Monday, April 19, 2021

Pintu Ajal Belum Terbuka (Sambungan).

Bab Keempat (ii)

MULA MENYEDARI TONSIL 

AKU mula mengetahui aku diserang tonsil apabila suatu hari selepas makan tengah hari di sebuah restoran nasi Padang kesukaanku, aku rasa semacam ada sesuatu terlekat ditekak ketika hendak menelan makanan. Ia persis seperti terlekat tulang ikan atau daunan ulaman. Bagaimana pun tidak pedih tetapi semacam tersumbat. 

Aku cuba menolaknya dengan menelan air liur dan juga nasi keras, caranya macam hendak lepaskan tulang ikan yang tercekik. Selepas dicuba beberapa kali tidak berjaya. Aku mendeham beberapa kali untuk melegakannya, tetapi tetap gagal. Disebabkan ia tidak menganggu aku, aku saya abaikan begitu saja. Menganggap ia siptom biasa.  Disebabkan tidak ada implikasi itu maka aku tidak menganggap ia tonsil yang serius.

Keadaan itu memberi peluang ia membesar. Sehinggalah apabila kehadirannya benar-benar menggangu baru aku membuat pemeriksaan lisan. Aku membuka mulut ke arah cermin dalam kereta. Ketika itu aku nampak di ruang anak tekak ada ketulan yang bengkak dan berwarna merah kemerahan (meroon). Selepas itu baru aku perasaan dan tahu kenapa tekak aku semacam terselit sesuatu.

Selepas beberapa hari baru aku menemui doktor. Doktor mendapati ianya tonsil. Tanpa berintraksi lebih lama, doktor klinik swasta yang menjadi penal aku sejak tahun 1986 mengesahkan ia sebagai tonsil dan doktor berikan antibiotik sebanyak 10 biji. Doktor Idzham tuan punya Klinik Idham selamba dan konfiden, katanya apabila aku menghabiskan antibiotik yang dibekalkan itu tonsil akan surut dan kecut.

Selepas habis 10 biji antibiotik ditelan tidak ada apa-apa perubahan. Tonsil itu tetap tidak mahu mengecut bahkan dirasakan semakin membesar. Sekali lagi aku mengambil antibiotik dengan bersangka mungkin dosenya tidak mencukupi. Kebetulan juga aku hendak ke luar negeri, jadi harus ada bekalan ubat-ubatan itu.

***

Selepas habis menelan 20 butir antibiotik, tonsil itu tidak juga surut atau menunjukkan tanda-tanda mengurang. Aku juga ke klinik Kesihatan Kerajaan dan mengambil antibiotik lagi sekali, namun ia tidak memberi apa-apa perubahan. 

Sebenarnya pertukaran klinik itu bagi memastikan mengenai tonsil itu dengan harapan ubat baru yang dibekalkan doktor berlainan akan berkesan. Malangnya antibiotik dari Klinik Kerajaan tidak juga meringankan tonsilku. 

Kebimbangan sudah mula mengetik hati. Hampir setiap hari aku nganga mulut depan cermin melihat perkembangannya. Ia nampak makin jelas dan membesar. Warnanya dari merah kemerahan sudah bertukar menjadi jingga (purple). Yang anehnya ia tidak sedikit pun mengganggu makan dan minum aku. Aku boleh makan dan minum seperti biasa. Kebiasaan ini sebenarnya merupakan satu kepelikan sebab tonsil biasa membuatkan penghidap ngilu dan perih untuk makan dan minum. Kesan lain seperti demam dan apa-apa juga tidak ada. Pelik.

Dalam pada itu aku mulai bertanya kawan-kawan yang ada pengalaman mengenai penyakit berkenaan. Kebimbangan mula menerjah diri. Kepedulian kepada diri sudah mula diambil berat.

Seorang anak buah yang mengalami tonsil memberi tahu, ia tidak serius dan apa yang aku alami itu simptom biasa sahaja. Setelah menelan antibiotik tidak hilang anak buah itu menjalani pembedahan ringkas membuang nanah. Beberapa hari kemudian semuanya pulih seperti sedia kala. Manakala seorang lagi kawan yang pernah melakukan pembedahan tonsil menceritakan, ia tidak membimbangkan. 

Tonsil gejala yang mudah ditangani. Cuma apabila ia melibatkan pembedahan membuangnya menyebabkan kita tidak dapat makan beberapa minggu dan suara juga hilang. Selepas dua bulan semua kembali normal.

Aku seorang yang bukan mudah mempercayai dengan satu sumber atau sampling. Aku menghubungi seorang lagi rakan yang pernah menjalani pembedahan tonsil. Menurutnya pembedahan itu ringkas sahaja. Dua tiga hari sudah lega dan baik. 

Mendapat maklumat itu menjadikan aku tidak begitu risau dan menghadapinya seperti biasa. Hinggalah sekembali daripada Seri Lanka, pertengahan November 2015 apabila aku merasakan bengkak itu makin mengganggu dan kebetulan asakan isteri agar menemui pakar ENT (Ears, Nose and Throat) baru aku bertindak. Tonsil itu rupanya sudah membesar menyebabkan selepas makan ia mengembang dan menyebabkan tekak tidak selesa. Ia juga mengembang apabila aku banyak bercakap kerana dipolit (disaluti) air liur. Tekak juga sudah berasa sebal.

***

Jumpa pakar ENT

Sesudah tiga minggu mengambil antibiotik tetapi tonsil itu tetap juga tidak juga mahu surut akhirnya saya menemui pakar. Bertemu pakar ini juga atas suruhan dan desakan isteri. Sebelum ini saya buat endah tidak endah sahaja. Isteri saya tahu perangai dan sifat saya. Saya bukan seorang yang anti kepada perubatan moden, tetapi saya lebih suka menghadapi dengan cara tersendiri. Kalau sakit sikit-sikit saya tidak akan ke klinik dan melayan sakit sendirian sahaja. Dan kalau doktor beri ubat tahan sakit pun saya tidak akan menelannya. Saya membuat dose sendiri untuk diri saya. Kecualilah sakit yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Saya mengalami gaout yang tegar. Sudah lebih 20 tahun sehinggakan saya menganggap saya adalah Presiden Gout Malaysia (PGM). Gaout menyerang saya hampir setiap bulan dan sudah ke peringkat parah sampai tidak boleh berjalan. Tahap urin asid dalam badan saya tinggi mencecah lebih 10 md/dL sedang normalnya 3.4 – 7.0 md/dL. Satu masa saya mengambil suntikan ubat tahan sakit hampir setiap bulan. Tetapi lama kelamaan jemu dan cemuh, akhirnya ada kalanya saya menahan gout begitu sahaja tanpa berjumpa doktor atau menelan ubat yang sama.

Saya juga memakai petua dan berpegang kepada prinsip; sakit tahu mari tahulah ia balik. Mulanya sikap ini juga saya hendak lakukan terhadap tonsil, melayan sendiri tanpa bersusah payah jumpa doktor.

Pengalaman lain, saya juga mempunyai batu karang yang “berdempetan” dengan buah pinggang (kidney). Doktor menasihati saya supaya menjalani pembedahan. Tiga orang pakar di hospital berlainan berpendapat sama, saya perlu bedah untuk mengelakkan timbul komplikasi kepada buah pinggang. Pakar membuat kesimpulan berdasarkan ilmunya kalau tiga tahun dibiarkan menyebabkan buah pinggang saya akan musnah.

Namun saya enggan dan berikhtiar cara lain dengan memakan herba dan ubat-ubatan tradisional. Apa sahaja yang ditunjuki saya cuba. Alhamdulilah akhirnya kesakitan berkala pinggang saya bahana batu karang itu tidak ada lagi tanpa pembedahan. Hingga kini sudah lebih 33 tahun. Pengalaman itu menjadi petua besar buat diri saya dalam menghadapi sakit mengikut kaedah dan teori saya sendiri.

Penjagaan kesihatan diri sendiri, saya akui ia agak longgar. Ini berbeza dengan penjagaan kereta, telefon, laptop dan aksesori saya yang lain. Kalau kereta pantang berbunyi sikit saya akan ke pusat servis dan memperbetulkan apa yang berbunyi. Saya tidak boleh dengar sesuatu yang luar biasa dalam kereta. 

Begitu juga kalau kereta tercalar, bumper terguris saya tidak boleh melihatnya, sakit hati – terus pergi baiki. Jangan tanya berapa kosnya. Sikap ini kadang kala menjadi sungutan isteri, katanya kalau untuk kereta sanggup keluar wang, tetapi liat untuk membeli ubat dan suplimen. Saya menyedari akan kepedulian saya yang pelik kepada vehicle saya ini.

Selain sikap itu saya juga ada perangai tidak boleh sabar.

Sebelum berjumpa dengan doktor pakar ENT di sebuah hospital swasta di Danau Kota, Setapak saya terlebih dahulu ke sebuah klinik pakar ENT di Jalan Ipoh. Disebabkan masalah parking, saya pulang dan tidak berjumpa pakar pada hari itu. Gara-gara itu untuk mendapat rawatan tertangguh beberapa hari. Selepas itu bila isteri mengasak lagi baharu berjumpa pakar ENT di sebuah hospital swasta di Danau Kota.

Ternyata bertemu dengan doktor pakar berbeza dengan berjumpa pegawai perubatan biasa di pusat kesihatan. Mungkin juga kerana bayaran dan fee yang dikenakan. Peralatan di klinik doktor pakar lengkap dan ia specialis mengenai sesuatu penyakit. Dengan peralatan yang ada serta ilmu yang dipelajarinya dapat dikesan dengan mudah sesuatu penyakit itu. 

Berbeza dengan berjumpa dengan doktor umum yang menilai atau mengenali penyakit itu secara general sahaja. Kalau kena bayar mahal sedikit bila jumpa doktor pakar pun berbaloi. Mengenai ini menyebabkan saya termagu dan berfikir macam manalah bagi orang yang tidak berduit. Mereka tidak akan mendapat rawatan yang terbaik untuk diri mereka kerana kekangan kewangan. Justeru saya sering berjenaka; kalau tidak ada wang jangan sakit.

Pemeriksaan doktor pakar ENT Dr Khairul Saharuddin di klinik swasta itu memberi kesan baik kepada saya. Balik modal membayar lebih. Saya berpuas hati dengan perawatan dan pemeriksaan yang dijalankan. Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, pemeriksaan ringkas sahaja, tetapi sudah dapat membuat solusi. Mulut saya diperiksa dan menemui tonsil. Tidak perlu ubat-ubatan terus menasihati agar buat pembedahan untuk membuangnya. Keputusan itu dibuat berpandukan pengalamannya.

Kaedah pemeriksaannya, doktor menyentuh dan merasa bahagian bawah dagu saya. Ditanya apakah ada apa-apa butir di bawah ketiak, paha dan mana-mana bahagian tubuh yang mempunyai kelenjar utama membengkak. Tidak ada. Rabaan dan pemerhatian itu tidak pun sampai dua minit. 

Selepas periksa saya dikonsultasi dengan penuh sopan dan berhemah. Terlebih dahulu doktor berkenaan bertanya saya apakah ada mengambil insuran atau tidak. Pertanyaan itu sebenarnya mengilankan saya. Saya berfikir apakah apabila ada insuran baharu saya dilayan, walhal saya ke hospital itu sudah pun bersiap sedia dengan jumlah bayaran yang dikenakan.

Tiada life insurance

Pertanyaan Dr Khairul itu menjadkan saya semacam tercabar. Dalam hidup saya dan keluarga tidak pernah mengambil apa-apa insuran kecuali insuran rumah dan kereta. Life insurance sama sekali tidak pernah diambil. Saya ada falsafah tersendiri mengenai life insurance ini. Kalau mengambilnya bermakna kita bersedia untuk menghadapi masalah. Saya menyerahkan seluruhnya nyawa saya dan keluarga kepada Rabuljalil. 

Mungkin pegangan saya ini tidak betul dan satu keputusan yang salah. Apabila doktor berkenaan bertanya insuran, ia sangat-sangat mengilankan saya, kerana ia menunjukkan dia kurang berminat untuk merawat saya? Saya mula beranggapan doktor sedia merawat orang yang mempunyai duit. Falsafahnya sebagai seorang doktor untuk memberi rawatan terletak di belakang, tetapi mendahulukan wang?

Namun penerangan dan keikhlasan Dr Khairul itu menenangkan saya. Dia mencadangkan saya mendapat rawatan di general Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana katanya sayang kepada wang. Pembedahan untuk membuang tonsil itu menurutnya memakan biaya sekitar RM13,000 hingga RM15,000. Kalau ada insuran ia boleh dituntut kepada syarikat insuran. 

Beliau memberi jaminan proses rawatan untuk saya dipercepatkan. Dia mengeluarkan sekeping surat sokongan (rujukan) untuk saya bawa berjumpa dengan doktor pakar ENT di HKL bernama Dr Zukinah Yahya yang berkebetulan doktor pakar itu adalah seniornya semasa berkhidmat di PPHUKM. Dr Khairul Saharuddin menghubungi pakar berkenaan di hadapan saya juga memberi tahu ada “patient” yang perlu disegerakan rawatan.

***

Tanpa melengahkan masa keesokan juga saya berjumpa dengan doktor pakar Dr Zakinah. Dengan membawa surat rekemen Dr Khairul saya tidak perlu menanti lama untuk mendapat rawatan. 

Kaedah pemerhatian oleh Dr Zakinah juga hampir sama dengan apa dilakukan Dr Khairul. Saya diminta menganggakan mulut dan mulut saya disuluh dengan lampu khas. Kemudian Dr Zakinah merasa dan memicit-micit bawah dagu saya dan di keliling tengok. Semasa pemerikaan itu ada dua orang dokor pelatih, dibawah seliaan Dr Zakinah, seorang Melayu dan seorang India. 

Semasa berjumpa Dr Zakinah masih belum dapat mengesahkan apa yang berlaku kepada saya sebenarnya. Ia masih dalam pemeriksaan lanjut. Saya hanya disuruh membuat pemeriksaan lanjut, mengambil darah kemudian mendaftar diri. Bagaimana pun pada ketika itu firasat saya dapat mengagak apa yang bakal terjadi. 

Apabila Dr Zakinah mengatakan ada satu “node” di bahagian leher saya, saya sudah dapat mengagak sesuatu. Ini semua kerana pengalaman yang saya lalui. Tiba-tiba sahaja kejadian yang menimpa arwah kawan saya, Mustapa Yaakub (2001) menerawang ke dalam diri saya. Mustapa kawan semasa sama-sama belajar di Sumatera Utara, Indonesia meninggal dunia akibat kanser.

Diam-diam saya menginati dan mencerapi apa yang dialami Mustapa. Mulanya keadaan tubuhnya susut dan berat badan turun mendadak. Dia juga mengalami batuk-batuk tanpa henti-henti beberapa minggu dengan diselangi lengguh di bahagian belakang, sukar untuk tidur. Mulanya beliau kira itu sakit biasa, menyebabkan lambat untuk menemui doktor pakar cuma berulang alik ke Klinik Kesihatan  biasa. 

Selepas digesa bahkan saya sendiri bersama Azima Ahmad (teman pejabatnya) membawanya ke hospital baharu segala-galanya diketahui. Setelah dibuat biopsi Mustapa disahkan menghidap kenser Lymphoma pada tahap empat. Selepas dua bulan tersandar di hosptal HKL beliau akhirnya pergi menemui Rabb-nya.

Terfikir, apakah simptom dan tanda-tanda yang dihadapi Mustapa itu, ada persamaan dengan apa yang saya alami? Susut, berat badan dan ada node? Gemulah Mustapa juga ada node di bahagian bawah tengkuknya. Doktor mengambil contoh node berkenaan dan buat biopsi. Dari siatulah diketahui beliau menghidapi Lymphoma.

Mula saat itu bayangan dan kenyataan itu bermain dalam kepala. Ia seakan memberi satu tekanan perasaan yang hebat. Apa yang berlaku dalam bilik doktor itu menyebabkan saya terhimbau jauh dari situ. Mula berfikir sesuatu mengenai diri yang harus saya hadapi selepas ini dengan penuh ketabahan dan berani. Namun jauh dalam hati masih ada doa-doa agar ia jangan berlaku apa yang dibayangkan.

Rawatan dan konsultasi oleh doktor pakar di HKL juga ringkas. Beliau mengarahkan saya memberi darah untuk pemeriksaan dan buat temujanji untuk menjalani CT Scan (Computed Tomograhpy Scan). Darah terus diambil pada hari itu juga tetapi CT Scan perlu menunggu sebulan (10 Disember 2015). Tarikh itu terlalu lama saya rasakan. Semasa konsultasi oleh Dr Zakinah bersama dua anak buahnya yang sedang menyiapkan Master dan Ph.D untuk menjadi pakar, gambaran yang tidak menyenangkan sudah ternampak daripada body language mereka.

Salah seorang doktor muda itu begitu serius memeriksa tonsil saya, ia seakan-akan satu benda baharu. Apabila beliau menyebut “ia berwarna purple tidak merah seperti selalu”, saya mula merasakan bahawa tonsil saya pelik dan lain dari biasa. 

Doktor berkenaan turut meraba-raba di bahagian dagu saya mencari sesuatu node, kemudian bertanya apakah saya demam, berpeluh waktu malam, ataupun ada bengkak di celah paha, ketiak dan mana-mana bahagian. Sudah saya rasa dan raba semua itu tidak ada, tetapi simptom berpeluh waktu malam itu memang ada. Dengan menghisab semua itu dan membaca body language para doktor yang membuat pemeriksaan, saya dapat mengagak sesuatu yang buruk akan berlaku kepada saya. Namun jauh di sudut hati masih berharap dan berdoa, semoga ia tidak. 

Wangsa Melawati,

April - November 2016. 

Glossori:

Lerel : tidak ambil peduli, membiarkan

Rujukan: 

http://www.myhealth.gov.my/radang-tonsil/
www.myhealth.gov.my/radang-tonsil

No comments: