Monday, April 26, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka

Bab Keenam (i) 

MENAIKI KERANDA 

SEPERTI mana ditetapkan aku mendaftar masuk ke wad 6G (Medical Hemato) pada 24 November 2015 jam 9:45 pagi. Aku hanya membawa surat berwarna kuning, surat arahan memasuki ward yang dikeluarkan oleh klinik ENT. Mulai hari itu aku rasmi menjadi warga PPHUKM dengan pendaftaran No: N 617505.

Sebaik masuk aku diberikan persalinan, sepasang baju hospital – sehelai baju dan seluar “sapok” berwarna unggu yang siap tertulis HUKM.

Sejurus kemudian aku diberikan taklimat khas oleh seorang jururawat berhubung prosedur dan peraturan sepanjang berada dalam ward. Mengenai masa lawatan, kemudahan-kemudahan disediakan dalam ward dan cara-cara untuk menggunakannya. Tidak terlupa juga penjelasan mengenai apabila berlaku kecemasan dan cara untuk memanggil jururawat jika diperlukan. Dijelaskan juga tatacara sepanjang berada dalam ward

Butiran peribadi disangkut
dikatil.
Seorang jururawat kemudian membidik sebuah fail dipenuhi beberapa helai borang datang ke katilku untuk merekod butiran mengenai diirku. Nama, umur, alamat tempat tinggal. Kemudian mengambil tekanan darah, menguji denyut nadi, timbang berat, ukur ketinggian. Aku juga ditanya apakah merokok dan minum (maksudnya minum minuman keras). Satu tag dilekatkan di lenganku. Tag itu menandakan identiti pesakit dan sebagai tanda "kerakyatan negara" PPHUKM.

Kemudian aku diberi taklimat mengenai peraturan dalam ward untuk dikongsikan dengan isteri dan bakal pelawat ku nanti. Masa lawatan dari jam 12: 30 hingga 5:00 petang. Makan diberikan sebanyak dua kali, tengah hari dan malam disamping sarapan pagi dan teh waktu petang. 

Lain-lain peraturaan mengenai penggunaan segala kemudahan dalam ward; bilik air, air panas, bakul sampah dan sebagainya. Beberapa helai risalah juga diberikan ini termasuk risalah cara-cara mendirikan solat bagi orang sakit.

Masuk dalam ward secara automatik kita kena menjadi penghuni ward, berkawan dengan pesakit lain. Mana-mana pesakit yang sudah berapa hari dalam ward akan menegur kita, bertanya khabar. Pertanyaan yang popular ialah sakit apa, berapa lama dan datang dari mana atau kerja apa? Kemudian menjadi kawan senasib?

Bersiap sedia untuk memasuki OT.

Manakala yang kurang ramah pula akan melemparkan senyuman, seolah-olah menyambut kehadiran kita sebagai penghuni ward. Mengenang suasana dalam ward itu teringat aku semasa muda-muda dahulu ketika menghadiri pelbagai kursus dimana peserta ditempatkan dalam dome terbuka. Kami tinggal untuk beberapa hari, berkenalan dan berkawan penuh mesra selepas itu berpisah dengan penuh nostalgik. Ohya ada juga yang bertemu jodoh?

***

Bersama Sabri sempat keluar mengeteh.
Kawan seward aku yang pertama ialah, sdr Sabri Zakaria. Dia juga merupakan rakan media sosial aku. Kedatangan Sabri ke ward itu dianggap sebagai balik ke rumah keduanya. Dia sudah berkali-kali memasuki ward berkenaan. Penyakit dihadapinya memerlukan dia berulang alik. Para jururawat di ward itu juga seperti sudah biasa benar dengannya. Pendeknya ward itu sudah sangat difahaminya, sudah jadi rumah keduanya. 

Aku tidak perasan kehadirannya dalam ward itu. Tidak sangka sama sekali. Kerana itu aku tidak menyapanya saat dia berjalan melewati hadapan katil aku untuk mengambil tempatnya di pojok. Katil aku di depan sekali berhampiran dengan kounter nurse. Dia yang mengecam aku dan mendekati, minta untuk berselfie. Pertemuan ini adalah hasil jalinan menerusi media sosial - Facebook.

Ward HUKM canggih

Walaupun aku sudah pernah masuk ward tahun 1983, di Hospital Universiti Sains (HUSM)  Kubang Kerian, Kota Bharu tetapi tidak banyak pengalaman dilalui. Ward di HUKM lebih “canggih” apa lagi kebebasan menggunapakai android, telefon bimbit, laptop dan sebagainya. Kemudahan itu semua menyebabkan kita berasa seolah-olah tidak berada dalam sebuah bilik pesakit, tetapi semacam bilik rehat sahaja.

Menjelang pembedahan keesokan hari, persiapan tertentu untuk proses pembedahan dilakukan. Beberapa perkara rutin sebelum pembedahan diteliti. Sebelah petang aku menjalani ujian jantung, melakukan ECG, stress test. Tekanan darah dan kadar gula, sudah semestinya turut diperiksa. Lebih-lebih lagi gula perlu distabilkan kerana aku pengidap diabetis yang lama. 

Pagi-pagi lagi sebelum menjelang Subuh tekanan darah sudah diambil kemudian diikuti ujian tahap gula. Lebih awal dari itu berat badan ditimbang. Pendeknya persekitaran ward dan perawatan sungguh rapi sekali.

Segala dokumentari diri dan proses pembedahan juga dipersiapkan. Aku diminta untuk menandatangani persetujuan (consent) pembedahan.

Sebelah malamnya, sebelum lampu ward ditutup pakar bius datang memberi motivasi dan menerangkan seluk beluk pembiusan. Pakar bius berbangsa Cina, beliau memberi penerangan dengan begitu teliti dan cermat sekali. Segala maklumat diri diambil dan ditanya berulang kali, tentang apa ubat-ubatan dan makanan yang mendatang elargik. 

Semua itu harus dipastikan bagi mengelak kompilasi jika berlaku sesuatu semasa pembedahan. Aku mengalami alegrik untuk beberapa jenis ubat-ubatan (pil killer), antaranya aspirin, penisiin, voltaren, (diclofenac) dan ibuprofen.

Pakar bius itu juga memberi tahu jangka masa proses pembedahan sekitar satu jam atau satu jam setengah sahaja berdasarkan pengalamannya.

Sebelum meninggalkan aku, dan minta aku berihat. Pakar bius turut bertanyakanku, apakah perlu ubat penenang atau tidak. Ubat ini guna memberi ketenangan jiwa bagi menghadapi pembedahaan esok. Ia untuk mengatasi kemungkinan stress atau pun rasa cemas yang boleh menganggu proses menghadapi saat pembedahan. 

“Pakcik perlu ubat penenang ke, nanti saya berikan,” katanya.

“Penenang, untuk apa?” Tanya ku seakan keliru. Apakah dia melihat aku gelisah menanti saat pembedahan esok maka ditawarkan ubat untuk menenangkan hati dan fikiran?

“Ubat agar cepat tidur dan tidak gerun (takut) untuk hadapi pembedahan,” teranngnya lagi.

“Oh… tidak perlu,” balasku. Iya aku tidak memerlukan apa-apa ubat untuk menenangkan fikiran kerana aku sudah siap sedia untuk menghadapinya dari segi mental dan fizikal. Malahan aku sedikit pun tidak cemas menanti saat penuh suspen itu. Sebanyak-banyaknya aku bertakwal kepada Rabuljalil. Lakhulawa kuwatalilahitaala. Inililahiwanilahirajiun.

Sebelum melelapkan mata malam itu, percakapan aku dengan Sabri di sebelah paginya terngian-ngian di telinga. Sabri mengisahkan mengenai riwayatnya kenapa berada di hospital. Menurutnya dia sudah beberapa kali membuat penetapan tarikh untuk pembedahan, tetapi tidak pernah jadi kerana dia minta tangguh.

Dia menghadapi masalah perut, usus perutnya membesar sehingga mengatasi paru-paru menyebabkan dia mudah menjadi “sonson"menyebabkan sukar bernafas. Doktor Pakar mencadangkan kepadanya agar melakukan pembedahan untuk buang separuh daripada perutnya. Sebelum ini dia sudah menjalani satu pembedahan berkaitan dengan hati.

Mulanya dia bersetuju, tetapi ditangguhkan. Dia mahu mendapat khidmat nasihat beberapa orang pakar lagi. 

Ditolak untuk masuk ke OT. Foto 
Ermma Esmah.

Bersiap ke bilik bedah.

Tepat jam 8:30 pagi jururawat datang meminta aku menukar baju sambil meletakkan sehelai baju berwarna putih. Baju itu merupakan seragam khas untuk pembedahan. Rupanya untuk ke OT ada baju khas. Ia agak pelik sedikit kerana butang, tali ikatan terletak di bahagian belakang bukan di hadapan seperti lazim.

"Salah tu pakcik, butang kena di belakang bukan di depan," tegur Jururawat yang ditugaskan untuk mengiringiku ke OT.  

"Oh begitu, ini pengalaman pertama," kataku membiarkan Jururawat yang manis itu membetulkannya.  

Semasa aku sudah bersiap sedia untuk ditolak masuk ke OT, Naimah masih belum sampai lagi. Dia mengirimkan SMS memaklumkan sudah bertolak dari rumah selepas solat Subuh, dan tentunya dia berdoa panjang. Sebenarnya kalau dia tidak sampai pun tidak mengapa. Aku lebih senang menjalani pembedahan atau memasuki ke dewan bedah tanpa diteman dan ditunggu sesiapa. Aku mahu dia atau sesiapa sahaja, datang sesudah semuanya beres. Biar surprise sedikit.

Menjadi prinsip hidup aku; hidup kalau pun tidak boleh membantu orang lain tetapi jangan sampai menyusah orang. Misalnya kita tidak mampu memberi pinjaman wang kepada orang tetapi jangan sesekali kita meminjam dari sesiapa

Sebab itu selama merantau dan hidup di Kuala Lumpur, lebih 35 tahun aku tidak ada hutang dengan sesiapa walaupun satu sen. Biarlah aku, anak dan isteri makan atau pakai ala kadar sahaja, tidak kisah, asalkan jangan menanggung hutang. Sebaliknya ada orang berhutang denganku, yang jumlah cukup untuk rawatan kemoterapi sebanyak 10 kali. Sampai kini belum dilunasi walaupun sudah lebih satu dekad.

Semalam Naimah bertanya mahu ditunggu atau tidak. Aku jawab tidak payah, lagi pun ward di PPHUKM tidak ada ruang untuk menunggu. Tambahan aku tidak ada apa-apa masalah untuk diawasi serapi mungkin. Jadi pagi-pagi selepas Subuh dia dan anak-anak sudah bergerak dari rumah. Dan kedatangan mereka juga tepat kerana beberapa minit selepas itu aku mula ditolak untuk menuju ke dewan bedah.

Kandati pun aku tenang sahaja untuk menghadapi pembedahan, tetapi bunga-bunga perasaan cemas ada juga bersarang dalam hati, maklumlah ini pertama kali. Berbagai pertanyaan timbul dalam benak.

Bermacam-macam cerita atau implikasi digambarkan akibat pembiusan berbagar-bagar dalam benak. Pelawat atau rakan-rakan yang ada pengalaman menceritakan tentang proses bius dan implikasinya. Yang paling banyak diceritakan, kesakitan akan terasa selepas ubat bius "dawas" atau habis. Paling menakutkan ia boleh mengganggu saraf, pemikiran, menyebabkan memori boleh hilang dan ini agak membimbangkan. Pendeknya tidak ada pun sudut-sudut atau aspek yang baik dan menyeronokkan tentang bius ini. 

Mengenang ini aku teringat kepada keadaan komputer yang “korup” menyebabkan segala memori dalam hard-disk  hilang, menyebabkan seluruh data ghaib dan musnah. Alangkah kalau ini terjadi begitu parah juga. Tetapi aku ketepikan itu kerana ia bukan penjelasan atau pun kenyataan daripada mereka bertauliah. Ia bergantung kepada persepsi seseorang yang dikutip dari cerita atas cerita yang didengarinya semata-mata.

Menaiki keranda

“Jom Pakcik kita ke OT,” jururawat yang manis bersama attandan (lelaki) yang bertugas untuk membawa pesakit ke OT mendekati dan mengajak aku yang lagaknya macam ajak ke kantin saja. Aku angguk dan tersenyum, lantas katil langsung ditarik.

Tepat jam 8:45 katil aku didorong keluar dari ruang di ward menuju ke luar ward mengarah ke OT  yang terletak di tingkat bawah. Isteri dan anak-anak mengekori dari belakang. Anak perempuan ku  Erma Esmah sempat merakam gambar aku sedang ditolak, menuju ke OT. Mungkin baginya rakaman itu penting manalah tahu selepas keluar dari OT nanti aku sudah tidak bernyawa lagi.

Keluar dari ward menuju ke lif untuk turun ke dewan bedah utama. Aku hanya terbaring di atas katil sambil merasai keenakan berbaur kecemasan di atas katil. Bunyi roda katil bergeseran dengan lantai masuk ke dalam telinga memecahkan satu getar lain macam jatuh ke hati. Menuruti lenggang lenguk perjalanan dan ada kala cepat adakalanya perlahan. Terhingguk-hingguk...pasrah. Keadaannya persis sedang mengejar sesuatu atau dihambat sesuatu pula. 

Aku baring bagaikan mayat, mulut tidak habis-habis berisighafar dan berzikir menyebut nama Allah dan memujiNya. Zikir lazim saya, Subhanallah, walahamdulilah, wailalahaillah. Itu sahaja termampu dan ingat. Wajah ibu yang syahdu sesekali menjelma bersama wajah ayah yang sudah lama pergi. BERSAMBUNG. [wm.kl.10:14 am 26/04/2021]

No comments: