Saturday, June 1, 2019

Zaki seorang pejuang yang tegas dan telus

BELASUNGKAWA

Ketika ziarahi Allahyarham pada Nov 2018
dan ini kali terakhir berbicara dengannya.
KEPIMPINAN Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) dibawah naungan gandingan Husam Musa dan Takiyuddin Hassan sebagai Ketua Pemuda (era 1990an) melahirkan ramai pemimpin pelapis Pas khasnya dari kalangan pemuda di Kelantan.
Macam bermusim pula, tumbuh benih-benih pemimpin dan tokoh pemuda yang hebat dan menyerlah bakat kepimpinan mereka di Kelantan pada masa itu. Ada beberapa nama tokoh muda yang kemudian masing-masing boleh dianggap cemerlang dalam kerjaya politik mereka sampai ke hari ini.

Salah seorang ialah insan yang baharu meninggalkan kita buat selama-lamanya petang Jumaat tadi, yakni Mohd Zaki Ibrahim. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2:45 petang waktu Arab Saudi tadi sekitar jam 7.45 malam waktu Malaysia.

Allahyarham Zaki berada di Makkah dalam rangka mengerjakan umrah bersama keluarganya. Dua hari lepas beliau dilaporkan demam dan mengalami muntah dan cirit birit selepas pulang daripada lawatan ke Thaif. Keadaan menjadi tenat sehingga tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital. Beliau merupakan penghidap kencing manis yang kronik sejak setahun lalu.

Semasa beliau terlantar di ward di HUSM Kota Bharu saya sempat menziarahinya bersama sdr Mohd Mazlan Abdul Rahman. Sejak itu saya mengetahui beliau uzur dan selalu bertanya khabarnya dengan kawan-kawan.

Tiga minggu lepas ketika balik ke Kelantan saya diberi tahu oleh bekas Ketua Pemuda dan juga bekas Adun Guchil Zulkifli Yaacob yang beliau keuzuran dan berada di rumah. Mulanya saya bercadang untuk menziarahinya, tetapi tidak kesempatan.

Semasa melawat beliau di HUSM, 3 November 2018 di pertemuan itu kami rancak berbual dan saya meminta (berdoa) beliau agar kembali segera sembuh kerana tugasnya sebagai pejuang masih banyak. Kata saya politik negara makin menarik. Allahyarham faham apa yang saya maksudnya dan seakan bersedia untuk terus berjuang. Tidak sangka rupa-rupanya pertemuan itu adalah yang terakhir.

Sejarah perjuangannya.
Jika dibelek kitab sejarah penglibatannya dalam politik, Allahyarham dikira antara pemuda didikan serta menjadi kawan baik Husam yang menyerlah. Beliau semasa memimpin Pemuda berjaya membawa Dewan Pemuda menjadi Ansarullah, mempertahankan kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semasa Umno gila-gila menyerang kerajaan Tokguru, Zaki menjadi penyambung tugasan Husam menggerakkan pemuda Kelantan menjadi benteng mempertahankan Tokguru Nik Aziz dan kerajaanya.

Beliau memimpin DPPNK selaku ketua pada 2006 selepas mengambil alih daripada Zulkifli yang juga merupakan anak didik Husam atau pemuda yang menjelma dari sulbi pemuda dibawa Husam dan Takiyuddin.

Waktu Pemuda dibawah pimpinan Zaki (2006/2009) bolehlah pemuda dikatakan menjadi barisan hadapan dalam Pas, bertindak menjadi kuasa pendesak dan pengimbang. Zaki yang berkebolehan sebagai tukang syarah yang lantang dan berani menjadi peniup obor kepada anak-anak muda dalam Pas.

Kebetulan saya pernah mendengar satu ceramahnya di Pasir Mas ketika pilihan raya kecil, Permatang Pasir jika tidak silap. Telinga saya naik seriau mendengar ucapan dan keberaniannya yang mengkritik dan mencabar kerajaan BN.

Murid Wan Jamil.
Allahyarham berucap dalam majlis pertemuan
Anak-Anak Tumpat di KL 2012.
Keterampilan dan bakat kepimpinannya selaku Ketua Pemuda makin terserlah apabila beliau  menjadi Adun Kelaboran ini. Pilhan raya 2004, Zaki diletakkan bertanding di Dun Kelaboran dalam Parlimen Tumpat. Penurunannya itu atas kuota Pemuda.

Pendekatan politik mesra dan mempedulikan rakyat menjadikan Zaki disayangi. Kewujudannya di Tumpat bolehlah dikatakan dibayangkan tokoh besar Pas Tumpat Allahyarham Wan Mohd Jamil Wan Mohammad yang menjadi Yang Dipertua Pas Tumpat dan bekas Ahli Parlimen sebelum kerusi itu diinfakkan kepada Kamaruddin Jaaffar. Malahan Zaki dan beberapa yang lain termasuk Khir Zuhri adalah antara anak didik atau mendapat tarbiah politik langsung daripada Wan Jamil.

Sebagai orang berguru dengan Wan Jamil, Zaki seorang yang tegas dan telus. Sesuai dengan posisi Pemuda beliau tidak mudah tunduk dengan tekanan dan ugutan. Ketegasan Allahyarham ini tidak sahaja dengan pihak lawan (Umno dan BN) tetapi sesama sendiri pun jika ada sesuatu yang agak tergelecah dari landasan sebenar yang perlu ditegur beliau akan menegurnya. Sikap tegas dan berani Zaki ini memang diketahui umum dan sifat inilah juga beliau dihormati kawan dan lawan.

Seperti disebut tadi, Allahyarham mula menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (Adun) kawasan Kelaboran Tumpat selama tiga penggal berturut-turut mulai tahun 2004 hingga tahun 2013. Kali pertama beliau bertanding, berhadapan dengan calon BN, Wan Johani Wan Hussein, menang dengan majoriti 691 undi. Dalam pilihan tahun 2008 beliau berhadapan dengan Wan Hanafi juga dari BN, kali ini menang dengan majoriri 2,212 undi.

Dalam pilihan raya ketiga, 2013 sekali lagi beliau berhadapan dengan calon BN, Wan Hanafi dan berjaya mengekal majoriti sebelum ini dengan mengutip 2,103 undi. Kemenangan Zaki sebanyak tiga kali berturut-turut itu menunjukkan penerimaan rakyat kepada kepimpinannya di kawasan itu.

Dalam pilihan raya umum ke-15 (2018) beliau digugurkan daripada bertanding untuk mengekalkan kerusinya itu. Pengguguran ini timbul berbagai spekulasi, antaraya ia dikaitkan kononnya beliau sebagai orang Husam. Perpecahan Pas sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) sedikit sebanyak meletakkan beliau dalam keadaan serba salah. Namun sebagai orang setia dengan parti beliau mengambil sikap bertawaqus, kekal bersama Pas. Namun begitu tidak mudah memutuskan tali silaturahim kerana perbezaan parti.

Hal ini disahkan oleh Husam Musa. Dalam satu postingnya dalam Facebooks Husam awal malam ini, Husam menyifatkan Zaki sebagai seorang sahabat yang terus mengekalkan persahabatan walaupun berbeza fahaman politik.

"Dia antara sahabat saya dari Pas yang terus berhubung sekali pun kami sudah berlainan parti. Beliau mengekalkan ukhwah filah sebagai adik beradik seagama," Demikian catat Husam yang kali terakhir berhubung dengan Allyarham 10 hari lalu.

Di hujung catatan Husam menulis; "Atas indahnya pertemuan beliau dengan Rabnya dibulan Ramadhan di tanah haram pada Jumaat terakhir menjelang 27 Ramadhan yang berkat saya merakamkan rasa terharu saya sekaligus bersyukur atas pemilihan Allah yang mulia."  

Jawatan dan kedudukan dalam parti.
Di peringkat parti selain menjadi Ketua Pemuda Zaki pernah menjadi Timbalan Yang diPertua Pas kawasan Tumpat sebelum ia diambil oleh Che Abdullah Che Nawi dalam satu konspirasi halus. Jawatan tertinggi beliau dalam Pas Kelantan pernah dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan.

Sementara dalam kerajaan Allahyarham pernah dilantik menjadi Timbalan Speaker Dun Kelantan dan juga sebagai timbalan Exco. Beliau juga diberi tanggungjawab untuk menerajui sebuah Yayasan berkepentingan dengan Pas Kelantan.

Gambar Zaki tiga hari sebelum Allahyarham
meninggal bersama sdr Razali.
Kerja atau bakat kepimpinan Zaki ramai yang tidak sedar ia terselah dari awal lagi di era siswa. Beliau pernah menajdi Exco Markaz Siswazah Kelantan (MSK), sebuah persatuan di kalangan siswazah Kelantan yang pro Pas dan kemudian menjadi Presidennya. Sifat baik dan ramahnya menyebab beliau mempunyai hubungan dan ramai kawan di kalangan pimpinan siswa dan persatuan pelajar.

Pemergian Zaki malam ini dalam usia 52 tahun sesuatu yang mengejutkan sekali. Sejak mendapat khabar beliau keuzuran di Makkah saya tidak putus-putus berdoa untuk kesejahteraan beliau. Saya masih bernasib baik dengan bantuan seorang rakan Facebooks sdr Razali Yaakob yang berkebetulan serombongan dengan Allahyarham memaklumkan keuzuran Zaki sejak kelmarin lagi.

Razali mengirimkan WhatsAsap kepada saya hanya kerana dia menyedari yang saya pernah menziarahi Zaki di HUSM. Tulisnya; Assamualaikum untuk makluman bekas YB Kelaboran Tuan Haji Zaki agak kritikal sekarang, dalam perjalanan ke hospital Makkah. Saya bersama beliau mengerjakan umrah sekarang. Mohon doakan beliau."

Terpana pana saya menerima dan membaca mesej itu. Saya mengangkatnya ke dalam Facebooks  untuk mendapat perhatian rakan-rakan yang lain dengan hajat mendapatkan seberapa banyak doa untuk sahabat ini. Bagaimana pun saya menarik balik apabila dimaklumkan oleh Razali, ada pihak yang meminta agar berita itu tidak dipostkan dalam Facebook.

Saya tetap mendapat maklumat dan perkembangan daripada Razali dari masa ke semasa. Selepas menyedari ada status mengenai Zaki turut dimasukkan oleh orang lain, termasuk keluarganya, saya mengangkat status sekali lagi mengharapkan simpati dan doa untuk Zaki.

Allah mengasihinya lebih daripada semua orang mengasihinya. Seperti mana telah ditetapkan diazali beliau dipanggil ke hadrat Penciptanya, pada hari yang mulia dan hujung Ramadhan, pada saat para muslimim muslimat sedang menanti kehadiran Lailatul Qadar. Semoga rohnya dicucuri rahmat berpanjangan dan dimuliakan segala jasa dan pengorbanan.

Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata, empat perempuan dan seorang lelaki, dua orang balu yang pertama asal Bachok, Kelantan dan kedua Tangkak Johor. Takzaih kepada seluruh keluarganya. Amin. [wm.kl.12:13 am 01/06/19]

No comments: