Sunday, April 26, 2020

Muhyiddin tiru politik musang lebai kelarah

ULASAN

Wajah Muhyiddin malam tadi berseri
kerana di makeup tebal untuk
menunjukkan dia ceria. 
CANTIK dan lunak jawaban dan penjelasan Muhyiddin Yassin dalam interviewnya dengan RTM malam tadi mengenai politik. Katanya rakyat sudah muak untuk berbicara mengenai politik. Dan beliau sendiri apabila menduduki kerusi PM beliau tidak memikirkan mengenai politik dirinya atau pun mengulas mengenai keabsahan kerajaanya.

"Saya dalam kerajaan, sejak awal saya duduk di kerusi PM saya tak fikir soal politik. Rakyat tak nak dengar dah, dah muak cerita-cerita tu," demikian kenyataan beliau dikutip.

Dalam suasana hari ini tumpuan utamanya ialah untuk membenteraskan Coronavirus, tidak sesuai kalau beliau bercakap pasal politik. Kenyataan dan penjelasan Muhyiddin itu menunjukkan beliau seorang pemimpin yang mengutamakan rakyat dan tidak menggunakan kuasa yang ada kepadanya untuk menjaga kepentingan dirinya.

Kenyataan itu juga untuk mempamerkan yang beliau memiliki keperibadian sebagai seorang ahli politik yang kini didewakan dilahirkan daripada mani ulamak, ayahnya digelar sebagai Tuan Guru.

Rakyat yang tidak memahami apa yang berlaku di arus bawah akan menganggap tindakan Muhyiddin itu terbaik dan itulah sepantasnya idealisme dan karektor seorang pemimpin. Politiking dan perdebatan mengenai politik yang tidak akan pernah membawa rasa puas hati kepada semua, tidak perlu dipolemiknya.  

Tetapi bagi pemain politik dan mereka yang arif dengan seni politik tidak mudah untuk menerima dan menelan bagaikan menelan biji rambutan telan kenyataan Muhyiddin itu. Hanya jauhari sahaja mengenali maknikam. Bagi saya, kenyataan Muhyiddin itu tidak jujur dan sekligus menggambarkan dia sebagai seorang ahli politik "kerit ekor" (gigit ekor) atau yang sanggup menikam kawan dari belakang. Cara Muhyidin berpolitik persis musang,  yang pura-pura bodoh dan dungu di siang hari tetapi tangkas di malam hari.

Beliau berlagak baik dihadapan, tidak banyak bersuara, tetapi apabila menjelang malam beliau akan bertindak menunjukkan taring dan nafsunya. Apa yang terjadi kepada bosnya Dr Mahathir Mohamad membuktikan Muhyiddin mengamalkan politik musang.

Musang akan tidur sepanjang hari siang, kalau pun ayam dan unggas lalu dihadapannya tidak dipedulikan kerana matanya tidak sharp untuk memerhati dan mengenali musuh. Gelagat itulah menyebabkan ayam dan unggas tertipu. Tetapi bila menjelang malam matanya sharp dan terang situasi itu memudahkan ia melakukan serangan dari belakang. Waktu malam juga energinya bertambah. Begitulah Muhyiddin.

Musang juga pandai menjadikan dirinya sebagai ayam dan boleh menukar bulunya menjadi bulu ayam untuk mengeliru dan berada dalam satu reban kemudian membaham ayam.

Apa yang beliau lakukan saat hendak mengkhianati Mahathir kemudian menjatuhkan kerajaan PH tidak siapa menduganya. Beliau dilihat naif dan selamba sahaja. Rupa-rupa secara diam-diam beliau berpakat dengan sekutunya mengumpul energi untuk bertindak.

Bingkai politik.
Berbalik kepada kenyataan Muhyiddin tadi, mengenai rakyat sudah muak dengan politik dan beliau enggan melayani kerenah politik, ada satu lagi sikap politik oportunis dimiliki Muhyiddin dalam bingkai politiknya.

Selain musang beliau juga bagaikan "lebai kelarah" yang menunjukkan warak di atas surau dan masjid tetapi mencuri pisang orang sepulangan dari masjid dan surau. Itulah sifat dan sikap Muhyiddin.

Betulkah beliau tidak berpolitik atau melakukan aksi politik sebaik mengangkat sumpah sebagai PM?

Mungkin betul kalau dilihat kepada aksinya yang tidak naik pentas bercakap fasal politik. Jika kita menilainya daripada tindakan zahiriah, ia dia nampak mendiamkan diri tidak banyak mengulas fasal politik. Tetapi harus disedari berpolitik bukan secara berpidato di pentas sahaja. Ia boleh dilakukan dan berlaku dengan berbagai cara yang penuh teknik dan strategi.

Berpolitik bukan sahaja membuat siaran akhbar atau live streamyx mengenai politik. Tetapi masih ada banyak lagi cara untuk mengerakkan politik demi menjaga keselamatan diri sendiri. Ahli politik mesti tahu keadaan itu tetapi tidak kepada orang-orang bawahan seperti Mak Cik Kiah.

Itu pemberian imbuhan jawatan kepada ahli parlimen dengan melantikan mereka menjadi duta khas, menjadi pengerusi GLC, yang dibuat dari kalangan ahli parlimen penyokong kerajaan, apakah itu bukan berpolitik? Apakah tindakan itu benar-benar berdasarkan professionnalisme seseorang dilantik?

Kalau betul beliau ikhlas dan melupai soal politik kenapa harus dilantik MP dengan berbagai jawatan. Hampir kesemua MP menyokongnya diberi jawatan, daripada menteri, timbalan menteri kepada pengerusi syarikat GLC atau pun badan-badan berkanun. Mana-mana penjawat yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini diberhentikan segera demi diberikan jawatan itu kepada ahli parlimen menyokongnya. Apakah itu bukan tindakan politik?

Pelantikan itu jelas bertujuan untuk memastikan mereka kekal menyokong beliau agar tidak kecundang dalam sidang parlimen sekiranya diadakan undi tidak percaya. Dan apakah itu bukan soal politik? Iya Muhyiddin tidak bercakap politik kerana rakyat muak, tetapi dia melakukan aksi politik yang lebih memuakkan rakyat. Bahkan pemuafakatan beliau dengan serpihan PKR, GPS, UBN dan Pas, adalah langkah dan tindakan politik pertama beliau.

Gelegar dan selasar.
Jadi Muhyiddin usahkan enak berbicara konon tidak mahu cakap politik sedangkan dari belakang dia terus mengatur dan mengemaskan "gelegar" dan menyusun selasar serambi politik. Kalau pun orang gagal untuk mengesan strategi dan taktik ini, orang sudah boleh mengenali sejauh mana putih atau hitamnya diri Muhyiddin dalam berpolitik apa beliau merupakan pak sanggup dalam episod kudeta tempoh hari dengan bersedia untuk jadi PM. Demi untuk merasai jawatan sebagai PM beliau sanggup jadi "Cina Buta".

Kononnya tindakan menjatuhkan kerajaan PH dan "mengkeronyokkan" Mahathir itu untuk menyelamatkan negara, ia hanya alasan dan omongan kosong semata-mata. Setelah hampir dua bulan menjadi PM, belum ada sesuatu agenda besar atau blue print diumumkan oleh beliau untuk menyelamatkan negara seperti mana didakwa oleh sekutunya kononnya negara dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan beliau sedia bertindak menjadi Superman.

Banyak bukti menunjukkan walaupun dalam negara sangsara diancam Coronavirus beliau terus bermain politik di balik tabir. Itu keengganan untuk mengadakan sidang parlimen dalam tempoh lebih sehari bukankah tindakan politik? Kenapa beliau begitu takut untuk memanjangkan sidang dan dihadkan kepada satu hari sahaja. Ketakutan beliau itu dilahirkan oleh perasaan dan naluri politik bukan jujur demi rakyat.

Beliau menggunakan alasan kononnya dia berpuasa daripada politik kerana ingin tumpukan kepada Coronavirus. Itu hanya alasan sahaja. Sebaliknya kalau beliau benar-benar jujur dan komited dengan Coronavirus beliau akan memberi peluang kepada ahli parlimen membahas dalam parlimen berkaitan wabak berkenaan dan juga sama-sama memikirkan implikasinya kepada negara. 

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan, permintaan agar sidang dewan diadakan lebih sehari adalah tindakan pramatang. Sebenarnya menghadkan sidang hanya sehari sahaja, itu sebenarnya yang tidak masak dan dangkal. Tanpa mengambil masa panjang kerajaan Pakatan Nasional (PN) telah mencatat sejarah pertama sidang Parlimen dibawah kerajaan baru Malaysia diadakan dalam tempoh sehari.

Jelas sekali menghadkan tempoh sidang parlimen menunjukkan ada motif politik Muhyiddin disebalik tempoh itu. Yang nyata dan jelasnya bahawa beliau dikejar bayangan tentang ada sesuatu "motion" di sana nanti yang boleh menggugat kedudukannya dan mencabutkan jawatannya sebagai PM. Sesungguhnya walaupun beliau saking takut, hingga sanggup melakukan apa sahaja, tetapi ketakutan itu tetap jua akan terkalah dengan keberanian dan kebenaran. [wm.kl.10:53 am 26/04/2020]

Glossori:

Kelarah = busuk. buruk, rasanya pahit. Buruk kerana dimakan bakteria.
Kelarah dirujuk kepada ubi.
Kerit = gigit. Selalunya digunakan kepada ikan laga yang mengigit ekor kawannya. 

No comments: