree.  
Difahamkan bumbung di satu anjur kompleks berkenaan roboh dan perlu diperbaiki. Beberapa peralatan pentas lain juga dikatakan rosak.

Sejak Pengarah JKKn Kelantan bertukar kepada Mohd Raizuli Jusoh baru nampak kompleks itu digerakkan peranannya dengan penganjuran beberapa aktiviti kesenian.

Adapun saya menjejak kaki ke kompleks itu malam tadi bukan kerana hendak menyaksi persembahan kebudayaan atau pertunjukkan kesenian tradisional Kelantan, tetapi hadir ke majlis sambutan setahun kerajaan PH dan majlis berbuka puasa.

Saya memaksa diri hadir semata-mata untuk melihat sejauh kehangatan sambutan rakyat khasnya penyokong PH. Begitu juga dengan para pemimpinnya yang terbentuk dari empat kompoenan. Majlis temu raya diadakan pada tahun lepas telah memberi satu pengalaman yang kurang menggembirakan dari segi sambutan dan perpaduan sesama pemimpin PH. 

Jumlah yang hadir di majlis yang diadakan di RTC Tunjung itu, tidak menampakkan sokongan padu rakyat kepada PH Kelantan. Bukan sahaja rakyat tetapi pemimpin komponen PH sendiri juga tidak hadir. Jadi berdasarkan kepada pengalaman itu, membuka selera Ramadhan saya untuk melihat sejauh mana pula sambutan hari ulang tahun setahun kerajaan PH yang diadakan itu.

Dr Radzi dan Abd Aziz Kadir.
Difahamkan Kelantan menjadi negeri pertama menyambut majlis seumpama itu.

Difahamkan majlis sambutan semalam terbatas di kalangan pimpinan PH Kelantan sahaja termasuk peringkat bahagian dan cabang. Ertinya majlis semalam tidak dibuka untuk orang ramai? Mendengar penjelasan daripada Ketua Penerangan PH Kelantan Zulkifli Mohamad yang juga selaku pengacara, telah terbetik suatu perasaan dihati saya, yang majlis itu tidak sempurna dan sesuatu yang tidak kena. 

Musykil juga saya, kenapa majlis itu dinamakan sambutan setahun kerajaan PH tetapi ia tidak dibuka kepada umum. Apakah orang ramai khas penyokong PH Kelantan tidak berhak untuk menyambutnya kerana di Kelantan PH tidak menang satu kerusi pun?  Apakah itu alasannya? 
Atau ia dibuat eksklusif dan tertutup sesama pemimpin sahaja kerana ada hambatan lain misalnya takut tiada sambutan, atau pun tidak mempunyai biaya bagi menampung kos besar jika ia dibuka kepada umum? Jika itulah sebab musababnya maka jelas kekompatan dan semangat penyokong PH di Kelantan masih ditakak lama. Semangat berkorban masih rendah, dan kemenangan sehingga menjadi kerajaan tidak menjadi daya suntikan semangat untuk bergerak ke depan. 
Menurut Zulkifli tujuan majlis semalam adalah untuk memberi beberapa maklumat dan pencerahan kepada kalangan pemimpin, khasnya berhubung perkembagan kerajaan PH setahun dan juga beberapa halangan dihadapinya.

Supardi, Raizuli (Pengarah JKKn) dan
Kamaruddin Md Nor.
Kalau itu maksudnya, tidak sesuai majlis semalam dinamakan majlis sambutan setahun kerajaan PH, sebab nama itu luas skopnya dimana seharusnya ia dibuka kepada semua orang. Di sini ada sedikit kecacatan dalam menamakan majlis itu. Sepatutnya majlis itu dinamakan pertemuan di kalangan pemimpin PH Kelantan sahaja, bukan majlis sambutan. Apabila ia dinamakan sambutan, dan sambutannya hambar maka majlis itu gagal.

Mungkin pihak Sekretarait PH Kelantan yang diketuai oleh Mohd Sobree Shafii dan Setiausahanya Mohd Mazlan Abdul Rahman perlu memberi perhatian dalam hal ini agar kecacatan yang ketara ini tidak berlaku dimasa akan datang. Apa lagi saya difahamkan yang menguruskan majlis sambutan itu adalah Sekretarait PH. 

Walaupun majlis itu dikhasnya di kalangan pemimpin, tidak semua pemimpin PH Kelantan hadir. Ada pemimpin utama dan penting tidak kelihatan. Pengerusi PH Kelantan Husam Musa sendiri tidak nampak batang hidung.

Begitu juga dengan Sazmi Miah, yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan tidak hadir. Lebih memelikkan lagi katanya beliau mempunyai acara berasingan di Kota Bharu yang jaraknya dengan majlis sambutan itu tidak sampai 1 km. Kenapa tersasar begitu? 

Pelik dan ajaib, macam mana boleh berlaku demikian. Dan paling canggung ialah ketidakhadiran Husam. Kerana kedudukan beliau sebagai Pengerusi, kegagalannya hadir mencacatkan majlis, bukan sahaja dipentas terdapat satu kerusi kosong, tetapi semacam anti klimek pula bila beliau tidak ada. Saya yakin mereka yang hadir selain untuk bermesra Ramadhan tetapi ingin mendengar apakah amanat dan juga nasihat dan suntikan semangat perjuangan terbaru daripadanya bagi menyemarakkan PH Kelantan di masa akan datang.

Kenapa ini berlaku? Tidak sepatutnya majlis begitu penting tetapi pengerusi tuang tanpa apologitik.  Lain-lain pemimpin utama PH Kelantan khasnya daripada Amanah yang tidak nampak muka malam tadi, termasuk Setiausaha Amanah, Rushdan Mustapa, Timbalan Pengerusi Amanah Mohamad Hussein, Naib Pengerusi Che Ibrahim Mohamad?.

Bekas calon PH di kerusi Chempaka Nik Omar Nik Abdul Aziz juga tidak nampak muka. Walaupun beliau tidak ada posisi dalam PH tetapi dengan penjajaan namanya untuk menjadi MB Kelantan seharusnya beliau hadir sama, kalaupun untuk tidak memberi ucapan politik tetapi cukup untuk jadi tukang baca doa.

Sementara dua pemimpin utama daripada Bersatu selain Sazmi, yang juga tidak nampak muka Nordin Salleh dan Abdul Rahsid Abdul Rahman. Disini saya ingin salute kepada bekas Pengerusi Keadilan Kelantan Abd Aziz Kadir, awal-awal lagi hadir untuk memeriahkan majlis dan kelihatan bersembang dengan Supardi Md Noor walaupun mereka berdua sebelum ini dikatakan kurang "berlaga daut". 

Apa yang berlaku, itu kontras dengan semangat dan kesungguhan yang dtunjuk oleh pemimpin PH lain yang hadir. Ini digambarkan dalam ucapan alu-aluan masing-masing. Pengerusi Keadilan Supardi Md. Noor yang pertama kali tampil dalam majlis PH, melontarkan harapan kepada masa depan PH Kelantan. 

Begitu juga dengan Pengerusi DAP Kelantan Chua turut sama berucap. Masing-masiong menyampaikan iltizam dan keyakinann kepada PH. 

Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dilihat begitu excited dengan majlius itu dan mengambil sikap untuk berterus terang mengkritik PH demi kebaikan. Menurut tilikannya Kelantan bukan mudah untuk diambil oleh PH dalam pilihan raya akan datang.
Sebahagian yang hadir ke majlis sambutan
dan berbuka puasa PH Kelantan. 

Kesukaran itu bukan sahaja kerana budaya politik Kelantan yang unik tetapi ada kena mengena dengan sikap PH sendiri yang mana masih belum menunjukkan kekompatan sesama sendiri.

Juteru serunya mulai sekarang PH Kelantan perlu bergerak atas nama PH bukan lagi mengikut parti masing-masing.

Ertinya apabila beliau membuat seruan ini, bermakna parti-parti komponen PH Kelantan masih mengiikut nafsu nafsi sendiri. 

Hal sama juga disebut Pengerusi Bersatu Kamaruddin Md Noor yang lebih membuat analisa kepada kegagalan PH untuk tawan Kelantan. Menurutnya, rakyat Kelantan sudah bersedia untuk menukar kerajaan, tetapi persiapan dipihak PH masih belum kemas. Rakyat juga tidak yakin dengan kemampuan PH dan rasa tidak yakin inilah mengagalkan PH memenangi sebarang kerusi di Kelantan.

Justeru katanya PH perlu memberi keyakinan kepada rakyat untuk mengambil alih Kelantan, salah satu cara ialah kena gembelingkan tenaga dan idea ke arah itu.

Satu-satu ahli jemaah kabinet Kelantan, Dr Radzi Jidin sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi juga turut hadir dan memberi ucapan memberangsangkan. Beliau memberi tahu akan masalah dihadapi kerajaan kini dan kerosakan negara disebabkan kerakusan kerajaan BN selama ini.

Kesimpulannya majlis sambutan sempena setahun kerajaan PH itu, meriah tetapi gagal dari konteks untuk menyerlahkan kekompatan dan semangat kebersamaan di kalangan pemimpin-pemimpin utamanya. [wm.kl.11:15 am 18/05/19]

No comments: