Monday, July 1, 2019

Debat dengan si Jebeng yang tidak berfaedah

ULAS ISU

PANDANGAN peribadi yang dikeluarkan oleh Ketua Dewan Ulama Pam yang baru (si Jebeng) yang kerajaan PH hari ini WAJIB ditumbangkan telah menjadi isu hangat apabila ia diberi reaksi demikian rupa oleh beberapa individu dan juga parti komponen PH sendiri khasnya dari Parti Amanah Negara.

Bagi mereka pandangan ketua dewan ulama berJebeng itu sebagai serius dan mencabar. Maka lanjutan dari itu beberapa individu bangkit menyatakan kesediaan untuk berdebat dengannya mencari justifikasi hukum terhadap pandangan si Jebeng itu.

Sehubungan itu pihak TV Hijrah yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga turut memberi reaksi dengan menyatakan kesediaan untuk menyiarkan debat dengan Jebeng itu secara langsung.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abang Ahmad Kardee telah mengeluarkan kenyataan berkaitan. Kenyataan itu sekaligus mencabar keberanian dan kejantanan serta kefaqihan sang Jebeng itu.

Di sini ingin juga saya menyentuh sekali lagi berhubung pandangan orang berJebeng itu. Bagi yang telah mengenali akal budi politiknya, kejauhan ilmu yang ada kepadanya, serta mengetahui saksiah dan peribadinya, pandangan beliau itu tidak perlu pun dilayan demikian rupa. Pandangan Jebeng itu setangkai dan sedahan dengan pandangan ulama Pam sebelum ini yang mendoakan KO untuk BN dan sebagainya.

Tidak pun perlu diberi ruang sehingga perlu mengadakan siaran langsung. Pada saya lebih baik siaran langsung itu digunakan untuk menyiarkan perlawanan akhir bola sepak Copa di antara Brazil dengan Argentina nanti.

Saya tidak nampak debat itu menemui hasil yang baik. Selagi ia dibuat berasaskan kepentingan politik ia tidak akan mendatangkan kebaikan dan menuntaskan masalah. Perbalahan politik tidak mudah berakhir dalam dewan wacana ataupun di siaran langsung. Perbalahan politik boleh dimutkamad seketika di atas kertas undi, lima tahun sekali.

Jadi untuk apa menghabiskan masa, sia-sia. TV Hijrah itu sendiri juga lebih baik menyiar dan melaporkan kegiatan dan aktiviti agama, dakwah dan tarbiyah yang dilaksanakan oleh Yadim bukan asyik menyiaran forum dengan mengundang ustaz-ustaz belencas.

Dalam masa sama Yadim perlu mengadakan berbagai aktiviti dakwah dan pendidikan untuk memberi kefahaman agama sebenar kepada rakyat negara ini yang mengandungi berbagai aliran pemikiran dan mazhab. Sehingga kini program keIslaman Yadim pun nampak masih kering dan kemarau lagi. Tumpu ke situ dahulu.

Disebabkan sudah ada laporan polis berkaitan pandangan ketua dewan ulama berkenaan, biarlah polis menyelesaikannya. Elok polis panggil ketua dewan ulama berkenaan, soal siasat dan ambil kenyataanya berkaitan dengan gesaan itu. Selepas diambil kenyataan dan penjelasan daripada si Jebeng itu publish kan kepada umum apa yang dimaksudkannya dengan pandangan itu; mengatakan wajib tumbangkan kerajaan PH.

Setelah disoal siasat nanti dan dia tetap berpegang dengan pandangan itu berlandaskan hukum, disertai dengan dalil dan faktanya dan polis merumuskan ia boleh mendatangkan suasana tidak kondusif kepada keselamatan negara, misalnya boleh mendatangkan masalah, nah ambillah tindakan kepada ketua dewan ulama itu, sama ada hendak dakwa beliau ataupun diambil tindakan dibawah apa-apa akta yang ada. Dan jika pandangan itu tidak membawa kudis gatal, ignore sahaja, macam kentut terlepas dari "pongak". Habis cerita.

Cara itu bagi saya lebih praktikal dan rasional daripada mengajak berdebat. Berdebat dengan seorang yang sudah berpegang kepada kefahaman tersendiri (laghra) yang bersendikan kepada politik tidak akan menemukan titik lengsai sampai ke bila pun. Politik yang berbeza idealogi akan tidak pernah bertemu ia seperti dua landasan keretapi yang dipasang selari. Trims.

Glossori: Pongak = punggung, atau bahagian hujung punggung. [wm.kl.6:01 pm 01/07/19]

No comments: