Wednesday, July 3, 2019

Najib perli Mustapa dan ungkit kisah lampau

PANDANGAN

Mustapa menghormati Najib sebagai  ketuanya,
tetapi tinggal bila tahu ketuanya  tidak jujur. 
DALAM usaha untuk memulihkan keadaan Umno dan mengharapkan rakyat memberi sokongan padu kepada parti itu seperti sebelum ini, Umno Kelantan turut membawa Najib Razak ke negeri tersebut dua tiga hari lepas.

Di Kelantan Najib diberikan kesempatan untuk bertemu dengan orang ramai dan berucap dibeberapa majlis termasuk merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Jeli.

Najib tentu gembira dan seronok dapat menghadiri majlis di Kelantan dan diberi ruang. Setidak-tidaknya beliau dapat release tension apabila terpaksa hadir ke mahkamah setiap hari bagi menghadapi perbicaraan atas tuduhan salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.  

Hadir ke mahkamah dengan siap berbaju kot ia tidak menjamin memberi ketenangan dan kebahagiaan jiwa kepada ahli parlimen Pekan itu.  

Hadir ke mahkamah, berhadapan dengan pendakwa, hakim dan mendengar keterangan saksi pendakwa sungguh menghiris jiwa, adakalanya mencabar maruah diri sebagai bekas perdana menteri pemimpin tertinggi negara. Jadi sesekali apabila dibawa keluar dari ibu kota, berhadapan dengan ahli setia Umno, yang memujanya sebagai "bossku" sedikit sebanyak dapat Najib menghiburkan diri dan lupa masalah yang menekan diri. Najib waktu ini tidak nampak harapan lain lagi melainkan membayangi kehidupan di Sungai Buloh? 

Salah satu majlis yang dihadiri Najib ialah merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Jeli. Bahagian Jeli seperti umum tahu adalah bahagian Umno yang berat memikul bahana ekoran  kekalahan Umno dalam pilihan raya lalu sehingga tumbang kerajaan berusia 61 tahun. Umno bahagian itu kini seperti anak ayam kehilangan induk apabila ketuanya Mustapa Mohamed telah meninggalkan parti tersebut dan berhijrah ke dalam Bersatu.

Tindakan Mustapa itu sesuatu yang mengejutkan, tetapi ia tindakan dikira tepat. Bagaimana pun ia memberi pukulan kepada Umno Kelantan khasnya di Jeli. Apa lagi Mustapa ialah bekas Pengerusi Umno negeri Kelantan, dan juga bekas menteri kerajaan Pusat yang banyak membantu membangunkan negeri Kelantan.

Mustapa Mohamed
Ramai yang terkilan, kesal dan "murih" dengan tindakan Mustapa itu. Mustapa pula tidak memberi apa-apa alasan yang mendalam kenapa beliau meninggalkan Umno kemudian menyertai Bersatu. Apa yang beliau sebut ialah, beliau perlu melakukan sesuatu bagi meneruskan perkhidmatan kepada rakyat kawasannya, Jeli. Itu sahaja alasan yang Mustapa berikan. Kita faham kenapa beliau enggan menyebut secara mendalam kerana tidak mahu memalukan Najib.

Sebenarnya ada alasan lain kenapa beliau berbuat begitu. Dalam bersembangnya dengannya, beliau menyatakan rasa kecewa dengan apa yang berlaku, khasnya oleh Najib. Salah satu ialah berkaitan skandal 1MDB. Beliau pernah menceritakan kepada saya secara berterus terang, banyak beliau tidak tahu disebalik isu 1MDB yang membawa tumbangnya kerajaan BN itu.

Selama ini katanya beliau tidak diberi tahu cerita yang "sengoti" mengenai isu berkenaan. Dalam kata lain cerita sebenar mengenai 1MDB disembunyikan Najib, dimana keadaan itu Najib seolah-olah menipu rakyat, menipu para pemimpin termasuk diri Mustapa juga.

Mustapa baru mengetahui Selepas skandal itu dibongkar apabila kerajaan bertukar. Pembongkaran itulah mengejutkannya sekaligus menyebabkan beliau hilang kepercayaan kepada Najib. Beliau berasakan kepercayaan dan sokongan diberikan selama ini semacam dipersia-siakan. Beliau jadi malu kepada diri sendiri.

"Selama ini kita mempercayai Najib seratus peratus. Beliau tidak memberi tahu perkara sebenarnya dan ini menyebabkan saya rasa tertipu," begitulah tutur Mustapa. 

Kecewa dan kesal.
Memahami kata-kata itu jelas tindakan beliau untuk tidak bersama Umno dan Najib ialah kerana kesal dan kecewa atas apa yang berlaku. Iya, sebagai seorang yang jujur, baik dan bekerja siang dan malam untuk negara, tentu beliau terkilan apabila diperlakukan begitu. Itulan punca mengapa beliau mengambil tindakan meninggalkan Najib dan Umno.

Tidak dinafikan tindakannya meninggalkan Umno dan membiarkan Umno Kelantan seakan tidak beribu dan berayah mengecewakan ahli Umno punca dan ulahnya kerana perangai Najib. Justeru sekiranya Najib menyedari apa yang dilakukan sebelum ini, melindungi cerita sebenar di sebalik 1MDB, beliau sepatutnya tidak perlu marah kepada sesiapa pun termasuk mereka yang "mufaraqah" dari perjuangan Umno dan mempertikai kepimpinannya.  

Najib sebaliknya patut memberi kebebasan dan pilihan kepada semua ahli Umno bagi meneruskan perjuangan demi rakyat masing-masing setelah Umno dirosak binasakah olehnya.

Tetapi nampaknya Najib tidak dapat menerima langkah Mustapa itu. Begitu juga dengan beberapa pemimpin yang lain, yang mengambil langkah sama kerana kecewa dengan Najib. Bagi kita mereka yang masih menyokong Najib walaupun dia sudah didakwa dengan tuduhan dan setelah ratusan jutaan ringgit dirampas di ruahnya, adalah mereka yang sekongkol dengan Najib. Mereka yang tidak merasakan kesalahan dibuat Najib itu tidak berdosa pun, maka mereka tetap terus menyokong Najib tanpa sebarang persoalan. 

Tindakan Mustapa dan yang lain itu tampaknya tidak dapat diterima Najib seada-adanya.  Beliau semacam menyalahkan orang lain. Kerana itu semasa merasmi mesyuarat perwakilan Umno Jeli Najib menyindir tindakan Mustapa itu sebagai katak yang melompat waktu malam untuk mencari rezeki dalam kerajaan baru. Kata-kata itu sebagai satu penghinaan. 

“Orang kesayangan saya telah lari tengah tengah malam. Macam katak yang melompat.  Konon-kononnya nak cari rezeki di sebelah sana. Tetapi dia lupa kepada prinsip perjuangan. Dia lupa bahawa siapa yang letak dia disitu, kalau tidak Umnolah yang beri rezeki kepada dia," demikian ucapan Najib semasa merasmikan mesyuarat Umno Jeli dipetik.

Sebenarnya apa yang Najib kata itu dia tidak kenal siapa Mustapa dan hati budinya.  Sayang walaupun bertahun bersama Mustapa, kawan ini menjadi abdinya dalam memancu negara menerusi MITI, Najib tidak kenal dengan Mustapa. Seolah segala budi, pengorbanan dan jasa Mustapa tidak ada nilai baginya.

Tidak cukup menyindir dan menghina Mustapa begitu Najib juga mendedahkan gelagat Mustapa dalam Umno dahulu yang banyak memohon peruntukan dengannya, dengan menghantar surat permohonan itu dan ini. Kata Najib; Mustapa lah pemimpin yang banyak hantar surat "cinta" kepadanya, minta projek dan minta tander terhad dan sebagainya.

Menurutnya beliau melunasi semua permintaan Mustapa kerana orang Jeli dan rakyat Kelantan.

Memang tidak dinafikan apa dikatakan Najib mengenai Mustapa itu. Mustapa seorang yang sangat prihatin kepada rakyat diwakilinya.  Tengoklah macam mana beliau bangunkan Jeli kawasan jin bertendang dan buang anak telah berubah menjadi bandar baharu di Kelantan. Juga apa yang bekas PM itu kena tahu, Mustapa berbuat begitu bukan untuk dirinya. Semuanya untuk rakyat Jeli dan Kelantan seluruhnya. Apakah salah, kalau sebagai pemimpin Kelantan, Mustapa "menggunakan" perdana menteri untuk kepentingannya?

Sepatutnya Najib tidak mengungkit hal itu kerana ia mendedahkan kedangkalan diri sendiri dalam memahami sistem pentadbiran. Apa yang penting, Mustapa minta segala projek itu bukan untuk dirinya, anak bini seperti mana dilakukan Najib. Kalau tidak kepada perdana menteri dan ketua parti, kepada siapa lagi Mustapa atau ketua-ketua Umno bahagian hendak memohon dan harap?  Masakan kepada Tok Batin Orang Asli.

Sekiranya Najib menyedari hakikat itu dia tidak ungkit segala apa yang diperlakukan itu. Beliau patut bangga dengan peranan dimainkan oleh Mustapa. Dia patut puji Mustapa kerana tidak bersikap sepertinya indah di luar busuk di dalam. Yang jelasnya Mustapa tidak dihadapkan dengan apa-apa pertuduhan menyalah gunakan kuasa, pengubahan wang haram atau pecah amanah seperti yang berlaku kepadanya.

Dalam ucapan itu juga Najib kesal kerana Mustapa "lari malam" tidak memberi tahunya. Rasanya tidak perlu untuk Mustapa memberi tahu Najib tindakan itu. Kalau Najib tahu dan memahami kesalahan yang dibuatnya menimbulkan kebencian orang dan menjadi liabiliti kepada Umno, Najib tidak pun patut mempertikaikan mereka yang bertindak lari meninggalkan Umno dan dirinya.

Yang baik, Najib membiarkan mereka membina hidup baru dengan mana-mana parti atau wadah baharu setelah mereka hilang kepercayaan kepada Umno disebabkan ulah dan salah Najib sendiri. Apa yang Najib lakukan ke atas Mustapa itu tidak ubah seperti cuba "menebah" belalang yang terbang tinggi dengan penebah robek masih ditangan. [wm.kl.4:46 pm 03/07/19]
Glossori: 
1. Murih = Marah.
2. Menebah = menangkap dengan alat seperti jaring.

No comments: