HUJUNG MINGGU
Keadaanya macam ikan dalam tuar. |
Kita semua marah dan murih dengan Mahiaddin dan the geng yang merancang dan mengambil alih kerajaan daripada PH 25 Februari 2020. Apa yang mengilankan dan marah beliau berada dalam kerajaan, tiba-tiba bermufakat dengan musuh PH (Pas dan Umno) untuk mengambil alih kerajaan dianggotainya sendiri. Kalau bukan tamak dan sombong, apa sifat begini.
Atas butir inilah maka Mahiaddin dan kuncu-kuncunya dianggap sebagai khianat. Konotasi apa yang tepat diletakkan kepada tindakan itu kalau bukan KHIANAT, JAHAT dan CIS?
Dalam kes ini ia tidak boleh marahkan kepada Umno dan Pas seratus peratus. Sebagai entiti yang kecewa dengan kejayaan PH, dan pelahap kuasa (Pas) mereka tentu akan bersetuju bersekongkol dengan sesiapa sahaja hatta dengan musuhnya, asalkan memberi keuntungan kepadanya. Pas dan Umno tahu persekongkolan itu menyebabkan mereka meninggalkan dosa kering politik kpeada rakyat, tetapi kerana dendam dan pelahap kuasa mereka lakukan juga.
Bagi Pas sejak bersekongkol dengan Mahiaddin membentuk kerajaan maruah dan integriti serta kepercayaan tinggi umum kepadanya sedang dipersoalkan. Rakyat sedang menanti untuk menghukum kedua parti itu dalam pilihan raya akan datang. Sekiranya mereka tidak sempat pusing, maka mereka akan menerima bala bencananya.
Sesudah setahun kerajaan PN.
Kerajaan PN pimpinan Mahiaddin sudah berlalu setahun dua bulan. Alasan mengapa kerajaan PH perlu digulingkan tidak nampak hasilnya. Kononnya ia hendak menyelamatkan Melayu dan Islam, itulah pengucapan Mahiaddin untuk menghalalkan tindakannya. Tetapi tidak ada penjelasan terperinci apakah butir-butir menjadikan Islam dan Melayu bertambah maju sejak beliau mengambil alih kerajaan. Yang jelas sekarang Melayu jadi semakin revel, semisalnya prinsip Islam dan agama dalam Pas hancur dan bersepah.
Yang relatif hanya jemaah kabinet Malaysia dibawah pimpinan Mahiaddin bertambah angka daripada 27 anggota zaman PH menjadi 32 - 70 anggota termasuk timbalan menteri. Tidak dinafikan jemaah menteri itu didominasikan Melayu. Begitu juga dengan pengisian jawatan dalam syarikat GLC, agensi dan badan berkanun banyak dipegang oleh orang Melayu atas lantikan politik.
Tetapi apa guna kalau yang memegang itu Melayu yang tidak ada pengalaman dan tandus pengetahuan pentadbiran dan ilmu mengenai bidang atau pun post yang dipegangnya? Langkah itu sepertilah membawa orang buta untuk menonton filem bisu komedi Charlie Chaplin.
Nasib Mahiaddin tidak baik dan takdir yang berlaku sekarang tentu tidak ada dalam pengetahuannya. Ini kerja dan perancangan Tuhan maha kaya. Wamakuru, wamakarallah, wallahu khairulmakiriin.
Sewaktu beliau mengambil alih kerajaan, coronavirus (Covid-19) mula melanda dunia dan turut terjangkit ke negara ini. Keadaan selepas itu semakin parah. Sewaktu PH berkuasa angka kes Covid belum sampai 100 kes. Hari ini kes sudah mencecah empat angka.
Pelbagai usaha, tindakan dan ikhtiar dilakukan tidak memberi kesan. Covid seperti sedang menguji kesabaran dan kebolehan Mahiaddin sebagai perdana menteri. Covid persis menanti kerajaan PN untuk mengganas seperti Israel.
Kemelaratan Covid di negara ini dengan jumlah harian tertinggi 6,493 dan 50 kematian yang dicatat semalam. Secara keseluruhan kes kumulatif (498,795 ) dan kematian (2149).
Kenaikan mendadak kes ini menjadi indikator sejauh manakah kemampuan dan kejayaan Mahiaddin menjadi PM. Walaupun Covid itu ketentuan Tuhan tetapi Mahiaddin terpaksa memikulnya kerana ia berlaku pada eranya. Hendak tidak hendak, bak kata orang "tangan berani mencincang, maka bahunya perlu sanggup memikul. Kalau tidak apa dilakukan itu sia-sia sahaja. Kita simpati dengan suasana dan takdir ini.
Mahiaddin nampaknya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Beliau telah melakukan pelbagai tiindakan untuk mengekang Covid sampai berdoa dengan menyedihkan suara. Namun setengah tindakan itu nampak jelas ia dibuat tanpa mengkaji dan memikir risiko dan implikasi secara mendalam ke atas negara dan rakyat menyebabkan tindakan-tindakan dilakukan atas nama Covid lebih untuk menyelamatkan diri dan kedudukannya. Atau banyak dilakukan membazir daripada faedah.
Mahiaddin sangat menyedari bahawa kerajaanya tidak mempunyai keabsahan sokongan di Parlimen, setelah beberapa oraang ahli Parlimen Umno menarik sokongan. Situasi itulah menyebabkan pembangkang penasaran meminta parlimen bersidang untuk menentukan keabsahan Mahiaddin. Beliau pula setelah menyedari masalah itu, mengelakkan daripada parlimen daripada mengadakan persidangan.
Maka untuk menyelamatkan kedudukan ini beliau menghadap Yang diPertuan Agong meminta proklamasi darurat dilakukan dengan sekaligus menggantungkan Parlimen. Menghadap kali pertama permohonan ditolak, tetapi menghadap kali kedua diberi perkenan? Kita juga tertanya-tanya dimanakah asas perkiraan Agong itu.
Alasan utama proklamasi itu bagi Mahiaddin adalah untuk mendapat perintah atau undang-undang bagi dilaksanakan kononnya untuk mengekang Covid. Sebab itu darurat tersebut dinamakan Darurat Kesihatan. Dengan mendaruratkan negara maka kedudukannya sebagai PM tidak cukup nombor terselamat, apabila beliau boleh mengguna atau menggubal undang-undang tanpa dibawa ke parlimen, dan parlimen juga dikunci untuk tidak dapat diadakan apa-apa motion ke atasnya.
Walaupun tindakan menggantung parlimen itu dibantah hebat Mahiaddin tidak mempedulikannya. Desakan dan asakan pelbagai pihak disadinkan sahaja. Beliau jadi lembu kenyang. Beliau telah menggunakan perkenan Agong sebagai lesen besar, apa lagi Agong pula bertitah menyeru agar sokong darurat.
Dari sisi lain rakyat menerima alasan darurat kesihatan itu memandangkan Covid sangat merbahaya. Pengekangan perlu disegerakan bagi mengelakkan banyak nyawa hilang dan jumlah kes bertambah dari masa ke semasa. Kemarahan rakyat terhadap darurat itu reda dan mereka reda melainkan ahli Parlimen pembangkang yang tidak dapat menerima sama sekali dan terus mendesak agar parlimen dibuka.
Mereka ada justifikasi kenapa marah kerana apa-apa perintah, undang-undang dan peraturan boleh digubal oleh kerajaan tanpa membawanya ke Parlimen. Sebab itulah denda kepada mereka melanggar SOP Covid boleh dikenakan hingga RM10,000 ke atas individu dan RM100,000 ke atas syarikat.
Kuasa yang luas, bebas dan besar itu dilihat oleh ahli parlimen pembangkang sebagai satu tindakan tidak adil, kejam dan sebagai merampas dan mengunci suara rakyat disamping kerajaan PN memerintah secara birokrasi.
Kepentingan politik.
Kemarahan rakyat kepada Mahiaddin yang meminta proklamasi darurat kembali berputik semula apabila maksud daripada tujuan darurat itu tidak mempunyai dampak yang hebat. Kes Covid bukan mengecil malahan semakin melebar dan keadaan kritik. Seperti disebut tadi, kes hari ini melebihi empat digit dimana ianya jauh lebih besar daripada sebelum darurat kesihatan diistyharkan. Dimanakah logik dan praktikal proklamasi itu dilaksanakan. Justeru ia memperlihat tujuan darurat itu untuk kepentingan politik bukan kesihatan rakyat. Rakyat terus dilanda kesangsian demi kesangsian kepada Mahiaddin.
Apa yang berlaku sudah berlaku. Ia sudah agak terlewat walaupun belum habis ikhtiar.
Sebagai seorang pemimpin nombor satu negara tentu Mahiaddin ada tanggungjawab dan perasaan ke atas pentadbirannya. Masakan tidak tersisah perasaan malu dan maruah dirinya? Hendak tidak hendak, suka atau tidak suka, beliau kena tanggung apa yang berlaku hari ini. Walaupun Covid itu adalah ketentuan Allah tetapi penyebab atau sebab musababnya terheret kepadanya juga. Beliau kena tawakuf menerimanya.
Beliau tidak akan dimarah dan dibenci seperti hari ini kalau beliau tidak bertindak atas motif politik keterlaluan tetapi tulus untuk kesihatan demi rakyat. Oleh kerana beliau bermain politik dan menggunakan Covid sebagai pelindung kuasa dan politiknya maka beliau wajar dikecam dan bertanggugjawab dengan apa yang berlaku.
Sehingga ke saat tulisan ini dibuat Mahiaddin belum membuka mulut apakah tindakan yang seterusnya dilakukan. Semalam katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengada mesyuarat membincang masalah dihadapi kini. Ramai orang mengira MKN akan mengumumkan akan diadakan lockdown total di seluruh negara untuk mengekang Covid. Tetapi tidak ada apa-apa pengumuman dibuat, melainan ada pemakluman PMO akan membuat kenyataan hari ini.
Lockdown adalah terbaik dan itulah cara paling berkesan untuk memutuskan rangkaian Covid. Untuk mematikan virus ini jika menurut pakar-pakar kesihatan bukan sukar sangat, atau tidak dapat dihalang. Virus akan lemah dan tidak agresif setelah 14 hari. Sekiranya semua orang tidak bergerak dalam tempoh 14 hari bermakna tidak ada jangkitan baharu.
Lockdown paling sesuai untuk rakyat negara ini yang kurang berdisiplin dan degil untuk mematuhi SOP yang sedia ada. Perketatlah macam mana pun SOP mereka akan mencari jalan dengan apa sekalipun untuk mencapai tujuan mereka. Aneh orang Malaysia mereka sanggup menipu diri sendiri walaupun mengetahui risiko daripada perbuatan mereka itu.
Persoalan yang mungkin termuat dalam benak Mahiaddin, ialah memikirkan kesan ekonomi kalau Lockdown dilaksanakan,. Kehidupan golongan B40, yang kais pagi makan pagi terjejas. Manakala perbendaharan negara pula menipis untuk menyediakan bantuan. Negara sudah tidak mampu untuk terus membantu. Moratorium automatik dipohon apabila diadakan PKP 3: 0 tidak dihiraukan.
Mahiaddin hari ini terjempik dalam dua keadaan, untuk menyelamatkan diri atau selamatkan negara. Kalau lockdown dilaksanakan ekonomi lumpuh, tetapi beliau terselamat, jika tidak dilaksanakan Covid merebak juga menyebabkan beliau akan terus dibenci.
Dalam situasi ini timbul rasa kesian belas kepada perdana menteri kerajaan "curitokrasi" itu. Tetapi dalam sisi lain timbul juga rasa meluat kerana mengenangkan apa dilakukan itu.
Jadi hari ini Mahiaddin sedang berhadapan dengan hukum karma atas perbuatannya sendiri. Kedudukannya bagai ikan di dalam tuar beronak duri, hendak keluar tidak boleh sebab kalau keluar pun kulit dan sisiknya rosak, maka hendak tak hendak dia akan terus berada dalam tuar menderita hingga ke akhir. [wm.kl.9:10 am 22/05/2021]
No comments:
Post a Comment