KEADAAN PH dan solidariti sesama pimpinan dan ahlinya di semua peringkat yang kurang nyaman sebelum ini ekoran terlucutnya kerajaan, nampaknya disedari dan dipandang berat oleh pimpinan gabungan berkenaan.
Bertindak daripada itu, PH telah mengadakan retreat (permukiman) selama dua hari di Port Dickson beberapa hari lalu dan permukiman itu telah mencapai kejayaan. Beberapa solusi diputus sekaligus mengejapkan hubungan sesama sendiri yang lebih menyakinkan.
Beberapa keputusan dan ketetapan telah diambil di permukiman itu, dengan salah satunya BERSETUJU untuk terus meletakkan Anwar Ibrahim calon tunggal sebagai Perdana Menteri sekiranya PH menang Piraum ke-15.
Persetujuan itu menyerlahkan PH masih mempunyai hala tuju yang jelas, tepat serta komitmen yang tidak berubah yang telah dipacak selama ini. Kejayaan atau hasil retreat itu sekaligus menggagalkan saki baki pemikiran musuh-musuhnya untuk mengharuharakan PH.
Persetujuan itu juga menjelaskan ada persepakatan kental dalam PH untuk berpegang kepada tali asal setelah ia dirobek oleh OT95.
Persetujuan dan mengekalkan Anwar sebagai PM juga menandakan angan-angan atau ilham beberapa individu yang sebelum ini berminat untuk mewujudkan gabungan baru dengan berbagai nama serta memilih nama lain sebagai alternatif kepada Anwar sebagai PM, insaf dan akur kepada suara majoriti dalam PH yang angan-angan atau agenda mereka ditolak.
Dengan mengambil semangat digemburkan dalam retreat itu juga, hari ini Majlis Presiden PH mengeluarkan satu kenyataan bersama yang bertemakan "Khemah Besar". Kenyataan itu memancarkan aspirasi dan iltizam PH untuk menyatupadukan rakyat tanpa mengira lapisan dan kaum bagi mencapai sebuah negara (Malaysia) yang harmoni berasaskan kepada semangat reformasi.
Inspirasi yang digemburkan dalam pernyataan hari ini juga menunjukkan PH tidak pernah berputus asa untuk membela rakyat dengan idealisme perjuangannya berteraskan kepada Reformasi.
Antara perkara penting hendak disampaikan dalam pernyataan Majlis Presiden hari ini, memaklumkan PH akan menghantar satu memorandum kepada Yang diPertuan Agong berdasarkan pandangan baginda sebelum ini mohon pertimbangkan agar membuka sidang Parlimen.
Memorandum itu akan ditandatangani oleh semua ahli Parlimen pembangkang. Berkemungkinan juga ia akan disertai sama oleh beberapa oleh ahli parlimen daripada Umno yang tidak bersetuju dengan tindakan penggantungan Parlimen serta mereka yang menarik sokongan kepada kerajaan PN.
Memang ada keperluan untuk parlimen dibuka bagi membolehkan setiap isu dan masalah rakyat, perancangan kerajaan dibincang dan dibahas mengikut lunas-lunas sepatutnya sesuai dengan lunas sistem demokrasi berparlimen diamalkan. PN tidak boleh menjadikan darurat dan pendemik sebagai alasan atau kubu untuk melindungi kekuasaan.
Diharap Yang diPertuan Agong akan memerhati sebaik mungkin memorandum berkenaan dan sedia menggunakan kuasa tertingginya untuk memulihkan sistem demokrasi berparlimen di negara yang dianggap aneh dan cacat waktu ini.
Pernyataan kenyataan Majlis Presiden PH itu ditanda tangani ketiga-tiga pemimpin tertinggi tiga buah parti, Anwar Ibrahim, (Keadilan), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP). [wm.kl. 4:03 pm 10/04/2021]
No comments:
Post a Comment