Sunday, April 5, 2020

Dirgahayu Parti Keadilan Nasional

RENCANA KHAS 

SEMALAM genap 21 tahun Parti Keadilan Nasional (PKR). Jika diumpamakan kepada seorang gadis, usia 21 tahun sudah cukup matang, terlebih baligh. Sudah layak untuk berumah tangga dan membina kehidupan sendiri. Sudah bisa punya anak hampir setengah dozen.

Begitu juga dengan PKR dalam tempoh itu, ia sudah melalui pelbagai cabaran dan halangan. Sudah matang. Ia sudah cukup arif untuk mengolah rencah dan melintasi simpang siur politik. Banyak kejayaan dan pencapaian PKR yang diluar dugaan dan di luar pemikiran lazim kita dalam tempoh dua dekad itu.

Sesungguhnya apa dicetak PKR itu satu kebanggaan buat ahli dan pendukung parti itu. Banyangkan parti itu tidak perlu menunggu sampai suku abad untuk tumbuh dan cambah di seantero pelusuk negara ini. Tidak perlu menunggu begitu lama bagi menguasai beberapa buah negeri di Malaysia sebelum berjaya menguasai Malaysia pada 9 Mei 2018 bersama DAP, Amanah dan Bersatu.

Saya kira semua rekod kejayaan dan kecemerlangan PKR ini sudah diketahui umum dan ada dalam minda anda kecuali mereka yang jahil dan sengaja menafikan kejayaan dan kemampuan parti itu.


Pun begitu selari dengan peraturan alam "sunnahtullah" sebuah gerakan harakah perjuangan yang pasti kena melalui tribulasi, PKR juga tidak terlepas daripada diuji daripada menempuh cabaran dan halangan.

Semua cabaran itu pula menuntut kecekalan dan "kebugisan" jiwa menghadapinya. Ujian bukan sahaja berbentuk fizikal tetapi mengganggu mental sekali. Dan sebenarnya cabaran dan halangan itulah mendewasakan parti itu.

Halangan dan cabaran itu datang bertubi-tubi. PKR mudah ditimpa perbalahan dan perecahan kerana insan yang menjadi perangsang (aspirator) penubuhannya Anwar Ibrahim berada dalam penjara. Dalam tempoh parti itu wujud selama 21 tahun, lebih separuh daripada tempoh itu Anwar disumbat ke dalam penjara. Jadi beliau tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada perjalanan parti itu secara dari dekat. Sepanjang tempoh itu Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pengemudi utamanya.

Untuk lumpuhkan parti.

Penahanan Anwar dengan tuduhan direkayasa dan fitnah itu antara lain bagi melumpuhkan parti itu, memastikan PKR tidak berusia panjang dan mati beragam di tengah jalan. Hampir serentak dengan pemenjaraan Anwar itu beberapa tokoh parti itu juga ikut disumbat ke dalam penjara atau ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tetapi ternyata ia tidak berlaku seperti dirancangkan oleh musuh PKR dan musuh-musuh peribadi Anwar. PKR terus hidup hingga kini. Penahanan itu sebaliknya menjadi pupuk menyuburkan pohon PKR.

Kejayaan.

Kejayaan dan prestasi PKR dapat dilihat kepada carta diraihnya dalam setiap Piraum - pilihan raya umum. Sudah lima kali pilihan raya umum dilalui oleh PKR, bermula pada Piraum ke-10 (1999) dengan mendapat lima (5) kerusi parlimen, Piraum ke-11 (2004) merosot sehingga hanya menang satu (1) kerusi, Piraum ke-12 (2008) melonjak kembali mendapat 31 kerusi, Piraum ke-13 (2013) mengekalkan status quo mendapat 30 kerusi, dan Piraum ke-14 (2019) mendapat 49 kerusi, jumlah terbesar.

Dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor 2008, PKR berjaya membentuk kerajaan di Selangor hasil kerjasama dengan DAP dan Pas, dan kerajaan itu masih kekal hingga ke hari ini.

Sebenarnya tidak ada sebuah parti serpihan atau baru boleh mengatasi rekod PKR itu. Misalnya Parti Semangat Melayu 46 pimpinan Tengku RAzaleigh Hamzah hanya bertahan setakat enam tahu sahaja, dua kali sertai pilihan raya, kemudian ia hanyut dan berkubur.

Begitu juga dengan Berjasa parti serpihan daripada Pas pimpinan Mohamad Nasir, hanya beberapa ketika sahaja. Demikian juga dengan parti Hamim pimpinan Mohd Asri Muda. Ah, banyak lagi parti serpihan lain yang semuanya berkubur tanpa nisan termasuk juga parti serpihan ditubuh berdasarkan suku atau kaum.

Kenapa PKR mencapai kejayaan sehebat itu, kerana ia disokong oleh semua lapisan masyarakat. Sebagai parti yang beridealisme untuk melakukan perubahan (reform) dan keadilan sosial ia diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Kewujudannya mendokong semangat multiracial negara ini, PKR dianggap sebagai parti ideal untuk sebuah negara seperti Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

Dalam tempoh itu sebagai sebuah organisasi ia menghadapi berbagai cabaran dan halangan, baik dari luar maupun dari dalam. Semua itu adalah cabaran mendewasakan parti berlambangkan Mata itu.

Cabaran besar.

Cabaran besar dihadapi PKR adalah perbalahan dan perpecahan dari dalam. PKR utuh dan anggotanya dapat bersatu untuk menghadapi musuh luar yang nyata dan berkuasa seperti BN. Tetapi mereka lemah untuk menyelesaikan perbalahan dalaman. Inilah kelemahan PKR.

Disini mari kita kutip perpecahan dan perbalahan dalam PKR sejak ia ditubuh 21 tahun lalu (4 April 1999) hingga ke saat ini. Saya akan cuba menyusun kronologi perbalahan dan perpecahan ini untuk menyatakan kepada kita bahawa PKR bukan sembarangan parti. Bahawa perpecahan itu meskipun mencemaskan keadaan tetapi ia tidak menjejaskan akan PKR sebagai institusi atau badan siasah.

Perpecahan pertama berlaku sewatu parti itu masih belum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Ketika itu Keadilan mengadakan kongres nasional pertama untuk memilih pemimpin. Ia berlaku di Kemanan, Terengganu.

Dalam kongres itu berlaku pertembungan perebutan kuasa dua kumpulan, aktivis demokrasi kebanyakan ahli Umno yang sertai Keadilan dengan kumpulan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), entiti dakwah yang pernah dipimpin oleh Anwar.

Dalam perebutan itu kumpulan Abim kalah, dan kumpulan aktivis politik berjaya menguasai Keadilan. Antara mereka yang kalah Muhamad Noor Manute, Annuar Tahir, Ruslan Kasim, Sheikh Azmin dan lain-lain.

Ekoran kekalahan itu menyebabkan kumpulan Abim bersikap mengendurkan peranan mereka dalam Keadilan, dan ada yang bertindak keluar meninggalkan parti dan sertai parti lain. Bagaimana pun "pemulauan" sebahagian kumpulan Abim itu tidak sempat melumpuhkan Keadilan.

Perpecahan kedua berlaku dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dipimpin oleh Ezam Mohamad Noor. Beberapa orang pemimpin AMK bertindak keluar parti. Antara mereka Lokman Noor Adam, Zahid Mat Arif, Hanafiah Man, Hamdan Taha dan lain-lain. Mereka bertindak demikian kerana tidak setuju dengan Ezam.

Walaupun Ezam mendapat tentangan, tetapi AMK dapat digerakkan seperti biasa, tetap menjadi sayap kanan Keadilan yang utuh.

Ketiga yang juga boleh disebut perbalahan besar dalam Keadilan, apabila berlaku perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali. Khalid Ibrahim yang ketika itu MB Selangor telah mencabar Azmin Ali. Cabaran Khalid itu menyebabkan wujud dua kumpulan dalam PKR, kumpulan Khalid dan kumpulan Azmin, membelah duakan PKR.

Perbalahan kedua orang ini melarat ke seluruh negara apabila ada cabang di negeri-negeri berpihak kepada antara satu sama lain. Azmin berjaya mempertahankan jawatannya. Namun perbalahan itu tidak memberi bekas kepada kondisi Keadilan dan parti itu tidak tergoyah.

Keempat adalah perlawan merebut jawatan timbakan presiden antara Rafizi Ramli dengan Azmin. Sekali lagi Azmin jadi faktor. Kempen merebut jawatan ini lebih hangat daripada perebutan jawatan sebelum ini. Dan bermula daripada perebutan jawatan inilah dikira membawa kepada perpecahan besar yang berlaku dalam PKR kini sehingga 11 orang ahli parlimen dan pemimpinnya keluar meninggalkan Keadilan.

Perpecahan terbaru ini sangat memarahkan PKR apabila kerajaan PH yang didokongnya hilang dan tumbang gara-gara tindakan 11 orang ahli parlimennya termasuk yang memegang jawatan timbalan presiden dan naib presiden terbabit sama.

Tidak goyah.

Apakah dengan perkembangan terbaru itu ia meralatkan PKR? Tidak. Jelas hari ini walaupun timbalan presiden dan naibnya meninggalkan PKR untuk menyertai parti baru, ia tidak merubah  status quo dan sokongan kepada PKR. Bahkan PKR jadi makin kuat dan kukuh. Rasa marah, geram dan benci ahli dan penyokong kepada yang mengkhianat parti itu menjadi seutas tali mengemaskan ikatan kesatuan dalam PKR.

Sebenarnya ahli PKR tidak perlu hairan dan gusar dengan tindakan mereka yang meninggalkan parti itu, kerana parti itu mempunyai aura atau latar belakang ahli yang mempunyai semangat yang unik. Mereka yang mencari kedudukan mengejar pangkat tidak akan betah untuk berada dalam PKR.

Mereka ini menggunakan PKR sebagai titian atau pun alat untuk mencapai apa yang mereka ingini saja. Apabila ia diperolehi mereka akan meninggalkan PKR dengan rasa tidak bersalah sejemput pun.

Untuk memahami ini cuba hayati kembali ucapan Anwar di akhir Kongres Nasional parti itu di Melaka baru-baru ini. Katanya:

"Parti ini parti kita...parti ini parti derita, parti ini diangkat oleh rakyat yang susah, di jalan (...) taukeh-taukeh besar, orang kaya raya tidak bersama kita, yang bersama kita saudara .. yang ada semangat, ada keinginan... menegakkan keadilan .. tidak terlalu pandai, tidak ada dana, yang ada semangat dan cita-cita. 
"Jadi bangkit saudara, perkuatkan parti ini, pecahkan tembok-tembok halangan, bangkit sebagai satu kesatuan KEDILAN RAKYAT. Reformasi... Reformasi." 

Jika kita faham dan hadam ucapan Anwar berupa amanat itu maka kita akan tahu bahawa Keadilan ini untuk siapa, siapa berhak memperjuangkannya, siapa berhak menghidupkannya. Yang berhak adalah mereka orang-orang yang ikhlas, tidak oportunis, tidak bermuka-muka dan yang mahu dan impikan sebuah kesejahteraan Malaysia yang hakiki.  [wm.kl.1:16 pm 05/04/2020] 

No comments: